Persatuan Penulis Nasional Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Persatuan Penulis Nasional Malaysia
PENA.jpg
Penubuhan
AsalMalaysia
Identiti
Kawasan berkhidmatMalaysia
FokusTulis
Laman sesawangpenaklmalaysia.blogspot.com
sunting
Lihat pendokumenan templat ini

Persatuan Penulis Nasional Malaysia atau PENA ialah sebuah organisasi yang ditubuhkan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada 12 Februari, 1961. Pada awalnya, ia hanya dikenali sebagai Persatuan Penulis Nasional sahaja, tetapi selepas terbentuknya negara Malaysia, nama rasminya menjadi Persatuan Penulis Nasional Malaysia.

Rumah PENA yang terletak di Jalan Lapangan Terbang Lama, Kuala Lumpur merupakan pusat aktiviti Persatuan Penulis Nasional Malaysia telah mendapat peruntukan RM1 juta dari kerajaan pada 2011 bagi membaiki semula bangunan.[1]

Latar Belakang[sunting | sunting sumber]

Penubuhan PENA pada awal 60-an dapat difahami dengan meninjau peristiwa politik sebelumnya dan kegiatan tokoh-tokoh penulis yang menubuhkannya. Pada zaman sebelum merdeka, ramai penulis dari semenanjung tanah Melayu berhijrah ke Singapura untuk bekerja dengan penerbit-penerbit di pulau itu. Kamaluddin Muhammad (Keris Mas), Usman Awang (Tongkat Warrant), Abdul Wahab Muhammad (Awam II-Sarkam), Abu Yazid Abidin (Wijaya Mala) dan Mohd Asraf Abdul Wahab (Asraf) misalnya sangat cergas menulis dan juga bergiat dalam persatuan penulis, Angkatan Sasterawan 50 atau ringkasnya ASAS 50, yang ditubuhkan pada Ogos 1950.

Aktivis dalam ASAS 50 yang berslogankan "Sastera Untuk Masyarakat", telah menulis beberapa memorandum penting tentang bahasa, kesusasteraan dan pendidikan (termasuk cadangan menubuhkan badan seperti Balai Pustaka Indonesia) yang telah dibincangkan dalam kongres-kongres bahasa dan persuratan di Singapura, Johor Bahru dan Seremban. Ahli-ahli persatuan ini adalah kelompok yang bukan sahaja berkarya dengan sikap yang komited terhadap masyarakat tetapi menjadi pemikir budaya nasionalis yang jauh pandangannya terhadap kemerdekaan serta pembangunan bangsa. Menjelang merdeka (1957) ramai pengarang di Singapura berpindah ke Kuala Lumpur; ada yang bekerja di Utusan Melayu, di Dewan Bahasa dan Pustaka dan di penerbit-penerbit lain. Di ibu kota ini kebanyakan mereka (seperti Keris Mas, Usman Awang, Salleh Daud, A.Samad Said, Ahmad Boestamam, Asraf, Awam Al-Sarkam) duduk berkampung di Kawasan Melayu, Petaling Jaya. Petaling Jaya juga menjadi kampus bagi Universiti Malaya mulai 1959. Di kampung ini beberapa pensyarah dan mahasiswa sangat aktif mengkaji dan berbicara tentang bahasa, sastera dan pengajian Melayu. Mohd. Taib Osman, Ismail Hussein, Agus Salim, Syed Husin Ali, Kassim Ahmad dan kemudian Yusuf Hitam, Norzah, Hassan Ahmad dan Hassan Ibrahim adalah antara yang aktif dalam penulisan dan pergerakan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) pada zaman awal merdeka itu. Dengan demikian, seringlah berlaku pertemuan dan perbincangan antara penulis yang tinggal di Kawasan Melayu seperti Keris Mas, Usman Awang, Asraf dan A. Samad Ismail (yang berpindah ke Kuala Lumpur bagi menjadi pengarang berita harian) dengan para mahasiswa seperti Syed Husin dan Kassim Ahmad. Dalam kalangan mereka inilah tercetusnya idea untuk menubuhkan sebuah persatuan penulis yang sesuai dengan keadaan politik semasa bagi bergerak dalam negara baru yang merdeka.

