Tamar Jalis

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Tamar Jalis
Kelahiran
Mohd Radzi bin Mahmud

(1940-09-13)13 September 1940
Meninggal dunia26 Ogos 2018(2018-08-26) (umur 77)
PekerjaanPenulis
Tahun aktif1961-2018
Karya terkenal
Siri Bercakap Dengan Jin
Contoh kulit buku karya Tamar Jalis.

Tamar Jalis (lahir Mohd Radzi Mahmud; 13 September 1940–26 Ogos 2018) merupakan seorang penulis dan pengarang Malaysia, terkenal dengan karya bergenre seram. Beliau terkenal dengan Siri Bercakap Dengan Jin(SBDJ). Beliau tidak lagi menulis atau bekerja di syarikat penerbitan. Dahulu beliau ketua pengarang di sebuah syarikat penerbitan majalah popular di Malaysia.[1] Sepanjang kerjayanya, Tamar telah menghasilkan novel dan cerpen dan pernah memiliki syarikat penerbitan sendiri selama dua tahun di Ipoh. Beliau juga menjadi kolumnis untuk akhbar Suara Merdeka dengan siri 'Tepi Jalan' dan di akhbar Watan dengan siri 'Ciri-ciri Hidup'. Beliau aktif dalam Lembaga Pembangunan Sastera Perak (LEPAS) ; Persatuan Wartawan Hiburan (EJA); dan Persatuan Wartawan Melayu.

Biografi[sunting | sunting sumber]

Nama sebenar Tamar Jalis ialah Ahmad Mahmud atau Ahmad @Mohd.Radzi Mahmud.[2][3] Ahmad Mahmud dilahirkan pada 13 September 1940 di Kampung Batu 36, Jalan Sitiawan, Beruas, Perak. Beliau bersekolah di Sekolah Teknik, Ipoh - bidang tukang kayu dan binaan. Kemudian menjadi Juruteknik Rendah di sebuah jabatan kerajaan selama tiga bulan (1959). Seterusnya menjadi buruh kereta api KTMB selama lima hari. Awal tahun 1960, Ahmad Mahmud beralih menjadi buruh kasar membina jana elektrik di Cameron Highland.[perlu rujukan]

1960, beliau menjadi Pemberita Sambilan untuk akhbar Warta Negara, Utusan Melayu, Berita Harian dan beberapa majalah hiburan di Singapura di samping berniaga. Ahmad Mahmud berkhidmat dengan tentera Wataniah (1964-1966). Beliau dilantik sebagai kerani pengedaran di Utusan Melayu, Berhad, cawangan Ipoh (1970-1977).

Apabila berhijrah ke Kuala Lumpur, beliau dilantik sebagai penyunting akhbar Harian Watan (1977-1979). Kemudian sebagai editor majalah terbitan Penerbitan Adabi seperti Widya, Aktual dan Rintis (1980). Pada tahun 1981, Ahmad Mahmud dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Variapop Sdn Bhd yang menerbitkan majalah Variapop, Variasari dan Famili.[perlu rujukan]

Di sebalik nama Tamar Jalis[sunting | sunting sumber]

Seorang lagi penulis yang menggunakan nama 'Tamar Jalis' ialah A Jalil Miran, bekas wartawan tabloid Buletin Rakyat dan Buletin Utama, dikenali dengan cerita seram dan hantu selain sensasi hiburan yang dihasilkannya. Isteri Jalil Miran, Faridah Lah Omar, 46 menyatakan A Jalil Miran telah meninggal dunia pada usia 57 tahun kerana sakit jantung. Jalil Miran turut menulis untuk Variasari dan Variapop dan hal ini diakui sendri oleh Ahmad Mahmud.[4][5]

Nama Tamar Jalis seolah-olah misteri seperti juga nama Tok Awang Ngah. Akan tetapi nama Tok Awang sudah diketahui. Dia adalah Abdul Muluk Daud/ Dharmala N.S. . Bagaimana dengan Tamar Jalis yang juga "seperguruan" dengan Tamar Jalis ? .Mereka berdua pernah mengendalikan majalah Varia Filem, terbitan Variapop, tahun 70-an.

Ramai pembaca tidak tahu siapa latar belakangnya . Masa berubah, sudah tiba masanya nama ini didedahkan untuk mengelakkan kekeliruan. Ahmad Mahmud menggunakan beberapa nama samaran.[perlu rujukan] Antaranya ialah Tamar Jalis , Atma AM dan Ramadan A.M . Tamar Jalis ialah anak jin kafir dan watak ini terdapat dalam Hikayat Inderaputera.

