Laissez-faire

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Laissez-faire (Dengari/ˌlɛsˈfɛər-/, Perancis: [lɛsefɛʁ]  (Speaker Icon.svg dengar) ialah ungkapan bahasa Perancis yang bermaksud "biarkan"). Mula-mulanya digunakan oleh fisiokrat abad ke-18 sebagai injunksi menentang campur tangan kerajaan dalam perdagangan, istilah ini menjadi bersinonim dengan ekonomi pasaran bebas sejati. Laissez-faire secara amnya difahami sebagai satu doktrin yang menegaskan bahawa inisitaif dan pengeluaran swasta paling baik bebas daripada campur tangan ekonomi dan pencukaian oleh kerajaan selain apa yang perlu untuk menjamin kebebasan individu, keamanan, keselamatan, dan hakmilik harta.[1]

Laissez-faire disokong oleh para pendukung libertarianisme, liberalisme klasik, neoliberalisme, minarkisme dan Objektivisme. Golongan libertarian berhujah bahawa pasaran bebas menghasilkan lebih banyak kemakmuran dan kebebasan peribadi berbanding sistem ekonomi lain. Aliran ekonomi Austria dan Chicago merupakan antara jenis laissez-faire yang utama. Pengikut anarki pasaran melampaukan idea laissez-faire dengan menentang segala pencukaian, dan lebih gemar undang-undang dan perintah dibiayai oleh sektor swasta.

Teori ekonomi dan politik[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Pasaran bebas

Pendukung laissez-faire menyokong ketiadaan campur tangan kerajaan: pasaran bebas, cukai minima, peratuan minima dan pemilikan harta swasta, serta menyokong kebebasan negatif sambil menentang kebebasan positif, seperti pengagihan semula kekayaan yang disediakan kerajaan. Bagaimanapun, sesetengah penyokong laissez-faire, terutamanya yang mengikut Aliran Chicago, lebih gemar idea cukai pendapatan negatif oleh Milton Friedman sebagai ganti kepada sistem kebajikan sedia ada, dengan berhujah bahawa pencukaian sedemikian lebih ringkas dan kurangnya "insentif tidak munasabah" yang berbentuk "pemberian kerajaan".

Mereka berasaskan kepercayaan bahawa pengagihan semula kekayaan mengambil modal daripada sektor-sektor paling produktif dalam ekonomi, serta memaksakan egalitarianisme ekonomi yang mengurangkan produktiviti dan galakan bekerja. Mereka boleh berhujah lagi bahawa apa-apa kesamaan hasil sementara yang dinikmati dari pengagihan semula akan cepat tumbang tanpa pemaksaan kerana rakyat mempunyai bermacam-macam tahap motivasi dan kebolehan diri, serta melakukan bermacam-macam pilihan berdasarkan nilai-nilai yang berlainan; lebih-lebih lagi, ketaksamaan kebendaan adalah hasil yang tidak boleh dielakkan daripada kebebasan memilih tindakan sendiri tanpa menyusahkan orang lain.

Seperti ekonomi neoklasik aliran perdana, Aliran Austria dan Aliran Chicago menyokong nilai teori subjektif yang menyatakan bahawa hanya seorang pembeli dan seorang penjual, sambil menggunakan maklumat yang dikongsi dan boleh didapati di pasaran, boleh menentukan betapa bernilainya barang dan perkhidmatan kepada mereka dan maka itu menentukan harga yang saling diterima. Mereka berhujah bahawa penawaran dan permintaan, seperti yang diaturkan kehadiran penilaian bebas dan subjektif dalam pasaran bebas, merupakan satu-satunya kaedah sewajarnya bagi menetapkan harga. Lebih-lebih lagi, mereka percaya bahawa harga yang ditentukan dalam pasaran bebas sahajalah yang boleh mensintesiskan dan menghubungkan citarasa dan data yang relevan dan peka masa kepada jutaan pengguna dan juga pengeluar, serta apa sekalipun cubaan mengobjektifkan urusniaga ini oleh pihak berpusat pasti gagal.

Menurut hujah mereka, mana-mana sahaja campur tangan kerajaan seperti peraturan, perlindungan, kewujudan monopoli sah, undang-undang persaingan, atau cukai, mengganggu penilaian yang dicerminkan dengan setepatanya dalam harga dan pemaksimuman utiliti ekonomi.