Walaupun idea awal untuk mewujudkan persatuan penulis ini tercetus dalam kalangan penggerak ASAS 50, tetapi mereka menginsafi bahawa persekitaran ASAS 50, yang tumbuh pada zaman penjajahan di Singapura tidaklah sama dengan apa yang ada di Kuala Lumpur pada zaman kemerdekaan. ASAS 50 itu muncul pada masa awal kebangkitan membina bangsa yang merdeka. Jadi gagasan PENA itu dirancangkan berbeza daripada ASAS 50, iaitu mesti bertujuan kebangsaan - mementingkan perpaduan, keperibadian, serta bahasa dan sastera kebangsaan yang berasaskan bahasa Melayu. Dengan semangat kebangsaan itu maka sebuah kertas kerja tentang tujuan persatuan telah disediakan untuk diketengahkan dalam pertemuan 12 februari 1961 yang dirasmikan oleh Menteri Pelajaran, Abdul Rahman Talib, di Dewan Kuliah A, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Hasilnya, terbentuklah jawatankuasa kerja: Usman Awang (ketua I), Yunus Maris (ketua II), Syed Hussin Ali (setiausaha I), Yusof Hitam (setiausaha II), Zain Arif (bendahari) serta ahli-ahli jawatankuasa, Kassim Ahmad, Ali Haji Ahmad, Azah Aziz, Wan A. Hamid; pemeriksa kira-kira, Mustapha Kamil Yassin dan Aishah Ghani. Pendaftaran PENA kemudian disahkan oleh kerajaan pada 2 September 1962. Maka dengan itu bermulalah sejarah sebuah persatuan penulis yang sangat penting pada awal zaman merdeka dengan berhala tuju kepada menyatukan penulis-penulis tanah air dari semua peringkat dan segala aliran pendapat; dan berusaha seluas-luasnya dalam lapangan bahasa, kesusasteraan dan ilmu pengetahuan bersesuaian dengan kepentingan-kepentingan nasional dengan tidak terikat kepada dasar politik kepartian dan terkeluar daripada bidang undang-undang negara.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Dekad 60-an[sunting | sunting sumber]

Suatu hal yang cukup menarik daripada komposisi ahli-ahli jawatankuasa PENA pertama ini ialah nama-nama yang ada itu terdiri daripada orang yang pelbagai jenis kecenderungannya dan pendiriannya baik dari segi politik atau sosial. Usman Awang, Syed Husin Ali, Kassim Ahmad dan Wan A.Hamid misalnya cenderung ke arah pemikiran kiri atau sosialis, sedangkan Ali Haji Ahmad dan Aishah Ghani jelas sangat akrab atau cergas dalam politik UMNO. Selainnya terdiri daripada ilmuwan, ahli akademik, dan budayawan. Demikian juga pada tahun-tahun selanjutnya dalam dekad 60-an itu kepelbagaian tokoh dalam pimpinan PENA terus berlaku dengan melibatkan juga peribadi-peribadi yang pegangannya pada moral atau prinsip agama Islam seperti Keris Mas dan Abu Zaki Fadzil. Yang menemukan pelbagai jenis tokoh ini, baik pengamal sastera, ilmuwan atau aktivis persuratan adalah suatu cinta-cita perjuangan bersama. Iaitu, semangat kebangsaan yang kental, perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai wadah jati diri bangsa dan keadilan sosial-ekonomi bagi masyarakat yang sekian lama ditindas. Bahasa, persuratan dan kebudayaan menjadi suara serta saluran perjuangan cita-cita kebangsaan mereka.

