Pengguna:Syfuel/Kotak pasir

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lazada Malaysia
JenisSwasta
Ibu pejabatKuala Lumpur, Malaysia
Kawasan yang dipasarkanMalaysia
Perancang utamaMaximilian Bittner (KPE Asia Tenggara)
Hans-Peter Ressel (KPE Malaysia)
Andrew Gnananantham (KPP Malaysia)
IndustriInternet
ProdukE-dagang
ServisE-dagang
(Membeli-belah dalam talian)
Pekerja800 orang[1]
IndukLazada Group
Slogan"Effortless Shopping"
Laman webLazada.com.my

Lazada Malaysia adalah sebuah pusat membeli-belah dalam talian yang membekalkan pelbagai produk termasuklah peralatan rumah, barangan-barangan elektronik, barangan-barangan fesyen, makanan kesihatan tambahan, produk-produk kecantikan, permainan kanak-kanak, peralatan sukan, dan pelbagai lagi. Sebuah syarikat yang beroperasi sepenuhnya secara dalam talian, untuk menggunakan perkhidmatan mereka, para pengguna perlu mengakses laman sesawang mereka melalui komputer, telefon bimbit, atau aplikasi alat mudah alih.

Berpangkalan di Kuala Lumpur, Lazada Malaysia adalah salah sebuah cawangan Lazada Group, sebuah syarikat swasta e-dagang yang turut beroperasi di beberapa buah negara di Asia Tenggara, termasuklah Indonesia, Singapura, Thailand, dan Vietnam. Bermula pada tahun 2013, Lazada Malaysia telah diiktiraf sebagai pusat membeli-belah dalam talian terbesar di Malaysia. Sehingga Mac 2016, Lazada Malaysia secara khususnya mempunyai lebih daripada lima juta produk, 800 pekerja, 10 000 penjual, dan dua gudang di Subang Jaya, Selangor dan Kuching, Sarawak.[1] Dalam bulan yang sama, syarikat induk mereka, Lazada Group turut mengumumkan sepanjang tahun 2015, mereka telah menjana Nilai Dagangan Kasar (NDK) sebanyak AS$1.3 bilion.[1]

Latar belakang dan perkembangan[sunting | sunting sumber]

Sejarah Lazada Malaysia bermula dengan penubuhan syarikat Lazada Group pada Mac 2012 ketika kadar penembusan Internet, media sosial, dan komunikasi bergerak di Asia Tenggara masih lagi berkembang dengan pesat. Kurang setahun daripada penubuhannya, Lazada Group telah menerima suntikan dana pelaburan dari beberapa pelabur-pelabur besar seperti Investment AB Kinnevik,[2] Tenggelmann,[3] Summit Partners,[4], Tesco PLC,[5] dan J.P. Morgan.[6] Lazada Group juga turut menerima dana pelaburan dari beberapa syarikat luar lain termasuklah Temasek Holdings dan Verlivest.[5][7]

Pada April 2016, Alibaba Group telah membeli kepentingan Lazada Group dengan jumlah sebanyak AS$1 bilion.[8] Dari AS$1 bilion itu, AS$ 500 juta itu digunakan untuk membeli saham baru, manakala baki daripada jumlah keseluruhan yang sama digunakan untuk membeli saham lama yang dijual secara sebahagian atau sepenuhnya oleh pelabur-pelabur sedia ada, termasuklah Rocket Internet SE, Tesco PLC, dan Investment AB Kinnevik.[8]

Pada Mac 2016, Lazada Group telah mendedahkan bahawa sepanjang tahun 2015, mereka telah memperoleh Nilai Dagangan Kasar (NDK) yang mencecah AS$1.3 bilion.[1]

Perkhidmatan dan servis[sunting | sunting sumber]

Sebagai sebuah syarikat yang menawarkan khidmat jualan barangan dalam talian sepenuhnya, Lazada Group telah melancarkan aplikasi mudah alih untuk sistem pengendalian Android pada tahun 2013.[9] Pada tahun 2014, aplikasi mudah alih untuk pengguna sistem pengendalian Apple (iOS) pula dilancar.[10] Semenjak pelancaran aplikasi mudah alih Lazada, 55% peratus daripada Nilai Dagangan Kasar (NDK) sebanyak AS$1.3 bilion yang dijana oleh Lazada Group pada tahun 2015 sahaja telah disumbang oleh pengguna alat mudah alih.[1] Sehingga Mac 2016, aplikasi tersebut telah dimuat turun sebanyak 30 juta kali, dan di Malaysia sahaja, ia telah dimuat turun empat juta kali.[1] Pada Januari 2016 pula, laman sesawang rasmi Lazada Malaysia telah diiktiraf sebagai laman sesawang ketujuh paling popular di Malaysia.[11]