Penyokong laissez-faire meggemari keadaan yang neutral antara pelbagai kelompok sekepentingan yang saling bersaing untuk merebut hak istimewa dan kuasa politik di sesebuah negara. Mereka kurang menyenangi ekonomi campuran atas alasan bahawa ini membawa kepada politik kelompok sekepentingan yang mana setiap kelompok itu memburu manfaat diri sehingga membebankan kelompok lain dan para pengguna. Mereka menentang pembiayaan atau pengawalan sekolah, hospital, industri, pertanian, dan rancangan kebajikan sosial oleh kerajaan. Bagaimanapun, Aliran Chicago menjustifikasikan sistem baucar sekolah atas sebab-sebab keadilan.

Mereka percaya bahawa peminimuman cukai mengurangkan kemungkinan kerajaan akan membiayai rancangan yang tidak menguntungkan serta menghalang rakyat daripada memerlukan bantuan kerajaan kerana duit mereka agak mencukupi.

Agensi pertahanan swasta[2] dan harta intelek[3] merupakan titik pertikaian di kalangan penyokong laissez-faire. Inilah yang selalu membelahkan golongan minarki yang mendukung polis dan tentera kerajaan, daripada anarko-kapitalis yang hendak penswastaan sepenuhnya segala barang. bagi kebanyakan anark-kapitalis, prinsip kebebasan mesti mengatasi matlamat kekayaan. Contohnya, faedah polis kepada orang awam boleh dilihat paksaan tidak bermoral tidak kira betapa cekapnya berbanding keselamatan swasta.

Teori monetari[sunting | sunting sumber]

Aliran Austria menentang penggunaan wang fiat kerana tidak mendorong kerajaan menahan diri daripada mengembangkan bekalan wang secara berlebihan lalu menyebabkan inflasi. Mereka lebih gemar penggunaan aset nyata seperti piawai emas. Inflasi sering dianggap oleh libertarian sebagai kaedah pencukaian mencuri-curi yang digunakan untuk merampas nilai daripada duit pegangan peribadi tanpa melevi cukai yang kelihatan serta memerlukan pemindahan wang fizikal.

Sejarah perdebatan laissez-faire[sunting | sunting sumber]

Eropah[sunting | sunting sumber]

Di Britain pada abad ke-19, laissez-faire menikmati ikutan yang kecil tetapi kuat oleh kelompok Liberal Manchester seperti Richard Cobden dan Richard Wright. Pada tahun 1867, ini melahirkan perjanjian perdagangan bebas yang dimeterai antara Britain dan Perancis, diikuti pemeteraian perjanjian-perjanjian seumpamanya di kalangan negara Eropah lain. Akhbar The Economist diasaskan, sebahagiannya sebagai tentangan kepada Corn Laws, pada tahun 1843, sementara perdagangan bebas dibincangkan di tempat-tempat seperti The Cobden Club yang diasaskan setahun selepas Cobden meninggal dunia pada tahun 1866. [4] [5]

Namun begitu, laissez-faire tidak pernah menjadi doktrin utama mana-mana negara, maka pada penghujung 1800-an, negara-negara Eropah nampaknya mengamalkan perlindungan dan campur tangan ekonomi lagi. Misalnya, Perancis mula membatalkan perjanjian perdagangan bebasnya dengan negara Eropah lain pada tahun 1890. Dasar perlindungan Jerman bermula (sekali lagi) dengan surat dari Bismarck pada Disember 1878 yang mewujudkan tarif besi dan tanaman rai pada tahun 1879.

Amerika Syarikat[sunting | sunting sumber]

Walaupun zaman sebelum Perang Saudara Amerika menampakkan takat kerajaan persekutuan yang terhad, namun masih banyak campur tangan dalam ekonomi--khususnya selepas 1820-an. Contoh campur tangan kerajaan pada zaman sebelum Perang Saudara termasuk penubuhan Bank Pertama Amerika Syarikat dan Bank Kedua Amerika Syarikat serta pelbagai langkah perlindungan (cth., tarif 1828). Sesetengah cadangan ini berhadapan dengan tentangan yang serius, serta banyak memerlukan dagang sapi untuk digubal. Misalnya, Bank Kebangsaan Pertama tidak mungkin dapat mencapai meja Presiden George Washington andai tiadanya persetujuan yang dicapai antara Alexander Hamilton dan beberapa ahli-ahli Kongres selatan untuk mencari kedudukan ibu negara di Daerah Columbia.

