Perang Saudara Pahang
| Perang Saudara Pahang | |||||||||
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Sultan Ahmad al-Muadzam Shah dan pegawai peribadinya. Sekitar 1897. | |||||||||
| |||||||||
| Pihak yang terlibat | |||||||||
|
| |||||||||
| Komandan dan pemimpin | |||||||||
|
Wan Ahmad Baginda Omar Raja Mongkut |
Tun Mutahir Temenggong Tun Daeng Ibrahim Abu Bakar William Orfeur Cavenagh | ||||||||
Perang Saudara Pahang (Jawi: ڤرڠ ساودارا ڤهڠ), juga dikenali sebagai Perang Bendahara ialah perang saudara dari 1857 hingga 1863, antara pasukan yang setia kepada pemerintah sedia ada iaitu Raja Bendahara Tun Mutahir, melawan pasukan yang memaksa setia kepada kekandanya, Wan Ahmad, ketika krisis penggantian takhta Pahang.[1][2]
Apabila Empayar Johor hilang kuasa pada awal abad kesembilan belas, Bendahara ke-22 empayar tersebut, Tun Ali mengisytiharkan autonominya dan telah mengambil alih di Pahang, sama seperti Temenggung di negeri Johor.[3] Keamanan dan kemakmuran Pahang di bawah pemerintahannya bertahan sehingga tahun 1857. Selepas kemangkatan Tun Ali, putera sulungnya Tun Mutahir mewarisi takhta pemerintahan tersebut. Namun, baginda tidak mengikut kehendak ayahandanya untuk memberi pendapatan cukai Kuantan dan Endau kepada kekandanya, iaitu Wan Ahmad. Wan Ahmad berasa marah. Baginda bersama-sama dengan tenteranya lalu berpindah ke Pulau Tekong untuk merancang serangannya pada tahun 1857.[4][5][6]
Tun Mutahir menerima sokongan Temenggong Tun Daeng Ibrahim dan putera baginda, Abu Bakar. Disebabkan hubungan rapat mereka dengan komuniti perniagaan Singapura, mereka yakin bahawa kepentingan komersial British terletak pada Tun Mutahir. Wan Ahmad meraih sokongan Sultan Ali di Muar, yang melihat peluang untuk membalas dendam terhadap Temenggung Johor. Kerajaan Siam Rattanakosin menyebelahi Wan Ahmad, kerana mereka melihat krisis itu sebagai peluang untuk menjalankan kawalan yang lebih besar ke atas negeri-negeri pesisir sungai di pantai timur Semenanjung Melayu lantas melebarkan pengaruh mereka ke arah selatan sehingga ke Pahang. Sultan Omar dari Terengganu juga menyokong Wan Ahmad. Baginda melihat krisis tersebut sebagai alat untuk menangkis kebangkitan Temenggong.[7][8] Daerah Kemaman di Terengganu merupakan pangkalan utama untuk banyak kempen yang dijalankan oleh Wan Ahmad semasa perang.[9]
Permusuhan bermula pada November 1857, ketika pasukan Wan Ahmad melepaskan tembakan ke daerah Pekan dan Ganchong, namun gagal mencapai kemenangan yang signifikan.[10] Dalam kempen kedua yang dijalankan pada Mac 1861, pasukan penyerang berjaya memperkuat kedudukan mereka di Endau, selepas mengatasi Kuala Pahang dan Kuantan. Mereka juga membuat serangan besar ke pedalaman, menduduki banyak daerah di hulu Sungai Pahang. Walau bagaimanapun, pada November, kemaraan mereka sekali lagi disekat oleh pasukan Bendahara. Wan Ahmad dan orang-orangnya melarikan diri ke Terengganu demi mengumpul kuasa-kuasa untuk serangan lain.[11]
Pada peringkat awal perang, Mejar Jeneral William Orfeur Cavenagh, Gabenor British di Negeri-negeri Selat, menawarkan untuk menjadi orang tengah tetapi ditolak oleh kedua-dua belah pihak. Wan Ahmad merasakan Cavenagh berat sebelah kerana memihak kepada kekanda baginda akibat pengaruh daripada pedagang di kalangan para penyokong Temenggung dan Singapura. Tun Mutahir menolak usaha rundingan itu kerana dia telah memenangi perang.[12]
Pada tahun 1862, Wan Ahmad melancarkan serangan besar-besaran dari Terengganu, ketika melintasi sempadan dari Kemaman ke Ulu Tembeling. Dengan sokongan lebih ramai penghulu-penghulu di negeri Pahang, beliau berjaya mengatasi kedudukan Bendahara di Temerloh, Batu Gajah dan Chenor. Baginda kemudian menyerang ibu negeri Pahang iaitu Pekan, dan menang dengan mudah. Tun Mutahir berundur ke Temai dan pada Mei 1863, dia melarikan diri ke Kuala Sedili. Di sana, beliau meninggal bersama putera baginda, Wan Koris.[13]
Enam tahun perang saudara telah memusnahkan banyak kemewahan dan kemakmuran yang telah dinikmati oleh Pahang pada zaman kegemilangan pemerintahan Bendahara Tun Ali. Seperti yang dinyatakan oleh Sir Hugh Clifford, pada zaman dahulu, sebelum perang, Pahang jauh lebih ramai penduduknya daripada pada zaman moden, namun pertempuran yang bertali-arus menyebabkan ribuan orang Melayu Pahang meninggalkan negeri mereka. Lembah Sungai Lebir di Kelantan dan bahagian hulu beberapa sungai berhampiran sempadan Perak dan Selangor akhirnya dihuni oleh orang Melayu Pahang. Mereka merupakan keturunan orang-orang buruan dalam perang tersebut.[14] Perang itu juga mengakibatkan Pahang kehilangan beberapa wilayah. Contohnya, kawasan di selatan Sungai Endau dan pulau-pulau selatan di pesisir Endau termasuk Aur dan Tinggi telah diserahkan oleh Tun Mutahir kepada Johor sebagai timbal balik kepada bantuan ketenteraan mereka.[15]
Nota
[sunting | sunting sumber]- ↑ Ahmad Sarji Abdul Hamid 2011, halaman 83
- ↑ Linehan 1973, halaman 66
- ↑ Ahmad Sarji Abdul Hamid 2011, halaman 83
- ↑ Leong 2012, halaman 11
- ↑ Linehan 1973, halaman 66
- ↑ Ahmad Sarji Abdul Hamid 2011, halaman 83
- ↑ Linehan 1973
- ↑ Baker 2010, halaman 120
- ↑ Linehan 1973
- ↑ Linehan 1973
- ↑ Linehan 1973
- ↑ Baker 2010, halaman 120
- ↑ Linehan 1973, halaman 83–89
- ↑ Linehan 1973, halaman 89
- ↑ Linehan 1973
Bibliografi
[sunting | sunting sumber]- Ahmad Sarji Abdul Hamid (2011), The Encyclopedia of Malaysia, jil. 16 - The Rulers of Malaysia, Editions Didier Millet, ISBN 978-981-3018-54-9
- Baker, Jim (2010), Crossroads: A Popular History of Malaysia and Singapore, Marshall Cavendish, ISBN 978-9812-615-22-0
- Leong, Sze Lee (2012), A Retrospect on the Dust-Laden History: The Past and Present of Tekong Island in Singapore, World Scientific Publishing Company, ISBN 978-9814-365-96-3
- Linehan, William (1973), History of Pahang, Malaysian Branch Of The Royal Asiatic Society, Kuala Lumpur, ISBN 978-0710-101-37-2