Perkahwinan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
<font-size=1px>Undang-undang keluarga
Perkahwinan
Persetujuan pranuptial  · Perkahwinan
Perkahwinan common law
Perkahwinan sama jantina
Taraf lain yang serupa dgn Perkahwinan
Sekedudukan  · Sekedudukan sivil
Perkongsian rumah tangga
Perkongsian berdaftar
Pemansuhan perkahwinan
Pembatalan  · Perceraian  · Alimoni
Persoalan mengenai kanak-kanak
Paterniti  · Kesahan  · Anak angkat
Penjaga sah  · Anak jagaan
Emansipasi orang bawah umur
Kewajipan ibu bapa
Hubungan (termasuk lawatan)
Kediaman dlm undang-undang Inggeris
Jagaan  · Penyaraan kanak-kanak
Bidang kebimbangan yg mungkin
Penganiayaan pasangan dan kanak-kanak
Penculikan kanak-kanak
Zina  · Bigami  · Sumbang muhrim
Percanggahan Undang-undang
Perkahwinan  · Pembatalan  · Perceraian
Contoh lesen perkahwinan Amerika Syarikat.

Perkahwinan ialah hubungan terikat antara dua orang yang diiktirafkan oleh pihak berkuasa sivil dan/atau diikat oleh kepercayaan agama peserta-peserta. Sifat duaan ini, iaitu kontrak undang-undang terikat serta janji kesusilaan, menyebabkan perkahwinan amat sukar disifatkan.

Dalam satu bentuk atau lain, perkahwinan didapati di hampir setiap masyarakat. Rekod-rekod tertua yang merujuk kepada perkahwinan mengatakan bahawa perkahwinan adalah satu adat resam yang mantap. Walaupun ahli-ahli antropologi telah mencuba mengesan asal perkahwinan, umpamanya hipotesis persetubuhan primitif secara rambang, mereka telah gagal memperoleh sebarang bukti.

Di dunia Barat, perkahwinan difahami secara tradisi sebagai satu kesedudukan monogami antara seorang lelaki (suami) dan seorang perempuan (isteri), sedangkan di bahagian-bahagian dunia yang lain, poligami pernah merupakan bentuk perkahwinan yang biasa.Secara umumnya, pandangan masyarakat tentang konsep poligami adalah apabila seorang suami mempunyai lebih daripada seorang isteri.Sebenarnya dalam antropologi, konsep yang paling tepat untuk menghuraikan seorang suami yang mempunyai lebih daripada seorang isteri ialah poligini manakala konsep yang menghuraikan seorang isteri yang mempunyai lebih daripada seorang suami ialah poliandri. Poligami biasanya mengambil bentuk poligini (seorang lelaki mempunyai banyak isteri), tetapi sebilangan masyarakat yang amat kecil membenarkan poliandri (seorang perempuan mempunyai banyak suami).

Definisi[sunting | sunting sumber]

Secara sejarah, takrif-takrif tepat untuk "perkahwinan" berbeza-beza antara dan di dalam budaya-budaya: pemahaman moden menekankan kesahan hubungan seks dalam perkahwinan, walaupun sifat perkahwinan yang sejagat dan unik ialah penciptaan persemendaan.

Secara tradisi, masyarakat menggalakkan seseorang untuk berkahwin dengan orang yang jauh untuk mengukuhkan pertalian, tetapi cukup dekat supaya semenda boleh dianggap sebagai "salah satu daripada kami" atau "jenis kami". Satu kekecualian untuk peraturan ini didapati dalam perkahwinan raja yang mengukuhkan kedudukan mereka melalui pengumpulan kekayaan berbanding melalui persemendaan. Walaupun begitu, ahli-ahli keluarga raja sering digalakkan berkahwin dalam lingkungan keluarga yang rapat.

Perkahwinan masih penting sebagai perikatan hubungan seks yang disetujui oleh masyarakat, dan biasa difahami sebagai satu hubungan lelaki-perempuan yang bertujuan untuk melahirkan anak-anak serta mensosialisasikan mereka dengan jayanya. Secara sejarah, kebanyakan masyarakat membenarkan pengamalan poligami yang takat. Bagaimanapun, negara-negara Barat merupakan kekecualian utama, dengan Eropah dan Amerika Syarikat yang telah mentakrifkan diri sebagai sebuah budaya monogami. Ini disebabkan sebahagiannya oleh tradisi budaya Germanik yang merupakan keperluan agama Kristian (selepas abad ke-6) serta mandat undang-undang Rom. Bagaimanapun, undang-undang Rom menyokong pelacuran, sekedudukan, persetubuhan di luar perkahwinan, liwat, dan persetubuhan dengan hamba abdi. Dunia Barat Kristian mengharamkan amalan-amalan itu secara rasmi.

