Stephen Hawking

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Stephen Hawking

CH CBE FRS FRSA
Gambar Hitam & Putih Hawking di NASA.
Hawking di Pusat StarChild NASA, pada 1980.
Kelahiran
Stephen William Hawking

(1942-01-08)8 Januari 1942
Meninggal dunia14 Mac 2018(2018-03-14) (umur 76)
WarganegaraBritish
PendidikanSekolah St Albans, Hertfordshire
Pusat pendidikan
Terkenal kerana
Pasangan
  • Jane Wilde
    (k. 1965; c. 1995)
  • Elaine Mason
    (k. 1995; c. 2006)
Anak-anak3, termasuk Lucy Hawking
Anugerah
Kerjaya saintifik
Bidang
Institusi
TesisProperties of Expanding Universes (1966)
Penasihat kedoktoranDennis Sciama[1]
Penasihat akademik yang lainRobert Berman[2]
Pelajar kedoktoran
Laman web rasmihawking.org.uk
Tandatangan

Stephen William Hawking CH CBE FRS FRSA (8 Januari 1942 – 14 Mac 2018) merupakan seorang ahli fizik teori, ahli kosmologi, penulis England dan Pengarah Penyelidikan di Pusat Teori Kosmologi di dalam Universiti Cambridge. Kerja-kerja saintifiknya termasuk kerjasama dengan Roger Penrose mengenai teorema singulariti graviti dalam rangka kerelatifan umum dan ramalan teori bahawa lubang hitam memancarkan sinaran, yang sering dipanggil radiasi Hawking. Hawking ialah orang pertama yang membentangkan teori kosmologi yang dijelaskan oleh kesatuan teori umum relativiti dan mekanik kuantum. Beliau merupakan penyokong yang kuat dari tafsiran banyak dunia tentang mekanik kuantum.[14][15]

Hawking merupakan Ahli Kehormat Royal Society of Arts (FRSA), ahli seumur hidup Akademi Sains Kepausan, dan penerima Presidential Medial of Freedom, anugerah awam tertinggi di Amerika Syarikat. Pada tahun 2002, Hawking menduduki tempat ke-25 dalam tinjauan BBC mengenai 100 orang Inggeris Terhebat. Beliau merupaka Profesor Matematik Lucasian di Universiti Cambridge antara tahun 1979 dan 2009 dan mencapai kejayaan komersial dengan karya sains popular di mana beliau membincangkan teori dan kosmologinya sendiri secara umum. Buku beliau, A Brief History of Time, muncul di senarai jualan terlaris Britain Sunday Times untuk rekod sepanjang 237 minggu.

Hawking mempunyai bentuk neuron motor yang lambat pada permulaan awal yang jarang berlaku (juga dikenali sebagai sclerosis lateral amyotrophic atau "ALS" dan penyakit Lou Gehrig), yang secara perlahan melumpuhkannya selama beberapa dekad.[16][17] Walaupun selepas kehilangan keupayaan bercakap, beliau masih dapat berkomunikasi melalui alat penjanaan percakapan, pada mulanya melalui penggunaan suis tangan, dan akhirnya dengan menggunakan otot pipi tunggal. Beliau meninggal dunia pada 14 Mac 2018 pada usia 76 tahun.[18]

Biografi[sunting | sunting sumber]

Stephen Hawking dilahirkan di Oxford, England, pada 8 Januari 1942 (tepat 300 tahun selepas kematian Galileo) kepada pasangan Frank dan Isobel Hawking. Beliau mempunyai dua orang adik perempuan, Philippa dan Mary, dan seorang adik angkat, Edward. Dalam keluarganya, Hawking paling rapat dengan ibunya yang giat dalam politik sayap kiri. Isobel mengatakan bahawa pada sekitar masa kelahiran Stephen, dia membeli sebuah atlas astronomi yang kemudian dikatakan oleh ipar perempuannya sebagai suatu pembelian yang bersifat ramalan.

