Richard Feynman

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Richard P. Feynman
Gambar foto lencana Feynman daripada Makmal Negara Los Alamos.
Gambar foto lencana Feynman daripada Makmal Negara Los Alamos.
Kelahiran 11 Mei 1918
Queens, New York
Kematian 15 Februari 1988
Los Angeles, California
Kediaman Flag of the United States.svg Amerika Syarikat
Kerakyatan Flag of the United States.svg Amerika Syarikat
Bidang Fizik
Institusi Projek Manhattan
Universiti Cornell
Institut Teknologi California
Alma mater Institut Teknologi Massachusetts
Universiti Princeton
Penasihat akademik John Archibald Wheeler
Pelajar terkenal Al Hibbs
George Zweig
Dikenali kerana Elektrodinamik kuantum
Teori zarah
Gambar rajah Feynman
Hadiah terkenal Nobel prize medal.svg Hadiah Nobel Fizik (1965)
Pingat Oersted (1972)
Agama tiada
Richard Feynman (tengah) dengan Robert Oppenheimer (kanan) bersantai di majlis sosial Los Alamos semasa Projek Manhattan.

Richard Phillips Feynman (11 Mei 191815 Februari 1988) (nama akhir disebut sebagai FINE-man) adalah antara ahli fizik Amerika Syarikat yang termasyhur dalam abad ke-20. Beliau berjaya mengembangkan teori kuantum elektrodinamik, teori kuark, dan fizik superbendalir helium cecair yang adisejuk. Feynman membantu dalam pembinaan bom atom, dan kemudian menjadi seorang anggota suruhanjaya yang menyiasat Bencana Bolak-balik Angkasa Lepas Challenger. Kerana penyelidikannya dalam bidang kuantum elektrodinamik, Feynman dianugerahkan Hadiah Nobel Fizik pada tahun 1965, bersama dengan Julian Schwinger dan Shin-Ichiro Tomonaga. Walaupun beliau hanya mengarang 37 buah kertas penyelidikan pada sepanjang hidupnya, ramai orang merasakan penemuanannya di Caltech tentang superbendalir dan peramalan kuark melayakkannya untuk menerima Hadiah Nobel.

Selain itu, Feynman juga antara peneroka terawal komputer kuantum dan ahli sains pertama yang membincangkan kemungkinan teknologi nano secara terbuka. Beliau juga seorang yang berpengaruh dalam mempopularkan fizik di kalangan orang ramai, dengan syarahannya, Terdapat Banyak Ruang di Bawah (1959), dan himpunan syarahannya, Syarahan Feynman mengenai Fizik,  menjadi buku-buku laris di banyak negara di seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat dan Rusia. Feynman juga dikenali untuk jenaka, minat dalam aktiviti bermain bongo, serta penterjemahan hieroglif kaum Maya.


Masa awal[sunting | sunting sumber]

Dilahir di New York kepada keluarga Yahudi, Feynman dipengaruhi oleh bapanya yang sering menggalakkannya untuk menyoal supaya mencabar fikiran ortodoks. Sebagai kanak-kanak, beliau gemar membaiki radio dan ketika berumur 15 tahun, telah menguasai kalkulus kamiran serta kalkulus pembezaan.

Pada tahun terakhirnya dalam Sekolah Menengah Far Rockaway, Feynman memenangi Kejuaraan Matematik Universiti New York. Beliau menerima ijazah Sarjana Mudanya daripada Institut Teknologi Massachussetts pada tahun 1939. Semasa di situ, beliau mengambil setiap kursus fizik yang ditawarkan, dan mula belajar fizik tahap graduan pada tahun kedua kursusnya. Beliau memohon untuk mengejarkan kursus kedoktorannya di Universiti Princeton, dan mendapat markah yang sempurna dalam peperiksaan kemasukan bagi fizik dan matematik. Albert Einstein, Wolfgang Pauli dan John von Neumann antara ahli sains yang menghadiri seminar pertamanya. Feynman menerima ijazah kedoktoran (PhD) daripada Princeton pada tahun 1942; tesisnya menggunakan prinsip tindakan pegun pada masalah mekanik kuantum, dan membuka jalan untuk pendekatan "kamiran lintasan" dan gambar rajah Feynman.

