Getah (pokok)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Pokok getah)
Rencana ini mengenai sumber komersil utama untuk lateks. Untuk pokok hiasan yang biasa, sila lihat Ficus elastica.'
Getah (pokok)
frames
Pengelasan saintifik
Lateks dikumpulkan daripada pokok getah yang ditoreh.
Daun pokok getah

Pokok Getah (Hevea brasiliensis) ialah pokok dalam famili Euphorbiaceae dan ahli terpenting dalam genus Hevea. Pokok ini penting dari segi ekonomi kerana hasil seperti lateks boleh dikumpulkan dan merupakan sumber utama getah asli.

Sejarah Ringkas Pokok Getah di Malaysia

Industri getah asli di Malaysia bermula pada tahun 1877 di Kuala Kangsar, Perak. Anak getah yang ditanam adalah spesis Hevea brasiliensis. Estet getah pertama telah dibangunkan di Melaka pada tahun 1902/1903. Selepas itu keluasan penanaman getah terus berkembang hingga mencapai kemuncaknya iaitu seluas 2.06 juta hektar pada tahun 1979. Pengeluaran tertinggi yang pernah dicapai oleh negara ialah sebanyak 1.66 juta metrik tan iaitu pada tahun 1988.

Secara ringkasnya pokok getah berasal dari negara Brazil. Christopher Columbus ahli pelayaran Sepanyol ialah orang pertama menjumpai getah di Brazil pada tahun 1473 dan beliau telah membawa balik ke Eropah untuk dikaji kegunaannya.

Pada tahun 1768 kasut getah pertama telah dicipta. Seterusnya pada tahun 1770, Joseph Priestley, seorang ahli kimia telah menamakan hasil getah sebagai rubber kerana boleh diguna untuk memadam tulisan pensil. Pada thun 1823, Soloman McIntosh telah mencipta kain kalis air daripada getah. Charles Goodyear pula telah memperkenalkan proses pemvulkanan dan seterusnya pada tahun 1846, Thomas Hancock telah berjaya membuat tayar daripada getah asli. Pada tahun 1888, John Dunlop telah berjaya mencipta tayar pneumatik yang lebik selesa daripada tayar padu.

Rekacipta tersebut telah merintis jalan bagi kegunaan getah asli, Apabila kegunaan getah semakin meluas dan permintaan terhadap bahan mentah meningkat, usaha untuk mengembang industri getah asli telah dilaksanakan dengan:-

  1. Usaha membawa 70,000 biji getah dari Brazil ke Kew Garden, London oleh Farris, Cross dan Henry Wickham pada tahun 1876.
  2. Sebanyak 2,000 anak getah telah dapat dihidupkan dalam Wardian cases, iaitu rumah kaca yang bersesuaian dengan suhu dan iklim di Brazil.
  3. Sebahagian daripada pokok itu telah dibawa ke Ceylon dan selebihnya sebanyak 22 pokok dihantar ke Taman Botani di Singapura dan 9 pokok dihantar ke Kuala Kangsar.
  4. Pada tahun 1888, H.N. Ridley telah dilantik sebagai Pengarah Taman Botani Singapura dan telah banyak meyumbang dalam pembangunan industri getah hingga digelar Bapa Perusahaan Getah Asli. Antara sumbangan beliau ialah sistem eksploitasi getah dan pisau toreh.

Maklumat Ringkas Getah

Nama saintifik bagi getah ialah Hevea Brasiliensis. Ia merupakan sejenis tanaman yang boleh hidup dikawasan 1000 km utara dengan 1000 km selatan khatulistiwa. Pokok getah memerlukan hujan sebanyak 180 sm - 250 sm setahun. Ia juga memerlukan suhu diantara 25 - 30 darjah Celcius.

Ketinggian tanah dari paras muka laut yang boleh ditanam dengan getah ialah 500 meter. Semakin tinggi getah ditanam semakin berkurangan perolehan hasil dan kecergasan pertumbuhannya. Keperluan tanah yang sesuai untuk tanam getah ialah jenis lom yang mempunyai saliran yang bebas, tidak masin, tidak masam atau sentiasa banjir.