Hawking menonjolkan bakatnya terhadap matematik dan fizik sejak masa kecil lagi. Ketika beliau berumur sebelas tahun, Hawking menghadiri Sekolah St Albans di Hertfordshire yang berhampiran dengan London. Hawking kemudian menyertai Kolej Universiti, Oxford, dan hendak belajar matematik. Apabila kursus matematik tidak sedia ada, beliau belajar fizik sebagai ganti. Pada awalnya, ayahnya lebih suka Hawking belajar perubatan. Hawking kemudian mengambil ijazah kedoktoran di Dewan Trinity dan kini merupakan felo kehormatnya.

Hawking dipilih sebagai fellow Persatuan Diraja yang termuda pada tahun 1974, dan dikurniakan gelaran Komander Golongan yang Dianugerahi Darjah Empayar British pada tahun 1982, serta gelaran Teman Mulia pada tahun 1989. Beliau seorang ahli fizik yang amat dihormati, dengan banyak karyanya diiktiraf oleh Persatuan Antarabangsa Fizik Semula Jadi serta juga Persatuan Fizik-Astronomi Amerika Amherst.

Bidang penyelidikan[sunting | sunting sumber]

Hawking mengkhususkan penyelidikannya dalam bidang kosmologi teori, graviti kuantum, dan teori string. Pada tahun 1971, beliau berusaha sama dengan Sir Roger Penrose untuk memberikan sokongan matematik kepada teori Letupan Besar ("Big Bang") mengenai asal alam semesta; jika teori relatif am adalah betul, alam semesta harus mempunyai ketunggalan, iaitu titik permulaan dalam ruang-masa. Hawking juga mencadangkan bahawa, selepas Letupan Besar, lohong-lohong hitam mini yang primordial telah dibentukkan. Beliau menunjukkan bahawa, jika kesan-kesan mekanik kuantum tidak diambil kira, luas permukaan bagi sesuatu lohong hitam boleh berkembang, tetapi tidak boleh berkurang, dan mengatakan bahawa sesuatu lohong hitam yang tunggal tidak boleh dipecahkan menjadi dua buah lohong hitam yang berasingan. Hawking juga memperhitungkan had untuk sinaran yang dipancarkan sewaktu lohong-lohong hitam berlanggar.

Pada tahun 1974, Hawking memperhitungkan bahawa lohong-lohong hitam mencipta dan memancarkan zarah-zarah subatom secara terma sehingga tenaganya dihabiskan dan kemudian meletup. Digelar sinaran Hawking, teori ini merupakan teori pertama yang memberikan kaitan matematik antara graviti, mekanik kuantum, dan termodinamik. Pada tahun 1981, Hawking mencadangkan bahawa, walaupun alam semesta tidak mempunyai sempadan, ia adalah terhingga dalam ruang-masa. Pada tahun 1983, beliau mengemukakan bukti matematiknya untuk menyokong kenyataan itu.

Penyakit[sunting | sunting sumber]

Walaupun mengalami hilang upaya yang teruk, akibat sklerosis lateral amiotrofik (ALS) yang merupakan sejenis penyakit neuron motor yang biasa dirujuk sebagai "Penyakit Lou Gehrig" di Amerika Syarikat, Hawking masih amat giat dalam bidang fizik, penulisan, dan kehidupan awam. Penyakit Hawking memaksanya membuat perhitungan-perhitungan yang panjang dan rumit dengan hanya menggunakan otaknya.

Ketika Hawking masih muda, beliau merupakan seorang pemuda yang kuat dan tangkas, dan yang suka menunggang kuda serta bermain dengan kanak-kanak yang lain. Di Oxford, beliau mengemudikan pasukan pendayung yang beliau katakan membantu melegakan kebosanannya di universiti. Gejala-gejala gangguan tertimbul buat pertama kali ketika Hawking mendaftarkan diri di Cambridge. Diagnosis penyakit itu muncul apabila Hawking berumur 21 tahun, iaitu tidak lama sebelum perkahwinannya yang pertama. Doktor-doktornya mengatakan bahawa beliau tidak akan hidup melebihi dua atau tiga tahun.

