Muzik gendang silat

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Berikut adalah senarai alat-alat muzik gendang silat.

Senarai[sunting | sunting sumber]

1. Serunai[sunting | sunting sumber]

Alat tiupan dari jenis-jenis ‘serunai’ yang menggunakan pipit dua lapis (double reed instrument) adalah terdapat di seluruh dunia dan ditakrifkan sebagai alat ‘shawms’. Ia adalah merujuk kepada jenis-jenis alat tiup secara khusus yang mempunyai bentuk seperti ‘kun’ pada pipa melodinya iaitu ‘chanter’ dan menggunakan pipit dua lapis sebagai ‘sounding device’ di India dikenali sebagai ‘Shahnay’, di China dikenali sebagai ‘Sona’, di Sri Lanka dikenali sebagai ‘Harone’ dan di Thailand dikenali sebagai ‘Phi-Nai’. Di Malaysia dikenali sebagai ‘Serunai’. Perkataan ‘Serunai’ berasal dari perkataan ‘Nay’, dalam bahasa Parsi bermaksud tiup. Di Iraq alat ini dikenali sebagai ‘Zurna’. Malah alat-alat ‘Shawms’ yang terdapat di Jepun, Korea, ataupun disemua kawasan Asia Tenggara adalah berasal dari keluarga yang sama. Iaitu dari Timur Tengah. Di Maghribi alat ini dikenali sebagai ‘Ghaita’.

Asal usul[sunting | sunting sumber]

Alat tiup jenis serunai, dikatakan berasal dari Parsi. Namun perkembangan awal di Asia Tenggara, adalah dipercayai bermula daripada pengaruh budaya Hindu, yakni sebelum kedatangan Islam dirantau ini. Dimana pendita-pendita mereka dikatakan telah membawa bersama-sama peralatan muzik untuk menjalankan kegiatan dakwah agama mereka iaitu agama Hindu.

Di Malaysia terdapat pelbagai jenis serunai yang digunakan dalam ensemble untuk mengiringgi Teater Wayang Kulit, Menora, Silat, Tarian Istana dan rakyat serta nobat diraja. Serunai yang terdapat di Malaysia adalah dicipta oleh tokoh-tokoh tempatan yang benar-benar mahir dalam bidang berkenaan. Mereka menggunakan cara tradisional untuk mencipta alat tersebut melalui keupayaan intuitif serta kepandaian yang sedia ada dalam diri mereka. Sungguh pun terdapat perbezaan-perbezaan kecil dari segi ukuran dan bentuk serta hiasannya diantara satu sama lain, namun ianya dicipta berlandaskan kepada prinsip-prinsip akustik yang sama, seperti kegunaan bahan asas dan juga ditebuk secara selari (parallel – bare) dengan bentuk luaran. Kaedah ini sering diamalkan bagi pembuatan alat serunai dari keluarga ‘shawms’ yang terdapat diseluruh dunia.

Bersesuaian dengan nada muziknya, serunai kebanyakannya mempunyai tujuh lubang petik sebagai lubang penjarian dan satu lubang petik sebagai lubang ibu jari, sering juga diungkapkan sebagai ‘lubang jerit’ oleh sebab suaranya yang meninggi itu dan ada kalanya diungkapkan sebagai ‘lubang penggalak’ iatu menghasilkan nada-nada hias yang bersifat riang ataupun galak.

Bagi kebanyakan serunai yang terdapat di Malaysia, di mana pipitnya diperbuat dari daun lontar yang sederhana tua. Ini bagi menentukan keutuhannya serta untuk mendapatkan jenis ‘timbre’ iaitu mutu suara seperti mana yang dikehendaki. Manakala dalam persembahan ‘Barongan’ yang berkembang dikalangan masyarakat Jawa di Johor terdapat sejenis alat tiupan yang berpipit dikenali sebagai ‘Selumprit’. Alat ini berasal dari Tanah Jawa, Indonesia. Pipitnya diperbuat dari daun kelapa tua yang telah dikeringkan.

Alat tersebut mempunyai empat lubang petik untuk menghasilkan melodi yang agak terhad tonalitinya, jika dibandigkan dengan serunai yang berkembang di Perlis, Kelantan dan ensemble Silat Kedah. Dalam ensemble paluan Wayang Gedek yang juga berkembang di Kedah, tedapat sejenis serunai yang mempunyai enam lubang petik dan tidak mempunyai kecopong. Serunai ini dikenali sebagai serunai ‘Pemetong’ dan dikatakan berasal dari Kampuchea dikenali sebagai ‘Seralai’. Jenis serunai seperti ini juga terdapat dinegara Thailand, dikenali sebagai ‘Pi-Nay’, pipitnya juga diperbuat dari dan lontar.

