Jimmy Wales

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Jimmy Wales
Jimmy Wales Fundraiser Appeal edit.jpg
Jimmy Wales ketika Disember 2008
Kelahiran Jimmy Donal Wales
7 Ogos 1966 (48 tahun)
Huntsville, Alabama, A.S.
Tempat tinggal St. Petersburg, Florida
Warganegara Amerika
Nama lain Jimbo (nama pena dalam talian)
Pusat pendidikan Auburn University
University of Alabama
Indiana University Bloomington
Pekerjaan Usahawan internet
Terkenal kerana Membantu membangunkan Wikipedia
Pangkat Presiden Wikia, Inc.
Pengerusi Wikimedia Foundation
Tempoh Jun 2003 – Oktober 2006
Pengganti Florence Devouard
Ahli lembaga Wikimedia Foundation, Creative Commons, Socialtext, MIT Center for Collective Intelligence (advisory board)
Anugerah EFF Pioneer Award (2006), The EconomistTemplat:'s Business Process Award (2008), The Global Brand Icon of the Year Award (2008)
Laman web
Personal weblog
English Wikipedia userpage

Jimmy Donal "Jimbo" Wales (lahir 7 Ogos 1966) ialah pengasas dan Presiden Yayasan Wikimedia, sebuah perbadanan bukan untung yang mengendalikan Wikipedia dan pelbagai projek wiki yang lain. Wales juga merupakan pengasas Wikia, sebuah syarikat perniagaan (tidak berkaitan dengan Wikimedia di sisi undang-undang) yang mengendalikan projek Wikicities.

Mungkin diilhami oleh kejayaan Wikipedia, Wales mengasaskan Wikia, Inc. (tiada kaitan dengan Yayasan Wikimedia) yang merupakan sebuah syarikat perniagaan untuk mengehoskan pelbagai wiki dan menguruskan projek Wikia.

Kehidupan sebelum Wikipedia[sunting | sunting sumber]

Wales pada Mei 2005

Dilahirkan di Huntsville, Alabama, ayahanda Wales (kini bersara) ialah seorang pengurus kedai runcit. Ibundanya, Doris, dan neneknya, Erma, menjalani sebuah sekolah swasta yang kecil "dalam tradisi sekolah satu bilik". Wales belajar di sekolah itu. Oleh sebab terdapatnya cuma empat kanak-kanak dalam grednya, sekolah itu mengumpulkan kanak-kanak menjadi dua kelas, iaitu Gred 1-4 dan Gred 5-8.

Sebuah rencana majalah Time 2005 salah melaporkan bahawa Wales belajar di rumah. Sebenarnya beliau tidak, tetapi Wales memperhatikan bahawa persekolahannya "dalam satu erti, serupa sahaja" kerana ibunda dan neneknya merupakan guru-guru sekolah rendahnya. Murid-murid mempunyai kebebasan yang amat luas untuk membelajari apa-apa yang mereka suka; falsafah pendidikan sekolah itu amat dipengaruhi oleh kaedah Montessori. Wales menghabiskan banyak masa untuk membaca Ensiklopedia Buku Dunia (World Book) pada waktu itu.

Selepas gred kelapan, Wales pergi ke Sekolah Randolph yang merupakan sekolah persediaan untuk pendidikan kolej. Sekolah itu juga merupakan pengamal awal bagi makmal-makmal komputer dan teknologi lain untuk kegunaan pelajar secara langsung. Walaupun tanggungan sekolah persediaan itu adalah mahal untuk keluarganya, Wales melaporkan bahawa keluarganya mempercayai bahawa pendidikan adalah amat penting: "Pendidikan sentiasa merupakan keghairahan di dalam isi rumah saya... yang kamu tahu, pendekatan tradisional terhadap pengetahuan dan pembelajaran, serta pemantapannya sebagai pangkal untuk hidup yang bahagia."

Wales menerima ijazah sarjana mudanya daripada Universiti Auburn dan ijazah sarjananya daripada Universiti Alabama. Kemudian, beliau menyertai program-program kewangan untuk ijazah kedoktoran di Universiti Alabama dan Universiti Indiana, Bloomington. Wales memberikan kuliah di kedua-dua universiti itu sewaktu belajar untuk ijazah kedoktorannya, tetapi beliau tidak menulis tesis yang diperlukan untuk ijazah tersebut.

Wales kemudian menjadi peniaga saham kontrak hadapan dan opsyen di Chicago. Dalam tempoh beberapa tahun, beliau memperoleh pendapatan yang mencukupi untuk "menyara diri serta isterinya untuk seumur hidup."