Hawking berjuang dan hidup jauh lebih lama berbanding mana-mana pesakit ALS lain yang diketahui, walaupun diramalkan tidak mungkin. Bagaimanapun, keadaan hilang upayanya semakin bertambah buruk. Beliau menggunakan pensintesis suara untuk berhubung sejak menjalani trakeostomi pada tahun 1985, akibat pneumonia yang teruk. Beliau beransur-ansur hilang keupayaannya untuk menggunakan lengan, kaki, dan suaranya, dan kini hampir benar-benar lumpuh. Sistem komputer yang dipasang pada kerusi rodanya dikendalikan oleh Hawking melalui 'suis kedipan' inframerah yang dipasang pada cermin matanya. Dengan mengerutkan pipi kanannya, beliau dapat bertutur, mengarang ucapan dan kertas kerja penyelidikan, serta melayari Jaringan Sejagat (WWW), dan menggunakan emel. Sistem itu juga menggunakan pemancaran radio untuk mengawal pintu rumah dan pejabatnya.

Walaupun Hawking menghidap penyakit itu, beliau menganggap diri sebagai seorang yang "bernasib baik" — keuzuran kesihatannya yang perlahan bukan sahaja memberinya masa untuk membuat penemuan-penemuan yang berpengaruh tetapi juga, dalam perkataannya sendiri, memberinya masa untuk mempunyai "sebuah keluarga yang amat menarik" [1]. Sewaktu Jane ditanya mengapa dia memutuskan untuk berkahwin dengan seorang lelaki yang cuma mempunyai jangka hayat tiga tahun, dia berjawab: "Oleh sebab zaman ini merupakan zaman kekelaman dan ajal atom, kita semua mempunyai jangka hayat yang pendek."

Isteri Hawking menjaganya sehingga tahun 1991 apabila mereka berpisah di bawah tekanan kemasyhuran, keadaan hilang upaya yang semakin menjadi buruk, serta keperluan untuk menggaji beberapa orang jururawat sepenuh masa. Beliau kemudian terlibat dengan Elaine Mason, salah seorang jururawatnya, dan kemudian berkahwin pada tahun 1995. Sebuah rencana di dalam majalah Vanity Fair yang ditulis oleh Judy Bachrach pada tahun 2004 mengandungi dakwaan mengenai keganasan antara pasangan ini yang diakibatkan oleh keluarga pertama Hawking. Bagaimanapun, siasatan polis pada tahun yang sama berakhir tanpa sebarang kesimpulan. Pada tahun 1999, Jane Hawking menerbitkan "Muzik untuk Mengharukan Bintang-bintang" ("Music to Move the Stars"), kisah kenangannya yang memerihalkan hubungannya dengan seorang kawan keluarga yang dikahwininya kemudian. Anak perempuan mereka, Lucy Hawking, adalah penulis novel,, manakala Robert Hawking, anak lelaki mereka, berhijrah ke Amerika Syarikat, berkahwin, dan dikurniakan dengan seorang anak, George Edward.

Kematian[sunting | sunting sumber]

Hawking meninggal dunia di rumahnya di Cambridge pada waktu pagi 14 Mac 2018 (GMT), menurut seorang jurucakap keluarga. Keluarga beliau menerbitkan satu kenyataan menzahirkan kehibaan mereka.[19][20] Keluarga Hawking tidak memaklumkan sebab kematiannya, mereka menyatakan bahwa beliau "meninggal secara aman".[21][22]

Kecemerlangan[sunting | sunting sumber]

Hawking mengambil alih tanggungjawab Einstein dan menyelesaikan banyak daripada paradoks-paradoks kerelatifan melalui pembinaan teori tentang kewujudan objek-objek yang mempunyai jisim yang terlalu tinggi dan ruang sifar dengan graviti yang terlalu kuat sehingga semua cahaya diserap dan tidak dapat dilihat. Teori itu kini telah diperhalus supaya dapat secocok dengan mekanik kuantum dan perkembangan-perkembangan am dalam bidang fizik.