Pokok getah ialah jenis pokok saka dan ketinggiannya boleh mencapai 18 meter. Umur pokok getah yang ekonomik ialah diantara 20 hingga 30 tahun. Pokok getah menghasilkan lateks (getah asli) yang penting dalam industri tayar dan lain-lain industri berasaskan getah. Selain daripada itu, kayunya adalah terdiri daripada jenis separuh keras dan boleh dijadikan perabut.

Pokok getah mampu mencapai ketinggian melebihi 18 meter. Lateks putih atau kuning terhasil dalam salur lateks pada kulit pokok, terutamanya pada floem luar. Saluran ini berpilin naik pada batang pokok menurut pusingan ke kanan yang membentuk 30 darjah pada ufuk.

Apabila pokok getah mencapai usia 5-6 tahun, penorehan boleh dilakukan: goresan-goresan dibuat secara ortogon pada salur lateks, dengan kedalaman yang hanya mencukupi untuk mengambil lateks tanpa menjejaskan pertumbuhan pokok. Sap itu dikumpulkan di dalam baldi yang kecil. Pokok-pokok yang lebih tua menghasilkan lebih banyak lateks.

Pokok getah pada mulanya hanya tumbuh di Amazonia. Peningkatan permintaan dan jumpaan proses pemvulkanan pada tahun 1839 mendorong perkembangan yang pesat di kawasan tersebut, mengayakan bandar Manaus dan Belem. Nama pokok ini diambil daripada Para, negeri Brazil yang termasuk Belem.

Terdapat juga cubaan dilakukan pada 1873 untuk menanam getah di luar Brazil. Selepas berusaha, dua belas tunas tumbuh di Kebun Bunga Botani Diraja Kew. Pokok-pokok itu kemudian dihantar ke India untuk ditanam tetapi gagal. Percubaan kedua dilakukan dengan sekitar 70,000 benih dihantar ke Kew pada tahun 1875. Sekitar 4% daripada benih-benih itu bertunas, dan pada tahun 1876, sekitar 2,000 anak pokok dihantar, dalam kes Wardian, ke Sri Lanka, dan 22 dihantar ke Kebun Bunga Botani di Singapura. Apabila berjaya ditumbuh di luar negeri asal, Pokok Getah ditanam secara meluas di tanah-tanah jajahan British. Pada tahun 1898, ladang getah ditubuhkan di Tanah Melayu, dan kini kebanyakan ladang getah terdapat di Asia Tenggara dan sesetengah Afrika tropika. Percubaan untuk menanam Pokok Getah di Amerika Selatan ternyata tidak memuaskan.

Galeri

Ciri-ciri fizikal

Ciri-ciri fizikal Pokok Getah adalah seperti berikut:

  • Kulit kayu: Licin, berwarna kekelabu-kelabuan, dan mengandungi lateks keruh yang menjadi keras ketika didedahkan kepada udara.
  • Daun: Licin, berwarna hijau kebiru-biruan, dan dibahagikan kepada tiga daun kecil sepanjang 1.5 sentimeter. Pada cuaca kering, daun menjadi kuning dan kemudian merah terang sebelum luruh.
  • Bunga: Kecil, berwarna kuning, berbau hapak, dan tumbuh dalam bentuk tangkai.
  • Buah: Keras, dengan tiga biji yang besar. Ketika masak, buah akan meletup menjadi tiga bahagian di atas pokok, dan memelantingkan biji-bijinya yang berat.
  • Biji: Warna biji mentah adalah hijau dan ketika masak, menjadi licin, dengan tompok-tompok bercapuk-capuk yang berwarna perang muda.

