Mohamad Riza bin Mahamad Amran

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Empy
Empy ketika membuat persembahan bersama kumpulan lamanya, Teja
Latar belakang
Nama lahirMohamad Riza bin Mahamad Amran
Juga dikenali sebagai
Empy, MP Spring, MP Teja
Kelahiran (1967-06-27) 27 Jun 1967 (umur 56)
Ipoh, Perak Perak
Berasal dariMalaysia Malaysia
GenrePop Rock, Balada
PekerjaanPemuzik
InstrumenBass
Tahun aktif1990–kini
Syarikat rakaman
Rahim Othman Production (ROP)
BMG Music
Sony Music Malaysia
Pengkarya berkait
Kumpulan Spring
Kumpulan Teja
Laman sesawang
http://instagram.com/mpspring67

Mohamad Riza bin Mahamad Amran (lahir 27 Jun 1967) yang lebih dikenali sebagai Empy[1] atau MP Spring[2] merupakan pemain bass kumpulan Spring yang telah ditubuhkan pada tahun 1987.[3] Sebelum menganggotai Spring, beliau terlebih dahulu bersama Kumpulan Teja yang popular dengan lagu Kau Yang Tak Mengerti pada tahun 1991.

Kehidupan Awal[sunting | sunting sumber]

Empy telah dilahirkan pada (1967-06-27) 27 Jun 1967 (umur 56) di Ipoh, Perak. Beliau telah memulakan kerjaya beliau sebagai pemuzik di kampung halamannya sebelum menyertai Kumpulan Deserter (kini dikenali sebagai Kumpulan Teja) sebagai pemain bass.

1986-1991 : Karier Bersama Kumpulan Teja[sunting | sunting sumber]

Bermula di Ipoh, Empy bersama anggota Deserter yang lain iaitu Lan (Dram), Syed (Gitar), Din (Gitar) dan Hatta (Vokal) menyertai beberapa pertandingan muzik dan pertunjukkan pentas sekitar negeri Perak. Deserter juga pernah ditaja oleh Syarikat Kingsway untuk mengadakan tour dan show di sekitar Perak pada tahun 1987 & 1988. Mereka kemudiannya menyertai pertandingan band Bintang Box Office '87, namun mereka hanya berjaya sampai ke peringkat suku akhir. Walaupun tersingkir daripada pertandingan tersebut, beliau dan rakan-rakannya bernasib baik kerana mereka telah dilamar oleh Rahim Othman, bekas anggota Kumpulan Carefree yang berperanan sebagai pemain seruling (flute). Rahim Othman juga adalah seorang komposer yang banyak mencipta lagu-lagu popular dalam industri muzik tanah air.

Mereka sekali lagi menyertai pertandingan Malaysia Battle Of Rock anjuran Mutiara Entertainment & Dewi Suhana Studio pada tahun 1988. Menyampaikan 1 lagu ciptaan sendiri dan sebuah lagu cover dari sebuah kumpulan rock luar negara, kali ini mereka berjaya menduduki tangga kedua (Naib Johan).

Setahun kemudian, nama Deserter akhirnya ditukar kepada nama baru iaitu Teja kerana ingin bercirikan kemelayuan dan kenegaraan serta lebih bercirikan tempatan. Mereka mula menandatangani kontrak rakaman bersama Rahim Othman Production (ROP) pada tahun 1989 di mana syarikat tersebut pernah menaungi Kumpulan Gersang. Di bawah naungan ROP, mereka telah merekamkan album pertama yang berjudul TEJA yang kemudiannya dipasarkan pada tahun 1990. Dalam album ini, hanya Empy, Syed dan Lan merupakan anggota asal manakala dua anggota baharu Teja ialah Rashid (vokal) dan Zul (gitar), menggantikan Hatta & Din yang meninggalkan kumpulan tersebut. Album ini diterbitkan sepenuhnya oleh Rahim Othman dengan dibantu oleh anak saudaranya iaitu Kid & Din serta anggota Search yang lain. Album tersebut diedarkan oleh syarikat rakaman BMG Music dengan menampilkan lagu Kau Yang Tak Mengerti ciptaan Rahim Othman yang berjaya menjadi hit sekaligus mempopularkan nama Kumpulan Teja. Album ini juga memuatkan lagu yang lain, antaranya Kenangan Semusim Cinta, Belayar Dalam Perut Paus, Jelingan Manja serta Anak Bumi.

