Tuhan dalam agama Yahudi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Nama Ibrani Tuhan pada halaman manuskrip Sefardi Bible Ibrani (1385)

Dalam agama Yahudi, terdapat pelbagai pemahaman tentang Tuhan.[1] Menurut asalnya, agama Yahudi percaya bahawa Yahweh, tuhan Abraham, Ishak, Yaakub dan bani Israel menyelamatkan mereka daripada perhambaan di Mesir, dan memberikan mereka Hukum-hakam Musa di Gunung Sinai, seperti dalam Taurat.[2][3][4] Orang Yahudi asalnya percaya pada keesaan Tuhan ("Yahweh adalah satu"),[3][5][6] yang berada di luar alam semesta dan pada masa yang sama terlibat secara aktif dalam alam semesta).[3]

Tuhan dianggap unik dan sempurna, bebas daripada segala kesalahan, kekurangan dan kecacatan, malah maha berkuasa, maha hadir, maha mengetahui, tidak terpermana dalam semua sifatnya, satu-satunya pencipta segala yang wujud dan tidak mempunyai pasangan atau sekutu.[3][7] Dalam agama Yahudi, Tuhan tidak pernah digambarkan.[8] Taurat tegas melarang menyekutukan kuasa Tuhan, kerana dipercayai bahawa tiada sesiapa sepertinya, dia tidak berbelah bahagi dan tiada tandingan, serta tiada yang serupa dengannya.[3][7] Maka, Tuhan langsung tidak menyamai apa-apa di dalam atau di dunia, juga melebihi apa yang boleh manusia fikirkan atau ungkapkan.[3][7] Nama-nama Tuhan yang paling kerap digunakan dalam Bible Ibrani ialah Tetragramaton (Ibrani: יהוה, rumi: YHWH) dan Elohim.[3][9] Nama lain Tuhan dalam agama Yahudi tradisional termasuk el-Elyon, el Syaddai, dan Syekhinah.[9]

Menurut teologi rasionalistik yang diutarakan oleh ahli falsafah dan mufti Yahudi zaman pertengahan, Moses Maimonides, yang kemudiannya banyak mempengaruhi pandangan Yahudi rasmi dan tradisional, Tuhan adalah satu-satunya pencipta, yang esa, tidak dapat dibahagikan dan tiada bandingan.[3][7] Maimonides bersetuju dengan idea Ibnu Sina bahawa Tuhan itu Maha Esa, wujud di mana-mana dan tidak berjasad,[7] serta Tuhan diperlukan untuk wujudnya alam semesta. Selain itu, beliau menyanggah idea Aristotle bahawa Tuhan tidak mengubah apa-apa, juga kepercayaan-kepercayaan lain Aristotle seperti menafikan bahawa Tuhan mencipta segala-galanya sementara mengatakan dunia asalnya memang wujud.[7] Kepercayaan tradisional Yahudi mengatakan Tuhan adalah umpama "orang" yang boleh membantu manusia tetapi juga berkuasa dan di luar pemahaman insan,[9] manakala beberapa tafsiran moden menekankan Tuhan bukan "seseorang" tetapi lebih kepada satu idea atau zat yang kuat, tidak mengambil peduli dengan alam semesta.[1][3]

Nama[sunting | sunting sumber]

Batu Bersurat Mesha mempunyai sebutan tuhan Israel, Yahweh, yang paling awal yang diketahui (840 SM).[10]

Nama Tuhan yang paling kerap digunakan dalam Bible Ibrani ialah Tetragramaton (Ibrani: יהוה, rumi: YHWH).[9] Orang Yahudi mengikut adat tidak menyebutnya, dan sebaliknya memanggil Tuhan ha-Syem, harfiahnya bererti "Nama".[9] Dalam sembahyang, Tetragramaton digantikan dengan menyebut Adonai, yang bermaksud "Tuhanku".[6] Ini terutamanya digunakan dalam Taurat: "Dengarlah, wahai bani Israel: TUHAN ialah Tuhan kita, TUHAN itu Esa" (Ulangan 6:4).[6] Para ulama Yahudi umumnya sepakat sebutan asal nama itu adalah "Yahweh".[11] Dalam tafsiran tradisional Yahudi, Tuhan selalu dirujuk dengan kata sandang maskulin sahaja.[12]

Ketuhanan[sunting | sunting sumber]

Dalam agama Yahudi, Ketuhanan bermaksud sifat dalaman atau bahagian penting Tuhan yang di sebalik semua yang Tuhan lakukan atau miliki (zat Tuhan).