Selain daripada kerja akademiknya, Hawking mempercayai bahawa setiap orang biasa harus memahami konsep-konsep itu dan beliau menulis sebuah siri buku sains yang popular. Buku pertamanya, "Sejarah Ringkas Masa" ("A Brief History of Time") diterbitkan pada 1 April 1988, dan dipadankan untuk filem dokumentari pada tahun 1991. Filem itu menonjolkan Hawking, keluarganya serta kawan-kawan, termasuk ahli-ahli sains yang utama.[2] Tanpa dijangka, buku itu menjadi buku terlaris, dan kemudian diikuti oleh "Alam Semesta Seringkas-ringkasnya" ("The Universe in a Nutshell") (2001). Kedua-dua buku itu masih amat popular di seluruh dunia. "Lohong-lohong Hitam dan Alam-alam Semesta Bayi" ialah sebuah koleksi karangannya yang juga popular. Beliau kini sedang menulis sebuah buku yang baru, "Sejarah Lebih Ringkas Mengenai Masa" ("A Briefer History of Time") (2005), yang mengemaskinikan karya-karyanya yang awal, serta bertujuan untuk memanfaatkan lebih banyak orang.

Hawking juga dikenali untuk kebolehan berjenaka pintarnya; beliau amat masyhur untuk kenyataan berikut yang kerap dibuatnya: "Sewaktu aku mendengar kucing Schroedinger, aku mencapai senapangku." Kenyataan ini ialah parafrasa sengaja yang penuh ironi untuk frasa: "Sewaktu aku mendengar perkataan kebudayaan... aku melepaskan kunci picu Browningku !", daripada drama Schlageter (Babak 1, Adegan 1) oleh dramatis Jerman dan Penyair Diraja Nazi, Hanns Johst. Kebolehan berjenaka pintarnya telah menghibur orang ramai yang bukan pakar, serta membantu mereka memahami soalan-soalan yang rumit. Sewaktu diminta dalam rancangan temu bual British, Richard dan Judy, pada Oktober 2005 untuk menerangkan kenyataan tegasnya bahawa soalan "Apakah yang terjadi sebelum Letupan Besar?" adalah tidak bermakna, beliau membandingkan soalan itu dengan "Apakah yang terletak di utara Kutub Utara?"

Hawking ialah seorang penyokong aktif bagi pelbagai perjuangan. Beliau menonjolkan diri dalam siaran politik untuk Parti Buruh di United Kingdom, dan amat menyokong badan amal kanak-kanak Diarkibkan 2005-12-01 di Wayback Machine, Desa-desa Kanak-kanak SOS United Kingdom ("SOS Children's Villages UK").

Kekalahan dalam pertaruhan lama[sunting | sunting sumber]

Pada Julai 2004, Hawking telah ditonjolkan dalam media untuk mengemukakan teori barunya tentang lohong hitam yang bertentangan dengan kepercayaannya selama ini terhadap sifat-sifat lohong hitam. Oleh itu, beliau kalah dalam pertaruhannya dengan Kip Thorne dan John Preskill dari Caltech. Secara klasik, kenyataan bahawa maklumat yang melintasi ufuk peristiwa sesuatu lohong hitam akan hilang daripada alam semesta kita dapat ditunjukkan, dan menurut logik kenyataan itu, semua lohong hitam adalah serupa sahaja, selain daripada jisim, cas elektrik dan halaju sudutnya ("teorem tiada rambut") ("no hair theorem"). Masalah terhadap teorem ini adalah bahawa lohong hitam akan memancarkan sinaran yang sama, tanpa mengira apa yang terjadi di dalamnya. Oleh itu, jika suatu keadaan kuantum yang tulen dimasukkan ke dalam lohong hitam, suatu keadaan campuran yang "biasa" akan dihasilkan. Dapatan ini adalah bertentangan dengan peraturan-peraturan mekanik kuantum dan dikenali sebagai paradoks maklumat lohong hitam. Untuk perincian, sila lihat: Pertaruhan Thorne Hawking Preskill