Berlandaskan semangat serta iltizam baru, pelbagai ceramah, forum dan usaha memperjuangkan hak-hak kaum penulis telah dilakukan seperti soal hak milik penerbitan, hak cipta pengarang dan bayaran royalti serta honorarium. Draf perjanjian antara penulis dan penerbit telah diwujudkan untuk menjadi panduan kepada penulis yang selama ini terdedah kepada layanan sesuka hati penerbit sahaja. selain itu memoranda tentang penggalakan penulisan serta pengiktirafan terhadap kaum penulis juga telah dikemukakan sehingga pihak kerajaan mengadakan hadiah peraduan mengarang novel dengan hadiah yang cukup lumayan pada waktu itu. Iaitu sebanyak RM20,000 melalui "Peraduan Mengarang Novel 10 Tahun Merdeka". Bagi memperluas lagi komunikasi dan pengucapan sastera, PENA telah menerbitkan majalah Penulis pada Januari, April, Ogos dan Disember 1964 dengan harga setiap majalah hanya 75 sen. Majalah yang cukup menarik ini (diisi oleh pengarang-pengarang Melayu dan bukan Melayu) malangnya tidak berterusan dan percubaan seterusnya tidak juga bertahan lama.

Pada dekad 60-an ini negara masih lagi dalam proses awal yang perit untuk menyelesaikan saki baki pengaruh penjajah dan prasangka serta perasaan perkauman yang masih lagi tebal. Isu bahasa, perkauman, kebudayaan dan kemiskinan masih hebat dibahas sehingga kaum penulis yang selalu komited terhadap masyarakatnya sering menjadi kritis terhadap pemimpin. Dalam keadaan politik nasional yang masih belum kukuh dasar-dasarnya dan dihantui pula oleh perkauman serta kemiskinan, PENA secara tidak langsung melalui aktivis-aktivisnya melahirkan puisi-puisi protes yang keras melalui antologi Keranda 152 dan Telok Gong pada tahun 1967. Antara penulis dan pemimpin kerajaan banyak perbezaan pandangan terutama dalam isu bahasa sehingga terasa ada ketegangan perhubungan serta perbalahan ucapan antara kedua belah pihak. Berpunca daripada ini, maka pada Ogos 1967, PENA mengambil inisiatif menggubal "Manifesto Penulis" sebagai menyatakan kebebasan berucap untuk kaum penulis bagi kepentingan masyarakat dan keadilan manusia. Manifesto ini seolah-olah mengisytiharkan peranan PENA untuk menjadi jurubicara bagi pihak penulis yang berasa hak dan kebebasannya dipersoalkan.

Dekad 70-an[sunting | sunting sumber]

Konflik kepentingan dan perbedaan-perbedaan yang besar antara ras dan kelompok pada awal merdeka akhirnya bertembung dalam krisis perkauman yang berakhir dengan tragedi berdarah pada 13 Mei 1969. Krisis itu membuka mata banyak pihak tentang perlunya perpaduan dan asas kebangsaan yang jelas demi kestabilan negara. Selepas peristiwa malang ini, maka antara intelektual dengan pemimpin politik wujud kebijaksaan untuk saling mengisi. Tokoh-tokoh penulis dalam PENA baik secara individu atau kelompok memberikan fikiran dan gagasan penting kepada pihak kerajaan dalam rancangan kebudayaan seperti penggalakan dan pengiktirafan sastera serta kebudayaan, Dasar Kebudayaan kebangsaan dan penubuhan Universiti Kebangsaan sehingga wujud perhubungan simbolik antara penulis dengan pemimpin.