Tanggapan rasionalis[sunting | sunting sumber]

Dalam kepercayaan Maimonides dan pemikir-pemikir Yahudi lain yang menggunakan akal, tidak banyak yang dapat difahami tentang Tuhan, kecuali mengetahui bahawa Tuhan itu wujud. Ini pun hanya boleh dinyatakan dengan tidak jelas.

Jadi, mana dapat kita menggambarkan hubungan antara Tuhan dan perkara yang bukan Tuhan sedangkan tiada ciri-ciri yang sama antara kedua-duanya? Kami percaya bahawa Tuhan itu wujud—semoga Tuhan dipuji—tetapi kami maksudkannya dengan cara yang berbeza. Hakikatnya, tidak ada hubungan antara Tuhan dan apa-apa ciptaan Tuhan.

— Maimonides, Moreh Nevuchim (Pines 1963)

Tanggapan Kabbalah[sunting | sunting sumber]

Dalam kepercayaan Kabbalah, "Ketuhanan" biasanya merujuk kepada konsep Ein Sof (אין סוף), iaitu aspek Tuhan yang wujud di luar aspek-aspek lain Tuhan (sefirot). Ketuhanan dianggap sebagai paduan yang terhubung dan fleksibel yang sifatnya dipengaruhi oleh manusia.[13] Manusia tidak dapat mengetahui sepenuhnya Ketuhanan, sama dengan pemikiran rasionalis. Seperti Jacobs (1973) katakan, "Kita tidak boleh mengatakan apa-apa tentang Tuhan sebagaimana Tuhan sebenarnya—Ein Sof—dan tiada pemikiran boleh mencapai tahap itu".

Ein Sof adalah tempat di mana kelupaan dan kealpaan bertemu. Mengapa? Kerana dengan semua sefirot, kita boleh memahami sifat sebenarnya dengan mendalami ilmu tasawuf. Dari situ perkara yang lain dapat dipelajari. Namun dengan Ein Sof, tiada cara untuk mencari atau menyiasat apa-apa mengenainya; tiada apa yang boleh diketahui kerana ia tersembunyi dan dirahsiakan dalam misteri kekosongan.

— David ben Judah Hehasid, Matt (1990)

Sifat yang dikaitkan kepada Tuhan[sunting | sunting sumber]

Dalam tafsiran Yahudi tradisional hari ini, orang berfikir bahawa Tuhan sentiasa ada, maha berkuasa, mengetahui segala-galanya, dan pencipta dunia. Tuhan juga menetapkan akhlak dan tatakelakuan.[3][4][7]

Berdaya cipta[sunting | sunting sumber]

Maimonides menggambarkan Tuhan begini: "Asas semua asas dan tiang pengetahuan ialah mengetahui bahawa ada Makhluk Utama yang mewujudkan semua kewujudan. Semua kewujudan di langit, bumi, dan apa yang di antara wujud hanya dengan kebenaran kewujudan-Nya."[14]

Maha Mengetahui[sunting | sunting sumber]

Orang Yahudi sering menjelaskan yang Tuhan maha mengetahui,[15] namun beberapa ahli falsafah Yahudi zaman pertengahan yang terkemuka berpendapat bahawa Tuhan tidak mempunyai pengetahuan yang sedia ada tentang perbuatan manusia. Gersonides, contohnya, berpendapat bahawa Tuhan tahu pilihan yang ada bagi setiap individu tetapi Tuhan tidak tahu pilihan yang individu itu akan buat.[16] Abraham bin Daud percaya bahawa Tuhan tidak maha mengetahui atau maha berkuasa berkenaan dengan tindakan manusia.[17]

Maha Kuasa[sunting | sunting sumber]

Orang Yahudi sering menjelaskan Tuhan sebagai maha kuasa, dan menganggap idea itu berasal daripada Bible Ibrani.[15] Akan tetapi, beberapa ahli teologi Yahudi moden berpendapat bahawa Tuhan tidak maha kuasa dan telah menemui banyak sumber alkitab dan klasik untuk menyokong pandangan ini.[18] Pandangan tradisional mengatakan Tuhan mempunyai kuasa untuk campur tangan di dunia.

