Wong Ho Leng

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Wong Ho Leng
黄和联
Anggota Parlimen Malaysia
untuk Sibu
Dalam jawatan
16 Mei 2010 – 2013
Didahului olehRobert Lau Hoi Chew (SUPP-BN)
Digantikan olehOscar Ling Chai Yew
Majoriti398
Anggota Dewan Undangan Negeri Sarawak
untuk Bukit Assek
Dalam jawatan
20 Mei 2006 – 21 Jun 2014
Didahului olehDaniel Ngieng Kiong Ann (SUPP-BN)
Digantikan olehIrene Mary Chang Oi Ling
Majoriti4751
Butiran peribadi
Lahir(1959-12-21)21 Disember 1959
Sibu, Jajahan Mahkota British Sarawak
Meninggal dunia21 Jun 2014(2014-06-21) (umur 54)
Sibu, Sarawak, Malaysia
Parti politik DAPPakatan Rakyat
PasanganIrene Chang
Anak-anak5
KediamanSibu, Sarawak, Malaysia
PekerjaanAhli politik
ProfesionPeguam
Laman web rasmihttp://holeng.dapsarawak.com/

Wong Ho Leng (Bahasa Cina: 黄和联) (21 Disember 1959 – 21 Jun 2014) merupakan seorang ahli politik negeri Sarawak. Beliau pernah menjadi pengerusi bagi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Malaysia. Beliau juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan Bukit Assek, Sarawak dan ketua pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN Sarawak) pada tahun 2006. Beliau juga adalah ahli parlimen bagi kawasan Sibu pada 2010. Beliau merupakan pengerusi bagi jawatankuasa DAP negeri Sarawak pada tahyn 2001. Beliau juga dilantik menjadi Naib pengerusi bagi jawatankuasa eksekutif pusat DAP sehingga tahun 2008.[1]

Kehidupan peribadi[sunting | sunting sumber]

Beliau dilahirkan pada 21 Disember 1959 di rumah petani miskin di Bukit Igu, Sibu (berhampiran Sungai Bidut). Beliau merupakan anak kelima daripada 14 adik-beradik beliau. Kedua-dua ibu bapanya berusia 78 tahun dan beragama Kristian. Wong Ho Leng berkahwin pada tahun 1990 dengan Irene Chang dan mempunyai 5 orang anak (4 perempuan dan 1 lelaki).[1]

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Beliau tamat pendidikan rendah di Sekolah Jenis Kebangsaan Ting Sing pada tahun 1971. Beliau melanjutkan pendidikan menengahnya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tung Hua dan tamat di Tingkatan 5 pada tahun 1977. Beliau tamat Tingkatan Enam Rendah di Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist pada tahun 1978. Beliau selesai Tahun 12 di Sekolah Menengah Ashfield Boys, Sydney, Australia pada tahun 1979. Beliau melanjutkan pelajarannya ke institusi pengajian tinggi di Universiti New South Wales dan Universiti Sydney dari tahun 1980 hingga tahun 1984 dan mendapat ijazah dalam bidang perdagangan/ekonomi dan undang-undang.[1]

Kerjaya undang-undang dan politik[sunting | sunting sumber]

Wong Ho Leng telah menolak peluang pekerjaan yang bagus di Sydney, Australia, dan memutuskan untuk pulang ke Malaysia untuk berkhidmat untuk negara. Beliau menjadi rakan perundangan di Siong & Wong Advocates, Sibu pada tahun 1985. Beliau menyertai Parti Tindakan Demokratik (DAP) sebagai ahli sepanjang hayat pada 19 April 1986 dan bertanding dalam pilihan raya parlimen di Miri menentang Peter Chin Fah Kui pada tahun yang sama. Pada tahun berikutnya, beliau bertanding dalam pilihan raya negeri untuk menentang George Chan Hong Nam. Beliau tewas dalam kesemua pilihan raya tersebut. Selepas itu, beliau berpindah kembali dari Miri ke Sibu pada tahun 1988 untuk meneruskan pekerjaan dalam bidang undang-undang.[1]

