Piawai emas

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Di bawah piawai emas, wang kertas boleh ditukarkan kepada jumlah emas yang telah ditetapkan.

Piawai emas atau Standard emas ialah satu sistem di mana negara-negara yang terlibat memberi komitmen untuk menetapkan harga matawang domestik mereka dalam jumlah tertentu emas. Di bawah sistem ini, wang negara dan bentuk-bentuk wang lain (seperti deposit bank dan wang kertas) boleh ditukar kepada emas pada harga yang ditetapkan. Contohnya, sebuah negara di bawah standard emas menetapkan harga untuk emas pada $100 per auns dan ia akan membeli dan menjual emas dengan harga yang tersebut. Langkah ini menetapkan nilai mata wang, di mana dalam contoh di atas $1 akan bernilai 1/100 auns emas. Selain emas, logam-logam berharga lain boleh digunakan untuk menetapkan standard kewangan seperti standard perak yang biasa digunakan pada tahun 1800-an. Kombinasi standard emas dan perak dikenali sebagai kedwilogaman.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sejarah awal[sunting | sunting sumber]

Standard emas muncul daripada penerimaan umum bahawa emas adalah matawang sejagat. Disebabkan ini, standard emas bukan sahaja terdapat pada zaman negara-negara moden, tetapi juga pada zaman kerajaan-kerajaan besar pada masa lalu. Salah satu contoh adalah Empayar Byzantine yang menggunakan syiling emas yang dikenali sebagai Byzant. Tetapi dengan berakhirnya Empayar Byzantine, dunia Eropah lebih cenderung untuk menggunakan perak sebagai matawang pilihan dan ini membawa kepada standard perak. Contohnya, wang perak yang menjadi syiling utama di Britain sekitar zaman Raja Offa pada tahun 796 Masihi. Penemuan deposit perak yang besar di Potosí dan di Mexico oleh Sepanyol pada abad ke-16 membawa kepada standard perak antarabangsa dan bersama dengan syiling Sepanyol terkenal “real de a ocho”, standard ini terus menjadi penting hingga abad ke-19.

Hindia Barat British adalah salah satu kawasan pertama yang mengguna pakai standard emas pada zaman moden. Berikutan pengisytiharan Ratu Anne tahun 1704, standard emas Hindia Barat British adalah standard emas de facto berdasarkan syiling emas doubloon Sepanyol. Pada tahun 1717, Sir Isaac Newton, yang merupakan ketua Royal Mint, telah membuat nisbah pengeluaran syiling yang baru antara perak dan emas di mana ia mengeluarkan perak dari sistem kewangan dan seterusnya meletakkan Britain dalam sistem standard emas. Hanya pada tahun 1821, selepas pengenalan syiling emas oleh Royal Mint baru di Tower Hill pada tahun 1816, United Kingdom secara rasminya menggunakan standard emas, yang pertama dari negara industri besar. Langkah ini diikuti oleh Kanada pada tahun 1853, Newfoundland pada tahun 1865, dan Amerika Syarikat dan Jerman pada tahun 1873. Amerika Syarikat menggunakan Eagle sebagai unit mereka, dan Jerman memperkenalkan Mark, sementara Kanada menggunakan pakai kedua-dua sistem emas Eagle Amerika dan emas British.

Australia dan New Zealand menggunapakan standard emas British, seperti yang dilakukan oleh Hindia Barat British, manakalaNewfoundland adalah satu-satunya wilayah Empayar British yang memperkenalkan syiling emas sendiri sebagai standard. Cawangan-cawangan Royal Mint didirikan di Sydney, New South Wales, Melbourne, Victoria, dan Perth, Australia Barat untuk tujuan membuat syiling emas dari lombong-lombong di Australia yang kaya dengan emas.

Krisis matawang perak dan wang kertas (1750-1870)[sunting | sunting sumber]

Pada akhir abad ke-18, perang dan perdagangan dengan China yang menjual barangan kepada Eropah tetapi kurang membeli barangan dari Eropah, mengurangkan jumlah perak dalam ekonomi Eropah Barat dan Amerika Syarikat. Syiling dibuat dalam jumlah kecil dan lebih kecil, dan penggunaan wang kertas dan nota bank yang digunakan sebagai wang merebak.

Pada tahun 1790, England mengalami kekurangan syiling perak yang amat teruk menyebabkan ia berhenti mengeluarkan syiling perak yang besar tetapi mengeluarkan lebih banyak token perak dan syiling asing yang diubahsuai. Dengan berakhirnya Perang Napoleon, England memulakan program besar pencetakan syiling yang mencipta syiling-syiling emas, dan akhirnya syiling-syiling tembaga pada tahun 1821. Penggunaan semula syiling perak di England selepas ketiadaan yang panjang menghasilkan syiling-syiling yang banyak di mana England menghasilkan hampir 40 juta syiling di antara tahun 1816 dan 1820. Sepanjang tahun 1820an, nota kertas kecil, yang diterbitkan oleh bank serantau, yang akhirnya dihadkan pada tahun 1826, sementara Bank England dibenarkan untuk menubuhkan cawangan-cawangan serantau. Namun pada tahun 1833, nota (wang kertas) Bank England dijadikan alat pembayaran yang sah, dan penebusan oleh bank lain tidak digalakkan. Pada tahun 1844, Akta Piagam Bank digubal yang mana wang kertas Bank England, yang disokong sepenuhnya oleh emas, adalah standard sah. Menurut tafsiran ketat standard emas, akta 1844 menandakan pembentukan standard emas penuh untuk wang British.