Secara sejagat, kebanyakan masyarakat kini tidak lagi membenarkan poligami sebagai bentuk perkahwinan. Umpamanya, China berubah daripada membenarkan poligami untuk menyokong hanya monogami dalam Akta Perkahwinan 1953 selepas pemberontakan komunis. Kebanyakan masyarakat Afrika dan Islam meneruskan amalan poligami (sekitar 2.0 bilion orang). Bagaimanapun, hanya kurang daripada 3% perkahwinan Islam bersifat poligami. Amalan poligami semakin mahal dalam persekitaran bandar, tetapi lebih berguna di kawasan-kawasan luar bandar kerana kanak-kanak merupakan sumber buruh pertanian untuk masa hadapan. Kebanyakan penduduk dunia kini hidup di dalam masyarakat yang kurang biasa mengamalkan poligami, dan perkahwinan adalah jauh lebih biasa berbentuk monogami.

Sejak dekad-dekad abad ke-20 yang akhir, banyak andaian tradisi mengenai sifat dan tujuan perkahwinan dan keluarga telah dicabar, khususnya oleh gerakan-gerakan sosial LGBT (LGBT ialah "lesbian, gay, bisexual and transgender people" dalam bahasa Inggeris) yang tidak bersetuju dengan tanggapan bahawa perkahwinan harus bersifat heteroseksual secara eksklusif. Sesetengah orang juga memperdebatkan bahawa perkahwinan mungkin merupakan fiksyen undang-undang yang sia-sia. Tanggapan ini menyusul daripada peraliran keseluruhan dalam idea-idea Barat dan amalan-amalan keluarga; sejak Perang Dunia II, dunia Barat telah melihatkan:

  • pertambahan perceraian yang dramatik (6% hingga melebihi 40% untuk perkahwinan pertama)
  • sekedudukan tanpa perkahwinan
  • pertumbuhan penduduk tidak berkahwin
  • kanak-kanak dilahirkan di luar perkahwinan (5% hingga melebihi 33% daripada jumlah kelahiran)
  • pertambahan pelakuan zina.

Sebuah sistem yang agak merupakan monogami siri telah muncul secara de facto.

Dalam zaman moden, istilah "perkahwinan" secara amnya dikhaskan untuk kesedudukan yang diiktirafkan oleh negara (walaupun sesetengah orang tidak bersetuju). Frasa berkahwin dari segi undang-undang boleh digunakan untuk menegaskan perkara ini.

Dalam sebilangan masyarakat, terdapat perdebatan yang semakin bertambah tentang bentuk-bentuk perkahwinan. Dua kelainan yang paling diperdebatkan ialah:

Pengisytiharan[sunting | sunting sumber]

Penyerta-penyerta dalam perkahwinan biasanya mencari pengakuan sosial untuk hubungan mereka, dan banyak masyarakat memerlukan kebenaran rasmi daripada badan agama atau sivil. Oleh itu, ahli sosiologi membezakan antara upacara perkahwinan yang dilakukan di bawah naungan agama, dan perkahwinan sivil yang diberi kebenaran oleh negara.

Di dalam banyak bidang kuasa, upacara perkahwinan sivil berlaku pada masa yang sama dengan perkahwinan agama, walaupun kedua-dua itu adalah berasingan secara teori. Dalam kebanyakan negara Amerika, paderi atau pihak berkuasa agama menjalani upacara perkahwinan, dan dalam kes tersebut, pihak berkuasa agama bertindak serentak sebagai ejen untuk negara. Dalam sebilangan negara yang lain seperti Perancis, Jerman dan Rusia, perkahwinan harus dibenarkan oleh negara sebelum upacara agama boleh diadakan. Sebilangan negara membenarkan perkahwinan sivil untuk keadaan yang tidak dibenarkan oleh banyak agama, seperti perkahwinan sama jantina atau kesedudukan sivil, dan perkahwinan boleh disahkan hanya melalui kuat kuasa undang-undang seperti dalam perkahwinan common law yang merupakan pengisytiharan kehakiman bahawa dua orang yang tinggal sebagai pasangan rumah tangga adalah berhak untuk kesan-kesan perkahwinan. Sebaliknya, terdapat juga orang-orang yang mempunyai upacara agama yang tidak diiktirafkan oleh pihak berkuasa sivil. Contoh-contohnya termasuk:

  • balu-balu yang akan menghilangkan pencennya jika dia berkahwin semula
  • pasangan homoseksual
  • sebilangan taifah yang mengiktirafkan poligami
  • pasangan bersara yang akan menghilangkan manfaat pencen jika berkahwin semula secara undang-undang
  • lelaki Islam yang ingin mengamalkan poligami yang dibiarkan berlaku dalam sesetengah keadaan di bawah agama Islam
  • pendatang yang tidak ingin menarik perhatian pihak berkuasa imigresen tentang perkahwinannya kepada pasangan yang telah ditinggalkan di tempat asalnya ataupun kerumitan undang-undang imigresen yang menyusahkan pasangannya untuk melawatnya dengan visa pelancong.