Bakat menulis cerpen[sunting | sunting sumber]

Sejak 1955 beliau telah menulis di Utusan Kanak-kanak danTunas. Cerpen dewasanya yang pertama tersiar dalam majalah Mutiara pada tahun 1958 berjudul “Berhari Raya di Kampung”. Cerpen-cerpennya tersiar dalam pelbagai majalah seperti Dewan Bahasa, Dewan Sastera,Dewan Masyarakat , Mastika dan Widya. Akhbar tempatan juga menyiarkan cerpennya, seperti Berita Minggu, Utusan Zaman, Mingguan Malaysia dan Watan.

Beliau pernah menyertai dan menang menerusi Peraduan Menulis Cerpen Berita Harian. Ketika itu beliau mendapat RM300 hasila cerpen tulisannya.Cerpen itu bertajuk 'Kalau dah gila nak berbini', 'Ulam jering sambal tempoyak' dan 'Pencari rotan'.

Cerpen “Menanti Ayah”(1971) dan “Samad Toja” (Mingguan Malaysia, 26 Mei 1974) telah memenangi Hadiah Karya Sastera 1970-an. Cerpen “Samad Toja” termuat dalam Antologi Hadiah Karya Sastera 1974 terbitan DBP(1976) iaitu di halaman 43 hingga 51. Panel Hadiah Karya Sastera(1974) menyatakan b ahawa ceepen “Samad Toja” menceritakan kisah seorang tua yang memegang teguh kepada kepercayaan terhadap kuburan datuknya yang dianggap keramat. Samad Toja sanggup mati kerana mempertahankan kepercayaannya.Cerita diselesaikan secara ironis dengan Samad Toja terselamat sedangkan pemuda yang cuba menyelamatkannya mati menjadi korban di suraunya.

Cerpen “Jaril,Jangan Tinggalkan Emak” (Dewan Bahasa, September 1973),” Paman”(Dewan Sastera, Januari 1977) dan “Cincin Berlian Bermata Dua”(Dewan Sastera,April 1980) dimuatkan oleh Hamzah Hamdani dalam antologi 'Di Bawah Bayang Kemboja' (DBP,1981). Cerpen “Paman” termuat dalam antologi 'Suatu Subuh Yang Bening' selenggaraan Othman Puteh dan Ramli Isin (Fajar Bakti - 1980an). Antologi ini menjadi teks kesusasteraan Melayu peringkat SPM 1980-an.

Novel[sunting | sunting sumber]

Antara novel beliau ialah 'Pucuk-pucuk Yang Mati'(1967), 'Lorong-lorong Hitam' (1969) dan 'Rumah Urut' (1970). Kajian oleh Hamzah Hamdani mendapati banyak novelnya berkisar tentang seks.(1981:44). Ahmad Mahmud menggunakan nama samaran Atma A.M untuk menulis novel bercorak percintaan. Novel 'Bukan lmpian Hati' (Variapop Group; 1987 187 hlm).Novel 'Bukan Impian Hati (2)' menggunakan nama Atma A.M (Variapop Group;1988 ; 111 hlm).

Dengan nama samaran Ramadhan A.M , beliau menulis novel 'Kasihku,Sewangi Cempaka' (1988 - 127 hlm).Novel 'Kukirim Rindu Untukmu' (Variapop Group;1988;127 hlm)

  1. Pucuk-pucuk yang Mati (1967)
  2. Lorong Hitam (1969)
  3. Rumah Urut (1970
  4. Selembut Bayu Pagi (1980)
  5. Selembut Angin Senja (1984)
  6. Sejambak Mesra, Seluas Rindu (1984) – Novel ini telah dijadikan drama tv untuk slot Citraneka sebanyak tiga siri yang ditayangkan di TV (RTM) dalam bulan Februari dan Mac 1992.
  7. Kukirim Rindu Untukmu (1988)
  8. Kasih Sewangi Cempaka (1988)
  9. Sebening Sinar Matamu (1987)
  10. Ku Nanti di Pelabuhan Kasih (1987)
  11. Di sini Cintaku Berbunga (1987)
  12. Sebening Sinar Matamu (1987)
  13. Ketika Rindu Datang (1987)
  14. Seraut Wajah Kekasih (1986)

Siri Bercakap Dengan Jin[sunting | sunting sumber]

Novel 'Siri Bercakap Dengan Jin'(SBDJ) tersiar dalam majalah Variasari dari April 1981 hingga Januari 2005. Siri novel ini adalah yang terpanjang di Malaysia, Asia Tenggara dan antarabangsa. Beliau menggunakan nama samaran Tamar Jalis. Pada 1980-an, majalah Variasari pernah dicetak 120,000 naskhah sebulan mengatasi majalah Mastika terbitan Utusan Melayu. Beliau menghasilkan novel ini dari April 1985 hingga Januari 2005 iaitu selama 23 tahun enam bulan.

