Anjing pemburu tikus bodega Andalusia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Anjing pemburu tikus bodega Andalusia
Nama lainAnjing pemburu tikus Andalusia
Negara asalSepanyol
Trait
Berat Jantan 7–8 kg (15–18 lb)
Betina 5–6 kg (11–13 lb)
Tinggi Jantan 37–43 cm (15–17 in)
Betina 35–41 cm (14–16 in)
Bulu Putih, hitam dan berkepala sawo matang
Jangka hayat 8–18 tahun
Anjing (Canis lupus familiaris)

Anjing pemburu tikus bodega Andalusia[a] atau anjing pemburu tikus Andalusia[b] ialah satu baka anjing Sepanyol daripada jenis terier. Namanya mencerminkan pekerjaan utamanya: pemburuan tikus dan mencit yang tersembunyi di antara tong di dalam rumah wain di Andalusia di Sepanyol. Ia diiktiraf sebagai baka peribumi Sepanyol pada tahun 2000 oleh Kementerian Pertanian Sepanyol dan oleh Real Sociedad Canina de España.[1]

Anjing pemburu tikus bodega Andalusia telah diisytiharkan sebagai "warisan budaya tidak ketara" oleh Majlis Bandar Raya Jerez de la Frontera pada tahun 2020. Ini ditegaskan oleh wakil Kebajikan dan Perlindungan Haiwan, kerana penambahbaikan menjijikkan, nilai baka ini, dan hubungannya dengan bandar raya dan bilik wain bawah tanah.[2]

Penampilan[sunting | sunting sumber]

Anjing pemburu tikus bodega Andalusia ialah baka bersaiz sederhana yang berukuran setinggi 37–43 cm (15–17 in) pada paras kelasa. Seunggulnya jantan adalah setinggi 40 cm (16 in) dan betina setinggi 38 cm (15 in). Pada kedua-dua jantina, lebihan satu sentimeter ditoleransi. Dari segi penampilan, ia kelihatan seperti terier Jack Russell yang diperbesar, iaitu dengan anggota lebih panjang, sehingga kadang-kadang telah dipanggil terier Jack Russell Sepanyol.[3] Baka ini ialah anjing tangkas dengan binaan langsing dan atletik; kepalanya berbentuk segi tiga dengan tengkorak separa rata. Matanya sangat gelap dan anjing ini mempunyai muncung panjang dan telinga yang terletak tinggi-tinggi yang membengkok di hujung. Ekornya secara tradisional terpotong sehingga sesuku panjangnya.[1] Walau bagaimanapun, ia mungkin juga lahir dengan ekor kontot semula jadi.[3]

Lapis bulunya pendek dan padat, yang biasanya putih. Tanda-tanda mukanya merupakan campuran tanda-tanda perang, putih, dan hitam (yang dikenali sebagai triwarna), biasanya dengan kening berwarna sawo matang.[3]

Perangai[sunting | sunting sumber]

Baka ini bersemangat dan berani dengan naluri perburuan kuat. Ia juga mesti ramah dan, menurut kelab baka, baka ini juga baik dengan kanak-kanak.

Baka ini cergas, cerdas, dan mempunyai naluri perburuan kuat yang terutamanya menyerlahkan kemahiran tekun dan perhatian tajamnya, yang diperlukan apabila memburu rodensia. Ia mempunyai deria bau dan penglihatan tajam, mampu mengkoordinasi pergerakannya, dan amat tangkas. Ia terkenal kerana kesetiaan, keramahan, dan kemampuan untuk menyesuaikan diri terhadap persekitaran.[4]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Bahagian dalam bodega

Saudagar wain Inggeris yang menetap di rantau penghasil syeri di Spain, Marco de Jerez, membawa bersama-sam dengan mereka leluhur kepada baka-baka terier rubah kini seawal beberapa ratus tahun lalu. Di sana, ia disilangkan dengan anjing tempatan dan digunakan untuk kawalan haiwan perosak yang terdiri daripada tikus dan mencit di rumah wain. Pada tahun 1900-an, terier mainan disilangkan ke dalam baka ini. Pada tahun 1993, kelab baka pertama, iaitu Club Nacional del Perro Andaluz Ratonero Bodeguero, dibentuk dan piawaian baka dikarang. Pada tahun 2000, baka ini diiktiraf sebagai baka asli Sepanyol oleh Kementerian Pertanian Sepanyol, namun masih belum diiktiraf di peringkat antarabangsa oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa.[5] Baka ini diiktiraf oleh banyak kelab kenel kecil - seperti Nordic Kennel Union - dan pejabat pendaftaran anjing, terutamanya di Amerika Utara. Oleh sebab sesetengah kumpulan ini mensyaratkan sedikit pendokumenan atau tidak mensyaratkan pendokumenan langsung agar anjing berkenaan tergolong dalam baka tertentu, para pembeli anak anjing patut menyelidik pedigri anjing mereka untuk memastikan bahawa ia dari Sepanyol dan bukan salah seekor anjing daripada banyak baka serupa yang diterbitkan daripada terier rubah.