Secara tradisi di Eropah, pejabat gereja-gereja merasmikan perkahwinan melalui pendaftaran. Oleh itu, pengenalan Zivilehe (perkahwinan sivil) oleh Canselor Otto von Bismarck pada tahun 1875 merupakan satu langkah yang penting untuk memisahkan dengan jelas gereja daripada negara serta untuk melemahkan, secara terancang, peranan gereja Kristian dengan berkesan. Undang-undang ini mewajibkan pengisytiharan perkahwinan di hadapan seorang kerani kerajaan daripada pentadbiran sivil (kedua-dua pasangan berikrar tentang kesudian untuk berkahwin) sebagai prosedur untuk mengesahkan perkahwinan dari segi undang-undang dan oleh itu, mengurangkan perkahwinan yang dirasmikan oleh paderi menjadi hanya sebuah upacara peribadi.

Sekatan perkahwinan[sunting | sunting sumber]

Banyak negara mengawal umur yang seseorang boleh kahwin. (Sila lihat umur layak berkahwin.) Masyarakat-masyarakat selalu mengenakan sekatan terhadap perkahwinan dengan saudara, walaupun tahap hubungan larangan berbeza-beza secara meluas. Dalam hampir semua masyarakat, perkahwinan antara adik-beradik dilarangkan, dengan keluarga raja Mesir kuno, Hawaii, dan Inka merupakan kekecualian yang amat jarang. Dalam banyak masyarakat, perkahwinan antara pupu-silang nasab-ibu disukai, sedangkan pada keterlaluan yang lain, Gereja Katolik Zaman Pertengahan melarangkan perkahwinan saudara sepupu jauh juga. Pada hari ini, Gereja Katolik masih memeliharakan jarak piawaian untuk perkahwinan (dari segi kesedarahan dan kesemendaan).

Dalam komuniti Hindu India, khususnya kasta Brahmin, perkahwinan dengan Gotra yang sama dilarangkan kerana orang-orang yang mempunyai Gotra yang sama dikatakan mempunyai keturunan patrilineal yang sama. Di India kuno ketika Gurukul masih wujud, syisya-syisya (murid-murid) dinasihatkan supaya jangan berkahwin antara satu sama lain disebabkan syisya-syisya dianggap sebagai anak-anak Guru dan oleh itu, dianggap sebagai perkahwinan antara adik beradik (walau terdapat kekecualian seperti anak Arjuna, Abhimanyu, yang berkahwin dengan Uttra, murid tarian Arjuna dalam mahakarya Mahabharata).

Banyak masyarakat juga mengamalkan sekatan-sekatan yang lain terhadap siapakah yang boleh dikahwini, umpamanya larangan tentang perkahwinan dengan orang yang mempunyai nama keluarga yang sama, atau orang yang mempunyai zodiak yang sama. Umpamanya di Korea Selatan, perkahwinan antara orang-orang yang mempunyai nama keluarga yang sama masih dianggap sebagai satu kepantangan pada hari ini. Nama keluarga yang paling biasa ialah "Kim" (hampir 15%). Bagaimanapun, terdapat banyak cabang (atau suku, atau keluarga turun-temurun) bagi nama keluarga "Kim", serupa dengan semua nama keluarga di Korea. Hanya perkahwinan dalam cabang yang sama tidak dibenarkan. Oleh itu, terdapat banyak pasangan "Kim-Kim" yang berkahwin dengan satu sama lain.

Ahli antropologi merujuk kepada sekatan-sekatan ini sebagai eksogami. Satu kekecualian untuk pola ini ialah di Mesir kuno di mana perkahwinan antara adik-beradik dalam keluarga diraja dibenarkan — seperti di Hawaii dan antara orang Inka; hak istimewa ini tidak diberikan kepada orang biasa dan mungkin bertindak untuk menumpukan kekayaan dan kuasa dalam sebuah keluarga (lihat juga inses). Akibat kepantangan inses ialah eksogami, iaitu keperluan untuk berkahwin dengan orang daripada kelompok yang lain. Oleh itu, ahli antropologi menunjukkan bahawa kepantangan inses mungkin bertindak untuk mempromosikan perpaduan sosial.

