Nordin Ahmad

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Nordin Ahmad
Nordin Ahmad.jpg
Nordin Ahmad, pelakon filem Melayu.
Kelahiran 1932 Seberang Perai Pulau Pinang
Meninggal dunia 15 Jun 1971 (berumur 38–39)
Singapura Singapura
Pekerjaan Penyanyi, Pelakon
Tahun aktif 1950 - 1971
Pasangan Salmah Ibrahim (Salmah Hitam)
Anak Asmah, Tuah, dan Asnor

Nordin Ahmad adalah seorang pelakon filem Melayu Malaysia ulung. Beliau dilahirkan di Seberang Perai, Pulau Pinang pada tahun 1932. Lakonan hebat beliau adalah seperti dalam filem Seri Mersing, Semerah Padi, Air Mata Duyong dan Gurindam Jiwa. Selain itu beliau juga dikenang dengan lakonan agresif seperti dalam filem Hang Jebat, Cucu Datuk Merah dan Raden Mas.

Penglibatan dan Kerjaya Seni[sunting | sunting sumber]

Penglibatan beliau bermula apabila beliau berkerja sebagai kerani di Singapura pada 1951 dan tidak menyimpan hasrat berlakon sehingga melihat iklan mencari pelakon-pelakon baru di Utusan Melayu. Atas dorongan rakan-rakan beliau menerima jemputan uji bakat bersama Malay Film Productions Ltd. (MFP) tetapi gagal. Pengarah S. Ramanathan yang mengujinya berpendapat Nordin tidak mampu berlakon.

Nordin menerima tawaran berkerja sebagai buruh kasar di studio MFP dengan harapan dapat menjadi pelakon satu hari kelak. Beliau muncul di beberapa filem termasuk Rayuan Sukma dan Juwita sebagai pelakon tambahan tanpa dialog. Pengarah Haji Mahadi mengambil Nordin menjadi perlakon utama filem Permata di Perlimbahan berganding dengan Maria Menado tetapi filem itu tidak laris. Akibatnya Nordin terpaksa menjadi pelakon tambahan semula. Biarpun begitu dia mencekalkan semangat dan tidak berputus asa.

Rakan Nordin, P.Ramlee lah yang melancarkan kerjaya Nordin bila menawarkannya berlakon watak Teruna bertentang Aduka yang dilakonkan oleh P. Ramlee dalam filem Semerah Padi pada tahun 1956. Kejayaannya sebagai Teruna melonjakkan namanya sebagai seorang bintang filem. Nordin diambil dari studio MFP oleh Cathay-Keris Film Productions dengan tawaran lumayan dan menjadi kesayangan Cathay.

Pengarah-pengarah berlumba-lumba untuk mengambilnya membintangi filem mereka. Disamping jalan cerita yang menarik dan pengarahan yang bagus, Nordin Ahmadlah elemen penting dalam kejayaan filem-filem Cathay Keris seperti filem Hang Jebat arahan Husain Haniff, Cucu Datuk Merah oleh M. Amin dan Seri Mersing oleh Salleh Ghani.

Teruna (Nordin Ahmad) dalam filem Semerah Padi 1956

Nordin sendiri ditawar menjadi pengarah pada 1964 dengan filem pertamanya Wan Perkasa yang tidak bergitu berjaya. Namun begitu peluang mengarah terus diberikan kepadanya melalui filem-filem Kasih Ibu, Naga Tasek Chini, Play Boy, Kekasih, Nafsu Belia, Keranda Berdarah and Lubang Neraka. Nordin mengakui bahawa beliau lebih terserlah sebagai pelakon berbanding pengarah.

Namun yang pasti, setiap kali menyebut nama Nordin Ahmad, peminat akan terus teringat adegan-adegan dan dialog-dialog yang menjadi klasik filem-filem Melayu sepanjang zaman seperti dalam filem Seri Mersing arahan Allahyarham Salleh Ghani dengan dialog berpantun ; "Kajang Pak Malau kajang berlipat, kajang saya mengkuang layu, dagang Pak Malau dagang bertempat, dagang saya musafir lalu." Dalam filem Gurindam Jiwa (1966) Nordin berganding dengan Latifah Omar mendendangkan lagu Gurindam Jiwa dengan rangkap "Tuai padi antara masak, esok jangan layu layuan, intai kami antara nampak, esok jangan rindu-rinduan".

Kematian[sunting | sunting sumber]

Beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Besar, Singapura pada 15 Jun 1971 ketika berusia 39 tahun kerana menghidap demam kuning. Beliau meninggalkan balu, Salmah Ibrahim (Salmah Hitam) serta tiga cahaya mata - Asmah, Tuah dan Asnor.

Filem[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]