Satu lagi pertaruhan yang berkenaan dengan kewujudan lohong hitam diperihalkan oleh Hawking sebagai sejenis polisi insurans. Petikan daripada bukunya, "Sejarah Ringkas Masa", berkata: "Ini merupakan sejenis "polisi insurans untukku. Aku telah membuat banyak kerja tentang lohong hitam, dan kesemua ini akan membazir jika lohong hitam ternyata tidak berwujud. Tetapi dalam kes itu, aku dapat menyenangkan hati kerana memenangi pertaruhan yang akan memberikanku empat tahun majalah Private Eye percuma. Jika lohong hitam tidak wujud, Kip (Kip Thorne) akan memenangi setahun Penthouse. Sewaktu kami membuat pertaruhan itu pada tahun 1975, kami sudah pasti sebanyak 80 peratus bahawa Cygnus ialah lohong hitam. Kini, aku boleh mengatakan bahawa kami pasti hampir 95 peratus, tetapi pertaruhan itu masih belum diselesaikan." (1988)

Hawking telah awal-awal mengagak bahawa ketunggalan di pusat lohong hitam boleh membentuk jambatan ke "alam semesta bayi" dan maklumat-maklumat terhilang boleh ditujukan ke sana; teori-teori sebegini amat popular dalam fiksyen sains. Tetapi menurut idea baru Hawking yang dipersembahkan dalam "Persidangan Antarabangsa Ke-17 untuk Kerelatifan Am dan Kegravitian" pada 21 Julai 2004 di Dublin, Ireland, lohong-lohong hitam pada akhirnya akan memindahkan maklumat yang diterima dalam bentuk biji butir yang tidak tentu:

Kamiran laluan Euclid yang meliputi semua metrik topologi yang remeh boleh dibuat melalui penghirisan masa ("time slicing") dan oleh itu, kamiran laluan itu adalah unitari jika diteruskan secara analisis sehingga taburan kebarangkalian Lorentz. Dari segi yang lain, kamiran laluan yang meliputi semua metrik topologi yang bukan remeh adalah bergantung secara asimptot kepada keadaan asalnya. Oleh itu, kamiran laluan keseluruhan adalah unitari dan maklumat tidak akan terhilang dalam pembentukan dan penyejatan lohong-lohong hitam. Cara maklumat dikeluarkan kelihatan seolah-olah ufuk peristiwa yang benar tidak pernah dibentukkan, cuma ufuk yang ketara. — Ringkasan ucapan Hawking dalam GR Laman web Persidangan

Selepas membuat kesimpulan bahawa maklumat diabadikan, Hawking mengaku kalah terhadap pertaruhannya dengan Preskill, dan kemudian menghadiahkan Preskill dengan "Besbol Lengkap, Ensiklopedia Besbol yang Muktamad" ("Total Baseball, The Ultimate Baseball Encyclopedia"), sebuah ensiklopedia yang memudahkan pencarian maklumat. Bagaimanapun, Thorne masih tidak yakin dengan bukti Hawking dan tidak hendak menyumbang untuk hadiah itu.

Hadiah[sunting | sunting sumber]

Penerbitan[sunting | sunting sumber]

Teknikal[sunting | sunting sumber]

Popular[sunting | sunting sumber]

Nota: Dalam lama web Hawking, beliau mengutuk penerbitan buku "Teori untuk Semua Perkara" (The Theory of Everything), tanpa kebenaran dan meminta pengguna-pengguna memulaukan buku itu.