Sesuai dengan sikap progresif PENA yang tidak kedaerahan, tidak berpuak-puak dan perkauman, timbul fikiran untuk memperkasakan peranan penulis. Bagi menjadikan gerakan penulis bergerak lebih bersepadu serta berkesan bukan sahaja di ibu kota tetapi di peringkat nasional. PENA telah mengambil inisiatif membincangkan gagasan kerjasama antara badan penulis negeri pada 20 September 1969. Hasilnya satu kenyataan satu kenyataan yang ditandatangani bersama oleh Mohd Yusof Harun, Mohd Taib Osman, Usman Awang, Abu Bakar Hamid dan Baharuddin Zainal telah dibuat untuk menggabungkan persatuan penulis tanah air. Pada 23 Oktober 1970, persidangan yang dihadiri oleh 13 persatuan penulis telah bersetuju agar GAPENA (Gabungan Persatuan-persatuan Penulis Nasional) ditubuhkan dan beberapa tokoh PENA seperti Ismail Hussein, Keris Mas, Ahmad Sebi Bakar, Salleh Daud dan Kemala menjadi ahli-ahli jawatankuasa yang pertama.

Dekad 70-an ini merupakan dekad yang sangat penting dalam perkembangan politik kenegaraan Malaysia di bawah Perdana Menteri Tun Abdul Razak. Pada zaman inilah dasar-dasar serta langkah-langkah penting diwujudkan dan dilaksanakan seperti Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Ekonomi Baru, penyeragaman ejaan Malaysia-Indonesia, penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar mulai di sekolah rendah dan pengiktirafan terhadap kerja kreatif kesusasteraan. Oleh sebab ahli-ahli PENA itu terdiri daripada sasterawan penting, ilmuwan dan malah birokrat kerajaan, maka tidaklah susah bagi PENA untuk mengumpulkan idea bernas bagi diajukan ke atas.

Dekad 80-an[sunting | sunting sumber]

Merupakan dekad pembangunan setelah beberapa dasar ekonomi dan budaya telah diwujudkan bagi membanteras kemiskinan, menyusun semula ekonomi serta masyarakat dan meletakkan asas bagi membina perpaduan serta jati diri bangsa. Walau bagaimanapun, kemelesetan ekonomi pada tahun 1985 dan perpecahan dalam UMNO kemudiannya memberikan kesannya juga kepada kaum penulis. PENA turut bergegar juga apabila berlaku puak yang memihak kepada kelompok politik bertentangan sesama sendiri di luar. Oleh sebab tradisi dan perjuangan PENA itu tidak memihak kepada mana-mana politik kepartian dan selalu bertoleransi terhadap aneka warna kecenderungan fahaman ahli-ahli yang pelbagai. Maka, perbezaan yang ada antara pemimpin atau ahlinya tidaklah menjejaskan kelangsuangan hayat PENA. Di sinilah letaknya kekautan dalam integriti PENA yang sejak mula sangat menghormati kebebasan mencipta serta bersuara dalam kalangan penulis. kebebasan individu inilah yang dihormati PENA untuk mengelakkan organisasi daripada berpecah atau menjadi alat propaganda mana-mana pihak.

Perhubungan antara PENA dengan pihak kerajaan lebih produktif terutama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka yang menjadi pusat pembinaan dan penerbitan bahasa dan sastera. Hampir setiap jawatankuasa PENA diduduki oleh pegawai Dewan Bahasa kerana PENA dengan DBP boleh dikatakan tidak pernah terputus perhubungannya. Malah pada peringkat awal kewujudan PENA, pejabat urus setia PENA itu ditempatkan di Dewan Bahasa. Ada isu bahasa, sastera dan kebudayaan yang tidak mungkin diungkapkan oleh DBP secara rasmi, dapat dilakukan oleh PENA bagi kepentingan kebangsaan bersama. Dewan Bahasa juga antara institusi yang banyak membantu PENA dari segi kewangan bagi program-program kegiatannya sejak zaman awalnya lagi.

Akhir abad ke-20 dan awal abad ke-21[sunting | sunting sumber]

Sepuluh tahun terakhir abad ke-20 ialah era yang khas bagi persatuan penulis nasional ini. pertama, mulai tahun 1992 Dato' Ahmad Sebi Bakar yang sudah lama tidak aktif (setelah meninggalkan jawatan I (GAPENA) tampil memenangi pemilihan jawatan Ketua I PENA. sejak tarikh itu, beliau tidak putus-putus memimpin PENA sampailah pada 2004. Mulai Mesyuarat ke-32 yang dipimpin oleh Jawatankuasa Kerja 1994-1995, jawatan Ketua I dan II berubah nama menjadi Presiden dan Timbalan Presiden.