Klon Lateks Balak (LTC)

Klon Lateks Balak (LTC) adalah klon-klon yang mempunyai hasil pengeluaran dan kayu getah yang tinggi. Klon-klon ini menunjukkan bentuk pertumbuhan yang baik seperti kesuburan pertumbuhan serta mempunyai batang yang panjang dan lurus. Klon-klon ini adalah sesuai untuk pengeluaran lateks dan kayu atau pengeluaran kayu getah sahaja. Pokok getah boleh ditoreh apabila ukurlilit batang 45sm pada kedudukan 150sm dari permukaan tanah untuk pokok klon. Kebun yang sesuai dibuka panel torehan mempunyai sekurang-kurangnya 75% bilangan pokok yang mencapai ukurlilit diatas.

Kumpulan 1

  • PB 260, PB 350, PB 355, PB 359, RRIM 937, RRIM 938, RRIM940

Kumpulan 2

  • RRIM 928, RRIM 929, RRIM 2001, RRIM 2002, RRIM 2023, RRIM 2025, RRIM 2027

Ciri-Ciri Kesempurnaan Pokok Getah

  • Tumbesaran pokok yang baik supaya cepat ditoreh dan mengeluarkan hasil. Tempoh keremajaan pokok 4½ tahun dari tarikh tanam, ukurlilit 45sm pada kedudukan 150sm dari permukaan tanah.
  • Pertambahan lilitan batang yang baik apabila ditoreh supaya dapat menampung jemala

yang akan membesar dan berat.

  • Daun yang lebar berwarna hijau tua supaya cekap memproses makanan untuk pokok.
  • Dahan utama yang menjulur ke atas puncak pokok untuk mengimbangi jemala.
  • Dahan sisi yang kecil, mendatar dan teratur untuk mengimbangi pokok dan jemala yang ringan.
  • Pokok yang rendang gmengurangkan kerosakan angin.
  • Batang yang lurus, tegak, licin dan bulat supaya mudah ditoreh.
  • Kulit dara yang licin dan tebal supaya mudah ditoreh.
  • Kulit pulihan yang licin, tebal dan cepat pulih supaya boleh cepat ditoreh.
  • Hasil yang tinggi akan memberi pulangan pendapatan yang utama.
  • Hasilnya merosot pada tahap yang sederhana pada musim ranggasan daun tetapi tidak menjejaskan

pendapatan pekebun. Musim Luruhan Utama bulan Julai hingga September, Musim Luruhan Kedua bulan Februari hingga Mac.

  • Tindak balas yang baik terhadap rangsangan hasil.
  • Lateks keluar serta merta apabila ditoreh dan pengaliran lateks yang lancar.
  • Boleh dikerapkan penorahan jika perlu.
  • Lateks mempunyai Kandungan Getah Kering (KGK) yang tinggi dan stabil kaadaannya.
  • Tidak rentan terhadap penyakit, kerosakan angin dan kekeringan kulit.
  • Sesuai ditanam disemua kaadaan environ.

- bibit kurang sesuai ditanam di lopak paya bakau

Jenis Bahan Tanaman

Bahan tanaman getah yang biasa digunakan ialah:

  • Ranting Tunas Hijau (RTH).
  • Benih Camtuman Muda Polibag (BCMP).
  • Semaian Camtuman Muda Empat Pusaran (CMEP).
  • Tunggul Camtum Biasa (TCB).
  • Tunggul Camtuman Polibag (TCP)

Pengurusan Getah Muda

Melalui amalan pertanian yang baik, pekebun getah tidak perlu menunggu 6 hingga 7 tahun sebelum pokok getah boleh dituris. Tempoh muda pokok getah boleh dipendekkan kepada 4½ tahun selepas ditanam diladang dengan mempraktikkan amalan agronomi yang baik serta teknologi yang sesuai

Matlamat Budaya 4½ tahun

Untuk memastikan kebun getah yang diusahakan oleh pekebun kecil dapat ditoreh dalam tempoh 4½ tahun selepas ditanam diladang.

Objektif Budaya 4½ Tahun

  1. Mencapai lilitan batang 45 cm (18 inci) dalam tempoh 4½ tahun selepas ditanam diladang.
  2. Tumbesaran pokok meningkat pada kadar purata 10 cm (4 inci) setahun.
  3. Mempercepatkan pengeluaran hasil.
  4. Mempercepatkan pulangan modal.
  5. Mengurangkan kos pembangunan.
  6. Mempercepatkan perolehan pendapatan.

