M4M4

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
M4M4
PengarahEyra Rahman
PenulisFaten Syamimie
Dihasilkan olehMokharul Shamsul Mokhtar
Dibintangi
SinematografiRahimi Maidin
Syarikat
penerbitan
Da Motion Media
Tarikh tayangan
6 Februari 2020
Masa tayangan
106 minit
NegaraMalaysia
BahasaMelayu
Pecah panggungRM 3 juta

M4M4 (disebut MAMA) ialah sebuah filem ngeri jenayah psikologi Malaysia 2020 arahan Eyra Rahman dengan skrip oleh Faten Syamimie. Ia mengisahkan dua beranak iaitu Alya dan ibunya, Aini hidup tenteram di rumah kecil mereka, namun apabila mereka diganggu tiga lelaki, pelbagai tragedi menimpa. Filem ini ditayangkan pada 6 Februari 2020.

Penerbit filem ini Mokharul Shamsul Mokhtar meninggal dunia pada 24 Mei 2019 akibat kemalangan jalan raya di Segambut, Kuala Lumpur dan filem ini ditujukan khas dalam ingatannya.[1]

Sinopsis[sunting | sunting sumber]

Kisah bermula pada hari lahir ke-15 Alya (Bella Dowanna) yang diraikan setiap tahun bersama mamanya, Aini (Nabila Huda). Setelah kematian suami ketika Alya berusia lapan tahun, Aini berusaha keras setiap hari untuk memberikan kehidupan yang lebih baik untuk Alya. Aini akan memastikan tiada kekurangan dalam hidup Alya tidak kira dari segi kewangan mahupun kasih-sayang. Aini berjaya membina syurga mereka di sebuah rumah kecil. Alya mempunyai dua kawan baik iaitu Daniel (Izzy Reef) dan Elly (Eyra Hazali). Mereka bertiga tinggal di kawasan yang sama dan membesar bersama-sama. Mereka bertiga sering melakukan setiap aktiviti bersama-sama. Aini juga sudah menganggap Daniel dan Elly seperti anaknya sendiri.

Pada hari tersebut, Alya, Daniel dan Elly diganggu oleh tiga orang lelaki iaitu Apai (Kodi Rasheed), Luk (Ungku Hariz) dan Remy (Niezam Zaidi) yang terkenal dengan gaya samseng mereka di kawasan tersebut. Mereka sering menganggu pelajar-pelajar sekolah yang makan di kawasan tersebut, termasuk Alya. Namun, pada hari tersebut kesabaran Alya memuncak apabila Apai dengan beraninya menyentuh Alya. Berlaku pergaduhan di antara Apai, Alya dan Danny sehingga menyebabkan Alya dengan beraninya menyimbah sup panas kepada Apai.

Sewaktu Alya dan Elly sedang menunggu bas, sesuatu menimpa Elly dan dia terpaksa beredar dari situ buat seketika. Semasa Alya menunggu Elly, Apai dan kawan-kawannya muncul bersama motor dan membuat onar di situ. Alya dapat merasakan sesuatu yang tidak kena. Apai dan kawan-kawannya menarik Alya untuk pergi dari situ. Alya dibawa ke sebuah bangunan tinggal dan diperkosa dengan kejamnya. Alya pulang ke rumah dalam keadaan sakit dan cedera.

Aini cuba menyembunyikan emosinya sebagai ibu demi membantu Alya yang masih trauma. Namun, tekanan yang diterima dalam kalangan masyarakat menyebabkan jiwanya sebagai ibu turut terkesan. Melihatkan keadaan Aini, Alya cuba bangkit dan cuba untuk melupakan apa yang sudah terjadi. Dia mahu memulakan segalanya bersama Aini. Malang tidak berbau, Alya menerima kiriman video yang dihantar oleh Apai ke telefonnya. Video sewaktu Alya diperkosa telah dirakam dan Apai mengugutnya untuk menularkan video tersebut sekiranya Alya tidak pergi menemui mereka di bangunan yang sama. Tanpa berfikir panjang, Alya bergegas ke bangunan tersebut untuk menemui Apai dan yang lain. Apai dan kawan-kawannya cuba untuk memperkosa Alya buat kali kedua, namun kali ini Alya tidak mahu menyerah.

Mengingatkan kembali tentang perasaan Aini tempoh hari menyebabkan Alya nekad untuk menyelamatkan diri. Namun, dalam usaha Alya untuk menyelamatkan diri, dia terjatuh dari tingkat dua bangunan tersebut dan mati.