Masyarakat-masyarakat kekadang juga mengenakan perkahwinan dalam sesuatu kelompok. Ahli-ahli antropologi merujuk kepada sekatan-sekatan ini sebagai endogami. Salah satu daripada sekatan ini ialah keperluan untuk berkahwin dengan seorang dalam puak yang sama. Undang-undang rasisme yang diamalkan oleh sesetengah masyarakat pada zaman dahulu — seperti era Nazisme Jerman, era aparteid Afrika Selatan, dan kebanyakan Amerika Syarikat selatan dan Utah sebelum 1967 — melarangkan perkahwinan antara orang-orang daripada bangsa yang berbeza (pengmisegenasisan) boleh dianggap juga sebagai contoh-contoh endogami.

Budaya-budaya yang mengamalkan pengabdian memberikan pengakuan kepada perkahwinan abdi tetapi tidak memberikan mereka status undang-undang. Ini merupakan amalan di bawah empayar Rom dan oleh itu, wanita bebas Perpetua dalam karya Perbuatan-perbuatan Perpetua dan Felicitas boleh diperihalkan sebagai "wanita berkahwin", tetapi Felicitas hanya dianggap sebagai "pembantu" Revocatus, walaupun orang-orang Kristian menganggap bahawa perkahwinan-perkahwinan itu adalah sah dari segi agama. Serupa juga, perkahwinan abdi di Amerika Syarikat adalah tidak sah. Oleh itu, banyak orang kontraban yang melarikan diri daripada pengabdian semasa Perang Saudara Amerika mencari taraf rasmi untuk perkahwinan mereka. Antara hak yang membezakan perhambaan (bahasa Inggeris: serfom) daripada pengabdian (bahasa Inggeris: slavery) adalah hak untuk memperoleh perkahwinan yang sah dari segi undang-undang.

Upacara perkahwinan[sunting | sunting sumber]

Upacara perkahwinan (bahasa Inggeris: wedding) yang diakui oleh undang-undang digelarkan "perkahwinan sivil", sedangkan agama-agama merasmikan upacara perkahwinan dalam "mata Tuhan". Di banyak negara Eropah dan sebilangan negara Amerika Latin, seseorang harus mengadakan upacara perkahwinan yang berasingan daripada upacara sivil. Beberapa kerajaan negara, seperti Belgium, Bulgaria, dan Belanda juga menuntut bahawa perkahwinan sivil diadakan sebelum sebarang perkahwinan agama. Dalam sebilangan negara, terutamanya Amerika Syarikat, United Kingdom, Republik Ireland dan Sepanyol, kedua-dua upacara boleh diadakan bersama-sama; juruacara untuk gabungan upacara agama dan komuniti juga bertindak sebagai ejen negara untuk merasmikan perkahwinan sivil. Ini tidak bermakna bahawa negara itu "mengakui" perkahwinan agama; upacara agama hanya diadakan pada waktu yang sama dengan upacara "sivil". Seringnya, ini melibatkan penandatangan daftar semasa upacara agama. Jika unsur-unsur sivil ditinggalkan atas mana-mana satu alasan, perkahwinan itu dianggap tidak berlaku dari segi undang-undang walaupun upacara agama diadakan.

Sedangkan sebilangan negara seperti Australia membenarkan perkahwinan diadakan di tempat peribadi dan di mana-mana satu tempat, negara yang lain, termasuk England, memerlukan upacara sivil diadakan di tempat yang diluluskan oleh undang-undang (iaitu, gereja atau pejabat pendaftaran), dan dibuka kepada orang umum. Satu kekecualian boleh diberikan dalam kes [[perkahwinan melalui lesen kecemasan khas yang biasa diberikan hanya jika salah satu pihak menghidap penyakit yang membawa maut. Peraturan mengenai di mana dan dengan siapa seseorang boleh berkahwin berbeza-beza dari satu tempat ke satu tempat. Sesetengah peraturan memerlukan salah satu pihak tinggal di kawasan pejabat pendaftaran. Disebabkan peraturan perkahwinan yang amat longgar di Australia, banyak orang terkenal, termasuk Michael Jackson, telah memilih Australia sebagai tempat untuk mengadakan upacara perkahwinan peribadi.

Cara bagaimana upacara perkahwinan diadakan telah berubah dengan masa, dan serupa juga dengan institusi perkahwinan pada dirinya. Di Eropah semasa Zaman Pertengahan, perkahwinan diadakan dengan pasangan berjanji antara satu sama lain bahawa mereka ingin berkahwin secara lisan; kehadiran paderi atau saksi yang lain tidak diperlukan. Perjanjian seumpama ini digelarkan "verbum". Jika perjanjian dibuat dalam kala kini ("Saya berkahwin dengan kamu", perjanjian itu adalah sah; jika dibuat dalam kala depan ("Saya akan berkahwin dengan kamu"), perjanjian itu merupakan pertunangan, asalkan mereka tidak melakukan hubungan jenis. Jika hubungan jenis dilakukan, persetubuhan itu dianggap sebagai perkahwinan. Sebagai sebahagian Reformasi, tanggungjawab untuk mendaftar perkahwinan dan menentukan peraturan telah dipindahkan kepada negara; sejak 1600-an, banyak negara Eropah Prostestan telah amat melibatkan diri dalam perkahwinan. Sebagai Reformasi Katolik, Gereja Katolik menambahkan keperluan saksi untuk perjanjian yang biasanya melibatkan paderi.