Hadir di mana-mana[sunting | sunting sumber]

"Oleh itu ingatlah hari ini dan jangan lupa bahawa TUHAN satu-satunya Tuhan di langit dan di bumi" (Ulangan 4:39)

Maimonides menyimpulkan daripada ayat ini bahawa Tuhan ada di mana-mana maka tidak berjasad, kerana entiti jasmani tidak mampu berada di dua tempat serentak.[19]

Tidak berjasad dan tidak berjantina[sunting | sunting sumber]

"Dengan siapa kamu hendak menyamakan Aku sehingga Aku sejajar dengannya?" (Yesaya 40:25) Maimonides menyimpulkan daripada ayat ini bahawa, "sekiranya Dia berjasmani, Dia akan menjadi seperti jasad-jasad lain".[19]

Walaupun Tuhan dalam Tanakh dirujuk dengan imej dan partikel nahu maskulin, falsafah Yahudi tradisional tidak memberikan Tuhan jantina.[20] Walaupun kepustakaan Aggadah Yahudi dan mistisisme Yahudi kadangkala membahasakan Tuhan dengan jantina, untuk tujuan puitis atau sebagainya, ia tidak pernah dianggap oleh orang Yahudi hendak mendakwa Tuhan mempunyai jantina khusus.

Sesetengah pemikir Yahudi moden berhati-hati untuk menjelaskan bahawa Tuhan bukan lelaki atau perempuan,[21] konsep yang dilihat tidak boleh digunakan untuk Tuhan.

Tradisi Kabbalah berpendapat bahawa pancaran ketuhanan terdiri daripada sepuluh sifat, dipanggil sefirot.

Tidak dapat dibayangkan[sunting | sunting sumber]

Taurat mengaitkan beberapa ciri manusia kepada Tuhan, namun penulisan keagamaan Yahudi lain menyatakan Tuhan tidak berbentuk dan biduniawi. Agama Yahudi bersifat anikonik, bermakna ia tidak membuat gambaran bagi dunia fana atau alam ghaib. Tambahan pula, penyembahan berhala dilarang sama sekali. Pandangan tradisional, dihuraikan oleh tokoh-tokoh seperti Maimonides, menganggap bahawa Tuhan tidak dapat difahami sepenuhnya dan oleh itu mustahil untuk dibayangkan, mencetuskan tradisi "kenirjasadan ilahi". Oleh itu, cubaan untuk menggambarkan "penampilan" Tuhan dianggap cabul, malah mungkin sesat.

Tanggapan mengenai Tuhan[sunting | sunting sumber]

Peribadi[sunting | sunting sumber]

Wahyu diturunkan kepada umat di Gunung Horeb dalam ilustrasi daripada kad Alkitab, diterbitkan oleh Syarikat Litograf Providence, 1907

Dalam kebanyakan kepercayaan Yahudi tradisional, Tuhan dianggap sebagai tuhan peribadi. Ini bermakna manusia boleh menjalinkan hubungan dengan Tuhan dan sebaliknya. Rabai Samuel S. Cohon menjelaskan bahawa "Tuhan dalam tanggapan agama Yahudi bukan sahaja Pencetus Segala, Kuasa Daya Cipta, dan Roh Dunia, tetapi juga Bapa Manusia yang hidup dan penyayang. Dia bukan sahaja menjaga alam semesta tetapi juga diri peribadi.... Tauhid Yahudi menganggap Tuhan mempunyai perwatakan atau keperibadian yang tentu, manakala panteisme berpuas hati dengan pandangan bahawa Tuhan tidak peribadi (mengambil berat tentang manusia)." Ini dibuktikan dalam sembahyang Yahudi, seperti dalam lagu pujian Adon Olam, yang menegaskan dengan yakin bahawa "Dia adalah Tuhanku, Tuhanku yang hidup...Yang mendengar dan menjawab."[22] Edward Kessler menulis bahawa Bible Ibrani "menggambarkan satu pertemuan dengan Tuhan yang amat mengambil berat dan yang menyapa manusia pada saat-saat tenang dalam kewujudannya."[23] Ketua rabai British Jonathan Sacks berpendapat bahawa Tuhan "tidak jauh dalam masa atau terpisah, tetapi terlibat dan hadir dengan semangat membara".[23]