Pada tahun 1996, Wales mengasaskan portal gelintar yang digelarkan Bomis. Bomis juga menjual gambar-gambar foto erotik sehingga pertengahan tahun 2005. Disebabkan bekas jawatannya di Bomis, Wales ditanya tentang penglibatannya dengan apa yang digelarkan "gambar-gambar kotor" oleh penemu bual, Brian Lamb, dalam temu bual C-SPAN, sebuah rangkaian televisyen kabel, pada September 2005. Sebagai jawapan, Wales memerikan Bomis sebagai "enjin gelintar berorientasi lelaki". Dalam temu bual dengan Majalah Wired, Wales juga menerangkan bahawa beliau mempertikaikan kategorian kandungan Bomis sebagai "pornografi ringan": "Jika filem kadaran R ialah porn, [gambar-gambar Bomis] ialah porn. Dengan kata yang lain, bukan, ia bukan." Wales tidak lagi terlibat dalam syarikat itu secara aktif."

Pada Mac 2000, Wales memulakan Nupedia.com, sebuah ensiklopedia kandungan terbuka serta penilaian setara, dan menggajikan Larry Sanger sebagai ketua penyuntingnya. Semasa Wales memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif, Bomis menderma melebihi AS$100,000 (terutamanya, melalui gaji dan pembekalan capaian Internet) kepada Nupedia dan Wikipedia. Sokongan itu berterusan sehingga tahun 2002.

Wikipedia dan Yayasan Wikimedia[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Sejarah Wikipedia

Menggunakan wiki untuk mencipta kandungan ensiklopedia dicadangkan di khalayak ramai oleh Larry Sanger pada 10 Januari 2001. Wiki itu disediakan oleh Wales dan bermula pada 15 Januari 2001. Pada waktu itu, Wikipedia merupakan tapak berdasarkan wiki yang bertujuan untuk orang biasa bekerjasama mencipta kandungan ensiklopedia yang awal sebelum diserahkan kepada Nupedia untuk penilaian setara. Pertumbuhan Wikipedia yang begitu pesat kemudian menyebabnya menjadi projek utama, dan Nupedia kemudian tersimpan.

Jimmy Wales memberi ucapan di Wikimania 2005

Sanger meninggalkan projek itu pada tahun 2003, dan memaparkan peletakan jawatannya dalam halaman pengguna Wikipedianya. Sejak masa itu, beliau telah mengkritikkan pendekatan Wales terhadap projek itu, dan memerikan Wales sebagai "anti elitis yang nyata sekali". Wales membantah pemerian itu dalam temu bual C-SPAN, dan mendakwa bahawa beliau bukannya anti elitis tetapi "mungkinnya anti bukti kelayakan. Bagi saya, perkara yang utama ialah membuat sesuatu dengan betul. Dan jika seseorang itu adalah benar-benar bijak dan mereka tengah melaksanakan kerja yang hebat, saya tidak peduli jika mereka merupakan budak sekolah tinggi ataupun profesor Harvard; adalah kerja yang benar-benar penting... Anda tidak boleh meluncur dengan bukti kelayakan di Wikipedia... Anda harus memasuki pasaran gagasan dan melibatkan diri dengan orang lain."

Pada pertengahan 2003, Wales menubuhkan Yayasan Wikimedia, sebuah pertubuhan bukan untung di St. Petersburg, Florida, untuk menyokong Wikipedia dan projek-projek kembar yang lebih baru. Beliau melantik diri dan dua pekongsi perniagaannya yang bukan ahli Wikipedia yang aktif kepada lembaga lima ahli; dua orang ahli yang tinggal diperuntukkan untuk wakil-wakil komuniti. Langkah ini bukan sahaja dapat melegakan Wales dan Bomis daripada sebarang beban untuk menyokong pembiayaan Wikipedia yang semakin meningkat, tetapi ia juga dapat mengekalkan jawatan pimpinan dalam Yayasan itu untuk seumur hidupnya. Jawatannya itu tidak tertakluk kepada pemilihan.

Pada tahun 2004, Wales disebut sebagai berkata bahawa beliau telah membelanjakan di lingkungan AS$500,000 untuk mengasaskan dan mengendalikan projek-projek Wikinya. Sejak kempen penubuhan tabung yayasan pada Februari 2005, Yayasan Wikimedia dibiayai sepenuhnya oleh bantuan dan derma. Wales semakin terlibat dalam promosi dan percakapan tentang projek-projek yayasan. Untuk mencapai matlumat itu, beliau membuat perjalanan ke persidangan-persidangan dan majlis-majlis Wikimedia (seperti "Wikimeets" dan Wikimania). Belanja untuk perjalanannya dibiayai oleh peruntukan perjalanan Yayasan (AS$25,000 pada tahun 2005). Beliau kerap diambil sebagai penceramah.

Perbalahan tentang asal Wikipedia[sunting | sunting sumber]

Jimbo Wales di Paris, Perancis
Jimmy Wales 2014 on CeBIT Global Conferences, Wikipedia Zero

Sedangkan Larry Sanger merujuk kepada dirinya sendiri sebagai pengasas bersama untuk Wikipedia seawal Januari 2002, Wales mengatakan bahawa beliau selalu menganggap diri sebagai pengasas Wikipedia yang tunggal. Pemberita-pemberita sering merujuk kepada Sanger dan Wales sebagai pengasas bersama, tetapi ini bermula bertukar selepas pemergian Sanger. Umpamanya, sebuah rencana Majalah Newsweek pada tahun 2004 menyatakan bahawa "[Wales] mencipta Wikipedia", tanpa menyebut nama Sanger.

