Iklim

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Lihat juga Kumpulan Iklim
Bumi dengan sistem cuaca (gambar daripada misi Apollo 17)

Iklim (Bahasa Inggeris: climate) pada umumnya dikira sebagai keadaan cuaca yang diperolehi dalam sesuatu jangka masa yang panjang, biasanya 30 tahun. Pada tanggapan moden, konsep iklim juga merangkumi statistik mengenai cuaca - umpamanya kelainan suhu setiap hari ataupun kelainan suhu tahun demi tahun.

Takrif iklim mengikut Panel Antarabangsa Mengenai Perubahan Iklim (The Intergovernmental Panel on Climate Change) (IPCC) ialah:

Iklim boleh ditakrifkan sebagai "cuaca secara purata", atau lebih tepat lagi, iklim boleh diertikan sebagai keterangan statistikal mengenai purata dan perubahan kuantiti-kuantiti relevan dalam suatu jangka masa beberapa bulan hinggalah ke ribuan ataupun jutaan tahun. Tempoh klasik ialah 30 tahun, yang ditetapkan oleh Badan Kaji Cuaca Sedunia (World Meteorological Organization). Kuantiti-kuantiti ini terdiri daripada suhu, hujan dan angin. Iklim secara lebih meluas ialah keterangan statistik mengenai sesuatu sistem cuaca. [1]

Iklim dan cuaca[sunting | sunting sumber]

Secara mudah, cuaca ialah satu pergabungan kejadian di atmosfera dan Iklim pula ialah cuaca yang dialami sepanjang satu jangka masa di sesuatu kawasan.

Tidak ada suatu batas pemisah tepat antara apa yang dikatakan iklim dan apa yang dikatakan Cuaca. Ia bergantung kepada kegunaan. Umpamanya, fenomena El Nino ialah satu fenomena cuaca untuk segolongan pemerhati, tetapi untuk segolongan yang lain, ia suatu ciri perubahan iklim.

Apabila konsep iklim sebagai satu purata sistem cuaca dikemukakan pada akhir kurun ke–19, jangka masa 30 tahun merupakan satu jangka masa yang munasabah. Tetapi, dengan adanya perolehan arah aliran cuaca bagi satu jangkauan masa yang panjang meliputi rekod-rekod suhu, hujan dan sebagainya, keupayaan mendapatkan takrifan yang menyeluruh untuk “iklim” menjadi lebih sukar kerana dalam jangka masa 30 tahun tersebut, purata suhu, taburan hujan dan sebagainya boleh berubah, dan dalam satu jangka masa singkat, perolehan statistik kurang seimbang.

Untuk sesuatu lokasi geografi, iklim tidak berubah semasa hayat seseorang insan. Dalam jangka masa geologi (jutaan tahun), iklim boleh berubah dalam sesuatu kawasan.

Penentu iklim[sunting | sunting sumber]

Dalam satu jangka masa yang lama, terdapat beberapa pemboleh ubah statik yang menentukan iklim, seperti latitud dan altitud, nisbah darat berbanding permukaan air, gunung-ganang dan jarak ke kawasan laut berdekatan. Penentu iklim lain yang lebih dinamik: aliran lautan yang mengagihkan tenaga haba antara kawasan khatulistiwa dan kutub, dan juga agihan haba antara laut dan bumi di peringkat tempatan, yang dipengaruhi oleh lain-lain aliran laut. Darjah liputan tumbuh-tumbuhan juga menjejaskan darjah penerapan haba suria, pengekalan serapan air, dan juga kadar hujan di peringkat serantau.

Perubahan pada tahap gas-gas atmosfera, khususnya gas rumah hijau mempengaruhi suhu dan jumlah tenaga suria yang ditahan di atmosfera, dan membawa kepada pemanasan sejagat secara perlahan. Pemboleh ubah yang menentukan iklim terlalu banyak, dan satu perubahan pemboleh ubah akan mengakibatkan interaksi yang amat kompleks dan menyeluruh. Jika Amerika Syarikat enggan mengurangkan pengeluaran gas "rumah hijau" khususnya sisa dari kenderaan bermotor, kesannya bukan hanya terhadap iklim di sana sahaja, tetapi mempengaruhi keadan iklim seluruh dunia.

Indeks iklim[sunting | sunting sumber]

Pengkaji iklim menggunakan indeks iklim dalam percubaan mereka mencirikan dan memahami dengan lebih mendalam mengenai iklim, khususnya mekanisme yang mempengaruhi kebolehan kita membuat ramalan cuaca setiap hari. Seperti indeks bursa saham, indeks iklim digunakan untuk mewakilkan naik turun unsur-unsur penting yang mempengaruhi iklim. Indeks iklim dirumus dengan objektif berkembar: mudah dan sempurna. Mengikut fitrahnya, indeks adalah mudah dan menggabungkan banyak butiran iklim ke dalam satu keterangan umum dan menyeluruh bagi atmosfera ataupun lautan boleh digunakan untuk mencirikan faktor-faktor yang mempengaruhi system cuaca secara sejagat.