Apabila kita mengatakan Tuhan mempunyai sifat "peribadi", ia tidak bermakna Tuhan mempunyai tubuh fizikal seperti manusia. Sebaliknya, ia merujuk kepada intipati dalaman, emosi, mental dan moral Tuhan.[22] Walau bagaimanapun, beberapa teks Yahudi tradisional, seperti Shi'ur Qomah dari kepustakaan Heichalot, menyatakan ukuran anggota badan Tuhan.

Orang Yahudi percaya bahawa "Tuhan boleh dialami" tetapi "Tuhan tidak dapat difahami" juga, kerana "Tuhan langsung tidak seperti manusia" (seperti jawapan Tuhan kepada Musa apabila Musa menanya nama Tuhan: "Akulah Aku") . Pernyataan antropomorfik tentang Tuhan "difahamkan sebagai metafora linguistik, kerana sukar untuk bercakap tentang Tuhan tanpa menggunakan bahasa biasa."[23]

Menurut beberapa spekulasi dalam agama Yahudi tradisional, tindakan manusia langsung tidak mampu mempengaruhi Tuhan.[perlu rujukan] Kitab Ayub dalam Bible Ibrani menyatakan, "Pandanglah langit dan perhatikan betapa tingginya awan. Jika engkau berdosa, hal itu tidak merugikan Allah. Jika engkau melakukan banyak kesalahan, hal itu tidak memberikan kesan kepada Allah. Adakah engkau menolong Allah dengan perbuatan baikmu? Allah tidak memerlukan apa-apa daripada kamu. Kawan-kawan sesamamu yang menderita akibat kejahatanmu, dan mereka juga yang beruntung kerana kebaikanmu."[24] Walau bagaimanapun, beberapa teks Kabbalah bercakap tentang menggunakan amalan baik untuk mempengaruhi alam ilahi, dan teks-teks Kabbalah Amali (Ibrani: קבלה מעשית, kabbalah maasit) ‬mengajar mereka yang mahir menggunakan magik baik.[perlu rujukan]

Abraham Joshua Heschel mengemukakan pendapat bahawa Tuhan memerlukan manusia. Kerana Tuhan mahu dekat dengan manusia, Tuhan sentiasa ada bagi mereka yang mencari Dia. Keakraban ini menjalinkan hubungan rohani yang kuat kepada individu tersebut kerana Tuhan hadir, mengambil berat, dan terlibat dalam apa yang berlaku di dunia.[25]

Tidak peribadi[sunting | sunting sumber]

Pemikir-pemikir Yahudi moden percaya terdapat cara berfikir yang berbeza tentang tradisi, seperti yang dilakukan oleh Maimonides." Beliau, bersama beberapa ahli falsafah Yahudi lain, menolak idea bahawa Tuhan itu peribadi.[23] Menurut Kajian Landskap Agama AS oleh Forum Pew mengenai Kehidupan Agama dan Awam 2008, orang Yahudi Amerika dua kali lebih berkemungkinan menganggap Tuhan sebagai kuasa yang tidak peribadi daripada "orang" yang boleh dijalinkan hubungan bersama."[26]

Sesetengah pemikir Yahudi moden percaya Tuhan boleh dilihat sebagai alam semula jadi, idea untuk menjadi baik, atau kehadiran yang berkuasa di dunia, walaupun Tuhan bukan peribadi.