Pada tahun 1995, 2004, dan 2008, beliau bertanding untuk menentang Robert Lau Hoi Chew dalam pilihan raya parlimen Sibu tetapi tewas kesemuanya. Pada tahun 1996, beliau memenangi kerusi DUN dengan majoriti tipis 226 undi bagi kawasan Bukit Assek dengan menewaskan Timbalan Ketua Menteri Sarawak pada masa itu, iaitu Dr Wong Soon Kai. Beliau tewas kepada Tiong Thai King dalam pilihan raya parlimen pada tahun 1999. Pada tahun 2001, beliau tewas sekali lagi dalam pilihan raya negeri Sarawak dalam usaha untuk mempertahankan kerusi DUN Bukit Assek. Beliau berjaya merampas semula kerusi tersebut daripada Daniel Ngieng Kiong Ann dengan majoriti besar sebanyak 4751 undi dalam Pilihanraya DUN Sarawak 2006.[1]

Dalam Pilihan raya kecil Sibu 2010, beliau telah memenangi kerusi parlimen DUN Sibu dengan majoriti yang tipis. Kemenangan tersebut menunjukkan DAP telah merampas semula kerusi tersebut dari Barisan Nasional (BN) selepas 24 tahun dimenangi oleh BN.

Pilihanraya Sarawak 2011 telah menyaksikan kejayaan beliau mempertahankan kerusi DUN Bukit Assek,dengan jumlah undi sebanyak 13527 undi,manakala lawan beliau,Chieng Buong Toon dari SUPP memperolehi 4700 undi dan calon bebas Hii Tiong Huat,hanya 180 undi.

Penggantungan dari DUN Sarawak[sunting | sunting sumber]

Wong Ho Leng telah digantung dari DUN Sarawak selama satu tahun dari 13 Mei 2009 kerana ucapannya dalam DUN pada November 2008. Speaker Datuk Seri Mohamad Asfia Awang Nassar meluluskan usul penggantungan yang dikemukakan oleh Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, iaitu Datuk Seri Dr James Jemut Masing dan disokong oleh ADUN Tarat, Roland Sagah. Keputusan pengundian telah menunjukkan sokongan 60 ADUN Barisan Nasional dan bantahan 7 ADUN pembangkang untuk usul tersebut.[2]

Kesihatan[sunting | sunting sumber]

Pada 12 Januari 2013, Wong memberitahu beliau telah didiagnosis tumor otak (glioma) yang bertanggungjawab untuk menganggu kelancaran ucapannya dan menjejaskan fungsi menelan.[3] Beliau telah menjalani enam minggu kemoterapi dan radioterapi di Singapura. Pada 23 Februari, beliau mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan kerusi parlimen Sibu pada pilihan raya umum 2013 atas nasihat doktor.[4] Beliau menjadi koma pada 2 Mei 2014 namun tidak pernah sedar selepas itu.[5] Pada 17 Mei, kerajaan Sarawak telah meluluskan RM1 juta untuk membayar perbelanjaan perubatan Ho Leng.[6]

Meninggal dunia[sunting | sunting sumber]

Beliau meninggal dunia pada 21 Jun 2014 di Pusat Perubatan Rejang, Sibu selepas perjuangan setahun setengah dengan tumor otak. Pengebumian beliau telah diadakan di gereja Methodist Hwai Ang dan jenazahnya dikebumikan di Perkuburan Methodist, Sibu.[7]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d e "PRK Sibu : Jom kenali calon Pakatan Rakyat". Pakatan Rakyat. 8 Mei 2010. Dicapai pada 11 August 2010.
  2. ^ DUN Sarawak Gantung Adun DAP Selama 12 Bulan
  3. ^ Hii, Philip (12 January 2013). "Sibu MP Wong Ho Leng: I have brain tumour". The Star. Dicapai pada 27 February 2013.
  4. ^ Hii, Philip (23 February 2013). "Sibu MP not contesting in GE13". The Star. Dicapai pada 27 February 2013.
  5. ^ Chua, Andy (2 May 2014). "Bukit Assek assemblyman Wong Ho Leng in coma". The Star. Dicapai pada 22 June 2014.
  6. ^ "DAP thanks Sarawak state government for helping to pay Ho Leng's bill". The Star. 17 May 2014. Dicapai pada 22 June 2014.
  7. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; teks bagi rujukan funeral tidak disediakan