Oleh kerana iklim indeks umumnya ditentukan daripada pengukuran-pengukuran yang dibuat dalam kawasan setempat, ia boleh memberi kesan di kawasan lain sekitar dunia, melalui proses yang kadangkala dipanggil hubungan jauh (teleconnection).

Iklim mikro[sunting | sunting sumber]

Iklim mikro merujuk kepada keadaan iklim bagi suatu kawasan kecil atau iklim tempatan. Iklim satu lokasi ialah satu rantaian kepada sistem iklim yang lebih besar, maka perubahan dalam sesuatu iklim akan mengakibatkan perubahan kepada sistem iklim yang lebih besar.

Pembangunan membawa kesan terhadap sistem iklim mikro. Pembangunan mengubah iklim mikro sesuatu kawasan; kesan utama ialah terhadap imbangan sinaran tenaga dan gangguan terhadap kitaran hidrologi. Penebangan pokok mengakibatkan kuantiti sinaran tenaga yang diserap oleh tanah lapang meningkat. Ini menyebabkan peningkatan suhu permukaan tanah dan suhu udara. Pembalikan sinaran tenaga bertambah hingga menyebabkan suhu udara meningkat.

Pembuangan tumbuhan yang berperanan sebagai penyerap air menyebabkan peningkatan larian (run-off) permukaan air. Tanah yang terdedah mudah terhakis dan air larian permukaan ini akan bergerak dengan cepat ke saliran. Penambahan kuantiti air yang bergerak dengan cepat menyebabkan banjir kilat. Kesan daripada perindustrian, gas-gas sisa seperti karbon monoksida dikeluarkan dan mengakibatkan pemanasan bumi secara keseluruhannya.

Iklim Malaysia[sunting | sunting sumber]

Gambar satelit menunjukkan sistem cuaca sekitar Malaysia, gambar Jabatan Kaji Cuaca Malaysia
Rencana utama: Iklim Malaysia

Malaysia terletak dalam kawasan doldrum khatulistiwa dan jarang sekali mempunyai keadaan langit tidak berawan langsung. Hakikat ini benar walaupun ketika musim kemarau teruk. Cahaya matahari juga boleh diperolehi setiap hari, tanpa mengira musim. Jarang sekali Malaysia mengharungi tempoh ketika mana cahaya matahari tidak kelihatan, walaupun semasa musim monsun timur laut. Iklim Malaysia mempunyai suhu yang seragam sepanjang tahun, dengan julat percanggahan suhu yang agak kecil sepanjang tahun. Udaranya mempunyai kadar kelembapan yang tinggi, dan mempunyai tiupan angin yang, pada keseluruhannya, agak lemah.

Keadaan angin di Malaysia tidak kencang dan arahnya berubah-­ubah. Terdapat perubahan bertempoh dalam corak tiupan angin. Empat musim boleh dibezakan iaitu monsun barat daya, monsun timur laut dan dua musim peralihan monsun yang lebih pendek. Semasa musim-­musim peralihan monsun dan semasa palung khatulistiwa merentangi Malaysia, angin berkelajuan lemah dan arahnya berubah-­ubah.

Monsun barat daya biasanya bermula pada akhir bulan Mei atau awal bulan Jun dan tamat pada akhir bulan September. Angin lazim bertiup dari arah barat daya dengan kelajuan tidak melebihi 15 knot. Monsun timur laut bermula awal November dan berakhir pada bulan Mac. Angin lazim adalah dari arah timur atau timur laut dengan kelajuan antara 10 dan 20 knot. Negeri-­negeri pantai timur Semenanjung Malaysia lebih terjejas di mana kelajuan angin boleh melebihi 30 knot akibat luruan kuat udara sejuk dari utara (luruan sejuk).

Sebagai negara yang dikelilingi laut, Malaysia merasai kesan nyata daripada tiupan bayu laut dan bayu darat, terutama pada hari-hari yang tidak berawan. Pada petang yang cerah, bayu laut dengan kelajuan 15 knot akan terjadi dan boleh mencapai beberapa puluh kilometer ke dalam kawasan pendalaman. Pada malam langit terang, proses sebaliknya berlaku dan bayu darat akan terjadi di kawasan pantai.

Rujukan[sunting | sunting sumber]