Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kawalan masuk jalan raya atau kawalan capaian jalan raya merujuk kepada capaian ke harta bersebelahan dengan jalan raya yang dihadkan dengan beberapa cara. Jalan raya yang dikenakan kawalan masuk biasanya dikenali sebagai jalan raya capaian terhad. Kawalan masuk terhadap sesebuah jalan raya amat bergantung kepada taraf jalan raya, daripada jalan perbandaran iaitu sehingga setakat mana kawalan masuk dikenakan oleh pihak berkuasa[1][2] sehinggalah ke lebuh raya.[3][4] Definisi yang lebih tepat bagi kawalan masuk jalan raya mungkin berbeza mengikut tahap penguatkuasaan. Lazimnya, kenderaan yang bergerak perlahan seperti basikal, beca, kuda ataupun pejalan kaki tidak dibenarkan melalui jalan raya yang dikenakan kawalan capaian penuh.
Darjah kawalan masuk jalan raya [sunting]
- Kawalan masuk penuh - Biasanya dikenakan pada lebuh raya ekspres. Melalui darjah kawalan masuk penuh, lebuh raya direka dengan reka bentuk jalan raya kembar untuk mengelak pertembungan dengan kenderaan dari arah bertentangan. Pembahagi lebuh raya dibuat berterusan bagi menghalang sebarang bentuk lintasan pada lebuh raya. Keluar masuk lebuh raya hanyalah melalui persimpangan bertingkat dengan pengasingan aras. Kawalan masuk penuh pada lebuh raya membolehkan had laju lebuh raya ditetapkan pada tahap kelajuan yang tinggi. Ada kalanya pagar turut dipasang di sepanjang lebuh raya bagi mencegah haiwan daripada melintasi lebuh raya.
- Kawalan masuk separa - Dikenakan pada lebuh raya capaian separa serta jalan raya utama. Lintasan searas mungkin dibenarkan, tetapi capaian ke harta awam dan persendirian adalah melalui jalan pengumpul atau jalan tempatan. Keluar masuk jalan raya boleh jadi sama ada persimpangan bertingkat ataupun persimpangan searas. Had laju yang dikenakan adalah agak tinggi tetapi lebih rendah daripada had laju di lebuh raya capaian terhad.
- Tiada kawalan masuk - Capaian terhadap harta persendirian ataupun awam adalah secara terus dari jalan raya. Keluar masuk jalan raya adalah melalui persimpangan searas. Had laju yang dikenakan adalah rendah dan hanya melibatkan lalu lintas tempatan sahaja.
Hierarki jalan raya mengikut kawalan masuk [sunting]
- Lebuh raya ekspres - kawalan masuk penuh
- Lebuh raya capaian separa serta jalan raya utama - kawalan masuk separa
- Jalan raya sekunder atau jalan pengumpul - kawalan masuk separa
- Jalan kampung, jalan bandar atau jalan tempatan - tiada kawalan masuk
Rujukan utama [sunting]