Penamatan[sunting | sunting sumber]

Banyak masyarakt memberikan peruntukan untuk penamatan perkahwinan melalui perceraian. Perkahwinan juga boleh di dimansuhkan atau dibatalkan melalui tindakan undang-undang yang membuktikan bahawa sesuatu perkahwinan adalah tidak sah pada mula-mulanya.

Hak dan kewajipan mengenai perkahwinan[sunting | sunting sumber]

Biasanya, perkahwinan merupakan institusi yang menggabungkan kehidupan orang-orang dari segi emosi dan ekonomi melalui pembentukan rumah tangga. Perkahwinan sering memberikan hak dan kewajipan untuk membesarkan anak dan memiliki harta, serta untuk tingkah laku seks, hubungan kekeluargaan, keahlian puak, hubungan dengan masyarakat, pewarisan, kemesraan emosi, penjagaan kesihatan dan cinta.

Perkahwinan kekadang:

  • menentukan bapa yang sah di sisi undang-undang bagi anak seseorang perempuan;
  • menentukan ibu yang sah di sisi undang-undang bagi anak seseorang lelaki;
  • memberi kawalan kepada suami atau keluarganya terhadap perkhidmatan seks, hasil kerja, dan/atau harta isterinya;
  • memberi kawalan kepada isteri atau keluarganya terhadap perkhidmatan seks, hasil kerja, dan/atau harta suaminya;
  • menubuhkan tabung harta bersama untuk manfaat anak-anak;
  • menjalin hubungan antara keluarga-keluarga suami dan isteri.

Tidak terdapat sebuah masyarakat yang mengamalkan kesemua ini; tidak ada sesuatunya yang sejagat (sila lihat makalah Edmund Leach dalam "Perkhidmatan, Keluarga, dan Kediaman" ("Marriage, Family, and Residence") yang disunting oleh Paul Bohannan dan John Middleton).

Secara tradisi, perkahwinan merupakan prasyarat untuk memulakan sebuah keluarga yang biasanya bertindak sebagai blok binaan bagi sebuah komuniti atau masyarakat. Oleh itu, perkahwinan bukan sahaja bertindak untuk memenuhi kepentingan kedua-dua orang, tetapi juga untuk memenuhi kepentingan anak-anak dan masyarakat yang mereka merupakan sebahagian.

Dalam kebanyakan agama yang utama, perkahwinan merupakan prasyarat untuk hubungan seks: orang-orang yang masih belum berkahwin tidak dibenarkan melakukan hubungan seks. Hubungan seks sedemikian dirujuk sebagai zina dan tidak digalakkan dari segi sosial serta juga dijenayahkan. Hubungan seks antara seorang yang sudah berkahwin dengan seorang yang bukan pasangannya juga dipanggil zina dan lagi tidak dapat diterima dan seringnya dijenayahkan, khususnya jika orang tersebut merupakan seorang wakil kerajaan (umpamanya, presiden, perdana menteri, wakil politik, guru sekolah awam, dan pegawai tentera). Perbuatan ini mencabuli undang-undang tentera Amerika Syarikat. Sebaliknya, perkahwinan biasanya dianggap memerlukan hubungan seks dan kegagalan berbuat demikan merupakan alasan untuk membatalkan perkahwinan (umpamanya, perkahwinan John Ruskin).

Perkahwinan dan ekonomi[sunting | sunting sumber]

Ekonomi perkahwinan telah berubah dengan berlangsungnya masa. Secara sejarah, keluarga pengantin perempuan harus membayar hantaran kahwin kepada lelaki untuk mengahwini anak perempuan mereka. Dalam budaya-budaya yang lain, keluarga pengantin lelaki kena membayar harga pengantin perempuan kepada keluarga pengantin perempuan untuk hak berkahwin dengan anak mereka. Dalam sebilangan budaya, hantaran kahwin serta harga pengantin perempuan masih dituntut pada hari ini. Dalam kedua-dua kes, urus niaga kewangan diadakan antara pengantin lelaki (atau keluarganya) dengan keluarga pengantin perempuan; pengantin perempuan tidak mengambil bahagian dalam urus niaga tersebut dan seringnya tidak berhak memilih adakah dia hendak menyertai perkahwinan itu atau tidak.