Adapun jenis-jenis serunai yang terdapat di Malaysia, dicipta tidak mengikut satu piawaian yang baku. Dengan demikian ‘timbre’ atau air suaranya berbeza-beza walaupun berkembang dalam disiplin yang sama, seperti yang terdapat dalam ensemble Wayang Kulit di Kelantan; misalnya. Namun perkara ini tidak pula berlaku pada kebanyakan serunai yang terdapat dalam ensemble Gendang Silat di Kedah dan juga Terinai di Perlis dimana sukatan pic suaranya hampir sama dengan sistem pic barat iaitu ‘Western Tempered Pitch’.

Namun begitu, secara umumnya alat serunai telah mendukung peranan yang terbanyak dalam tradisi muzik rakyat dan juga istana di Malaysia, selain daripada perananya sebagai pembawa melodi dalam genre muzik yang perbagai juga digunakan bagi tujuan perarakan untuk mengiringgi pembesar-pembesar Negara. Dalam ensemble nobat diraja, serunai telah mempunyai kedudukan yang tinggi dari segi statusnya. Ia digandingkan dengan sejenis alat ‘trumpet’ iaitu nafiri yang memainkan melodi ‘drone’ dalam muzik istiadat seperti pertabalan dan sebagainya.

Pengelasan[sunting | sunting sumber]

Klasifikasi alat serunai; Aerophone, jenis-jenis alat yang mana sifat serta sumber bunyinya terhasil melalui peniupan ataupun hembusan angin. Contoh alat seperti Selumprit, Puling Tanah, Nafiri, Tetuan Tanduk, serunai batang Padi, Salung, Bangsi, Serunai daun kelapa, dedaun (erofon bebas) dan Puput.

2. Gendang[sunting | sunting sumber]

Jenis-jenis gendang yang mempunyai satu muka seperti kompang dan rebana diakui telah mendahului gendang-gendang yang mempunyai dua muka sepertimana yang terdapat dalam ensemble paluan silat, nobat diraja, Mak Yong, Gendang Keling, Wayang Kulit, Terinai dan sebagainya. Begitu juga dengan gendang dua muka yang terdapat dalam permainan Gamelan yang juga merupakan satu eksternal dari kejadian dahulu.

Sejenis gendang dua muka yang dikenali sebagai Gendang Ibu dan Anak berkembang di negeri Kedah, Perlis, Terengganu dan Perak telah ditakrifkan sebagai Gendang Melayu. Digunakan sebagai Genderang dalam ensemble paluan untuk mengiringgi teater tradisional serta mengiringgi tarian klasik Istana dan rakyat.

Temalangnya diperbuat daripada kayu nangka ataupun jenis kayu yang keras yang lain yang dianggap sesuai. Bentuknya seperti tempayan iaitu ‘barrelshape’ dan tebukan dalaman dilakukan selari dengan bentuk luaran. Ini bagi menjamin mutu suara yang terbaik dan ideal. Pada permukaan besar temalang tersebut telah dirambing dengan belulang lembu manakala permukaan kecilnya dengan belulang kambing.

Proses merambing hendaklah bermula dengan meregang ataupun memasangkan kulit-kulit berkenaan yang masih dalam keadaan lembap pada bingkai rotan yang telah dibentuk mengikut kesesuaian. Dengan ini apabila kering, ianya akan menebat di antara kulit dan bingkai tersebut. Kemudian dipasangkan serentak pada kedua-dua muka gendang tersebut dan dijalin dengan rotan, berbentuk seperti “Y” sebagai bahan penegang, menerusi gelung-gelung yang diperbuat daripada kulit berfungsi sebagai ‘simpai’ iaitu alat tala ataupun ‘immediate tuning device’ bagi gendang.

Dalam proses penalaan bunyi, ‘kemban rotan’ juga dipakai pada badan gendang tersebut. Ini bagi menjamin ketegangannya supaya tidak cepat mengendur. Dalam keadaan yang sama ‘kemban rotan’ juga berfungsi sebagai bahan penghias.

Dalam konteks persembahan Gendang Ibu akan disertai secara berpasangan dengan Gendang Anak untuk memainkan pola-pola paluan yang khusus secara meningkah bagi pembinaan setiap struktur irama mengikut disiplin yang didukunginya seperti ensemble Wayang Kulit, Menora, Makyong dan Silat.

