Pergi ke kandungan

Terier rubah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Fox Terrier)
Terier rubah
Nama lainFox terrier
Terier rubah licin
Fox terrier licin
Terier rubah dawai
Fox terrier dawai
Negara asalEngland
Anjing (Canis lupus familiaris)
Anak terier rubah dawai berusia 4 bulan yang bermain dengan mangkuk air

Terier rubah atau fox terrier[a] merupakan dua baka berlainan daripada jenis anjing terier: terier rubah licin dan terier rubah dawai. Kedua-dua baka ini berasal pada abad ke-19 daripada segelintir anjing yang diturunkan daripada keragaman terier British terdahulu dan berkaitan dengan baka terier putih moden lain. Di samping itu, sebilangan baka telah mencapah daripada kedua-dua jenis utama terier rubah ini dan telah diiktiraf secara berasingan, termasuk terier Jack Russell, terier rubah katik, dan terier tikus. Terier rubah dawai dan terier rubah licin mengongsi ciri-ciri serupa dengan perbezaan utama dari segi lapis bulu dan tanda-tanda. Baka ini telah berjaya dalam pertunjukan pengakuran, lebih menonjol di Amerika berbanding dengan di tanah airnya.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Pakar perubatan Inggeris John Caius menerangkan jenis terier Inggeris dalam karya tahun 1577 beliau English Dogges. Menjelang abad ke-18, ada catatan bahawa semua terier berbulu dawai dan berwarna hitam dan sawo matang.[1] Catatan terawal bagi mana-mana terier putih ialah seekor anjing yang bernama Pitch, yang dimiliki oleh Kolonel Thomas Thornton pada tahun 1790.[2] Anjing itu ialah subjek bagi sebuah lukisan oleh Sawrey Gilpin, yang mewujudukan sebuah potret tentangnya semasa ia masih hidup. Ukiran bagi lukisan ini, yang dibuat sebelum tahun 1810, disertai oleh teks, "Ada keperluan untuk melihat terier-terier milik Kolonel Thorton jika mereka hanya kerana Pitch yang terkenal milik beliau, yang daripadanya kebanyakan terier putih di kerajaan ini diturunkan."[2] Para penulis anjing pada awal abad ke-20 mencadangkan bahawa Pitch ialah seekor silangan terier-grehaun, yang merupakan punca pengenalan warna itu ke dalam baka ini.[3]

Tidak ada banyak pengetahuan tentang amalan pembiakbakaan awal abad ke-19 yang membawa kepada terier rubah moden. Walau bagaimanapun, terdapat anggapan bahawa beagle, buldog lama Inggeris, terier mainan Inggeris, anjing penuding Inggeris, dan malah anjing Dalmatia kesemuanya digunakan dalam pewujudan dan penstabilan baka ini.[4][5]

Mulai tahun 1870, pedigri lengkap untuk terier rubah wujud. Tiga ekor anjing, yang dikenali sebagai Old Jock, Trap, dan Tartar, merupakan leluhur kepada kebanyakan strain moden terier putih. Old Jock dibiakbakakan daripada seekor terier hitam dan sawo matang, sementara Trap adalah daripada strain daripada anjing-anjing milik Reverend John "Jack" Russell. Russell kemudian mempunyai siri baka terier Jack Russell yang dinamai sempena nama beliau.[3] Walaupun sejarah muktamad tentang Tartar tidak diketahui, ia juga dianggap berasal daripada ternakan terier hitam dan sawo matang.[5] Daripada anjing betina dari tempoh ini, Grove Nettle ialah yang paling terkenal.[6] Sebagai tambahan kepada anjing-anjing itu, seekor lagi yang bernama Old Tip dianggap sebagai moyang kepada terier rubah dawai moden.

Terier dari tempoh ini bertungkai pendek, berbinaan dengan gaya gempal, dan mempunyai tengkorak yang lebar di bahagian atas. Dengan penggunaan dalam kawanan perburuan dan pembelaan di kenel bersama-sama dengan anjing pemburu rubah Inggeris, ia dibiakbakakan kerana keupayaannya untuk mengusir rubah keluar dari sarangnya.[7] Secara beransur-ansur, rentak perburuan menjadi lebih cepat dan terier dibiakbakakan dengan tungkai lebih panjang untuk lebih kelajuan ke arah penghujung abad ke-18. Walau bagaimanapun, saiz meningkat bermakna bahawa terier rubah menjadi terlalu besar untuk digunakan untuk tujuan aslinya dan penggunaannya dalam pemburuan rubah mula berkurang.[8]