Teknologi Untuk Memendekkan Tempoh Muda Kepada 4½ Tahun

  1. Tanam klon lateks balak (LTC) dua pusaran daun.
  2. lakukan sulaman dalam tempoh satu tahun selepas menanam.
  3. Merumpai mengikut jadual.
  4. Membaja secara berhemah dan mengikut jadual.
  5. lakukan cantasan terkawal, cantasan pembetulan serta galakan dahan mengikut keperluan.

Kawalan Penyakit Pokok Getah

  1. Penyakit Luruhan Daun Oidium.
  2. Penyakit Luruhan Daun Phytopthora.
  3. Penyakit Luruhan Daun Corynespora
  4. Penyakit Akar Putih.
  5. Penyakit Akar Merah.
  6. Penyakit Akar Perang.
  7. Penyakit Dahan/Batang - Penyakit Cendawan Angin.

Kawalan Serangga Dan Makhluk Perosak

  1. Anai-anai.
  2. Belalang.
  3. Cengkerik.
  4. Tertip.
  5. Koya.
  6. Kutu tertip.
  7. Ulat daun.
  8. Ulat kumbang.
  9. Hama kuning.
  10. Rusa, kijang, pelanduk.
  11. Babi hutan.
  12. Tikus.
  13. Landak.
  14. Tupai dan tupai tanah.
  15. Monyet.
  16. Gajah.
  17. Ternakan terbiar (Lembu, kerbau dan kambing) dll

Pengurusan Getah Matang

Panel torehan sesuai dibuka apabila pokok mencapai ukurlilit batang 45 sm pada kedudukan 150 sm ketinggian dari permukaan tanah. Kebun yang sesuai dibuka panel torehan perlu mempunyai sekurang-kurangnya 75% bilangan pokok yang mencapai ukurlilit diatas.

Membuka Panel Torehan

  1. Mengukur lilitan batang pokok (≥ 45 sm).
  2. melekapkan beroti (150 sm) serta melengkunkan kepingan zing (30°) pada batang pokok.
  3. Menanda kecuraman zing 30° pada pokok.
  4. mengukur dan menanda separuh lilitan batang pokok.
  5. Menanda sempadan panel.
  6. Mengekal tanda kecuraman alur torehan dan sempadan panel torehan dengan pisau torehan.
  7. Memasang dawai penyangkut dan pancuran.
  8. Menanda kulit yang bakal ditoreh bulanan.

Sistem Torehan

  1. ½S d/2 - ½ lilitan alur torehan bentuk berpilin, ditoreh selang sehari.
  2. ½S d/3 - ½ lilitan alur torehan bentuk berpilin, ditoreh selang dua hari.(LITS)
  3. ½S d/4 - ½ lilitan alur torehan bentuk berpilin, ditoreh selang tiga hari.(LITS)
  4. ½S d/6 - ½ lilitan alur torehan bentuk berpilin ditoreh selang lima hari. (LITS)

LITS - Sistem Torehan Kekerapan Rendah


Teknik dan Masa Pembajaan

Pembajaan pokok matang bagi kawasan rata, beralun dan bersih daripada rumpai, tabur baja rata diseluruh kawasan kecuali 60 sm dari pangkal pokok. Dipangkal pokok tiada akar rerambut oleh itu tidak perlu pembajaan dikawasan tersebut.

Pembajaan getah matang sesuai dilakukan sebaik sahaja daun muda keluar selepas musim daun luruh. Tempoh penyerapan nutrien pada kadar paling aktif adalah diantara waktu pendaunan semula sehingga lima bulan berikutnya. Sekiranya renggasan daun berlaku pada bulan Februari, tahap penyerapan yang tinggi adalah diantara bulan Februari hingga Julai. selepas itu, kadar penyerapan nutrien akan berkurangan.