Semasa di Princeton, Feynman mengahwini isteri pertamanya, Arline (kadang kala dieja Arlene) Greenbaum. Walaupun Arline menghidap tuberkulosis, mereka berhati-hati supaya Feynman tidak dijangkiti.

Projek Manhattan[sunting | sunting sumber]

Kemudian pada tahun 1942, Feynman mula menyertai Projek Manhattan yang berazam untuk mencipta bom atom. Menurut Feynman, beliau bersetuju membantu supaya Nazi Jerman tidak dapat mencipta bom atom lebih dahulu; pada masa itu, Perang Dunia II masih berlangsung. Disebabkan oleh kerahsiaan Projek Manhattan, beliau terpaksa tinggal di sebuah kompleks di Los Alamos, dan hanya berjumpa dengan isterinya pada hari minggu. Arline meninggal dunia pada tahun 1945. Sebelum itu, bom atom pertama telah lulus ujian pertamanya. Menurut Feynman, hanya beliau yang melihat letupan bom atom pertama itu tanpa cermin mata yang amat gelap yang disediakan kerana beliau percaya bahawa cermin depan lorinya akan menapis sinaran ultraungu yang berbahaya.

Kebanyakan kerja Feynman di Los Alamos berkait dengan komputer dan pengiraan persamaan neutron. Beliau juga kerap dijumpai oleh Niels Bohr untuk perbincangan fizik. Feynman kemudian mendapat tahu akan alasannya: kebanyakan ahli fizik berasa terlalu kagum terhadap Bohr sehingga tidak dapat memperdebatkan fizik dengannya. Feynman tidak mempunyai sebarang kesekatlakuan ini dan mengemukakan sahaja apa-apa yang dianggapnya salah dalam fikiran Bohr. Feynman berkata bahawa beliau juga mempunyai rasa hormat kepada Bohr yang setanding dengan orang-orang lain tetapi apabila membincangkan fizik, beliau akan terlupa perkara-perkara yang lain.

Oleh sebab Projek Manhattan amat rahsia, Feynman tidak mempunyai banyak peluang untuk menyertai aktiviti-aktiviti rekreasi. Berasa bosan, beliau memuaskan sifat ingin tahunya dengan membelajari bagaimana menjolok-jolok lubang kunci untuk membuka kabinet dan laci meja yang digunakan untuk menyimpan kertas-kertas. Feynman juga suka mempermainkan rakan-rakan sekerjanya. Dalam suatu kejadian, beliau menemui nombor kunci gabungan untuk sebuah kabinet fail selepas mencuba nombor-nombor yang mungkin akan dipergunakan oleh seorang ahli fizik (nombor itu terbukti merupakan nombor 27-18-28, sempena nombor asas logaritma asli, e=2.71828...), dan mendapati bahawa ketiga-tiga kabinet yang digunakan oleh rakan sekerjanya itu untuk menyimpan nota-nota penyelidikan bom atom kesemuanya mempunyai nombor gabungan yang sama.

Penyelidikan dan pengajaran[sunting | sunting sumber]

Selepas Projek Manhattan tamat, Feynman mengajar di Universiti Cornell dan kemudian di Institut Teknologi California (Caltech). Menurut beliau, beliau menolak tawaran kerja di Princeton kerana beliau tidak dapat mengajar dalam pekerjaan tersebut. Feynman mendapati bahawa pelajar-pelajarnya merupakan sebuah inspirasi, dan juga berasa bahawa jika beliau tidak dapat menyelidik, sekurang-kurangnya beliau dapat mengajar.

Semasa di Caltech, Feynman membuat penemuannya yang paling termasyhur. Ini termasuk kuantum elektrodinamik, fizik superbendalir helium cecair yang adisejuk, dan sebuah model reputan lemah. Beliau juga memajukan gambar rajah Feynman yang memudahkan proses pengkonsepan dan pengiraan tindak balas antara zarah-zarah di dalam ruang-masa. Gambar-gambar rajah Feynman kini mustahak untuk teori bebenang dan teori-M. Dengan gambar rajah Feynman, beliau mendapati bahawa seluruh bidang fizik boleh dimodelkan.