Fox Terrier Club of England diasaskan pada tahun 1876, dengan American Fox Terrier Club yang menyusul sembilan tahun kemudian, lalu menjadi kelab khusus baka pertama yang menjadi anggota American Kennel Club.[3] Seekor terier rubah licin betina yang dibiakbakakan oleh Winthrop Rutherfurd bernama Warren Remedy ialah pemenang pertama bagi Best in Show dalam Pertunjukan Anjing Westminster Kennel Club pada tahun 1907, tahun 1908, dan tahun 1909.[9] Ikutan kepopularan pertunjukan anjing pengakuran, terier rubah ialah hasil pembiakbakaan terpilih. Sebagai contoh, menjelang tahun 1949, 120 ekor daripada 140 ekor juara terier rubah dawai diturunkan daripada seekor anjing tunggal yang memenangi kejuaraan.[3]

Baka moden[sunting | sunting sumber]

Kepala seekor terier rubah dawai

Terdapat dua baka utama terier rubah, licin dan dawai, kedua-duanya berasal dari England.[10] Sebagai tambahan, terdapat beberapa baka keturunan yang telah dikembangkan di pelbagai negara.[11] Sebagai contoh, terier rubah mainan Amerika dikembangkan daripada baka-baka terier rubah licin, grehaun kecil Itali, terier Manchester, pincer kerdil, dan anjing Chihuahua.[10]

Kedua-dua jenis utama terier rubah kebanyakannya berwarna putih dengan tanda-tanda berwarna dan mempunyai ciri-ciri muka serupa.[12][13] Baka-baka ini pada dasarnya adalah sama kecuali perbezaan lapis bulu dan sedikit perbezaan pewarnaan dan tanda-tanda.[14] Tanda-tanda pada mana-mana jenis dapat muncul dengan warna hitam semasa lahir pada kepala, tetapi mungkin mencerah pada usia dewasa, dengan warna-warna paling lazim iaitu sawo matang dan hitam.[15] Tandanya merupakan sejenis tompok piebald.[16] Walaupun kedua-dua baka utama pada asalnya lazimnya saling dibiakbakakan, ini tidak lagi berlaku dalam susur galur baka tulen.[17]

Terier rubah telah lebih berjaya daripada mana-mana baka lain dalam Pertunjukan Anjing Westminster Kennel Club, dengan empat gelaran Best in Show yang dianugerahkan kepada terier rubah licin dan empat belas gelaran yang dianugerahkan kepada terier rubah dawai.[3][15] Kedua-duanya ditunjukkan sebagai satu baka dengan dua variasi lapis bulu; ini berubah pada tahun 1985 apabila American Kennel Club menyenaraikan kedua-duanya sebagai baka berasingan.[13] Di United Kingdom, dalam Crufts, terier rubah licin belum memenangi sebarang gelaran Best in Show, sementara terier rubah dawai telah menang sebanyak tiga kali.[18]

Terier rubah licin[sunting | sunting sumber]

Dua ekor terier rubah licin yang menunjukkan perbezaan tanda baka

Terier rubah licin mempunyai lapis bulu pendek dan keras yang kebanyakannya berwarna putih. Ia berukuran setinggi 14–15.5 inci (36–39 cm) pada paras kelasa dan seberat 15–19 paun (6.8–8.6 kg). Kepala baka ini panjang dan berbentuk baji dengan mata kecil dan gelap serta telinga berbentuk v.[12]

Baka ini telah dikenal pasti sebagai salah satu daripada beberapa Baka Asli Rentan di United Kingdom. Ini adalah apabila terdapat kurang daripada 300 pendaftaran tahunan dengan The Kennel Club. Pada tahun 2010, terdapat 155 ekor terier rubah licin yang didaftarkan, berbanding 693 ekor terier rubah dawai dan 8,663 ekor anjing daripada baka paling popular dalam Kumpulan Terier, bulterier Staffordshire.[19]

Anjing paling berjaya dalam Pertunjukan Anjing Westminster Kennel Club ialah Ch. Warren Remedy, yang memenangi gelaran Best in Show sebanyak tiga kali pada antara tahun 1907 dengan tahun 1909.[9] Kemenangan-kemenangan ini diikuti oleh gelaran Best in Show lanjut untuk Ch. Sabine Rarebit pada tahun 1910.[20] Walaupun baka terier rubah licin memenangi empat gelaran Best in Show pertama dalam Pertunjukan Anjing Westminster, ia tidak pernah menang lagi sejak itu.[21]

Terier rubah dawai[sunting | sunting sumber]

