KD Tunku Abdul Rahman

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Tunku Abdul Rahman di Pelabuhan Klang September 2009

KD Tunku Abdul Rahman adalah kapal selam pertama negara Malaysia. Tentera Laut Diraja Malaysia membeli dua kapal selam Scorpene dengan kos RM3.4 bilion. Ia dibina di pelabuhan Toulon, Perancis dan Cartagena, Sepanyol. Dilancar pada 23 Oktober 2007, ia tiba di Malaysia pada 3 September 2009.

Malaysia merupakan negara ketiga di Asia Tenggara memiliki aset itu selepas Singapura dan Indonesia.

Spesifikasi[sunting | sunting sumber]

  • Kapal selam Scorpene ini merupakan kapal selam jenis tempur konvensional yang berkemampuan membawa 10 torpedo dan 30 pemusnah periuk api. Kapal selam Scorpene ini lengkap dengan 6 tiub peluru berpandu yang boleh dilancarkan serentak iaitu peluru berpandu anti kapal permukaan dan torpedo anti kapal selam. [1]
  • Ia mampu beroperasi mengawasi perairan Malaysia pada kedalaman 100 hingga 200 meter. Perairan Selat Melaka , Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi perlu diawasi dari pencerobohan tentera musuh.[2]
  • Kapal selam ini menggunakan diesel-elektronik generasi baru .
  • Kelajuannya 20 knot . Ia lengkap dengan sistem navigasi tercanggih, sistem tempur yang dikenali sebagai SUBTICS.
  • Kontraktor pembina ialah Defence Conseil National (DCN) iaitu syarikat perkapalan Perancis dengan rakan kongsi dari Sepanyol, Navantia.[3]

Pelayaran dari Perancis[sunting | sunting sumber]

KD Tunku Abdul Rahman mengambil masa 55 hari berlayar dari Toulon , Perancis sejak 11 Julai 2009. Ia merentasi 6000 batu nautika dan singgah di 3 pelabuhan iaitu di pelabuhan Jeddah, Djibouti dan Cochin sebelum sampai di pelabuhan Klang.

Pada 3 September 2009 kapal selam ini dengan 35 krew diketuai Komander Zulhelmy Ithnain tiba di Malaysia. Ia berlabuh di Pangkalan KD Sultan Abdul Aziz Shah, Pulau Indah, Pelabuhan Klang, Selangor.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin melancarkan setem kenangan dan sampul surat hari pertama sempena kapal selam pertama negara itu. Turut hadir ialah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj.[4]

Kerosakan[sunting | sunting sumber]

Pada Disember 2009, kerosakan komponen Forward Seawater Cooling System (bahagian sistem penyejuk air laut) dikesan ketika menyertai Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 2009) di Langkawi .Justeru itu, jurutera menasihatkan untuk kapal selam ini tidak menyelam kerana dikhuatiri membahayakan.[5]Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga berpendapat ia membahayakan dan tidak perlu menyelam sehingga kerosakan dibaikpulih.[6]

Pada 11 Februari 2010, Panglima Tentera Laut, Jeneral Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar mengesahkan kapal selam KD Tunku Abdul Rahman mengalami sedikit kecacatan pada komponen (defect high pressure air blowing) yang boleh menjejaskan keselamatan kapal berkenaan jika ia menyelam. Kerosakan itu melibatkan bahagian yang menyalurkan tekanan air keluar masuk yang menyebabkan kapal itu berbahaya untuk dilancarkan ke bawah permukaan air.

Pada 17 Januari 2010, kapal selam itu tidak dibenarkan menyelam kerana kerosakan mekanikal dikesan pada kapal selam Scorpene binaan Perancis itu dikhuatiri membahayakan kru kapal. Setelah baikpulih dilakukan oleh kontraktor yang dilantik, pada 22 Februari 2010 kapal selam ini dibenarkan untuk beroperasi kembali. Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kerosakan kecil telah diperbaiki oleh pihak pembekal kerana masih dalam tempoh jaminan.[7].

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Masalah Teknikal Punca KD Tunku Abdul Rahman Tidak Boleh Menyelam
  2. ^ Masalah Teknikal Punca KD Tunku Abdul Rahman Tidak Boleh Menyelam
  3. ^ 2009 Tahun Perkukuh Pertahanan Negara
  4. ^ Perolehan Kapal Selam Jamin Kedaulatan Perairan Malaysia Bernama
  5. ^ "Kapal selam: Lagi episod aib negara". Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-02-15. Dicapai pada 2010-02-12.
  6. ^ No Submarine Ride For MPs
  7. ^ KD TAR Sudah Dibaikpulih