Durban

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Durban
eThekwini
Pemandangan Durban
Pemandangan Durban
Bendera Durban
Bendera
Mohor rasmi bagi Durban
Mohor
Nama samaran: Durbs
Moto: Debile Principium Melion Fortuna Sequetu
Latin: Permulaan yang sukar akan diikuti dengan nasib yang lebih baik
Negara Afrika Selatan
Negeri KwaZulu-Natal
Penubuhan 1835
Kerajaan
 - Datuk Bandar Mxolisi Kaunda
Kepadatan (2019)
 - Jumlah 3,120,282
Zon masa SAST (UTC+2)
Min waktu suriaUTC+06:46:48
Laman web: http://www.durban.co.za

Durban merupakan tempat peranginan dan juga tempat hiburan terunggul di Afrika Selatan dengan pantainya yang indah menghadapi Lautan Hindi dan juga taman-taman rekreasi serta kasino untuk golongan mewah. Bandar ini adalah bandar metropolitan terbesar di wilayah Kwazulu-Natal dan juga bandar raya kedua terbesar di Afrika Selatan. Di samping itu, bandar ini merupakan pelabuhan kedua terpenting di negara ini selepas Cape Town. Ia juga mempunyai penduduk pelbagai kaum dengan masyarakat berbangsa India yang agak besar. Antara tokoh dunia terkenal yang pernah ke sini termasuklah Mahatma Gandhi.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Pada 1497, penjelajah Portugis Vasco da Gama tiba di tempat yang kini dikenali sebagai Durban dan menamakannya Rio De Natal (Sungai Natal), kemudian ditukar menjadi Port Natal (Pelabuhan Natal).

Pada 1823, bandar ini diduduki oleh peneroka British dan pada 1835, Port Natal ditukar nama menjadi Durban untuk menghargai gabenor koloni Cape ketika itu, Sir Benjamin D'Urban. Selain itu, Durban juga telah diisytiharkan sebagai sebuah bandar di Afrika Selatan. Namun demikian selama 12 tahun bandar ini masih mundur dan jalanpun belum wujud lagi.

Pada akhir 1800, pihak British membawa masuk kuli daripada India untuk bekerja diladang tebu di sini. Kini penduduk India telah bertambah, menjadikan Durban tumpuan bangsa India yang paling padat di luar negara India.

Penemuan emas di sini merupakan tarikan utama ke kawasan ini, manakala penemuan arang batu di Dundee telah menggalakkan banyak kapal untuk berlabuh di pelabuhan ini. Pembinaan landasan keretapi yang bermula pada 1860 telah membuka laluan kepada masyarakat daripada Transvaal (Gauteng) untuk melancong ke bandar ini dan lama-kelamaan Durban telah menjadi destinasi pelancongan utama di Afrika Selatan.

Demografi[sunting | sunting sumber]

Menurut Banci Afrika Selatan 2001, Durban mempunyai seramai 3,090,117 penduduk, dengan 786,745 tinggal dirumah yang formal, dimana 68.9 peratus mempunyai satu tandas biasa, dan 85.4 peratus menggunakan khidmat perbandaran yang membuang najis sekali setiap minggu. 72.0 peratus daripada rumah disini mempunyai bekalan elektrik dan 16.1 peratus adalah diketuai oleh satu orang.[1]

Penduduknya terdiri dari 68.3 peratus kaum kulit hitam, diikuti orang Asia atau India seramai 19.9 peratus, kaum kulit putih 8.98 peratus, dan peranakan coloured 2.82 peratus. 48.9 peratus penduduknya ialah dibawah umur 24 tahun, manakala 4.2 peratus melebihi 65 tahun. Umur median di bandaraya ini ialah 25 tahun, dan bagi setiap 100 wanita, terdapat 92.5 lelaki. 27.9 peratus masyarakatnya adalah penganggur dan dari jumlah ini 88.6 peratus adalah kulit hitam, 18.3 peratus adalah peranakan, 8.2 peratus adalah orang Asia atau India, dan 4.4 peratus adalah golongan kulit putih.[1] Walaupun Islam merupakan agama minoriti disini tetapi ia merupakan pusat penyebaran Islam yang penting. Syeikh Ahmed Deedat yang telah meninggal pada 8 Ogos 2005, telah mengasaskan Pusat Penyebaran Agama Islam Antarabangsa (IPCI) di bandar raya ini.