Sejumlah kegiatan menarik berlaku di bawah pentadbiran baru PENA pada tahun-tahun 90-an. Pada tahun 1994 telah dianjurkan "Persidangan Penulis Se-Asia 1994" secara besar-besaran dengan membawa tema pokok "Peranan Penulis Dalam Peradaban Asia Masa Depan". Nama-nama besar dari golongan cendekiawan, pengarang dan politik Asia diundang untuk berucap dalam persidangan ini. Wacana besar ini memperlihatkan sikap terbuka PENA untuk berdialog dengan dunia universal meskipun dasar perjuangan kebangsaannya berlandaskan bahasa dan kebudayaan Melayu.

Salah satu usaha penting PENA dari segi pendidikan untuk membina keerampilan dan pengetahuan dalam lapangan penulisan ialah menubuhkan Akademi Penulis, sebuah pusat latihan sumber manusia. Akademi ini telah dilancarkan pada 3 Julai 1993, dan setelah beroperasi beberapa tahun ia terpaksa diberhentikan disebabkan kesulitan pengurusannya.

Sebagai sebuah persatuan yang tidak mempunyai sumber kewangan tetap dan banyak bergantung pada derma luar, PENA selalu menumpang di sana sini bagi urusan pentadbirannya. Hanya mulai tahun 1997 PENA diberikan sebuah rumah kerajaan yang cukup besar dan menarik kawasannya di Jalan Dewan Bahasa. Setelah diperbaiki dengan ihsan Presidennya, maka mulailah PENA beroperasi secara tetap di situ. Banyak sekali kegiatan penulisan, ceramah dan malahan latihan-latihan teater serta seni tampak berlangsung di "rumah PENA". Maka jadilah rumah ini tempat bakat-bakat baru dan lama berdialog, berkarya, bereksperimen dan hidup dalam kesenian yang sebenarnya. Yang penting juga ialah berlakunya interaksi antara pencipta-pencipta berlainan lapangan seperti antara sasterawan dengan pengarca dan pelukis. Kiranya inilah pertembungan produktif yang berlangsung di tengah-tengah kesibukan metropolitan, dan bukannya lebih banyak seminar, persidangan dan wacana yang rasmi sahaja.

Suatu program "Malam Baca Puisi PENA' telah berlangsung setiap malam Jumaat pertama setiap bulan sejak tahun 1998. Acara ini diadakan di ruang terbuka. di halaman PENA secara santai dan bebas bagi menggalakkan penyertaan terutama daripada generasi muda. "Malam Baca Puisi PENA" ini telah menjadi satu tradisi dan mulai diikuti oleh kelompok-kelompok lain di Kuala Lumpur dan juga di negeri-negeri.

Setiap bulan juga diadakan dialog dan perbincangan buku dalam kalangan penulis muda pada hari sabtu sebelah pagi dan petang. Ini adalah suatu acara wacana yang penting supaya penulis-penulis yang sedang naik dapat menilai dan mengkaji mutu fikiran serta kreativiti mereka. Bukan sahaja kritikan sastera yang menjadi pokok perbahasan, tetapi isu-isu kreatif serta intelektual juga menjadi topik dialog dalam kalangan generasi muda ini.

Pucuk pimpinan PENA pada zaman 90-an ini memberikan banyak perhatian untuk meningkatkan kerja menghasilkan karya kerana akhirnya yang akan menjadi warisan bangsa ialah karya bermutu itu sendiri. Oleh itu, PENA menaruh banyak harapan kepada potensi yang ada pada generasi muda yang sangat cergas sekarang. Sehingga dalam jawatankuasa kerja PENA pun diperhatikan supaya adanya penglibatan pengamal-pengamal sastera diharap akan mengambil alih pucuk pimpinan PENA pada masa depan. Inilah visi jauh yang ada pada Pena dekad ini, iaitu berkarya dan membina bakat-bakat pemimpin kesenian.