Sanger telah mempertikaikan kenyataan tegas ini dengan hebat, dan menuntut bahawa, selain daripada memperkembangkan Wikipedia pada fasa awal, beliau juga menyumbang kepada gagasan untuk mempergunakan konsep wiki untuk membina sebuah ensiklopedia yang bebas. Tidak dapat dipertikaikan bahawa Sanger mencipta nama "Wikipedia" untuk projek ini. Sanger berkata: "Saya mengingati dengan amat jelas petang itu yang saya mendapat gagasan untuk Wikipedia". Bagaimanapun, beliau mengatakan bahawa gagasan yang lebih umum merupakan gagasan Wales: "Supaya dapat gambaran yang jelas, gagasan untuk ensiklopedia kerjasama sumber terbuka yang dibukakan untuk sumbangan orang biasa merupakan gagasan Jimmy pada seluruhnya, bukan gagasan saya, dan seluruh pembiayaan ditanggung oleh Bomis. Perkembangan ensiklopedia yang sebenarnya merupakan tugas yang diberikan kepada saya."

Wales memberi penghargaan kepada seorang kakitangan Bomis yang bernama Jeremy Rosenfeld sebagai orang yang "pada mula-mulanya mewujudkan gagasan untuk mencipta sebuah ensiklopedia berdasarkan wiki", walaupun beliau mengakui bahawa tiadanya kaitan sebab akibat antara cadangan ini dengan penciptaan Wikipedia.

Pada lewat 2005, suatu perbalahan yang berkaitan tertimbul mengenai Wales dan pemasukan Wikipedia terhadap dirinya sendiri. Selepas Majalah Wired meneruskan penemuan oleh Rogers Cadenhead, Wales mengesahkan bahawa beliau telah (dengan ternyata dan di bawah namanya sendiri) menyunting biografi dirinya sendiri di Wikipedia. Secara amnya, amalan ini tidak disukai dan tidak dibenarkan oleh komuniti Wikipedia dan Wales sendiri.

Suntingan Wales pada 28 Oktober, 9 November, dan 2 Disember 2005 adalah selaras dengan pandangannya bahawa Larry Sanger harus tidak menganggap diri sebagai pengasas bersama untuk Wikipedia. Sewaktu sebilangan penyunting memulihkan suntingannya, Wales mengulanginya dua kali. Suntingan-suntingannya menukarkan rujukan-rujukan yang tertentu terhadap asal Wikipedia serta menukarkan pemerian terhadap Bomis. Dalam temu bual Wired, Wales berkata, "Pengguna-pengguna harus tidak patut membuatnya, termasuk saya. Saya mengingini bahawa saya tidak berbuat demikian". Rencana Wikipedia itu juga menunjukkan bahawa Wales cuba mengelakkan stigma sosial yang diakibatkan oleh gambar-gambar dewasa yang digelarkan 'Wanita Bomis' (Bomis Babes) dalam rencana Bomis di Wikipedia.

Kegiatan-kegiatan lain[sunting | sunting sumber]

Jimmy Wales berdiri di jambatan Hohlbeinsteg, Frankfurt, Jerman, pada waktu berehat untuk filem dokumentari mengenai Wikipedia yang dicipta oleh arte, sebuah stesen TV Perancis-Jerman.

Wales dilantik sebagai Fellow Pusat Berkman untuk Internet dan Masyarakat di Pusat Pengajian Undang-undang Harvard pada tahun 2005. Kemudian pada 3 Oktober dalam tahun yang sama, Wales menyertai Lembaga Pengarah Socialtext yang merupakan pembekal teknologi wiki untuk perniagaan-perniagaan.

Wales juga diperikan sebagai penyokong objektivisme yang penuh semangat. Objektivisme merupakan suatu sistem falsafah yang diperkembangkan oleh pengarang, Ayn Rand. Dari 1992 hingga 1996, beliau mengurus senarai mel eletronik, "Perbincangan Tersederhana mengenai Falsafah Objektivisme", dan pada tahun 2002, beliau bermula mengurus Atlantis yang merupakan senarai mel yang berkaitan dengan Objektivisme di laman "Kami yang Hidup" (We the Living), sebuah tapak web untuk komuniti penyokong-penyokong Objektivisme.

Wales tinggal di St. Petersburg, Florida dengan isterinya, Christine (née Rohan, berkahwin pada 24 Mac 1997), dan anak perempuannya, Kira (lahir 26 Disember 2000). Dari masa ke semasa, Wales suka bermain catur dengan kawan-kawannya.

Karya-karya yang diterbit[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Wikiquote-logo.svg
Wikiquote mempunyai koleksi petikan mengenai:
Wikinews-logo.svg
Wikinews mempunyai berita berkaitan dengan:

Media berita[sunting | sunting sumber]

Audio/Video[sunting | sunting sumber]


Rujukan[sunting | sunting sumber]