Baruch Spinoza mengusulkan satu pandangan panteis tentang Tuhan. Menurut beliau, Tuhan adalah segala-galanya dan segala-galanya adalah Tuhan. Maknanya hanya ada Tuhan dan tidak ada yang lain.[27] Dalam idea beliau, Tuhan dan alam adalah sama. Walaupun beliau telah dikucilkan daripada komuniti Yahudi di Amsterdam, ideanya tentang Tuhan kemudiannya diterima oleh beberapa orang Yahudi, terutamanya Zionis sekular Israel.[28]

Hermann Cohen menolak idea Spinoza bahawa Tuhan boleh ditemui dalam alam tetapi bersetuju bahawa Tuhan bukan suatu peribadi. Sebaliknya, beliau melihat Tuhan sebagai satu ideal, contoh ulung akhlak.[29] Tuhan bukan sahaja tidak dapat disamakan dengan alam tetapi Tuhan juga tidak dapat dibandingkan dengan apa-apa di dunia.[29] Ini kerana Tuhan adalah "Satu", unik dan tidak seperti yang lain.[29] Seseorang mengasihi dan menyembah Tuhan dengan hidup secara berakhlak dan mematuhi hukum moralnya: "cinta kepada Tuhan adalah cinta kepada moral."[29]

Serupa juga dengan Emmanuel Levinas, Tuhan itu etika, jadi seseorang menjadi lebih dekat dengan Tuhan apabila keadilan diberikan kepada Yang Lain. Ini bermakna kita dapat merasakan kehadiran Tuhan apabila kita berbuat baik dan menghormati orang lain. Memahami Tuhan bermakna memahami apa yang betul dan moral, jadi lebih patut memikirkan ajaran Tuhan daripada cuba menentukan apa itu Tuhan.[30]

Bagi Mordecai Kaplan, pengasas agama Yahudi Rekonstruksionis, Tuhan bukanlah seseorang, tetapi kuasa dalam alam semesta yang dialami; malah, bila-bila masa sesuatu yang berfaedah dialami, itulah Tuhan.[31] Tuhan adalah gabungan semua proses semula jadi yang membantu kita menjadi seperti yang sepatutnya, kekuatan yang membantu kita.[32] Oleh itu, Tuhan menurut Kaplan adalah muharad, bukan berjasad, dan tidak terperi. Dalam pendapat ini, Tuhan wujud di dalam alam semesta ini; bagi Kaplan, tiada dunia ghaib atau dunia lain. Seseorang mencintai Tuhan ini dengan mencari kebenaran dan kebaikan. Walaupun Kaplan tidak melihat Tuhan sebagai manusia, beliau faham bahawa membahasakan Tuhan seolah-olah Ia manusia boleh membantu orang ramai berasa terhubung dengan latar belakang mereka dan boleh menunjukkan bahawa "hidup ini bernilai."[33]

