Sungai Langat

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Sungai Langat
Punca Gunung Nuang, Hulu Langat
Muara Selat Melaka, Kuala Langat
Negara-negara lembangan Selangor, Malaysia


Sungai Langat terletak di negeri Selangor. Sungai Langat mengalir dari Gunung Nuang di daerah Hulu Langat. Sungai ini mengalir hingga ke Selat Melaka di Kuala Langat. Panjang sungai ini ialah 149.3 km dari hulu hingga ke muara sungai.

Beberapa buah bandar dan perkampungan dibina di tepian Sungai Langat. Antaranya ialah Dusun Tua, Ulu Langat, Cheras, bandar Kajang, Sungai Chua, Jenderam, Dengkil, Sungai Manggis, Olak Lempit, Banting, Jenjarom, Teluk Datok, Teluk Panglima Garang dan Bandar Baru Bangi .

Sungai Langat sangat penting ketika bijih timah menjadi industri utama di negeri Selangor. Antara kawasan bijih timah yang penting ialah Sungai Besi, Balakong, Kajang, Sungai Chua, Cheras, Serdang dan Semenyih.

Sebuah empangan untuk bekalan air minuman telah dibina di hulu Sungai Langat yang dinamakan empangan Sungai Langat atau Empangan Pongsun. Sungai Semenyih merupakan ranting Sungai Langat. Kedua-dua sungai ini sangat tercemar pada suatu ketika dahulu terutama oleh kilang papan di Cheras dan najis babi di Semenyih.

Sebahagian bandar Kajang pernah tenggelam kerana hujan lebat yang membentuk banjir kilat. Beberapa buah kereta di Plaza Metro Kajang tenggelam (1998). Beberapa buah kampung di Dusun Tua turut ditenggelami air sekitar tabun 1990.

Air Sungai Langat membentuk kawasan paya di Sepang dan Dengkil. Namun kini kawasan paya dan tanah gambut ini telah ditebusguna.

Jenderam merupakan pelabuhan penting pada Zaman Neolitik.

Sumber air mentah yang terancam[sunting | sunting sumber]

Sungai Langat merupakan sumber air mentah utama kepada 7 buah loji rawatan air di Selangor iaitu Loji Air Sg Langat, Loji Air Bukit Tampoi, Loji Air Cheras Batu 11, Loji Air Salak Tinggi, Loji Air Sg Pangsoon, Loji Air Sg Serai dan Loji Air Sg Lolo.

Proses modernisasi dan pembangunan yang pesat terutamanya di Selangor, Sungai Langat diancam pencemaran air yang begitu teruk yang menyumbang kepada krisis air. Mengikut laporan Malaysia Environmental Quality Report 2006 [1] yang diterbitkan oleh Jabatan Alam Sekitar Malaysia [1], sesetengah sungai yang mengalir daripada Sungai Langat sudah tercemar dengan Indeks Kualiti Air sungai-sungai tersebut berada pada tahap III. Sungai-sungai ini adalah seperti Sungai Balak, Sungai Batang Benar, Sungai Batang Nilai, Sungai Lui dan Sungai Pajam.

Pada 11 Oktober 2012, Ketua Unit Permodelan Alam Sekitar, Pusat Penyelidikan Forensik Alam Sekitar (Enforce) Universiti Putra Malaysia, Dr Hafizan Juahir menyatakan bahawa hanya 49.3km dari 149.3 km Sungai Langat yang masih bersih. 100 km lagi sudah tercemar dan tidak sesuai untuk air minuman. 100km Sungai Langat ini sudah masuk dalam kelas 3, 4. Sekiranya kualiti air sungai lebih teruk daripada ini, ia sudah dikira sungai mati. Faktor utama pencemar sungai ini ialah air cucian, sisa-sisa domestik dan sampah yang masuk dalam sungai.[2]

Pada Januari 2014, dilaporkan beberapa kes pencemaran sisa amonia[3] di Sungai Langat yang menyebabkan penutupan dua loji rawatan air (LRA) iaitu LRA Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi. Penutupan dua loji ini telah menyebabkan gangguan bekalan air[4] di beberapa kawasan sekitar wilayah Hulu Langat dan Kuala Langat yang menerima air daripada kedua-dua buah loji tersebut. [5]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Malaysia Environmental Quality Report 2006. Jabatan Alam Sekitar Malaysia
  2. Sungai di Selangor tercemar, ancam bekalan air - Pakar
  3. Gangguan Bekalan Air Tidak Berjadual dalam Wilayah Hulu Langat dan Kuala Langat - Syabas
  4. Masalah Bekalan Air di Selangor dan Kuala Lumpur
  5. Pencemaran Amonia di Sungai Langat - Astro Awani