Selain itu, Feynman juga diminta memperbaik proses pengajaran pelajar di Caltech. Selepas tiga tahun, sebuah siri syarahannya yang bertajuk Syarahan Feynman mengenai Fizik  berjaya diterbitkan. Walaupun buku-bukunya itu diterima oleh universiti-universiti sebagai buku teks, buku-buku tersebut terus merupakan buku laris kerana ia memberikan pemahaman yang mendalam tentang fizik. Sehingga tahun 2005, buku-buku tersebut telah mencapai jualan sebanyak 1.5 juta naskhah dalam bahasa Inggeris, agak sejuta naskhah dalam bahasa Rusia, dan 500 ribu naskhah dalam bahasa-bahasa yang lain. Feynman kemudian memenangi Pingat Oersted untuk kaedah pengajarannya. Beberapa syarahannya yang lain juga diterbitkan dalam bentuk buku, misalnya Ciri Hukum Fizikal.

Kehidupan peribadi[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1952, Feynman mengahwini Mary Louise Bell, tetapi perkahwinan mereka tidak bahagia dan selepas suatu tempoh yang singkat, mereka bercerai. Feynman kemudian berkahwin dengan Gweneth Howarth dan dikurniai seorang anak lelaki, Carl. Mereka kemudian mengambil seorang anak angkat, Michelle.

Menurut seorang rakan sekerja Feynman, hanya beliau yang membeli insuran untuk banjir selepas sebuah kebakaran hutan di daerah rumahnya pada tahun 1978. Selepas hujan pada musim sejuk tahun 1979, sebuah banjir memang berlaku, tetapi rumah Feynman selamat. Feynman meramalkan dengan tepat bahawa kebakaran tahun 1978 akan mengakibatkan hakisan tanah yang turut mengakibatkan kebanjiran.

Feynman juga gemar melancong, terutamanya ke Brazil. Pada tahun-tahun akhirnya, beliau sering merancang untuk melawat Tuva di Rusia tetapi gagal kerana kemerosotan hubungan antara Amerika Syarikat dan Rusia. Kegemarannya termasuk bermain dram (frigideira ) dalam gaya samba Brazil, membuka peti terkunci, serta menterjemahkan hieroglif Maya. Ada khabar angin bahawa Feynman telah menguji kaji dengan dadah seperti LSD dan ganja, dan Feynman nampaknya mengelakkan perbincangan isu ini dalam autobiografinya, Sudah Tentu Anda Berlawak, Mr. Feynman!  (Surely You're Joking, Mr. Feynman! ). Buku ini juga menunjukkan pendapat terbukanya terhadap isu seks. Misalnya, Feynman menasihati pembaca tentang cara yang terbaik untuk bermesra-mesra dengan pelayan bar untuk menidurinya.

Antara tugas-tugas terakhir Feynman sebagai profesional ialah pelantikannya kepada Suruhanjaya Rogers yang menyiasat bencana bolak-balik angkasa lepas Challenger pada tahun 1986. Beliau mencapai kemasyhuran apabila beliau menunjukkan peranan yang dimainkan oleh gelang-O penggalak roket dalam malapetaka itu kepada para penonton televisyen. Beliau membuat demonstrasinya mudah difahami dengan menggunakan hanya segelas air dengan ais, sebuah pengapit, dan sedikit bahan gelang-O. Pendapat beliau tentang sebab malapetaka Challenger amat berbeza dengan pendapat rasmi laporan Suruhanjaya Rogers, dan lebih mengkritik pihak pengurusan kerana tidak mempedulikan perkara-perkara yang dikemukakan oleh para juruteranya. Selepas sebuah rayuan, laporan Feynman dimasukkan ke dalam laporan rasmi sebagai lampiran.

Pada tahun 1987, Feynman jatuh sakit kerana menghidap barah. Walaupun doktornya telah mendiagnosis penyakit itu beberapa tahun dahulu, beliau tidak menganggapnya begitu teruk. Akhirnya, selepas pembedahan menerukkan keadaannya, beliau enggan menerima sebarang pembedahan atau perubatan lagi. Perkataan terakhirnya sebelum beliau meninggal dunia pada 15 Februari 1988 adalah: "Kematian ini begitu bosan", menurut Joan Feynman, adik perempuannya. Feynman dikebumikan bersama Gweneth, isterinya yang meninggal dunia pada 1989, di Perkuburan Mountain View, Altadena, California.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Wikiquote-logo.svg
Wikiquote mempunyai koleksi petikan mengenai: