Sigmund Freud

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Foto kumpulan 1909 di depan Universiti Clark. Baris depan dari kiri: Sigmund Freud, Granville Stanley Hall, Carl Jung. Baris belakang dari kiri: Abraham A. Brill, Ernest Jones, Sandor Ferenczi.

Sigmund Freud (6 Mei 185623 September 1939) ialah seorang ahli neurologi Austria serta pengasas psikoanalisis, satu subbidang psikologi. Beliau paling dikenali untuk kajian-kajiannya terhadap nafsu berahi, penindasan, dan fikiran bawah sedar. Freud sering dirujuk sebagai "Bapa Psikoanalisis", dan kerja-kerjanya amat terpengaruh dalam imaginasi yang popular — mempopularkan tanggapan-tanggapan terhadap fikiran bawah sedar, mekanisme pertahanan, kesilapan sebut Freud, dan perlambangan mimpi — sementara memberi kesan-kesan yang abadi kepada berbagai-bagai bidang seperti sastera, filem, teori-teori Marxisme dan faham kewanitaan, kritikan kesusasteraan, serta falsafah, dan sudah tentunya, psikologi.

Kehidupan[sunting | sunting sumber]

Sigismund Schlomo Freud dilahirkan kepada sebuah keluarga Yahudi di Freiberg (Pribor), Moravia, dalam Empayar Austria (kini dimiliki oleh Republik Czech). Pada tahun 1877, ketika berumur 21 tahun, beliau menyingkatkan namanya menjadi "Sigmund." Walaupun Sigmund merupakan anak sulung ibunya antara lagi tiga orang adik lelaki dan lima orang adik perempuan, beliau mempunyai abang-abang tiri yang lebih tua daripada perkahwinan ayahnya yang pertama. Keluarganya mempunyai kewangan yang terhad dan tinggal disebuah rumah pangsa yang penuh sesak. Walaupun demikian, ibu bapanya berusaha untuk menggalakkan intelek Sigmund yang ketara sejak awal lagi, dan mereka lebih menyayanginya berbanding anak-anak yang lain. Sigmund mendapat tempat pertama dalam kelasnya untuk salah enam daripada lapan tahun persekolahannya, dan kemudian menyertai Universiti Vienna ketika berumur 17 tahun, dari 1873 hingga 1881.

Pada keseluruhannya, tidak banyak yang diketahui tentang kehidupan awal Freud kerana beliau telah memusnahkan dokumen-dokumen peribadinya sekurang-kurangnya dua kali, iaitu sekali pada tahun 1885, dan sekali lagi pada tahun 1907. Selain itu, dokumen-dokumennya yang kemudian dikawal dengan ketat dalam Arkib Sigmund Freud dan hanya diberikan kepada periwayat hidup rasminya, Ernest Jones, dan beberapa ahli golongan dalaman psikoanalisis.

Pada tahun 1886, Freud pulang ke Vienna, dan selepas membuka klinik yang mengkhususkan dalam gangguan saraf dan otak, beliau berkahwin. Beliau menguji kaji dengan hipnotisme pada pesakit-pesakit histeria dan neurosis yang paling teruk, tetapi kemudian menutup kliniknya. Semasa membuat uji kaji, Freud mendapati bahawa jika beliau membaringkan pesakit-pesakitnya di atas katil, beliau dapat menggalakkan mereka untuk bercakap tentang apa-apa sahaja yang difikirkan (suatu praktik yang diistilahkan sebagai kaitan bebas).

Dalam tempoh umur empat puluhan, Sigmund "menghidapi banyak jenis celaru psikosomatik serta ketakutan berlebih-lebihan terhadap kematian diri sendiri dan fobia-fobia yang lain" (Corey, 2001, m.s. 67). Pada masa itu, Sigmund terlibat dalam usaha-usaha untuk memeriksa mimpi-mimpi sendiri, serta dinamik perkembangan personaliti. Dalam analisis diri ini, beliau mendapati perasaan pemusuhan terhadap ayahnya (Jacob Freud) dan "beliau teringat perasaan nafsu berahi pada masa kanak-kanak terhadap ibunya yang merupakan seorang wanita yang menarik, mesra, dan bersifat melindungi" (Corey, 2001, m.s. 67). Corey (2001) menganggap tempoh kesukaran emosi ini sebagai tempoh yang paling kreatif dalam kehidupan Sigmund.

Selepas menerbitkan beberapa buku laris mengenai fikiran bawah sedar pada tahun 1900 dan 1901, Sigmund dilantik sebagai profesor di Universiti Vienna di mana beliau memperoleh banyak pengikut yang setia.

Sigmund tidak tahan dengan rakan-rakan sekerja yang menyimpang daripada doktrin-doktrin psikoanalisisnya. Beliau mencuba memecat mereka yang tidak bersetuju dengan gerakannya atau enggan menerima aspek-aspek teorinya yang utama (Corey, 2001): contoh-contoh yang paling terkenal ialah Carl Jung dan Wilhelm Reich. Sigmund menulis bidasan yang kejam terhadap kedua-dua Jung dan Alfred Adler dalam sebuah karyanya, "Mengenai Sejarah Gerakan Psikoanalisis".

Pada tahun 1930, Sigmund telah dianugerahkan dengan Hadiah Goethe oleh bandar raya Frankfurt sebagai penghormatan kepada sumbangan-sumbangannya dalam bidang psikologi. Ibunya meninggal dunia pada tahun yang sama ketika berumur sembilan puluh lima tahun. Pada tahun 1933, ketika Adolf Hitler dan Nazi merampas kuasa di Jerman, buku-buku Sigmund telah dibakar oleh S. A. di khalayak ramai.

Plak peringatan untuk Sigmund Freud di tempat kelahirannya di Pribor, Republik Czech.

Menyusul Anschluss Jerman Nazi, Sigmund melarikan diri dari Austria bersama-sama keluarganya dengan bantuan kewangan daripada Puteri Marie Bonaparte, pesakit dan kawannya. Pada 4 Jun 1938, Sigmund dan keluarganya dibenarkan melintasi sempadan masuk ke Perancis, dan mereka membuat perjalanan dari Paris ke Hampstead, London, England, di mana mereka tinggal di 20, Taman Maresfield (kini Muzium Freud). Sewaktu meninggalkan Jerman, Gestapo memaksa Sigmund menulis dan menandatangani satu kenyataan yang mengatakan bahawa beliau telah diperlakukan dengan penuh hormat. Sigmund menulis: "Aku dengan mesra menyarankan Gestapo kepada setiap orang."

Di England pada tahun 1938, keinginan Sigmund untuk diterima oleh masyarakat sebagai seorang ahli sains yang penting mencapai setakat kejayaan ketika dua orang setiausaha daripada Persatuan Diraja membawa buku Persatuan itu untuk ditandatanganinya. Sigmund menulis kepada kawannya, Arnold Zweig: "Mereka meninggalkan senaskhah salinan tepat buku itu untuk aku dan jika kau di sini, aku boleh menunjukkan kepada engkau tandatangan-tandatangan Isaac Newton hingga Charles Darwin. Teman-teman yang baik!"

Sigmund menghisap cerut pada kebanyakan hayatnya, termasuk juga selepas rahangnya dibuang melalui pembedahan, akibat barah, sehingga kematiannya pada 23 September 1939. Beliau menghisap sekotak cerut setiap hari. Selepas menghidapi barah mulut pada tahun 1923 ketika berumur 67 tahun, beliau menjalani melebihi 30 pembedahan untuk merawat penyakitnya dan selama banyak tahun, memakai prostesis yang amat menyakitkan untuk memisahkan mulut daripada rongga hidungnya. Akhirnya, Sigmund tidak tahan lagi sakit yang dikaitkan dengan barahnya, dan kemudian menjemput pakar perubatan peribadinya ke rumahnya di London untuk tujuan mengakhirkan hayatnya. Kematian Sigmund disebabkan oleh dos morfina berlebihan yang dibantu oleh pakar perubatan.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Wikiquote-logo.svg
Wikiquote mempunyai koleksi petikan mengenai:
Wikisource