Secara praktis permukaan besar Gendang ibu dapat melahirkan suara asas yang dapat disifatkan sebagai mnemonic ‘doh’ dan pada permukaan kecilnya ialah mnemonic ‘pak’; begitu juga dengan permukaan besar Gendang Anak iaitu mnemonic ‘ting’ dan pada permukaan kecil ialah mnemonic ‘chak’.

Dalam amalan semasa persembahan ianya dipangku diatas riba secara tertib mengikut keselesaan pemainnya dan dipalu dengan tangan pada kedua-dua belah mukanya. Gendang Anak mempunyai ukuran yang lebih kecil sedikit daripada Gendang Ibu dan tebukan dalaman sering dianalogikan sebagai buluh seruas supaya dapat menghasilkan ‘pitch’ yang tinggi.

Bagi pengamal gendang, mereka menghias dengan menggunakan enam (6) ‘simpai’ atau lima dan peranan ‘simpai’ bagi Gendang Melayu merupakan sesuatu yang mutlak bagi proses penalaan bunyi. Ianya juga dianggap sebagai ‘the immediate tuning device’ iaitu secara praktisnya seseorang dapat menala alatnya dengan pantas dalam mencari suara. Berbanding dengan kaedah-kaedah lain yang sering digunakan seperti mengetuk pada bingkainya. Kaedah ini tidak wajar dilakukan oleh seseorang pemain itu sewaktu dalam persembahan. Untuk mengekalkan hayat kulit secara yang berpanjangan ‘simpai’ tadi perlu dilonggarkan apabila selesai satu persembahan.

Perkembangan Gendang Melayu dikatakan berasal dari India. Di Kedah masih terdapat gendang dua muka yang mempunyai persamaan bentuk gendang ‘mridanga’ yang terdapat dalam komuniti India di Malaysia. Ianya pada suatu ketika dahulu telah dianggapkan sebagai Gendang Keling, satu nama korupsi yang tidak wajar diketengahkan dalam kontek semasa. Kini gendang tersebut telah diterima sebagai sebahagian daripada jenis-jenis gendang Melayu.

Pengaruh Timur Tengah telah banyak memberi kesan kepada pembentukan alat-alat gendang di Malaysia. Alat-alat seperti Nekara, Meruas, Gedombak, Kompang, Jidor, Rebana, Dub serta Tar Rodat adalah terhasil daripada perhubungan perdagangan dan penyebaran agama Islam dirantau ini sejak sekian lama dan sekaligus memperkayakan lagi unsur-unsur serta nilai budaya masyarakat setempat.

Alat-alat seperti Gedombak yang terdapat didalam permainan Wayang Kulit di Kelantan mempunyai talian dengan ‘Dombak’ atau ‘Zarb’ di Iran dan ‘Darabuka’ di Iraq. Bagi gendang yang berbingkai (frame drum) seperti Kompang merupakan alat terpenting bagi meraikan majlis keagamaan masyarakat Islam di Timur Tengah. Alat-alat ini dikenali sebagai ‘Daira’ di Iran, ‘Bendir’ di Maghribi’, ‘Tar’ di negara-negara Teluk dan ‘Duff’ di Syria.

Bagi gendang dua muka yang menyerupai ‘Jidur’ dan ‘Beduk’ di Maghribi dikenali sebagai ‘Tabl’ manakala gendang dua muka yang lebih kecil dikenali sebagai ‘Maruas’ atau ‘Manama’ di Bahrain. Gendang ‘Nakara’ seperti yang terdapat di Maghribi, Habsyah dan Sudan; sungguhpun terdapat istilah ‘Tabl’ atau ‘Tabla’ dikatakan berasal dari perkataan Arab yang bermaksud gendang, namun alat Tabla yang terdapat dalam permainan Ghazal di Malaysia berasal dari India. Begitu juga dengan gendang Melayu juga berasal dari India dan mempunyai persamaan bentuk seperti gendang ‘Mridanga’. Suatu ketika dahulu istilah Gendang Keling sering digunakan bagi Gendang Melayu khususnya yang berkembang di Kedah dan di Perlis.

Pengelasan[sunting | sunting sumber]

Klasifikasi alat-alat Muzik Gendang dengan istilah ‘Membranophone’. Membranophone : jenis-jenis alat yang mana sifat serta sumber bunyinya terhasil daripada bahan-bahan kulit yang diregangkan. Contoh alat seperti kumpulan gendang muka satu – Beduk, Rebana Besar, Rebana Kercing, Rebana Medan, Rebana Zikir, Rebana Mek Mulung, Tar Rodat, Kompang, Redap/Rebana Riba, Rebana Jikey, Gedombak, Nakara, Tabla, Baya dan Kemplingan. Kumpulan gendang dua muka – Gendang Ibu, Gendang Anak, Gendang Terinai, Gendang Keling, Geduk, Maruas, Jidur, Dup dan Gendang Gamelan.