Agak serupa juga, Rabai Zalman Schachter-Shalomi, pengasas gerakan Pembaharuan Yahudi, memandang Tuhan sebagai satu proses. Beliau Dia memanggil proses ini "tuhan" untuk menjelaskan bahawa Tuhan sentiasa berubah dan berkembang dengan alam semesta.[34] Istilah tersebut menunjukkan bahawa Tuhan sentiasa membangkit dan berkembang seiring dengan penciptaan. Walaupun bahasa tradisional tentang Tuhan dapat memupuk pengalaman rohani, penting untuk diingat bahawa ia hanyalah satu cara untuk berhubung dengan Yang Tidak Terbatas dan tidak boleh dilihat sebagai kebenaran mutlak.[35]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b Tuling, Kari H. (2020). "PART 2: Does God Have a Personality—or Is God an Impersonal Force?". Dalam Tuling, Kari H. (penyunting). Thinking about God: Jewish Views. JPS Essential Judaism Series. Lincoln dan Philadelphia: University of Nebraska Press/Jewish Publication Society. m/s. 67–168. doi:10.2307/j.ctv13796z1.7. ISBN 978-0-8276-1848-0. LCCN 2019042781. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "Tuling 2020" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  2. ^ Stahl, Michael J. (2021). "The "God of Israel" and the Politics of Divinity in Ancient Israel". The "God of Israel" in History and Tradition. Vetus Testamentum: Supplements. 187. Leiden dan Boston: Brill Publishers. m/s. 52–144. doi:10.1163/9789004447721_003. ISBN 978-90-04-44772-1.
  3. ^ a b c d e f g h i j Grossman, Maxine; Sommer, Benjamin D. (2011). "GOD". Dalam Berlin, Adele (penyunting). The Oxford Dictionary of the Jewish Religion (ed. 2nd). Oxford dan New York: Oxford University Press. m/s. 294–297. doi:10.1093/acref/9780199730049.001.0001. ISBN 978-0-19-975927-9. LCCN 2010035774. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "Berlin 2011" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  4. ^ a b "Jewish Concepts: God". Jewish Virtual Library. American–Israeli Cooperative Enterprise (AICE). 2021 [2014]. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 April 2017. Dicapai pada 23 Oktober 2021. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "JVL" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  5. ^ Hayes, Christine (2012). "Understanding Biblical Monotheism". Introduction to the Bible. The Open Yale Courses Series. New Haven dan London: Yale University Press. m/s. 15–28. ISBN 978-0-300-18179-1. JSTOR j.ctt32bxpm.6.
  6. ^ a b c Moberly, R. W. L. (1990). ""Yahweh is One": The Translation of the Shema". Dalam Emerton, J. A. (penyunting). Studies in the Pentateuch. Vetus Testamentum: Supplements. 41. Leiden: Brill Publishers. m/s. 209–215. doi:10.1163/9789004275645_012. ISBN 978-90-04-27564-5. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "Moberly 1990" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  7. ^ a b c d e f g Lebens, Samuel (2022). "Is God a Person? Maimonidean and Neo-Maimonidean Perspectives". Dalam Kittle, Simon; Gasser, Georg (penyunting). The Divine Nature: Personal and A-Personal Perspectives (ed. 1st). London dan New York: Routledge. m/s. 90–95. doi:10.4324/9781003111436. ISBN 978-0-367-61926-8. LCCN 2021038406. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "Lebens 2022" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  8. ^ Asif, Agha, penyunting (Spring 2016). "Smashing Idols: A Paradoxical Semiotics" (PDF). Signs and Society. Chicago: University of Chicago Press bagi pihak Pusat Penyelidikan Semiosis di Hankuk University of Foreign Studies. 4 (1): 30–56. doi:10.1086/684586. ISSN 2326-4489. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 23 September 2017. Dicapai pada 20 Oktober 2021.
  9. ^ a b c d e Ben-Sasson, Hillel (2019). "Conditional Presence: The Meaning of the Name YHWH in the Bible". Understanding YHWH: The Name of God in Biblical, Rabbinic, and Medieval Jewish Thought. Jewish Thought and Philosophy (ed. pertama). Basingstoke dan New York: Palgrave Macmillan. m/s. 25–63. doi:10.1007/978-3-030-32312-7_2. ISBN 978-3-030-32312-7. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "Ben-Sasson 2018" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  10. ^ ""House of David" Restored in Moabite Inscription" (PDF). Biblical Archaeology Review. Washington, D.C.: Biblical Archaeology Society. 20. Mei–Jun 1994. ISSN 0098-9444. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 31 Mac 2012.