Kebanyakan pendukung awal ekonomi campuran di Amerika Syarikat berpegang oada Aliran Amerika. Aliran fikiran ini diilhamkan oleh idea-idea Hamilton yang mencadangkan kewujudan bank tajaan kerajaan dan kenaikan tarif agar menjaga kepentingan perindustrian utara. Selepas Hamilton meninggal dunia, pengaruh perlindungan yang lebih berkekalan pada zaman sebelum perang timbul daripada Henry Clay dan Sistem Amerika beliau.

Selepas Perang Saudara, pergerakan ke arah ekonomi campuran dipesatkan dengan lebih perlindungan dan peraturan kerajaan. Pada 1880-an dan 1890-an, kenaikan tarif secara mendadak digubal. Lebih-lebih lagi, dengan digubalnya Akta Perdagangan Antara Negeri 1887 dan Akta Anti-Pakatan Sherman, kerajaan persektuan mula memainkan peranan yang semakin penting dalam mengatur dan mengarahkan ekonomi negara.

Era Progresif menyaksikan penggubalan banyak lagi kawalan pada ekonomi, seperti dibuktikan oleh rancangan Kebebasan Baru di bawah pentadbiran Wilson.

Berikutan Perang Dunia I dan Kemelesetan Besar, dasar-dasar Keynes mengubah negara menjadi ekonomi campuran. Misalnya pada 1980-an, A.S. hendak melindungi industri keretanya melalui sekatan eksport "sukarela" dari Jepun.[6] Seorang pengkaji pada masa itu pernah mengarang bahawa:

Secara umum, kekuatan dolar berbanding mata wang asing utama telah mencerminkan kadar faedah A.S. tinggi yang dipacu oleh defisit belanjawan persekutuan yang agak besar. Oleh itu, punca kebanyakan kemerosotan perdagangan pada masa sekarang bukanlah keadaan ekonomi secara amnya, sebaliknya adalah gabungan dasar fiskal dan monetari kerajaan, iaitu pengaturan secara seiring pengurangan cukai, sasaran monetari yang agak ketat, perbelanjaan tentera yang banyak, serta potongan yang setakat sederhana dalam rancangan kelayakan utama, yang bermasalah. Dalam erti kata lain, akar umbi masalah perdagangan dan kebangkitan perlindungan yang timbul pada dasarnya dipengaruhi politik dan juga ekonomi.[7]

Kemelesetan Besar[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Kemelesetan Besar

Hubungan antara ekonomi laissez-faire dan tercetusnya Kemelesetan Besar banyak dipertikai. Sesetengah ahli ekonomi dan sejarah (termasuk John Maynard Keynes) mendakwa bahawa dasar ekonomi laissez-faire merangsang keadaan di mana tercetusnya Kemelesetan Besar. Pengkaji lain seperti Milton Friedman dan Murray Rothbard pula berkata bahawa Kemelesetan itu bukan berpunca daripada dasar ekonomi laissez-faire, sebaliknya disebabkan campur tangan kerajaan dalam sistem monetari dan kredit. The issue, as outlined below, remains heavily debated in economic, historical, and political spheres.

Dalam hasil kajian Keynes pada tahun 1936, berjudul The General Theory of Employment Interest and Money, Keynes memperkenalkan konsep-konsep dan istilah-istilah yang bertujuan membantu menjelaskan Kemelesetan Besar. Satu hujah yang menyokong dasar ekonomi laissez-faire sewaktu kemelesetan adalah jika penggunaan berkurangan, maka kadar faedah turut berkurangan. Kadar faedah yang rendah akan menyebabkan meningkatnya perbelanjaan pelaburan sementara permintaan adalah tetap. Namun begitu, Keynes percaya ada sebabnya pelaburan tidak semestinya meningkat begitu sahaja sebagai tindakbalas kepada penurunan dalam penggunaan. Perniagaan melabur berdasarkan jangkaan untung. Menurut Keynes, jika penurunan penggunaan dilihat kekal dalam jangka masa panjang, perniagaan yang menganalisa perkembangan itu akan mengurangkan jangkaan jualan masa hadapan. Maka, perkara paling remeh bagi perniagaan adalah melabur untuk peningkatan pengeluaran masa hadapan jika sekalipun kadar faedah rendah memurahkan modal. Kalau begitu, menurut Keynes dan bertentangan sekali dengan hukum Say, ekonomi boleh menjunam ke dalam kejatuhan harga umum. (Keen 2000:198) Ahli ekonomi berfahaman Keynes dan sejarawan berhujah bahawa dinamik mengukuhkan diri ini adalah apa yang berlaku dengan meluasnya ketika Kemelesetan, apabila kemuflisan sering berlaku dan pelaburan yang memerlukan sikap optimis tidak mungkin menjadi. Penyelesaian kepada masalah ini adalah mengurangkan ketidakstabilan pasaran melalui campur tangan kerajaan. Dalam pandangan beliau, oleh sebab tidak boleh bergantung pada sektor swasta bagi mewujudkan permintaan agregat ketika kemelesetan, kerajaan bertanggungjawab mewujudkan permintaan.[8]