"Dua ekor anjing yang duduk sambil bercawak. Kedua-dua anjing kebanyakannya putih dengan tompok-tompok perang berwarna berlainan. Bulu anjing-anjing ini keriting dan mirip dawai."
Dua ekor terier rubah dawai yang duduk

Terier rubah berbulu dawai mempunyai lapis bulu ganda keras dan rangup dengan tekstur kasar di bawahnya yang memberikan perlindungan daripada kesejukan.[14][22] Lapis bulunya patut padat sehingga kulit tidak dapat dilihat atau dirasai.[22] Helaian bulu patut memintal, tetapi tidak keriting.[15] Rata-rata anjing baka ini patut berukuran setinggi 14–15.5 inci (36–39 cm) pada paras kelasa dan seberat 15–19 paun (6.8–8.6 kg). Ia mempunyai ciri-ciri serupa dengan terier rubah licin dengan mata gelap kecil dan telinga berbentuk v. Tubuhnya lebih pendek daripada ketinggiannya.[13]

Raja Edward VII memiliki seekor terier rubah dawai dari kenel Notts yang dipanggil Caesar of Notts,[23] yang melakukan banyak usaha untuk mempopularkan baka ini pada permulaan abad ke-20.[24] Seekor lagi anjing kenel Notts ialah pemenang awal Juara Terbaik dalam Crufts pada tahun 1911 yang bernama Collarbone of Notts.[25][26] Anjing individu lain yang sangat mempengaruhi baka ini termasuk Ch. Talavera Simon, yang lahir pada tahun 1924, dan Ch. Maharaja Zeloy, yang lahir pada tahun 1960.[24]

Baka turunan[sunting | sunting sumber]

Baka Negara asal Ketinggian Berat Catatan Imej Rujukan
Anjing pemburu tikus bodega Andalusia Sepanyol Sepanyol 14–17 inci (36–43 cm) 15–18 paun (6.8–8.2 kg) Baka ini dikembangkan di Andalusia, Sepanyol untuk membasmi tikus dan mencit di bilik bawah tanah wain yang dikenali sebagai bodega di tanah airnya. [27][28]
Terier Brazil Brazil Brazil 14–16 inci (36–41 cm) 15–20 paun (6.8–9.1 kg) Terier rubah dibawa ke Brazil pada abad ke-18. Ia disilangkan dengan anjing Chihuahua, pincer kerdil, dan baka kecil lain semasa abad berikutnya dan sejak itu telah digunakan untuk pemburuan tikus dan haiwan lain. [29]
Terier Jack Russell England England 10–15 inci (25–38 cm) 14–18 paun (6.4–8.2 kg) Ia dikembangkan oleh Reverend John Russell pada awal abad ke-19. Selepas kematian beliau, susur galur itu diteruskan pada awal abad ke-20 sebagai keragaman pekerja lebih kecil bagi terier rubah. Terier Jack Russell mempunyai dua baka keturunannya sendiri, iaitu terier Parson Russell dan terier Russell. [30][31]
Terier Jepun Jepun Jepun 12–13 inci (30–33 cm) 6–8 paun (2.7–3.6 kg) Baka ini diturunkan daripada terier rubah yang dibawa ke Jepun oleh orang Belanda pada awal abad ke-18. Ia dikawankan dengan baka-baka sedia ada Jepun dan dikembangkan di bandar Yokohama dan di bandar Kobe. [32][33]
Terier rubah katik Australia Australia 9.5–12 inci (24–30 cm) Berperkadaran dengan ketinggian Ia dikembangkan di Australia pada lewat abad ke-19 untuk memburu arnab dan tikus. Ia dianggap serupa dengan terier rubah mainan Amerika. [34][35]
Terier rubah mainan Amerika Syarikat Amerika Syarikat 8–11 inci (20–28 cm) 3–7 paun (1.4–3.2 kg) Ia diwujudkan daripada terier rubah licin dan dibiakbakakan dengan pelbagai baka mainan termasuk pincer kerdil, grehaun kecil Itali, anjing Chihuahua, dan terier Manchester. Baka ini diiktiraf oleh American Kennel Club pada tahun 2003. [36][37]
Terier Teddy Roosevelt Amerika Syarikat Amerika Syarikat 8–15 inci (20–38 cm) 12–35 paun (5.4–15.9 kg) Baka ini, yang diiktiraf oleh United Kennel Club, dinamai sempena Theodore D. Roosevelt, walaupun beliau tidak terlibat dalam perkembangannya. [38]
Terier Tenterfield Australia Australia 10–12 inci (25–30 cm) Berperkadaran dengan ketinggian Ia diasaskan sebagai anjing pekerja selepas terier dibawa ke Australia oleh para imigran awal. Ia digunakan untuk membasmi haiwan perosak seperti tikus, arnab, dan rubah. Ia popular dalam kalangan masyarakat petani. [39][40]
Terier tikus Amerika Syarikat Amerika Syarikat 8–23 inci (20–58 cm) 4–35 paun (1.8–15.9 kg) Ia dikembangkan sebagai silangan antara terier rubah, terier putih Inggeris, dengan terier biasa lain semasa zaman penghijrahan awal ke Amerika. Baka ini terdapat dengan tiga saiz: mainan, iaitu sehingga setinggi 8 inci (20 cm); miniatur, iaitu sehingga setinggi 14 inci (36 cm); dan piawai, iaitu lebih tinggi daripada 14 inci (36 cm). [41]
Terier tikus Chile Chile Chile 11–15 inci (28–38 cm) 6–8 paun (2.7–3.6 kg) Para peneroka Eropah membawa terier rubah bersama dengan mereka ke Amerika Selatan pada abad ke-18 untuk bertindak sebagai pemburu tikus. Baka ini disilangkan dengan anjing asli dan dikembangkan dalam komuniti pedalaman. [42][43]