Ranggasan sekunder, merupakan fenomena pendaunan kali kedua terjadi, maka pembajaan dengan jumlah baja yang lebih banyak diperlukan. Dalam kaadaan ini baja yang melebihi 1 kg sepokok adalah perlu. Pembajaan dilakukan sebanyak dua kali dan pembajaan kedua dibuat tidak lewat dari bulan Jun.

Kawalan Rumpai Getah Matang

Dikawasan getah matang, kebanyakan kawasan tanah terlindung daripada pancaran cahaya matahari berbanding kawasan getah muda. Jenis rumpai yang selalu terdapat dikawasan getah matang adalh jenis pokok berkayu dan paku-pakis.

Kawalan Penyakit Pokok Getah Matang

  1. Penyakit akar.
  2. Penyakit Batang Lapuk Ustulina
  3. Penyakit batang Lapuk Phellinus
  4. Penyakit Calar Hitam
  5. Penyakit Cendawan Angin
  6. Penyakit Cendawan Lapuk
  7. Penyakit Nekrisis Panel Torehan

Jenis Pengeluaran Getah Asli

  1. Pengeluaran Getah Bungkah SMR - (Standard Malaysia Rubber)
    1. Gred SMR CV60, SMR CV50, SMRL, SMR5, SMRGP, SMR10CV, SMR10, SMR20CV dan SMR20
  2. Pengeluaran Lateks Pekat ( Latex concentrade)
  3. Pengeluaran Getah Keping Tanpa Asap (Unsmoke sheet - USS)
  4. Penggredan Getah keping Asap berbunga - (Ribbed Smoked Sheet - RSS)
    1. Gred RSS seperti RSS1X, 1, 2, 3, 4 dan 5

Modul Teknologi Getah

  1. Teknik
    1. Penyediaan tanah (bukit/rata)
    2. Membina teres
    3. Membina parit
    4. Membina pagar
    5. membuat baris
    6. membina jalan pertanian
    7. menanam kacang penutup bumi (KPB)
    8. Membuat lubang tanaman getah
    9. Menanam kepadatan 500 pokok/hektar
    10. Penggunaan klon secara enviromarks
    11. Benih BCMP dua tingkat daun
    12. Penanaman benih getah
    13. Tanaman dalam
    14. Pembajaan getah muda
    15. Galakan dahan
    16. Cantasan dahan
    17. Mengukur tumbesaran dan point plan
    18. Membaja getah matang
    19. Membuka penel torehan
    20. Penorehan gatah matang
    21. Sistem torehan kekerapan rendah (LITS)
    22. Penggunaan alatan rangsangan
    23. Penggunaan alat pelindung hujan
    24. Integrasi tanaman dan ternakan
    25. Kawalan rumpai
    26. Mengawal penyakit daun
    27. Mengawal penyakit akar
    28. Mengawal penyakit batang dan tapak torehan
    29. Mengawal musuh tanaman getah (makhluk perosak)

Kisah Kejayaan

Pekebun kecil RISDA raih RM3,000.00 sebulan sehektar, 350 ribu mampu hidup senang, bebas dari miskin tegar. Harga getah RM15.06 sekilogram. Harga pasaran SMR20 pada 20 Jan. 2011 berbanding RM4.00 sekilogram 5 tahun dulu. (BH)

Harga Pasaran Anak Benih Pokok Getah

Klon 2025 keluaran RRIM (Rubber Research Institute of Malaysia @ Institut Penyelidikan Getah Malaysia) merupakan klon yang bermutu tinggi dan menjadi pilihan utama bagi para pekebun-pekebun kecil & pemilik ladang-ladang besar di Malaysia. Selain daripada klon tersebut, Klon PB350 dan juga klon terbaru RRIM3001 atau lebih dikenali sebagai Klon 1Malaysia juga mendapat permintaan yang amat tinggi dipasaran. Bagi tahun 2011, harga pasaran bagi klon-klon tersebut adalah sekitar RM3.00 hingga RM6.00 sepokok mengikut spesifikasi dan lokasi. - Sumber: Uniaga.com dan lain-lain.

Sinonim

Genus Hevea juga dikenali sebagai:

Rujukan