Berbekalkan kejayaan album pertama, mereka telah menghasilkan album kedua yang diberi judul Laungan Suci. Album ini dikeluarkan pada tahun 1992 dan kali ini album mereka diterbitkan oleh pemain gitar Kumpulan Headwind iaitu Zulkif, tetapi masih diedarkan oleh BMG Music. Seperti dalam album pertama, Teja sekali lagi mengalami perubahan anggota apabila Zul & Lan keluar dan digantikan oleh Din & Dino di mana Din merupakan pemain gitar asal Teja dan Dino merupakan bekas pemain dram Kumpulan Saga. Antara lagu popular di dalam album ini adalah Laungan Suci ciptaan Zulkif & Kenangan Di Taman Cinta ciptaan Saari Amri, seorang komposer yang sedang meningkat popular pada waktu itu. Album tersebut turut menampilkan lagu-lagu lain seperti Salam Sayangku, Titian Usia dan Aku dan Dia. Bukan itu sahaja, nama-nama besar dalam industri muzik tanah air juga turut berkolaborasi dalam menjayakan album ini, antaranya Ito Blues Gang, Fairuz & Dilla Hussein, Dr Wan Zawawi Ibrahim, Ramli Sarip serta ramai lagi.

Malangnya selepas album Laungan Suci dipasarkan, anggota Kumpulan Teja akhirnya mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing seterusnya hilang dalam industri muzik tanah air.

1992 : Kemuncak Karier Bersama Kumpulan Spring[sunting | sunting sumber]

Setelah anggota kumpulan Teja membawa haluan masing-masing, Empy telah diperkenalkan dengan Kumpulan Spring yang ketika itu tinggal hanya empat orang anggota setelah Yunus (bass) menarik diri dari kumpulan tersebut. Menyedari Empy juga seorang pemain bass, Spring meminta beliau untuk beraksi pada malam Anugerah Juara Lagu 1993 di posisi tersebut untuk lagu Sampai Hati.

Bermula pada tahun 1995 menerusi album kompilasi Spring iaitu Pujaan Gemilang, Empy secara rasminya menandatangani kontrak baharu bersama Sony Music Malaysia sekaligus menjadi pemain bass Spring yang baharu. Bersama Ameng, Zahar, Iskandar dan Acong, Empy dapat menikmati puncak populariti apabila kesemua album studio yang dirakamkan oleh Spring tetap mendapat sambutan yang hangat sekaligus menjadikan mereka sebuah kumpulan rock yang terkenal, sebaris dengan kumpulan rock yang lain pada waktu itu.

Malah, kumpulan ini masih utuh pada penghujung 90-an dengan lagu-lagu hits seperti Kita Ditakdirkan Jatuh Cinta, Kerana Budi Ku Jatuh Hati dan Pesanan Buat Kekasih sedangkan kumpulan-kumpulan rock lain tidak lagi mampu meraih jualan yang memberangsangkan. Namun selepas album terakhir Spring iaitu Hati Mahu Baik dikeluarkan pada tahun 2001, kesemua anggota Spring termasuk Empy membawa haluan masing-masing ekoran hal-hal peribadi dan kedudukan ekonomi yang tidak menentu pada ketika itu.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ MOHAMAD RIZA BIN MAHAMAD AMRAN
  2. ^ Penyatuan Spring 9 Mac ini
  3. ^ "Spring....10 tahun penuh cabaran". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-04-15. Dicapai pada 2018-04-15.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

  1. MP Spring
  2. Kumpulan ini berjaya menjual lebih 500,000 unit secara keseluruhan dan menjadi salah satu dari artis Malaysia dengan jualan album terbanyak dalam sejarah. Diarkibkan 2018-04-15 di Wayback Machine