Dalam sebilangan budaya, hantaran kahwin bukannya suatu hadiah tanpa bersyarat; jika pengantin lelaki itu mempunyai anak-anak yang lain, anak-anak itu tidak berhak mewarisi hantaran kahwin yang sebaliknya akan diberikan kepada anak-anak pengantin perempuan. Jika pengantin perempuan itu tidak beranak, hantaran kahwin itu akan dikembalikan kepada keluarganya — hantaran kahwin itu biasanya dipulang selepas kematian pengantin lelaki atau perkahwinan semulanya; seringnya pengantin perempuan berhak mewarisi harta pusaka suami, sekurang-kurangnya pada nilai hantaran kahwinnya.

Hadiah-hadiah pagi (yang mungkin dirundingkan oleh bapa pengantin perempuan, dan bukannya oleh pengantin perempuan) diberikan kepada pengantin perempuan sendiri; namanya berasal daripada adat resam puak-puak Germanik yang memberikan hadiah kepada pengantin perempuan pada waktu pagi selepas malam perkahwinan. Perempuan itu kekadang tidak berhak memiliki hadiah pagi ini semasa suaminya masih berhidup, tetapi selepas menjadi balu, dia berhak memiliki hadiah itu. Jika jumlah harta pusaka diselesaikan melalui undang-undang dan bukannya melalui persetujuan, harta pusaka itu digelar "dower". Bergantung kepada sistem undang-undang dan persiapan yang tepat, balu itu tidak berhak menjual harta pusakanya selepas kematian sendiri, dan mungkin akan hilang harta itu jika dia berkahwin semula.

Adat resam hadiah pagi dikekalkan selama berabad-abad dalam perkahwinan morganatik, iaitu kesedudukan antara isteri yang mempunyai taraf sosial rendah yang menghalangkan anak-anaknya mewarisi gelaran-gelaran atau harta-harta pusaka bangsawan. Hadiah pagi sebenarnya bertujuan untuk menyara isteri dan anak-anak isteri itu.

Lagi sebuah peruntukan undang-undang bagi perjandaan ialah jointur yang menetapkan bahawa harta-harta (seringnya tanah) dipegang sebagai sewaan bersama supaya harta-harta itu akan diberikan secara automatik kepada balu pada kematian suaminya.

Dalam banyak sistem undang-undang moden, dua orang yang berkahwin mempunyai pilihan sama ada hendak mengasingkan atau menggabungkan harta mereka. Dalam kes yang kedua, harta-harta itu dirujuk sebagai harta komuniti, dan jika perkahwinan itu ditamatkan melalui perceraian, setiap orang akan menerima setengah harta-harta tersebut; jika seorang pasangan meninggal dunia, pasangan yang masih hidup akan memiliki setengah harta tersebut dan setengah bahagian yang lain akan diperuntukkan melalui peraturan-peraturan pewarisan. Dalam banyak bidang kuasa, undang-undang yang berkenaan dengan harta dan harta pusaka memperuntukkan secara ingkar bahawa sekiranya salah seorang pasangan meninggal dunia, hartanya diberikan dahulu kepada pasangan yang lain dan hanya kemudian kepada anak-anaknya. Wasiat dan amanah boleh disediakan sebagai peruntukan-peruntukan alternatif bagi pewarisan harta pusaka.

Dalam sesetengah sistem undang-undang, pasangan-pasangan dalam perkahwinan diperlukan bertanggungjawab bersama terhadap hutang perkahwinan mereka. Ini mendasarkan tanggapan undang-undang tradisi yang dirujuk sebagai "Doktrin Keperluan" yang mewajibkan seorang suami bertanggungjawab untuk membekalkan keperluan asas kepada isterinya. Dalam kes tersebut, seorang pasangan boleh dituduh untuk hutang yang dia sendiri tidak meminjam. Para pengkritik amalan ini memerhatikan bahawa agensi-agensi pemungut hutang boleh menyalahgunakan peraturan ini dengan mendakwa secara tidak wajar bahawa berbagai-bagai hutang merupakan perbelanjaan perkahwinan. Jadi kos pertahanan dan beban pembuktian dikenakan pada pihak yang tidak membuat pinjaman untuk membuktikan bahawa perbelanjaan-perbelanjaan itu bukannya hutang keluarga.

Kewajipan-kewajipan penyaraan dan nafkah, semasa dan akhirnya selepas perkahwinan, biasanya dikawali oleh kebanyakan bidang kuasa; sila lihat alimoni.