Dalam masalah kebudayaan dan yang menyangkut kehidupan seniman sekaliannya, PENA selalu mengambil langkah-langkah segera bagi memperjuangkan kepentingan masyarakat pencipta. Sejak zaman awalnya, fikiran dan cadangan-cadangan yang khas sering dicatat dalam bentuk memorandum bagi dikaji berkuasa supaya dapat dijadikan dasar dan dilaksanakan. Selain daripada memoranda tentang hadiah sastera, PENA juga sejak awal usianya mengeluarkan memoranda tentang pelaksanaan Bahasa Kebangsaan dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan; tentang pengajian Melayu di Universiti Malaya dan tentang percukaian secara royalti. Dari tahun 1992 hingga tahun 2004 sahaja sekurang-kurangnya enam memoranda penting telah dikeluarkan oleh PENA:

  • Memorandum Barisan Bertindak Bosnia Mengenai Konflik Bosnia-Herzegovina (1993).
  • Memorandum Belanjawan 1995 dan Cadangan-cadangan Pena (1994).
  • Ke Arah Memupuk Masyarakat Beretika dan Bermoral Tinggi Diserapi dengan Budaya Penyayang (1996).
  • Memorandum 2000, Cadangan Mewujudkan Dana Terjemahan (2000).
  • Pendirian PENA tentang Penggunaan Bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains (2000).
  • Pandangan dan Cadangan Tentang Kesenian (2004).

Beberapa cadangan PENA telah diperhatikan oleh kerajaan dilaksanakan seperti dalam bidang insentif cukai, kemudahan kredit untuk penerbitan, galakan membaca dan juga kegiatan kebudayaan dalam kalangan seniman tempatan. Dalam soal memperjuangkan kedudukan bahasa kebangsaan, PENA telah mengeluarkan kenyataan tegas pada 12 Jun 2002, menentang penggunaan bahasa inggeris dalam mata pelajaran sains dan matematik apabila kerajaan (ditambah 2/11/2004)(Perdana Menteri pada masa itu, digugurkan 2/11/2004) yang amat berhormat Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad, mengumumkan keputusan kerajaan dianggap oleh PENA bertentangan dengan semangat Dasar Pendidikan Kebangsaan dan akan meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu moden pada masa akan datang. (Ini adalah suatu pendirian yang sukar dibuat oleh PENA kerana ia dianggap menentang arus oleh banyak pihak) digugurkan 2/11/2004.

Di bawah pimpinan Perdana Menteri baru, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan apabila berlaku perubahan kabinet yang melantik Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim, sebagai Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, PENA sekali lagi mengemukanan sejumlah cadangan bagi menyemarakkan kegiatan kesenian dan warisan di peringkat nasional dan antarabangsa. Dalam suatu pertemuan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, pada 14 Mei 2004, Timbalan Presiden PENA telah menyampaikan Memorandum,"Pandangan dan Cadangan Kesenian".

Pada dekad pertama abad ke-21 ini, PENA masih mengekalkan pucuk pimpinannya sejak 12 tahun yang lalu di bawah gandingan Presiden (Dato' Ahmad Sebi Bakar) dan Timbalan Presiden (Dato' Baharuddin Zainal), satu rekod kepimpinan paling lama dalam sejarah PENA. Dalam waktu yang sama kegiatan-kegiatan bidang seni persembahan dan seni tampak, bergiat cergas di bawah sayap PENA di samping program-program tetap setiap bulan di Rumah PENA, iaitu "Dialog Pinggir PENA" dan "Malam Baca Puisi Pena".