63.04 peratus masyarakatnya bertutur dalam bahasa Zulu di rumah, 29.96 dalam bahasa Inggeris, 3.43 peratus dalam bahasa Xhosa, 1.44 dalam bahasa Afrikaan, 0.7 peratus dalam bahasa Sesotho, 0.2 peratus dalam bahasa Ndebele, 0.1 peratus dalam bahasa Sepedi, manakala 0.93 peratus penduduknya tidak menggunakan sebarang bahasa rasmi Afrika Selatan dirumah. Dari segi agama, penduduk Durban terdiri dari berbilang agama iaitu 68.0 peratus menganuti agama Kristian, 11.3 peratus adalah Hindu, 3.2 peratus adalah Muslim, dan 0.1 peratus adalah Yahudi. Durban mempunyai sekelompok penduduk yang tidak beragama iaitu 15.5 peratus dan 1.9 peratus mempunyai kepercayaan yang tidak dapat dipastikan.[1]

10.0 peratus masyarakatnya berusia 20 keatas tidak pernah bersekolah, 13.3 peratus mempunyai pendidikan peringkat rendah, 5.7 peratus telah tamat sekolah rendah, 34.6 peratus mempunyai pendidikan peringkat menengah, 26.8 peratus telah tamat sekolah menengah atas high school, dan 9.6 peratus mempunyai pendidikan pengajian tinggi. Secara purata, 36.4 peratus telah tamat sekolah menengah atas. Median pendapatan tahunan bagi golongan dewasa yang bekerja yang berusia antara 15-65 tahun ialah ZAR 20,695. Golongan lelaki mempunyai median pendapatan tahunan ZAR 24,851 manakala wanita adalah ZAR 16,927.[1]

Kebudayaan[sunting | sunting sumber]

Sukan[sunting | sunting sumber]

Ragbi[sunting | sunting sumber]

Durban merupakan tuan rumah bagi dua pasukan ragbi, iaitu Natal Sharks, yang bertanding dalam liga tempatan Piala Currie, dan kelab Sharks, yang bertanding dalam arena antarabangsa iaitu dalam pertandingan Super 14. Rata-rata pemain ragbi adalah dari kaum kulit putih.

Berenang[sunting | sunting sumber]

Sebagai sebuah bandar raya di pesisiran pantai, Durban telah melahirkan ramai perenang bertaraf antarabangsa. Antaranya ialah Penelope Heyns atau Penny Heyns. Perenang sensasi Afrika Selatan ini telah mengharumkan nama negaranya pada Sukan Olimpik 1996 di Atlanta, AS apabila menjadi perenang wanita pertama meraih pingat emas bagi acara renang 100m dan kuak dada 200m. Tiga tahun kemudian, gadis ini telah memecahkan empat rekod renang dunia.

Perenang yang lain ialah Terence Parkin, perenang yang pekak yang telah memenangi 12 pingat emas bagi acara renang di Deaflympics di Australia dan pernah meraih pingat perak dalam Sukan Olimpik 2000 di Sydney, Australia.

Acara Lain[sunting | sunting sumber]

Durban telah dipilih sebagai salah satu bandar bagi pertandingan bola sepak antarabangsa berprestij iaitui Piala Dunia 2010. Stadium Moses Mabhida telah dibina bagi tujuan ini dan ia boleh menampung 70,000 penonton. Terdapat khabar angin bahawa Durban merancang untuk menjadi hos bagi Sukan Komanwel 2018.


Selain itu, bandar raya ini terkenal dengan acara maraton tahunannya iaitu Marathon Persahabatan Comrades Marathon. Acara antarabangsa ini diadakan pada Jun setiap tahun dari Durban ke Pietermaritzburg iaitu sejauh 90km.

Pelancongan[sunting | sunting sumber]

Sejak dahulu lagi, Durban mempunyai daya tarikan yang istimewa, tempat pertemuan Lautan Hindi yang indah dengan pantai keemasan yang luas. Terdapat tiga kawasan pelancongan yang menarik: keindahan semula jadi Valley of a Thousand Hills (Lembah Seribu Bukit-Bukau), pantai-pantai yang cantik di sebelah selatan dan Sugar Coast(Pesisiran Gula), tempat yang kaya dengan budaya dan peninggalan sejarah.

Tempat yang paling sibuk di sini ialah Durban Metro. Ia adalah titik pertemuan kerajaan Zulu dengan Timur dan Barat. Banyak budaya telah mempengaruhi bandar ini dan pengunjung akan dihiburkan dengan pelbagai acara seperti tarian tradisional perwiranya, "fire-walkers" iaitu adat berjalan di atas api dan melihat banyak bangunan menarik seperti bangunan seni reka kolonial. Di sini juga terdapat kasino dipanggil Sugar Mill Casino bagi mereka yang berminat berjudi. Metro ini juga mempunyai banyak teater, kelab malam, disko sepertimana bandar raya metropolitan lain di dunia.

Tempat-tempat pelancongan serta mercutanda lain termasuk:

Rujukan[sunting | sunting sumber]

[1] Banci Penduduk Afrika Selatan 2001.