Sesetengah orang mencuba menganalisis institusi perkahwinan dengan menggunakan teori ekonomi; umpamanya, David D. Friedman, seorang ahli ekonomi anarki-kapitalisme, telah menulis sebuah laporan kajian yang panjang lebar serta penuh dengan perbalahan tentang perkahwinan sebagai satu urus niaga pasaran (pasaran suami dan isteri). [1]

Dalam sesetengah budaya, wanita-wanita dikehendaki berkahwin dengan seorang pasangan yang lebih berkuasa dari segi ekonomi, sosial, atau politik. Dipanggil hipergini, amalan ini adalah biasa di India. Walaupun merupakan suatu norma sosial Amerika, hipergini kini beransur-ansur digantikan dengan isogami (perkahwinan antara dua orang yang sama taraf) dan perkahwinan dengan wanita yang bertaraf lebih rendah. Banyak ahli antropologi menganggap ini sebagai kesamaan jantina yang semakin meningkat.

Kesan dan akibat berkahwin[sunting | sunting sumber]

Gambaran keseluruhan[sunting | sunting sumber]

Sesetengah pengulas kritis terhadap perkahwinan, dengan kekadang mengutuk sesuatu amalan tempatan dan kekadang juga seluruh institusi. Banyak juga kritikan diperkembangkan dari sudut pandangan kewanitaan yang mendakwa bahawa perkahwinan tidak menguntungkan wanita. Bagaimanapun, terdapat beberapa sudut pandangan lain yang mengatakan bahawa perkahwinan dalam bentuk-bentuk yang biasa menimbulkan masalah.

Kebimbingan kewanitaan[sunting | sunting sumber]

Di banyak kawasan dalam dunia, ketika seorang perempuan mencapai tahun belasan awal, bapanya akan mengatur perkahwinannya, kekadang dengan seorang lelaki berumur dua kali ganda yang langsung tidak dikenalinya. Suami yang lebih tua itu kemudian menjadi penjaganya dan perempuan itu mungkin juga benar-benar dipisahkan daripada keluarganya sendiri. Perempuan-perempuan tidak berhak menyertai perundingan-perundingan perkahwinan mereka yang mungkin juga diadakan tanpa pengetahuan mereka.

Sebilangan tradisi membenarkan seseorang perempuan yang tidak berupaya beranak dikembalikan kepada bapanya. Ini membayangkan kepentingan keupayaan beranak dan peluasan keluarga ke generasi yang berikut.

Seringnya, kedua-dua pihak dijangka masih dara sebelum perkahwinan mereka tetapi dalam banyak budaya, perempuan lebih diperlukan untuk mematuhi piawai ini. Satu tradisi lama di Eropah yang dikekalkan sehingga abad ke-20 di luar bandar Greece memerlukan keperawanan dibuktikan melalui penggantungan tutup tilam yang berdarah daripada malam perkahwinan di tepi rumah. Serupa juga, kesetiaan hubungan seks sentiasa diperlukan dalam perkahwinan tetapi kekadang, jangkaan dan hukuman untuk perempuan adalah jauh lebih ketat berbanding dengan lelaki.

Dalam sesetengah tradisi, perkahwinan boleh merupakan peristiwa yang amat dahsyat untuk kaum wanita. "Nasib Wanita" ("The Lot of Women") yang ditulis di Athens pada pertengahan abad ke-5 SM meratapi keadaan ini:

"Gadis-gadis, mengikut pendapat saya, mempunyai kehidupan yang paling manis dalam rumah-rumah bapa mereka kerana kesucian hati mereka selalu memastikan keselamatan dan kebahagian kanak-kanak. Tetapi ketika kami mencapai baligh dan boleh memahami, kami dipecat daripada dewa-dewa nenek moyang serta ibu bapa kami dan dijual. Ada yang pergi ke rumah lelaki ganjil, ada yang ke orang asing, ada yang ke rumah tidak bahagia, dan ada yang ke orang yang bersikap bermusuhan. Dan kesemua ini ketika malam pertama telah mengikat kami kepada suami kami, kami terpaksa memuji dan mengatakan bahawa semua adalah baik sahaja."

Sebaliknya, perkahwinan juga bertindak untuk menjamin penyaraan yang berterusan daripada suami dan membenarkan kaum perempuan untuk menumpukan perhatian mereka terhadap membesarkan anak-anak. Keselamatan ini adalah lebih besar dalam keadaan-keadaan yang mana perceraian adalah lebih susah.

Tradisi lapuk[sunting | sunting sumber]

Baki idea-idea yang lebih lama dan mungkin lapuk masih boleh didapati dalam upacara-upacara dan amalan-amalan tradisi pada hari ini. Umpamanya secara simbolik, pengantin-pengantin perempuan "diberikan" kepada suami oleh bapa-bapa mereka. Sesetengah pengantin perempuan berikrar untuk "mencintai dan mentaati" suami mereka, dan sebilangan pengantin lelaki berikrar untuk "menjaga" isteri mereka. Pengantin lelaki kekadang menanggalkan getah cerut pengantin perempuan yang melambangkan keperawanannya, sebagai perlambangan umum untuk tuntutan keseksualan perempuan itu. Pengantin perempuan mencampakkan jambak bunga kepada sekumpulan wanita yang belum kahwin, dan wanita-wanita itu akan bersaing untuk menangkap jambak bunga itu; sesiapa yang berjaya dipercayai akan merupakan perempuan berikut yang akan berkahwin.