  11. ^ Botterweck, G. Johannes; Ringgren, Helmer, penyunting (1986). Theological Dictionary of the Old Testament. 5. Diterjemahkan oleh Green, David E. Grand Rapids, Michigan: Wm. B. Eerdmans. m/s. 500. ISBN 0-8028-2329-7. Diarkibkan daripada yang asal pada 23 Januari 2021. Dicapai pada 19 Mei 2020.
  12. ^ Christiano, Kevin J.; Kivisto, Peter; Swatos, William H. Jr., penyunting (2015) [2002]. "Excursus on the History of Religions". Sociology of Religion: Contemporary Developments (ed. 3rd). Walnut Creek, California: AltaMira Press. m/s. 254–255. doi:10.2307/3512222. ISBN 978-1-4422-1691-4. JSTOR 3512222. LCCN 2001035412.
  13. ^ Popkin, Richard Henry, ed. The Columbia history of western philosophy. Columbia University Press, 1999.
  14. ^ Mishneh Torah, buku HaMadda', bahagian Yesodei ha-Torah, bab 1:1 (Ibrani asal/terjemahan Inggeris)
  15. ^ a b ""Jewish Beliefs about God" in C/JEEP Curriculum Guide American Jewish Committee" (PDF). Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "ajcarchives.org" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  16. ^ Jacobs, Louis (1990). God, Torah, Israel: traditionalism without fundamentalism. Cincinnati: Hebrew Union College Press. ISBN 0-87820-052-5. OCLC 21039224.[halaman diperlukan]
  17. ^ Guttmann, Julius (1964). Philosophies of Judaism: The History of Jewish Philosophy from Biblical Times to Franz Rosenzweig. Bandar Raya New York: Holt, Rinehart and Winston. m/s. 150–151. OCLC 1497829.
  18. ^ Geoffrey Claussen, "God and Suffering in Heschel's Torah Min Ha-Shamayim". Conservative Judaism 61, no. 4 (2010), hlm. 17
  19. ^ a b Maimonides, Moses (1180). Mishneh Torah, Sefer Ma'adah: Yesodei haTorah. The Book of Knowledge: Foundations of the Torah Law. m/s. 1§ 8. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "Maimonides 1180" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  20. ^ "The fact that we always refer to God as "He" is also not meant to imply that the concept of sex or gender applies to God." Rabbi Aryeh Kaplan, The Aryeh Kaplan Reader, Mesorah Publications (1983), p. 144
  21. ^ Julia Watts-Belser, "Transing God/dess: Notes from the Borderlands," in Balancing on the Mechitza: Transgender in Jewish Community, ed. Noach Dzmura (Berkeley, CA: North Atlantic Books, 2010)
  22. ^ a b Samuel S. Cohon. What We Jews Believe (1931). Union of American Hebrew Congregations. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "Samuel" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  23. ^ a b c d Edward Kessler, What Do Jews Believe?: The Customs and Culture of Modern Judaism (2007). Bloomsbury Publishing: pp. 42-44.
  24. ^ Ayub 35:5 – 8
  25. ^ Abraham Joshua Heschel, God in Search of Man: A Philosophy of Judaism (New York: Farrar, Straus & Cudahy, 1955).
  26. ^ http://www.pewforum.org/files/2013/05/report-religious-landscape-study-full.pdf Diarkibkan 2017-04-17 di Wayback Machine, p. 164
  27. ^ Benedictus de Spinoza, The Ethics; Treatise on the Emendation of the Intellect; Selected Letters, trans. Samuel Shirley, 2nd ed. (Indianapolis: Hackett, 1992), 40.
  28. ^ Daniel B. Schwartz, The First Modern Jew: Spinoza and the History of an Image (Princeton University Press, 2012), ch. 5.
  29. ^ a b c d Hermann Cohen, Reason and Hope: Selections from the Jewish Writings of Hermann Cohen, trans. Eva Jospe (New York,: Norton, 1971), 223.
  30. ^ Emmanuel Levinas, Difficult Freedom: Essays on Judaism, trans. Sean Hand (Baltimore: Johns Hopkins University Press, 1990), 223.
  31. ^ Alan Levenson, An Introduction to Modern Jewish Thinkers: From Spinoza to Soloveitchik, 137.
  32. ^ Alan Levenson, An Introduction to Modern Jewish Thinkers: From Spinoza to Soloveitchik, 138.
  33. ^ Mordecai Menahem Kaplan, The Meaning of God in Modern Jewish Religion (Detroit: Wayne State University Press, 1994), 29.
  34. ^ Zalman Schachter-Shalomi and Joel Segel, Jewish with Feeling: A Guide to Meaningful Jewish Practice (New York: Riverhead Books, 2005), 20.
  35. ^ Zalman Schachter-Shalomi and Joel Segel, Jewish with Feeling: A Guide to Meaningful Jewish Practice (New York: Riverhead Books, 2005), 8.

Bibliografi[sunting | sunting sumber]