Pada tahun 2008 apabila Dato' Ahmad Sebi Bakar mengundur diri, pucuk pimpinan PENA diambil alih oleh Dato' Baharuddin Zainal. beliau meneruskan perjuangan PENA sambil membimbing generasi muda untuk memimpin PENA. Pada penghujung dekad 2010 PENA benar-benar menyerahkan nasibnya kepada generasi muda yang telah menerima bimbingan tokoh veteran yang berpengalaman.

PENA yang diterajui oleh Mohamad saleeh Rahamad sejak 3 Oktober 2010 kini cuba mengisi agenda perjuangan PENA. Dengan barisan orang muda, PENA diharapkan oleh masyarakat penulis supaya lebih agresif mengatur strategi dan bertindak secara bijaksana dalam menangani cabaran yang semakin kompleks.

Masa depan PENA banyak bergantungpada sejauh mana ia dapat meneruskan sikap progresif yang dirintis oleh tokoh-tokoh awalnya, iaitu sambil memperjuangkan asas-asas kebangsaan melalui bahasa Melayu ia juga menjadi persatuan yang terbuka kepada dialog universal, pelbagai kaum, generasi, ilmu pengetahuan dan nilai-nilai yang unggul.

Struktur organisasi PENA[sunting | sunting sumber]

Ketua Satu PENA[sunting | sunting sumber]

Usman Awang 1961-1965

Hassan Ahmad 1965-1967

A. Bakar Hamid 1967-1969

Hassan Ibrahim 1969-1972

Mohd Noor Azam 1972-1977

Adam A.Kadir 1977-1982

Ahmad Kamal Abdullah 1982-1985

Mohd Noor Azam 1985-1986

Ahmad Kamal Abdullah 1986-1987

Anwar Ridhwan 1987-1988

Yahya Ismail 1988-1990

Maarof saad 1990-1992

Presiden PENA[sunting | sunting sumber]

Ahmad Sebi Bakar 1992-2008

Baharuddin Zainal 2008-2010

Mohamad Saleeh Rahamad 2010-sehingga kini

Setiausaha Satu PENA[sunting | sunting sumber]

Syed Husin Ali 1961-1964

A. Bakar Hamid 1964-1965

Shamsuddin Kassim 1965-1966

Yahaya Ismail 1966-1967

Baharuddin Zainal 1967-1969

Salleh Daud 1969-1976

Shamsuddin Jaafar 1976-1977

Ainon Muhammad 1977-1978

Hamdan Yahya 1978-1979

Hamzah Hamdani 1979-1982

Zainal Abidin Bakar 1982-1986

Idros Shamsudin 1986-1987

A. Rahim Abdullah 1987-1988

A. Ghani Abdullah 1988-1999

Setiausaha Agung[sunting | sunting sumber]

Wan Omar Ahamed 1999-2002

Johan Jaaffar 2002-2006

SM Zakir Syed Othman 2006-2016

Saifullizan Yahaya 2016 sehingga kini

Ahli Jawatankuasa PENA 2010-2012[sunting | sunting sumber]

Pengerusi Tetap

Abdul Azim Mohd Aras

Timabalan Pengerusi Tetap

Mohd Ghozali Abd Rashid (Malim Ghozali Pk)

Presiden

Dr Mohamad Saleeh Rahamad

Timbalan Presiden

Amiruddin Mohd Ali Hanafiah

Setiausaha Agung

Syed Mohd Zakir Syed Othman

Timbalan Setiausaha Agung

Shamsudin Athman

Bendahari

Rahimidin Zahari

Ahli Jawatankuasa

Ahmad Razali Yusof

Muhammad Lutfi Ishak

Dr. Mohd Hanafi Ibrahim

Ariff Mohamad

Ibrahim Ghaffar

Raja Rajeswari Seetha Raman

Rasanubari Asmaramah

Azalan Hussain (Sinaganaga)

Pemeriksa Kira-Kira

Azran Abdul Rahman

Wan Zaida Hj Wan Yusoff

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]