Pusat penghantaran dan servis penghantaran[sunting | sunting sumber]

Pada Mac 2015, Lazada Malaysia telah melancarkan gudang kedua mereka di Kuching, Sarawak selepas yang pertama di Subang Jaya, Selangor.[12] Gudang dua tingkat ini dengan keluasan yang mencecah 14 000 kaki persegi adalah gudang mereka yang pertama di Malaysia Timur.[12] Gudang ini juga akan berfungsi sebagai pusat penghantaran barangan bagi para pengguna yang tinggal di Sabah dan Sarawak.[12]

Pada November 2015, Lazada Malaysia mengumumkan bahawa kini mereka mempunyai servis penghantaran barang mereka sendiri, Lazada Express (LEX).[13] Mereka juga turut melancarkan servis penghantaran pada hari yang sama pada April 2016.[14] Dikenali sebagai "Lazada High-Speed Delivery", servis in tersedia buat para pelanggan yang tinggal di Lembah Klang di mana tempahan yang dibuat sebelum 1 petang akan diterima oleh si pengirim pada hari yang sama barangan itu ditempah.[14]

Kempen membeli-belah "Revolusi dalam Talian"[sunting | sunting sumber]

Dalam usaha mereka untuk mempromosi Lazada Malaysia secara amnya kepada umum, Lazada Group telah melancarkan beberapa kempen membeli-belah dalam talian untuk para pengguna mereka. Pada 12 Disember 2012, mereka telah melancarkan kempen membeli-belah dalam talian "Online Revolution" (Revolusi dalam Talian) di mana mereka mengadakan jualan secara besar-besaran dengan pelbagai promosi dan tawaran untuk tiga hari berturut-turut.[15] Pada tahun 2013, tempoh kempen yang sama telah dipanjangkan supaya ia akan berlangsung selama sebulan, bermula dari 11 November hingga 12 Disember.[16] Juga pada tahun kempen yang sama, sepanjang tempoh kempen berlangsung, mereka telah menerima lebih daripada lima kali ganda jumlah jualan berbanding dengan jumlah jualan pada tempoh yang sama pada 2012.[17]