Anak anjing pemburu tikus bodega Andalusia

Kesihatan[sunting | sunting sumber]

Tiada penyakit yang spesifik kepada baka ini atau dakwaan kesihatan luar biasa yang telah didokumenkan untuk anjing pemburu tikus bodega Andalusia, namun buah zakar tidak turun adalah tidak jarang pada anak anjing jantan.[4]

  • Kecacatan kecil: Hidung merah jambu atau kekurangan pempigmenan pada hidung. Anggota pendek. Tingkah laku malu atau penakut.
  • Kecacatan besar: Bulu panjang, keriting, dan keras. Tubuh terlebih memanjang. Telinga tegak. Telinga tergantung atau ke belakang. Gigitan yang bukan gunting.[4]

Penjagaan dan keperluan[sunting | sunting sumber]

Walaupun anjing pemburu tikus bodega Andalusia bersaiz kecil, ia, sama seperti mana-mana anjing lain, memerlukan banyak senaman. Ia perlu dibawa berjalan-jalan sebanyak tiga hingga empat kali sehari, sebaik-baiknya selama sejam supaya semua tenaga dapat dibakar.

Dari segi pemakanan, rujukan doktor haiwan adalah yang terbaik. Kebanyakan makanan yang patut diberikan kepadanya sama ada patut biskut atau makanan basah yang mengandungi semua khasiat yang diperlukan oleh anjing berkenaan.

Bulu pendeknya menjadikannya mudah dijaga terutamanya apabila mandi dan penjagaan terlibat. Ia tidak patut dimandikan sebanyak lebih daripada sekali sebulan supaya lapis lemaknya (perlindungan) tidak teranggal.[2] Pendandanan lapis bulunya adalah penting juga kerana ini membolehkan penyebaran minyak semula jadi dan membantu menjadikan lapis bulunya kalis air.

Sebagai anjing dengan begitu banyak tenaga dan kegementaran, ia cenderung untuk makan dengan sangat cepat. Ada syor agar makanan harian dibahagikan supaya ia makan dengan kurang bimbang.[6]

Pendidikan dan pelatihan[sunting | sunting sumber]

Oleh sebab baka ini ialah baka bertenaga tinggi, pelatihan disyorkan pada usia muda. Walaupun ia merupakan baka cerdas, patut ada pertimbangan bahawa ia dapat semudahnya mengalihkan perhatian sendiri dan bahawa kesabaran diperlukan. Ada syor untuk membiasakannya terhadap kehadiran kanak-kanak dan haiwan lain di sekeliling dari usia muda supaya, pada masa hadapan, ia menghadapi masalah sosialisasi.[7]

Baka serupa[sunting | sunting sumber]

Baka yang serupa dari segi penampilan dengan anjing pemburu tikus bodega Andalusia termasuk terier Jack Russell, terier Parson Russell, dan terier tikus. Perbezaan dan keserupaan antara terier Brazil dengan terier Jepun diperincikan di tapak web kelab baka.[8]

Baka ini telah dibandingkan dengan baka anjing pemburu tikus lain yang berasal dari Sepanyol: anjing pemburu tikus Murcia, anjing pemburu tikus Valencia, dan anjing pemburu tikus Mallorca. Trait, kecerdasan, kebolehlatihan, kebolehgaulan, dan tingkah laku kesemunya serupa, tetapi hanya berbeza dari segi saiz, warna, dan pengakuran. Tiada satu daripada baka-baka ini yang diiktiraf oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa[9] atau American Kennel Club.

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: انجيڠ ڤمبورو تيکوس بوديݢا اندالوسيا; Sepanyol: ratonero bodeguero andaluz; bahasa Inggeris: Andalusian wine-cellar rat-hunting dog
  2. ^ Jawi: انجيڠ ڤمبورو تيکوس اندالوسيا; Sepanyol: perro ratonero andaluz; ratonero andaluz; bahasa Inggeris: Andalusian ratter

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b Anjing pemburu tikus bodega Andalusia daripada Real Sociedad Canina de España (Sepanyol) Diarkibkan 20 Mac 2009 di Wayback Machine
  2. ^ a b "Ratonero bodeguero andaluz, una raza de perro declarada Patrimonio Cultural Inmaterial". hola.com (dalam bahasa Sepanyol). 6 Oktober 2020. Dicapai pada 20 Mac 2024.
  3. ^ a b c "Ratonero Bodeguero Andaluz Information" (dalam bahasa Inggeris). Sarah's Dogs. Dicapai pada 20 Mac 2024.
  4. ^ a b c Téllez, Juan Antonio Jaén (2012). "El perro ratonero-bodeguero andaluz. Diferencias con otros terriers y ratoneros españoles". REDVET. Revista Electrónica de Veterinaria (dalam bahasa Sepanyol). 13 (11): 1–42. ISSN 1695-7504.
  5. ^ Kelab Baka, Jerman (Jerman)
  6. ^ Lime, Alicia (25 November 2017). "Ratonero Bodeguero Andaluz". TopperCan (dalam bahasa Sepanyol). Dicapai pada 20 Mac 2024.
  7. ^ "Cómo es el bodeguero andaluz". www.mundodeportivo.com/uncomo (dalam bahasa Sepanyol). 26 Julai 2016. Dicapai pada 20 Mac 2024.
  8. ^ Rencana (Sepanyol)
  9. ^ "Comparison: Ratonero Bodeguero Andaluz; Ratonero Murciano de Huerta; and Ratonero Valenciano  – Which one is a better dog breed for you?" (dalam bahasa Sepanyol).