Agama Yahudi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Yahudi ("Judaica") (pusingan jam dari atas): Kaki lilin Shabbat, cawan basuh tangan, Chumash dan Tanakh, penunjuk Torah, shofar dan kotak etrog.

Teras kepercayaan penganut Agama Yahudi/Judais ialah wujudnya Tuhan yang Maha Esa (YHWH), pencipta dunia yang menyelamatkan Bani Israel dari penindasan di Mesir, menurunkan undang-undang YHWH (Torah) kepada mereka dan memilih mereka sebagai cahaya kepada manusia sejagat. Agama Yahudi merupakan agama monoteisme yang berpegang kepada kepercayaan bahawa Tuhan adalah satu dan tunggal, dan merupakan salah satu agama dari keluarga agama samawi.

Penganut Yahudi percaya YHWH telah membuat perjanjian dengan Nabi Ibrahim bahawa beliau dan cucu-cicitnya akan diberi berkat sekiranya mereka kekal beriman kepada YHWH. Perjanjian ini kemudiannya diulangi oleh nabi-nabi Ishak dan Yaakub. Oleh sebab nabi-nabi Ishak dan Yaakub ialah dari bangsa Yahudi, mereka percaya merekalah bangsa pilihan (Chosen One). Penganut Yahudi dipilih untuk melaksanakan tugas-tugas dan tanggungjawab-tanggungjawab khas, seperti mewujudkan masyarakat yang adil dan saksama dan berkhidmat kepada Tuhan. Sebagai balasan mereka akan menerima kecintaan serta perlindungan YHWH. YHWH kemudiannya menganugerahkan mereka sepuluh perintah yang sekarang dikenali sebagai Sepuluh Perintahmelalui ketua mereka Nabi Musa, yang mereka anggap sebagai seorang Putera.

Sinagog merupakan pusat masyarakat serta keagamaan yang utama dalam agama Yahudi, manakala Rabbi ialah mereka yang pakar dalam hal-hal keagamaan.

Hari-Hari Keagamaan[sunting | sunting sumber]

Keluarga merupakan unit yang utama dalam agama ini dan penganutnya yang setia akan melakukan sembahyang 3 waktu setiap hari iaitu Shakharit (subuh), Minkha (zohor) dan Ma'ariv (maghrib).

Hari Sabtu merupakan hari utama yang dipanggil hari Sabbat. Antara waktu senja Jumaat sehingga senja hari Sabtu mereka akan menyalakan lilin dan memberkati wain serta roti Khallah untuk disantap. Hari ini adalah dilarang bekerja dan terdapat pelbagai larangan lain yang perlu diikuti untuk menghormati hari Sabbat.

Antara perayaan Yahudi ialah Rosh Hashanah (Tahun Baru) dan Yom Kippur (Hari Kifarah Dosa). Perayaan-perayaan lain dalam agama Yahudi ialah Pesakh (Hari Pembebasan Bani Israel dari Mesir), Shavuot (Hari Nuzul Taurat). Perayaan kecil pula ialah Hanukkah (Pesta Cahaya) dan Purim iaitu hari memperingati pahlawan-pahlawan Yahudi.

Kitab dan teks utama[sunting | sunting sumber]

Kitab Ibrani dipanggil Tanakh, sebuah kitab besar yang terdiri dari 24 buah kitab yang dihimpun kepada 3 kumpulan:

Tanakh juga disebut Torah Shebikhtav yang bermaksud Taurat Bertulis atau Undang-Undang Bertulis.

Selain itu terdapat juga Talmud yang dipanggil Torah Shebe'al Peh yang bermaksud Taurat Lisan atau Undang-Undang Lisan. Ia merupakan tafsiran serta komentar dan syarahan mengenai Taurat dari para rabbi dan cendekiawan. Talmud terdiri daripada dua bahagian iaitu Mishnah dan Gemarah. Kandungan Talmud pula terdiri daripada ayat-ayat yang berunsurkan Halakhah (syariah Yahudi), dan Aggadah (legenda dan sejarah Yahudi).

Tafsiran pada Tanakh dan Talmud dipanggil Midrash. Terdapat pelbagai jenis kitab Midrash yang boleh dibahagikan kepada Midrash Halakhah dan Midrash Aggadah.

Kabbalah pula ialah bahagian mistik dalam agama Yahudi yang membincangkan perihal zat-zat ketuhanan. Kitab yang digunakan dalam aspek ini ialah Zohar.

Untuk liturgi bagi sesi ritual, sembahyang dan ibadat Yahudi, mereka menggunakan kitab Siddur (kitab sembahyang harian) dan juga kitab Makhzor (kitab ibadat pada perayaan khusus).

Adat-adat dan undang-undang penganut Yahudi[sunting | sunting sumber]

Kebanyakan penganut Yahudi mengikuti undang-undang pemakanan yang termaktub di dalam Torah yang melarang campuran susu dengan daging atau makanan yang berasaskan keduanya. Daging babi, keldai, kuda, arnab dan makanan laut bercengkerang seperti udang, ketam, kerang dan sotong juga adalah terlarang dalam agama Yahudi. Makanan yang disediakan menurut undang-undang tersebut serta daging yang disembelih oleh pihak Rabbi dipanggil Kosher.

Budak-budak lelaki juga dikhatankan (sewaktu umur 8 hari) selaras dengan perjanjian Nabi Ibrahim dengan YHVH. Dan apabila seorang budak lelaki mencapai umur kematangan iaitu 13 tahun, dia akan diraikan kerana menjadi ahli masyarakat Yahudi dalam upacara dipanggil Bar Mitzvah di mana kehadirannya dalam sebuah jemaah sembahyang dipanggil Minyan adalah dikira sebagai ahli kuorum yang minimumnya 10 orang untuk sebuah sembahyang berjemaah dilaksanakan.

Selepas kematian, mereka akan berkabung selama seminggu di mana mereka akan membacakan Kaddish. Agama dan perkauman saling kait mengait dalam masyarakat Yahudi. Misalnya pengambilan riba adalah berdosa sesama kaum Yahudi tetapi adalah dibenarkan dengan mereka yang bukan Yahudi.

Yahudi memanggil YHWH dengan nama HaShem yang bermaksud The Name kerana nama YHWH adalah suci dan terlarang daripada disebut atau ditulis. Ketika mereka beribadat, berdoa dan juga membaca kitab, nama YHWH dibaca sebagai Adonai yang bererti Tuhan atau Lord.