Amerika Syarikat mengguna pakai standard perak berdasarkan dolar Sepanyol pada 1785. Ini dikodifikasikan dalam Akta Mint dan Pencetakan Duit Syiling 1792, dan dengan penggunaan "Bank Amerika Syarikat" oleh Kerajaan Persekutuan untuk menyimpan rizabnya, serta mewujudkan nisbah emas terhadap dolar AS. Pada dasarnya, ini adalah standard perak derivatif, kerana bank tidak perlu menyimpan perak untuk menyokong semua mata wangnya. Ini memulakan siri panjang usaha bagi Amerika untuk mewujudkan satu standard dwilogam untuk Dolar AS, yang berterusan sehingga tahun 1920. Syiling emas dan perak adalah alat pembayaran yang sah, termasuk syiling real Sepanyol, syiling perak yang ditempa di Hemisfera Barat. Kerana hutang besar Kerajaan Persekutuan A.S. untuk membiayai Perang Revolusi, syiling perak dikeluarkan dari peredaran wang, dan pada tahun 1806 Presiden Jefferson menunda pencetakan syiling perak.

Faedah standard emas[sunting | sunting sumber]

Faedah utama standard emas adalah ia memastikan tahap inflasi yang rendah. Sebagaimana yang kita tahu, inflasi disebabkan oleh empat faktor:

  1. Bekalan wang naik
  2. Bekalan barangan turun
  3. Permintaan wang turun
  4. Permintaan barangan naik

Selagi mana bekalan emas tidak berubah terlalu cepat, maka bekalan wang akan stabil secara relatif. Standard emas mengelakkan negara dari mencetak wang terlalu banyak. Jika bekalan wang meningkat terlalu cepat, maka orang akan menukar wang (yang kini menjadi bertambah banyak) untuk emas (yang tidak banyak). Jika perkara ini berlangsung terlalu lama, maka jabatan perbendaharaan akhirnya akan kehabisan emas. Standard emas menyekat bank pusat daripada membuat dasar yang menggalakkan pertumbuhan besar jumlah wang beredar dalam negara untuk menyekat kadar inflasi. Standard emas juga menstabilkan pasaran matawang asing. Contohnya jika Malaysia berada dalam standard emas dan telah menetapkan harga emas adalah RM1,000 per auns, dan Indonesia juga pada standard emas dan menetapkan harga emas pada 5,000 Rupiah per auns, maka RM1 Malaysia harus bernilai 5 Rupiah. Penggunaan menyeluruh standard emas menetapkan nilai tukaran asing. Jika semua negara berada pada standard emas, maka hanya ada satu matawang sebenar iaitu emas di mana semua matawang mendapatkan nilainya. Kestabilan standard emas menyebabkan pasaran matawang asing juga stabil.

Selain itu, standard emas menggalak negara untuk lebih produktif. Apabila negara mengeksport lebih banyak barang, mereka dapat mengumpulkan lebih banyak emas. Mereka kemudian boleh mencetak lebih banyak wang, yang boleh digunakan untuk pelaburan dan meningkatkan perniagaan yang menguntungkan.

Standard emas juga telah mendorong penjelajahan dunia. Ia salah satu sebab mengapa Sepanyol dan negara-negara Eropah yang lain membuat penjelajahan mencari Dunia Baru pada tahun 1500an iaitu untuk mendapatkan lebih banyak emas dan meningkatkan kemakmuran negara. Emas juga memberi inspirasi kepada “Gold Rush” di California dan Alaska ketika tahun 1800an.

Penggunaan semula standard emas dan kesan kepada ekonomi moden[sunting | sunting sumber]

Penggunaan semula standard emas akan menyekat kemampuan kerajaan untuk menguruskan ekonomi. Kerajaan tidak akan dapat lagi mengurang jumlah wang beredar di dalam sistem ekonomi dengan menaikkan kadar faedah untuk mengawal inflasi, atau meningkatkan bekalan wang dengan menurunkan kadar faedah pada zaman kemelesetan. Dengan kata lain, jumlah wang beredar di dalam sistem ekonomi adalah konstan. Malah, inilah sebab mengapa penyokong standard emas mahukan sistem ini digunakan semua. Ia akan memaksa kerajaan lebih berdisiplin dalam menguruskan ekonomi, membuat bajet yang seimbang, dan menyekat campur tangan kerajaan.

Namun, jumlah wang beredar yang tetap, yang bergantung pada rizab emas, akan menyekat pertumbuhan ekonomi. Ini kerana banyak perniagaan tidak dapat dibuat kerana kekurangan modal.

Penggunakan semula standard emas juga akan memberi kesan kepada sistem ekonomi dunia moden yang didominasikan oleh Amerika Syarikat. Kerajaan Amerika misalnya tidak dapat berubah ke standard emas jika semua negara lain tidak berubah. Jika kerajaan Amerika berubah ke sistem standard emas, dunia akan menuntut AS menggantikan dolar dengan emas. Kerajaan Amerika tidak mempunyai cukup emas untuk membayar hutangnya kepada pelabur asing. Contohnya, China, Jepun dan negara-negara lain meminjamkan Amerika Syarikat $3.2 trilion dengan membeli bon kerajaan AS berbanding hanya $223 bilion rizab emas yang disimpan oleh AS di Fort Knox.[1]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Nota kaki[sunting | sunting sumber]

  1. U.S. Treasury Major Foreign Holdings of U.S. Debt; Office of Inspector General, Audit Report, November 2007