Senarai lengkap untuk terbitan-terbitan Hawking boleh didapati dari laman web Hawking.

Petikan[sunting | sunting sumber]

  • Walaupun hanya terdapat satu teori gabungan yang mungkin, teori itu cuma merupakan satu set peraturan dan persamaan. Apakah yang menghidupkan persamaan-persamaan itu dan menciptakan sebuah alam semesta untuk memerikannya?
  • Aku berpendapat bahawa virus-virus komputer harus dianggap sebagai sejenis hidupan. Aku berpendapat bahawa virus itu membayangkan sesuatu tentang sifat manusia, iaitu bentuk kehidupan tunggal yang kita pernah mencipta setakat ini ialah pemusnahan semata-mata. Kita telah menciptakan hidupan mengikut sifat kita.
  • Tidaklah jelas adakah kecergasan mempunyai sebarang nilai kemandirian jangka panjang.
  • Matlamatku mudah sahaja. Ia merupakan pemahaman menyeluruh tentang alam semesta, mengapa alam semesta adalah dalam keadaan ini, dan mengapa alam semesta harus dilahirkan.
  • Bukan sahaja Tuhan bermain dadu... Dia kekadang membuang dadu di tempat yang tidak dapat dilihat.
  • Ada orang yang memberitahu aku bahawa setiap persamaan yang aku masukkan ke dalam buku akan mengurangkan jualan buku itu menjadi separuh.
  • Pendekatan sains yang biasa untuk membina sebuah model matematik tidak dapat menjawab soalan-soalan tentang mengapa alam semesta harus berwujud untuk model itu diperihalkan. Mengapakah alam semesta harus bersusah-susah wujud?
  • Seluruh sejarah sains merupakan penyedaran beransur-ansur bahawa peristiwa-peristiwa tidak berlaku dalam cara sembarangan, tetapi didasari oleh sesuatu susunan tertentu yang mungkin, ataupun tidak mungkin, diilhami oleh Tuhan.
  • Terdapatnya alasan-alasan untuk bersikap optimistik yang berhati-hati bahawa kita mungkin hampir dekat keakhiran pencarian hukum-hukum alam yang muktamad.
  • Membatasi perhatian kita kepada perkara-perkara bumi akan mengehadkan semangat manusia.
  • Kita cuma merupakan baka monyet-monyet yang lebih maju dalam planet yang kecil untuk bintang yang amat sederhana. Tetapi kita boleh memahami Alam Semesta. Inilah yang menjadikan kita sesuatu yang amat istimewa.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d e f g h i j k Stephen Hawking di Mathematics Genealogy Project
  2. ^ Ferguson 2011, m/s. 29.
  3. ^ Allen, Bruce (1983). Vacuum energy and general relativity (Tesis). University of Cambridge. Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-01-25. Dicapai pada 2018-03-15.
  4. ^ Bousso, Raphael (1997). Pair creation of black holes in cosmology (Tesis). University of Cambridge. Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-01-25. Dicapai pada 2018-03-15.
  5. ^ Carr, Bernard John (1976). Primordial black holes (Tesis). University of Cambridge. Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-01-25. Dicapai pada 2018-03-15.
  6. ^ Dowker, Helen Fay (1991). Space-time wormholes (Tesis). University of Cambridge. Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-01-25. Dicapai pada 2018-03-15.
  7. ^ Galfard, Christophe Georges Gunnar Sven (2006). Black hole information & branes (Tesis). University of Cambridge. Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-01-25. Dicapai pada 2018-03-15.
  8. ^ Gibbons, Gary William (1973). Some aspects of gravitational radiation and gravitational collapse (Tesis). University of Cambridge. Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-01-25. Dicapai pada 2018-03-15.
  9. ^ Hertog, Thomas (2002). The origin of inflation (Tesis). University of Cambridge. Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-01-25. Dicapai pada 2018-03-15.