Perdebatan cendekiawan mengenai punca-punca Kemelesetan Besar mempersoal penglibatan ekonomi laissez-faire dalam insiden itu, ada yang menyalahkannya dan yang lain melepaskannya.

Sebaliknya, Friedrich August von Hayek dan Milton Friedman berhujah bahawa Kemelesetan Besar bukan disebabkan dasar ekonomi laissez-faire, sebaliknya berpunca daripada terlalu banyak campur tangan dan kawalan kerajaan terhadap pasaran. Mereka menunjukkan bahawa Kemelesetan Besar adalah zaman kemelesetan yang terlama sepanjang sejarah A.S. dan satu-satunya zaman kemelesetan apabila kerajaan agak banyak campur tangan. Dalam hasil kajian Friedman berjudul Capitalism and Freedom beliau berhujah: "Sebuah agensi ditubuhkan kerajaan, iaitu Sistem Rizab Persekutuan, telah ditanggungjawabkan untuk dasar monetari. Pada tahun 1930 dan 1931, Sistem itu mengerjakan tanggungjawab ini dengan tidak cekap bagi mengubah apa yang sepatutnya menjadi pencuncupan sederhana, menjadi malapetaka besar."[9]

Lebih-lebih lagi, kerajaan persekutuan A.S. telah mewujudkan penetapan nilai mata wang pada nilai emas. Pada satu masa nilai tetap itu lebih tinggi berbanding harga sedunia, lalu menimbulkan lebihan emas yang besar. Permintaan sedunia untuk emas naik mendadak, tetapi nilai tetap itu terlalu rendah di A.S. ini menimbulkan migrasi emas besar-besaran dari A.S. Friedman dan Hayek berhujah bahawa ketidakmampuan untuk bertindakbalas kepada permintaan mata wang ini menimbulkan serbuan yang sukar ditangani bank. Ketidakmampuan bank-bank menangani serbuan ini, serta kadar mata wang tetap antara dolar dan emas; sama-sama menimbulkan Kemelesetan Besar dengan mewujudkan tetapi tidak mengekang tekanan kemelesetan.[10] Hujah beliau lagi dalam tesis ini, kerajaan memburukkan lagi keadaan terhadap orang awam Amerika dengan mula-mulanya menaikkan cukai, kemudian mencetak wang untuk melangsaikan hutang (sekaligus menimbulkan inflasi), sama sekali mendorong pengosongan simpanan golongan tengah. Friedman membuat kesimpulan bahawa kesan-kesan Kemelesetan Besar tidak diaasi sepenuhnya sehingga selepas Perang Dunia II apabila ekonomi menyaksikan keadaan kembali normal dengan penghapusan banyak kawalan harga. Pendapat ini secara khususnya menyalahkan gabungan dasar-dasar Rizab Persekutuan dan pengaturan ekonomi A.S. sebagai punca-punca Kemelestan Besar, dan bahawa kemelesetan ini diburukkan lagi dengan menaikkan cukai pendapatan pada pendapatan tertinggi dari 25% hingga 63%, "check tax", dan tarif Smoot-Hawley. Friedman percaya bahawa dasar campur tangan Herbert Hoover dan Perjanjian Baru Franklin D. Roosevelt memanjangkan dan memburukkan lagi kemelesetan. Akhir kata Friedman, "Kemelesetan Besar di Amerika Syarikat, tidak pun satu petanda ketidakstabilan dalaman sistem perusahaan swasta, adalah bukti betapa bahayanya kesilapan yang dilakukan sebilangan kecil orang apabila mereka meluaskan kuasa terhadap sistem monetari negara."[11]

Laissez-faire hari ini[sunting | sunting sumber]

