Jalan raya kembar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Sebatang jalan raya kembar di Britain (A63(T)) dekat Hull.
Jalan raya kembar di Jerman pada tahun 1930an.
Rajah jenis jalan raya, iaitu jalan raya tunggal (tiga gambar teratas) sarta jalan raya kembar (paling bawah).
Lebuhraya Taman Clara Barton dari atas jejambat.

Jalan raya kembar merupakan sejenis jalan raya di mana kedua-dua arah laluan lalu lintas dipisahkan oleh pembahagi jalan. Ia mungkin mempunyai kawalan masuk penuh (dengan persimpangan bertingkat) ataupun separa (dengan persimpangan searas). Jalan raya kembar dengan dua lorong atau lebih bagi setiap hala biasanya lebih berupaya menampung kadar aliran trafik yang jauh lebih tinggi berbanding jalan raya tunggal biasa.

Di sesetengah negara, jalan raya kembar mempunyai had laju lebih tinggi daripada jalan raya tunggal tetapi lebih rendah daripada lebuh raya, manakala di negara-negara lain pula had laju jalan raya kembar adalah sama seperti jalan raya tunggal. di Malaysia, had laju maksimum bagi jalan raya kembar adalah sama seperti jalan raya tunggal iaitu 90 km/j.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Satu contoh jalan raya kembar terawal ialah Via Portuensis, yang dibina pada kurun pertama oleh maharaja Rom bernama Claudius dari Rom ke pelabuhan Ostia di muara sungai Tiber.

Pada tahun 1907 Lebuhraya Taman Long Island dibuka dan secara kasarnya 20% daripadanya merupakan jalan raya separa kembar. Sistem lebuh raya taman Bandaraya New York, yang dibina antara tahun 1907 hingga 1934, juga menggunakan reka bentuk yang sama. Walau bagaimanapun, kebanyakannya menampilkan landasan konkrit atau batu-bata sebagai pembahagi dan bukannya pembahagi jenis rumput.

Pada tahun 1924, Autostrada Itali dibuka sepanjang 55 km dari Milan ke Varese. Ia menampilkan asas jalan yang tebal dan tidak menggunakan pembahagi kecuali semasa menghampiri bandar atau melalui pergunungan.[1][2]

Bahagian penghujung Great West Road di London merupakan jalan raya kembar pertama di Britain semasa ia dibuka pada tahun 1925 oleh Raja George V.[3]

Pada tahun 1927, jalan pintasan Rom dibuka. Jalan pintasan sepanjang 92 km memintas bandar raya Rom ke timur. Hampir keseluruhannya merupakan jalan raya kembar. Pada awal 1930an ia dipanjangkan ke arah selatan sehingga ke Naples dan arah utara ke Florence. Kebanyakan jajaran telah dimusnahkan tentera Berikat semasa Perang Dunia Kedua.

Menjelang 1930, beberapa bandar raya di Amerika dan Eropah membina jalan raya kembar untuk mengurangkan kesesakan jalan raya serta menyediakan laluan pintasan kepada lalu lintas.

Pada tahun 1932 Autobahn Jerman pertama dibuka antara Cologne dan Bonn. Lebuh raya sepanjang 21 km ini menjadi perintis kepada lebuh raya akan datang yang lain. Walaupun ia tidak menampilkan reka bentuk jalan raya kembar sebagaimana Autostrada pertama Itali ia menjadi perintis kepada pembinaan lebuh raya berkelajuan tinggi lain pada masa akan datang.

Di Malaysia, Jalan Gasing dan Jalan Universiti di Petaling Jaya merupakan jalan-jalan raya kembar terawal. Lebuhraya Persekutuan menjadi lebuh raya ekspres pertama di Malaysia hasil naik taraf Jalan Kuala Lumpur-Klang, dibuka pada tahun 1977.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]