Isu kesihatan lazim[sunting | sunting sumber]

Miastenia gravis, iaitu penyakit saraf otot, ialah penyakit keturunan pada terier rubah licin melalui gen resesif autosom.[44] Ini juga dapat menjadi gejala bagi megaesofagus, iaitu isu kesihatan untuk terier rubah dawai.[45] Satu lagi keadaan keturunan pada terier rubah licin ialah katarak, yang lebih lazim daripada purata pada baka ini.[46] Kedua-dua jenis terier rubah dapat menjadi rentan terhadap alahan.[47]

Dalam tinjauan yang dijalankan oleh The Kennel Club, punca primer bagi kematian untuk terier rubah ialah usia lanjut, yang menyebabkan 31.8% daripada kematian yang dilaporkan. Punca sekunder ialah kanser daripada jenis yang tidak disebut, yang menyumbangkan 22.7% daripada laporan.[48] Purata jangka hayat terier rubah ialah sekitar 15 tahun;[49] tinjauan The Kennel Club melaporkan usia median pada kematian sebanyak 13 tahun dan 2 bulan.[48]

Terier rubah berbulu dawai cenderung terhadap dermatitis atopi.[50]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: تيريئر روبه; فوک‌س تيريئر; bahasa Inggeris: fox terrier

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Spesifik[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Vanderlip (2001): hlm. 5
  2. ^ a b Haynes (1912): hlm. 23
  3. ^ a b c d e Vanderlip (2001): hlm. 6
  4. ^ Haynes (1912): hlm. 24
  5. ^ a b Haynes (1912): hlm. 25
  6. ^ Lee (1902): hlm. 44
  7. ^ Haynes (1912): hlm. 27
  8. ^ Haynes (1912): hlm. 28
  9. ^ a b "Fox Terrier Wins Blue Ribbon Event" (PDF). The New York Times (dalam bahasa Inggeris). 15 Februari 1907. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  10. ^ a b Palika (2007): hlm. 242
  11. ^ "Different Types of Terrier" (dalam bahasa Inggeris). Jack-Russell.co.uk. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 April 2010. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  12. ^ a b Palika (2007): hlm. 241
  13. ^ a b c Palika (2007): hlm. 243
  14. ^ a b Vanderlip (2001): hlm. 8
  15. ^ a b c Vanderlip (2001): hlm. 7
  16. ^ Karlsson, Elinor K.; Lindblad-Toh, Kerstin (September 2008). "Mapping white spotting". Nature Reviews Genetics (dalam bahasa Inggeris). Nature.com. 9 (9): 713–725. doi:10.1038/nrg2382. PMID 18714291. S2CID 6460297. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  17. ^ Warren, Dean M. (2001). Small Animal Care and Management (dalam bahasa Inggeris). Delmar Cengage Learning. m/s. 82. ISBN 978-0-7668-1424-0.
  18. ^ "Supplements & Breed Showcases". Dog World (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 15 Oktober 2008. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  19. ^ "Quarterly Registration Statistics for the Terrier Group" (PDF). The Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 8 Jun 2024.
  20. ^ "Sabine Rarebit is Best Dog in Show" (PDF). The New York Times (dalam bahasa Inggeris). 12 Februari 1910. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  21. ^ "Best in Show Winners". Westminster Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 25 Disember 2007. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  22. ^ a b Lee (1902): hlm. 154
  23. ^ Vanderlip (2001): hlm. 10
  24. ^ a b "Dogs Which Greatly Influenced Wires as We Know Them Today". Wire Fox Terrier Association (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 8 Jun 2024.
  25. ^ "History" (dalam bahasa Inggeris). Wire Fox Terrier Association. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  26. ^ Jackson, Frank (1990). Crufts: The Official History (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: Pelham Books. m/s. 193. ISBN 0-7207-1889-9.
  27. ^ "Origen de la raza Ratonero Bodeguero". Club Nacional Del Perro Ratonero-Bodeguero (dalam bahasa Sepanyol). Diarkibkan daripada yang asal pada 24 April 2014. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  28. ^ "Estadar de la raza Ratonero Bodeguero". Club Nacional Del Perro Ratenero-Bodeguero (dalam bahasa Sepanyol). Diarkibkan daripada yang asal pada 24 April 2014. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  29. ^ Cunliffe (2002): hlm. 295