Pada hari terakhir kempen untuk tahun 2014, dalam tempoh 24 jam, Lazada Group telah menerima lebih 10 juta pelawat yang telah mengunjungi laman sesawang mereka sama ada melalui komputer atau aplikasi mudah alih.[18] Mereka juga turut menerima lebih daripada 200 000 pengguna yang telah memesan lebih daripada 500 000 produk dan barangan.[18] Pada tahun 2015, Lazada Group secara umumnya telah menerima 36 juta kunjungan dan 1.7 juta tempahan barangan dengan Nilai Dagangan Kasar (NDK) sebanyak AS$40 Juta sepanjang tempoh kempen Revolusi dalam Talian berlangsung.[19]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d e f Lum Ka Kay (10 Mac 2016). "Lazada claims to be SEA's No 1 e-commerce player" [Lazada mengaku sebagai Pemain Utama e-dagang di Asia Tenggara]. DigitalNewsAsia.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 20 April 2016.
  2. ^ Fino Yurio Kristo (13 April 2016). "Menelusuri Asal Usul Lazada". Detik.com (dalam bahasa Indonesia). Dicapai pada 20 April 2016.
  3. ^ Staf The Borneo Post (25 January 2013). "Lazada receives eight digit euro investment from Tengelmann" [Lazada menerima lapan digit dana pelaburan dengan matawang Euro dari Tengelmann]. TheBorneoPost.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 20 April 2016.
  4. ^ Jon Russel (22 Januari 2013). "Lazada, Rocket's Amazon clone in Asia, raises 'close to $20m' to develop its e-commerce marketplace" [Lazada, Klon Amazon oleh Rocket telah mengumpul hampir 20 juta USD untuk memperkembang pasarannya]. TheNextWeb.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 20 April 2016.
  5. ^ a b Gabi Thesing (13 September 2012). "Tesco Acquires Stake in Southeast Asian Online Retailer Lazada" [Tesco memperoleh kepentingan Lazada, peruncit dalam talian Asia Tenggara]. Bloomberg (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 20 April 2016.
  6. ^ Anna Mae Yu Lamentillo (13 September 2012). "J.P. Morgan buys into Lazada online's German owner Rocket Internet" [J.P. Membeli [sebahagian daripada] Lazada dari Pemilik Rocket Internet dari Jerman]. GMANetwork.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 20 April 2016.
  7. ^ Newley Purnell (1 Disember 2014). "Lazada Group Raises $249 Million, Led by Singapore's Temasek" [Lazada Group Menerima AS$249 Juta, Didahului oleh Temasek dari Singapura]. The Wall Street Journal (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 20 April 2016.
  8. ^ a b Lulu Yilun Chen dan Selina Wang (12 April 2016). "Alibaba Expands in Southeast Asia With $1 Billion Lazada Deal" [Ali Baba Berkembang di Asia Tenggara dengan Perjanjian AS$1 Bilion dengan Lazada]. Bloomberg (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 20 April 2016.
  9. ^ Staf The Nation (19 Jun 2013). "Lazada launches mobile shopping app for Android OS" [Lazada melancarkan aplikasi mudah alih untuk sistem pengendalian Android]. NationMultimedia.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 20 April 2016.
  10. ^ Addie Mendoza (24 Januari 2014). "Lazada launches mobile shopping app for iPhone and iPad" [Lazada melancarkan aplikasi membeli-belah dalam talian mudah alih untuk iPhone dan iPad]. GadgetsMagazine.com.ph (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 21 April 2016.
  11. ^ Staf Today (5 Januari 2015). "Malaysian shoppers flock online to beat transport costs" [Rakyat Malaysia beramai-ramai membeli-belah dalam talian untuk mengelakkan koss pengangkutan]. TodayOnline.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 20 April 2016.
  12. ^ a b c Ava Lai (28 Mei 2015). "Online retailer opens warehouse, distribution hub in Demak Laut" [Peruncit dalam talian membuka gudang, pusat penghantaraan di Damak Laut]. The Star (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 21 April 2016.
  13. ^ Aman (5 November 2015). "Lazada Kini Mempunyai Perkhidmatan Penghantaran Tersendiri, LazadaExpress". Amanz.my. Dicapai pada 21 April 2016.
  14. ^ a b Cheryl Bates (12 April 2016). "Lazada starts rolling out same-day delivery in the Klang Valley" [Lazada mula menawarkan [servis] penghantaran barangan pada hari yang sama di Lembah Klang]. SoyaCincau.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 21 April 2016.
  15. ^ Inside Retail Singapore Staff (14 Disember 2015). "Lazada's 'Online Revolution' tops 1 million orders" [Tempahan Barangan di Lazada Malaysia untuk 'Online Revolution' Melebihi 1 Juta]. InsideRetail.sg (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 20 April 2016.
  16. ^ Staf The Malay Mail (11 November 2013). "LAZADA kicks off its version of Cyber Monday" [LAZADA melancarkan "Cyber Monday" versi mereka]. The Malay Mail (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 20 April 2016.
  17. ^ Staf The Star (11 Disember 2013). "Lazada ends Online Revolution blitz with record sales" [Lazada mengakhiri [kempen] "Online Revolution" dengan rekod jualan [terbaik]]. The Star (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 20 April 2016.
  18. ^ a b Shubhi Tandon (17 Disember 2014). "Lazada's sees 10 million shoppers in 24 hours on annual sale" [Lazada menerima 10 juta pengguna dalam 24 jam pada jualan tahunan]. DigitalMarketAsia.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 20 April 2016.
  19. ^ Staf Bernama (18 Disember 2015). "Lazada's Online Revolution Campaign Recorded US$40 Million Of GMV In The Three-day Finale" [Kempen "Online Revolution" Lazada telah mencatatkan Nilai Dagangan Kasar AS$40 Juta pada Tiga Hari Terakhir]. BERNAMA (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 20 April 2016.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]