  10. ^ Laflamme, Raymond (1988). Time and quantum cosmology (Tesis). University of Cambridge. Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-01-25. Dicapai pada 2018-03-15.
  11. ^ Page, Don Nelson (1976). Accretion into and emission from black holes (Tesis). California Institute of Technology.
  12. ^ Perry, Malcolm John (1978). Black holes and quantum mechanics (Tesis). University of Cambridge. Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-01-25. Dicapai pada 2018-03-15.
  13. ^ Wu, Zhongchao (1984). Cosmological models and the inflationary universe (Tesis). University of Cambridge. Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-01-25. Dicapai pada 2018-03-15.
  14. ^ Gardner, Martin (September/October 2001). "Multiverses and Blackberries". "Note sof a Fringe-Watcher". Skeptical Inquirer. Volume 25, No. 5.
  15. ^ Price, Michael Clive (February 1995). "THE EVERETT FAQ" Diarkibkan 2016-04-20 di Wayback Machine. Department of Physics, Washington University in St. Louis. Retrieved 17 December 2014.
  16. ^ "Mind over matter: How Stephen Hawking defied Motor Neurone Disease for 50 years". Independent.co.uk. 26 November 2015. Cite has empty unknown parameter: |1= (bantuan)
  17. ^ "How Has Stephen Hawking Lived to 70 with ALS?". Scientific American. 7 January 2012. Dicapai pada 23 December 2014. Q: How frequent are these cases of very slow-progressing forms of ALS? A: I would say probably less than a few percent.
  18. ^ "Stephen Hawking, physicist who reshaped cosmology, passes away at 76". The Economic Times. 14 March 2018.
  19. ^ "Stephen Hawking meninggal dunia". Utusan Online. 14 Mac 2018. Dicapai pada 14 Mac 2018.
  20. ^ "Professor Stephen Hawking dies aged 76". Nine News Australia. 14 March 2018. Dicapai pada 14 March 2018.
  21. ^ News, A. B. C. (2018-03-14). "Stephen Hawking, author of 'A Brief History of Time,' dies at 76". ABC News (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2018-03-14.
  22. ^ "Physicist Stephen Hawking dies after living with ALS for 50-plus years". SFGate. Dicapai pada 2018-03-14.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Boslough, John (1985). Stephen Hawking's Universe. New York: Avon Books. ISBN 0-380-70763-2. Panduan Stephen Hawking untuk orang biasa.
  • Ferguson, Kitty (1991). Stephen Hawking: Usaha Mencari Teori untuk Semua Perkara. Franklin Watts. ISBN 0-553-29895-X.
  • Hawking, S. W. & Ellis, G. F. R. (1973). The Large Scale Structure of Space-time. Cambridge: Cambridge University Press. ISBN 0-521-09906-4.CS1 maint: multiple names: authors list (link). Sebuah monograf yang berpengaruh dalam bidang ini.
  • Hawking, S. W. & Israel, W. (1979). General relativity: an Einstein centenary survey. New York: Cambridge University Press. ISBN 0-521-22285-0.CS1 maint: multiple names: authors list (link). Kajian ulang tahun keseratus yang amat disebut.
  • Misner, Charles; Thorne, Kip S. & Wheeler, John Archibald (1973). Gravitation. San Francisco: W. H. Freeman. ISBN 0-7167-0344-0.CS1 maint: multiple names: authors list (link); sila lihat Kotak 34.3 untuk biografi ringkas. (Buku yang masyhur ini merupakan buku teks moden yang pertama untuk kerelatifan am, dan menunjukkan bahawa pada awal 70-an lagi, Hawking telah dianggap sebagai seorang tokoh yang menarik minat oleh rakan-rakan sekerjanya.)
  • "Stephen Hawking", Encarta® Diarkibkan 2009-04-11 di Wayback Machine © 1997 –2005, Perbadanan Microsoft, sebuah ensiklopedia Microsoft® dalam talian. Hak Cipta Terpelihara.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]