Pelakon[sunting | sunting sumber]

Penerbitan[sunting | sunting sumber]

M4M4 diarahkan oleh Eyra Rahman yang sebelum ini mengarahkan Aku Terima Nikahnya (2012) dan Bencinta (2013). Ia merupakan filem ke-14 arahannya, Eyra berkata, M4M4 bermaksud ‘Mati Empat Orang, Mati Empat Orang’, tetapi disebut sebagai ‘Mama’ dan menggabungkan pelakon lama dan baharu. Penerbit Mokharul Shamsul berkata, Eyra menjadi pilihan sebagai pengarah kerana beliau ialah calon paling sesuai berdasarkan statusnya sebagai ibu selain banyak mengarah filem sebelum ini.[5]

Filem ini merupakan filem kedua terbitan Da Motion Media selepas Jodoh Syaitan arahan Ismail Bob Hasim.[6] Penggambaran dijalankan pada Disember 2018 menampilkan barisan pelakon lama dan baru termasuk Faizal Hussein dan Nabila Huda selaku teraju utama.[7] Barisan pelakon lain termasuk Bella Dowanna, Kodi Rasheed, Niezam Zaidi, Ungku Hariz, Eyra Hazali dan Izzy Reef.[6]

Kontroversi[sunting | sunting sumber]

Filem ini menjadi subjek kontroversi sebelum tayangan rasmi apabila didapati meniru filem Mom (2017) arahan Ravi Udyawar lakonan mendiang Sridevi. Eyra menafikan isu tersebut: "M4M4 tak ada kaitan dengan filem Mom. Saya sendiri pun tak tengok filem itu. Jadi, tak timbul isu filem M4M4 meniru filem Mom,"[8]

Keluaran dan sambutan[sunting | sunting sumber]

M4M4 dikeluarkan pada 6 Februari 2020 di pawagam seluruh Malaysia.[9]

Filem ini menerima ulasan positif daripada pengkririk filem. Menulis untuk New Straits Times, Dennis Chua menyifatkan M4M4 ialah tragedi dan berkata "tetapi di tengah-tengah tragedi, penonton akan diilhamkan oleh Aini. Di sini berdirinya seorang ibu tunggal yang tidak hanya membesarkan anak perempuan yang cantik, tetapi melakukan yang terbaik untuk memastikan bahawa pembunuhnya menderita akibat perbuatan terkutuk mereka".[10]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Faria Fuad (24 Mei 2019). "Penerbit filem maut tercampak selepas dilanggar van". Berita Harian. Dicapai pada 1 Jun 2019.
  2. ^ Dennis Chua (14 Januari 2019). #Showbiz: Nabila Huda not her usual self, has nightmares, screams and breaks down New Straits Times. Dicapai pada 1 Februari 2019.
  3. ^ Fatin Farhana Ariffin (18 Januari 2020). Bella difitnah ketika nama semakin dikenali Berita Harian. Dicapai pada 1 Februari 2020.
  4. ^ Syafil Syazwan Jefri (6 Februari 2020). Niezam Zaidi 'sakit' dalam filem M4M4 Harian Metro. Dicapai pada 16 Februari 2020.
  5. ^ Noriza Sainal (19 Disember 2018). "Sahut cabaran filem suspens". Harian Metro. Dicapai pada 1 Februari 2019.
  6. ^ a b Budiey (5 Januari 2019). "Pelancaran filem M4M4 lakonan Nabila Huda". Sensasi Selebriti. Dicapai pada 1 Februari 2019.
  7. ^ Faria Fuad (13 Disember 2018). "Gandingan mantap Nabila Huda dan Faizal Hussein dalam M4M4". XTRA. Dicapai pada 1 Jun 2019.
  8. ^ Syafil Syazwan Jefri (31 Januari 2020). "M4M4 tak tiru filem Mom! - Eyra Rahman". Harian Metro. Dicapai pada 1 Februari 2020.
  9. ^ "Filem M4M4 papar kisah tragis dendam ibu terhadap kematian anak". Kopi Planet. 9 Januari 2020. Dicapai pada 1 Februari 2020.
  10. ^ Dennis Chua (14 Februari 2020). "#Showbiz: Heart-wrenching tale of revenge (Review)". New Straits Times. Dicapai pada 16 Februari 2020.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]