3. Gong[sunting | sunting sumber]

Alat Gong di dunia wujud dalam bentuk yang khusus iaitu satu yang mempunyai ‘Busut’ atau ‘Tombol’ dan secara umumnya telah ditakrifkan sebagai ‘knobbed gong type’ dan satu lagi ialah tanpa busut atau tombol dan telah ditakrifkan sebagai ‘flat gong type’. Perkataan Gong umumnya digunakan secara meluas di seluruh dunia sekarang ini berasal dari perkataan Melayu/Indonesia. Ianya berasaskan kepada system ‘onomatopoera’ iaitu satu system penamaan yang diilhamkan melalui peniruan bunyi yang diterbitkan oleh alat berkenaan.

Asal usul[sunting | sunting sumber]

Sejarah kemunculan awal alat gong jenis berbusut di dunia bermula di Asia Tenggara dan disifatkan sebagai alat ‘asli’ bagi masyarakat Melayu. Gong berbusut yang diakui pernah ditemui di Indonesia bertarikh kira-kira 1000 S.M. Sungguhpun ada pendapat yang mengatakan bahawa Gong telah wujud di negara China sejak dari zaman pemerintahan Dinasti Zhou lagi (1122-1229 S.M).

Keluarga Gong di Malaysia secara umumnya adalah terdiri daripada jenis-jenis yang berbusut ataupun yang bertombol. Ianya diperbuat daripada bahan-bahan asas seperti tembaga, timah dan besi. Terdapat didalamnya pelbagai bentuk dan ukuran yang kelihatan begitu berbeza-beza diantara satu sama lain termasuk juga ‘pic’ (sukatan bunyi).

Istlah ‘tetawak’ yang sering kita dengar secara tradisi adalah merupakan satu istilah tempatan ataupun bagi alat gong yang digunakan secara meluas oleh masyarakat di negeri Kelantan khususnya dan juga dinegeri-negeri lain di Malaysia. ‘Tawang’ mengikut sistem ejaan fonologinya dan berkemungkinan besar alat-alat ini telah dibawa masuk dari kepulauan Mindanao di Selatan Filipina. Hingga kini alat gong masih di perbuat di sana khususnya oleh suku Maranos di Wilayah Lanao del Sur. Dari maklumat yang di perolehi, alat tetawak dari jenis tembaga ini tidak pernah diperbuat di negeri Kelantan. Ianya diakui dibawa masuk dari negara Burma melalui Pattani di selatan Thailand sejak beratus-ratus tahun dahulu untuk kegunaan teater tradisional seperti Wayang Kulit, Menora, Mak Yong dan Tarian Asyik.

Pada masa kini terdapat juga alat tetawak yang diperbuat dari besi sebagai alternatif oleh pakar-pakar tertentu dari kalangan masyarakat tempatan. Mereka menggunakan teknik ‘pateri’ ataupun dibentuk dari objek seperti ‘leger’ iaitu tong-tong minyak yang sedia ada kemudian dipaterikan. Namun kemahiran teknik seperti di atas tidak dapat menjamin mutu dan nilai sesebuah alat itu, bahkan pada prinsipnya turut memperlihatkan satu kemunduran dari segi teknologi pembuatannya jika dibandingkan dengan teknik ‘tempa’ yang telah diamalkan di sesetengah negara Asia Tenggara. Mereka sudah mempunyai teknik yang begitu tinggi khususnya bagi pembuatan gong/tetawak dari gangsa yang terdapat di Myanmar dan Filipina. Begitu juga di Indonesia yang menggunakan teknik yang sama bahkan lebih halus dan rumit lagi khususnya dalam pembuatan alat-alat Gamelan jenis ‘perunggu’ yang telahpun mendapat pengiktirafan masyarakat dunia sebagai gong yang terunggul.

Pengelasan[sunting | sunting sumber]

Klasifikasi alat gong dengan istilah – Idiophone. Jenis-jenis alat yang mana suaranya dapat dihasilkan melalui Kaedah-kaedah seperti laga, goyang dan ketukan mengikut keadaan dan bentuk semulajadi sesebuah alat tersebut. Yakni sifat alat berkenaan tidak memerlukan seseorang pemain itu melakukan persediaan awal bagi maksud penalaan bunyi untuk menghasilkan bunyi.