Negara-negara berindustri moden kini tidak menggambarkan prinsip atau dasar laissez-faire, kerana lazimnya banyak melibatkan campur tangan kerajaan dalam ekonomi yang merangkumi gaji minima, kebajikan korporat, peraturan antipakatan, industri milik negara, rancangan kebajikan dan sebagainya. Rancangan subsidi untuk perniagaan dan keluaran pertanian; pemilikan sesetengah industri oleh kerajaan (biasanya sumber alam); peraturan persaingan pasaran; sekatan perdagangan ekonomi berbentuk tarif, kuota import, atau peraturan dalaman yang menyebelahi industri tempatan, antara pelbagai bentuk dasar pilih kasih kerajaan. Agensi-agensi kawalan wang sedunia yang kini sentiasa ada seperti Sistem Rizab Persekutuan A.S. (meskipun sebenarnya milik swasta) dan sistem bank pusat milikan dan kendalian kerajaan dipandang paling bagus cuma dibuat-buat sementara yang paling teruk memudaratkan.

Menurut Indeks Kebebasan Ekonomi 2008 yang dikeluarkan Yayasan Warisan, tujuh buah negara yang ekonominya paling bebas adalah seperti berikut: Hong Kong, Singapura, Ireland, Australia, Amerika Syarikat, New Zealand dan Kanada (semuanya bekas jajahan Empayar British). Hong Kong menduduki tangga teratas untuk 14 tahun berturut-turut dalam Indeks tersebut yang bertujuan mengukur "ketiadaan paksaan atau kekangan kerajaan terhadap pengeluaran, edaran, atau penggunaan barang dan perkhidmatan selain yang perlu agar melindungi dan mengekalkan kebebasan rakyat." Oleh itu, Milton Friedman menyifatkan Hong Kong sebagai sebuah negeri laissez-faire dan menganggap dasar itu timbul daripada perkembangan pesat dari kemiskinan ke kemakmuran dalam 50 tahun.[12] Kebanyakan pembangunan ini berlaku ketika Hong Kong di bawah perintah British sebelum diserahkan kepada kedaulatan Republik Rakyat China pada tahun 1997. Bagaimapanun, di sebuah sidang akhbar pada 11 September 2006, Ketua Eksekutif Hong Kong Donald Tsang berkata bahawa "Dasar tidak campur tangan positif ialah satu dasar yang dicadangkan oleh seorang bekas Setiausaha Kebanyakan bertahun-tahun dahulu, tetapi kami tidak pernah kata bahawa kami akan terus memakainya sebagai dasar kini... Kami lebih gemar dasar yang digelar 'pasaran besar, kerajaan kecil'." Kenyataan ini menerima maklum balas yang bercampur-campur di Hong Kong, ada yang memandangnya sebagai pengumuman untuk menghentikan dasar tidak campur tangan positif itu, ada yang memandangnya sebagai respons yang lebih realistik untuk dasar kerajaan pada beberapa tahun sebelumnya, seperti campur tangan dalam pasaran saham untuk menghindari kegiatan broker.[13].

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Oscar Handlin (1943). "Laissez-Faire thought in Massachusetts, 1790-1880". Journal of Economic History 3: 55-65. 
  2. Hans-Hermann Hoppe, The Myth of National Defense: Essays on the Theory and History of Security Protection, [[{{{publisher}}}]], 2003.
  3. N. Stephan Kinsella, Against Intellectual Property, [[{{{publisher}}}]], Musim Bunga 2001.
  4. Scott Gordon (1955). "The London Economist and the High Tide of Laissez Faire". Journal of Political Economy 63 (6): 461-488. 
  5. Antonia Taddei (1999). "London Clubs in the Late Nineteenth Century". http://www.nuff.ox.ac.uk/economics/history/paper28/28taddeiweb1.pdf. 
  6. Robert W. Crandall (1987). "The Effects of U.S. Trade Protection for Autos and Steel". Brookings Papers on Economic Activity 1987 (1): 271-288. 
  7. Pietro S. Nivola (1986). "The New Protectionism: U.S. Trade Policy in Historical Perspective". Political Science Quarterly 101 (4): 577-600. 
  8. Yergin, Daniel., and Joseph Stanislaw. 1998. The Commanding Heights. Touchstone Book. p 21-22
  9. Friedman, Milton. 1962. Capitalism and Freedom. University of Chicago Press. p 38.
  10. Milton, Capitalism and Freedom, p 45-50.
  11. Milton, Capitalism and Freedom, p 50.
  12. Friedman, Milton. "The Hong Kong Experiment". Hoover Digest. http://www.hoover.org/publications/digest/3532186.html. Capaian 2007-03-29. 
  13. (Ref: 2006-Sept-12: Mingpao Daily)

Bibliografi[sunting | sunting sumber]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]