  30. ^ "JRTCA Breed Standard". therealjackrussell.com (dalam bahasa Inggeris). Jack Russell Terrier Club of America. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  31. ^ "Breed Comparison" (dalam bahasa Inggeris). Jack Russell Terrier Club of America. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  32. ^ "Japanese Terrier" (dalam bahasa Inggeris). Persekutuan Kinologi Antarabangsa. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 Mei 2011. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  33. ^ Choron, Sandra; Choron, Harry (2005). Planet Dog: A Doglopedia (dalam bahasa Inggeris). Houghton Mifflin Harcourt. m/s. 176. ISBN 978-0-618-51752-7. japanese terrier.
  34. ^ "Breed Standard of the Miniature Fox Terrier revised 2008". Mini Foxie Club of Australia (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 28 April 2009. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  35. ^ "Breed History". Mini Foxie Club of Australia (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 19 Oktober 2015. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  36. ^ "AKC Meet the Breeds: Toy Fox Terrier" (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 Ogos 2012. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  37. ^ Barker, A.J. (1993). The Complete Book of Dogs (dalam bahasa Inggeris). Longmeadow Press. m/s. 106. ISBN 978-0-681-41766-3.
  38. ^ Moore, Dan. "What is a Teddy Roosevelt Terrier" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). United Teddy Roosevelt Terrier Club of America. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 17 Julai 2011. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  39. ^ "Tenterfield Terrier" (dalam bahasa Inggeris). Australian National Kennel Council. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 Julai 2011. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  40. ^ "Tenterfield Terrier" (dalam bahasa Inggeris). Pedigree. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 Mac 2012. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  41. ^ Palika (2007): hlm. 337
  42. ^ "Estandar Del Terrier Chileno (Fox Terrier Chileno O Ratonero Chileno)". Club Nacional Terrier Chileno (dalam bahasa Sepanyol). Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Julai 2010. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  43. ^ "Origin de la Raza". Club Nacional Terrier Chileno (dalam bahasa Sepanyol). Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Julai 2010. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  44. ^ de Lahunta, Alexander; Glass, Eric N. (2008). Veterinary Neuroanatomy and Clinical Neurology (dalam bahasa Inggeris). Saunders. m/s. 93. ISBN 978-0-7216-6706-5.
  45. ^ Tams, Todd R. (2003). Handbook of Small Animal Gastroenterology (dalam bahasa Inggeris). Saunders. m/s. 120. ISBN 978-0-7216-8676-9.
  46. ^ Martin, Charles L. (2009). Ophthalmic Disease in Veterinary Medicine (dalam bahasa Inggeris). Manson Publishing. m/s. 381. ISBN 978-1-84076-118-4.
  47. ^ Mindell, Earl (2007). Dr. Earl Mindell's nutrition and health for dogs (dalam bahasa Inggeris). Laguna Beach, California, Amerika Syarikat: Basic Health Publications. m/s. 205. ISBN 978-1-59120-203-5.
  48. ^ a b "Summary results of the Purebred Dog Health Survey for Fox Terriers" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 21 Oktober 2012. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  49. ^ Vanderlip (2001): hlm. 26
  50. ^ Rhodes, Karen Helton; Werner, Alexander H. (25 Januari 2011). Blackwell's Five-Minute Veterinary Consult Clinical Companion (dalam bahasa Inggeris). Ames, Iowa, Amerika Syarikat: Wiley-Blackwell. m/s. 94. ISBN 978-0-8138-1596-1.

Umum[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]