Satu tradisi yang amat biasa adalah untuk pengantin lelaki mendukung pengantin perempuannya melintasi bendul pintu. Ketika menyiasat keasalan tradisi ini di sekitar tahun 100, Plutarch mempostulatkan tiga kemungkinan:

  • gambaran kembali Perogolan puak Sabina
  • perlambangan keberatan pengantin perempuan untuk menyerahkan keperawanannya, dan penyerahan itu hanya dibuat dalam keadaan dures.
  • kesetian perkahwinan — setelah didukung ke dalam rumah oleh suaminya, perempuan itu hanya akan meninggalkan rumah dengan cara yang sama. Sudah tentu, maksud ini adalah dalam konteks kebudayaan patriakal di mana seorang perempuan dikatakan hanya dibenarkan meninggalkan rumah ketika cukup tua untuk orang lain bertanya "ini ibu siapa?", dan bukannya "ini bini siapa?".

Pernah juga dikatakan bahawa tradisi ini berasal daripada kepercayaan orang Rom bahawa adalah nasib buruk jika seorang pengantin perempuan tersandung semasa memasuki rumah barunya.

Tradisi-tradisi ini, walaupun sering dibidas oleh para pengkritik dan cendekiawan, masih merupakan sebahagian upacara perkahwinan yang amat dihargai, termasuk oleh kedua-dua pengantin.

Kebimbangan kelelakian[sunting | sunting sumber]

Sesetengah pengulas memperdebatkan bahawa perkahwinan dan perceraian dalam masyarakat-masyarakat Barat adalah tidak adil kepada kaum lelaki. Kadar perceraian kini adalah amat tinggi, dengan separuh daripada perkahwinan berakhir dengan perceraian, tetapi hanya 15% lelaki diberikan hak menjaga. Kadar ini masih tidak berubah sejak 1994. Selain itu:

  • bayaran alimoni tahunan oleh 7.8 juta ibu bapa yang berpisah bertambah sebanyak 18% sehingga AS$40 bilion;
  • 6.6 juta orang merupakan bapa membayar insentif tunai sehingga AS$4.1 bilion kepada negeri-negeri Amerika Syarikat.

Keadaan-keadaan tersebut mungkin dapat menerangkan kesimpulan yang dibuat dalam laporan perkahwinan Universiti Rutgers terkini yang berikut:

Kemerosotan kadar perkahwinan yang berterusan diiringi oleh:
  • pertambahan bilangan pasangan sekedudukan pranikah;
  • sedikit pertambahan tentang peratus anak-anak yang tinggal dalam keluarga rapuh dan dilahirkan di luar perkahwinan;
  • pertambahan yang pesat di kalangan pemuda-pemuda belasan tahun yang bersetuju dengan kelahiran di luar perkahwinan;
  • sedikit susutan di kalangan pemuda-pemudi belasan tahun, khususnya pemudi-pemudi, yang berpendapat bahawa "bersekedudukan sebelum berkahwin adalah idea yang baik" [Laporan Kesihatan Sosial untuk Perkahwinan di Amerika]. Kesemua ini merupakan tingkah laku mogok perkahwinan yang tidak ketara.

Tambahan pula, semasa perceraian litigasi, jagaan kanak-kanak, paterniti, alimoni, penyaraan anak, hak bapa, dan tuduhan keganasan rumah tangga menimbulkan kebimbangan tambahan kepada pihak lelaki, khususnya dengan peguam-peguam perceraian mengenakan yuran guaman sehingga AS$300.00 sejam.

85% daripada perintah-perintah mahkamah untuk perlindungan diberikan kepada perempuan, dengan 7% petisyen ditolak. Sejak enakmen "Akta Keganasan Terhadap Wanita 1995", melebih AS$1 bilion telah dibelanja untuk polis dan pendakwa raya. Peguam-peguam perceraian mempergunakan tuduhan serangan supaya sebarang perintah perlindungan yang diputuskan dapat memecat seorang pasangan (biasanya lelaki) dari rumah dan dengan itu, memisahkannya daripada anak-anak dan harta-hartanya.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Jenis[sunting | sunting sumber]

Senarai dan statistik[sunting | sunting sumber]

Konsep berkait[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. http://www.sinarharian.com.my/semasa/pasangan-ingin-kahwin-wajib-hadiri-smart-start-1.336575

Pautan luar[sunting | sunting sumber]