Penulis Zabidin lsmail selaku Presiden Persatuan Karyawan Perak menyatakan bahawa 'Siri Bercakap Dengan Jin' merupakan siri cerita kreatif Melayu yang terbanyak dan paling lama bersiaran dalam sebuah majalah di Malaysia.[perlu rujukan] 221 siri telah dibukukan dengan pelbagai tajuk dan paparan corak kulit yang menarik lagi menyeramkan,termuat dalam 16 buah buku.Sebuah buku SBDJ mengandungi kira-kira 24 siri. Namun demikian terdapat sebanyak 63 siri iaitu siri 222 hingga 284 belum lagi dibukukan.

Kajian Prof. Dr. Adnan Nawang menganggarkan bahawa SBDJ tercetak lebih sejuta naskhah. Namun novel ini banyak dicetak rompak . SBDJ mempunyai 63 siri iaitu 222 hingga 284 belum lagi dibukukan.

SBDJ memaparkan kisah hantu, jin dan makhluk halus dalam kehidupan masyarakat Melayu. Ia memaparkan sosio-budaya, psikologi, falsafah, petua, perubatan tradisional, mistik, keagamaan, seni persilatan, kebatinan, sejarah tempatan, geografi, pemburuan, pengembaraan di Tanah Melayu dan Sumatera (Jambi, Kerinchi, Bangkahulu dan Aceh) serta kepakaran menundukkan makhluk halus.

Kelainan novel ini ialah ia memaparkan kisah benar atau separuh benar yang dialami oleh penulis Ahmad Mahmud atau 'Tamar Jalis'. Tamar Jalis bercerita tentang kehebatan datuknya (Kulup Muhamad Diah @ Long Mat Piah) .Penulisan bercorak memoir atau autobiografi ini dipercayai oleh pembaca kerana watak-watak yang disebut memang wujud. Contohnya kehebatan Pak Itam di Kampung Gajah.

Sebenarnya Ahmad Mahmud[perlu rujukan]/ Tamar Jalis menulis SBDJ atas permintaan kawannya Datuk Mustafa Ton seorang penerbit / penulis majalah Variasari. Pejabat Variasari terletak di Jalam Raja Alang, Kuala Lumpur. Mustafa Ton melantik Ahmad Mahmud sebagai Ketua Pengarang Variapop Group dan sebagai jalan meningkatkan pengedaran, SBDJ telah diusahakan dan terbukti berjaya. Malah majalah Mastika yang dikendalikan oleh Zainol Fakir juga mendekati cerita seram.

Edaran Variasari pernah menyaingi majalah Dewan Masyarakat yang ketika itu membongkar kisah hidup Shamsiah Fakih sehingga penulisnya Datin Fatini Yaacob menyiasat hingga ke negara China.Majalah Variasari tersebar ke negara Singapura, Selatan Sumatera dan Brunei Darussalam.

Siri Bercakap Dengan Jin' dianggap sebagai karya klasik setanding dengan Misa Melayu ([Raja Chulan Abdul Hamid), Anggun Cik Tunggal, Awang Sulung Merah Muda, Hikayat Malim Deman, Hikayat Raja Muda dan Hikayat Malim Dewa (oleh Pawang Ana dan menjadi magnum opus atau karya agung bagi negeri Perak.

Wacana[sunting | sunting sumber]

Persatuan Karyawan Perak telah mengadakan wacana khas bertajuk 'Siri Bercakap Dengan Jin' pada 20 Jun 2011 di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Perak,Jalan Raja Di Hilir, lpoh, Perak. 10 kertas kerja telah dibentangkan. Wacana ini anjuran bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Perak, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak,Yayasan Perak dan Persatuan Karyawan Perak dan Kerajaan Negeri Perak.

Antara kertas kerja yang dibentangkan ialah :

  1. “Biografi dan Sumbangan Tamar Jalis Dalam Kesusasteraan Melayu” (Zabidin Hj.lsmail, Presiden Persatuan Karyawan Perak)
  2. “ Strategi, Teknik Naratif dan Memoir Dalam SBDJ”(Prof.Madya Dr.Talib Samat/Timbalan Presiden Persatuan Karyawan Perak)
  3. “Alam Nusantara Dalam SBDJ”(Dr.Bazrul Bahaman,UPSI)
  4. “SBDJ:Psikologi Spiritual Dari Sudut Pandangan Sufi”(Dr.Mohd Affandy Yusof,USM)
  5. “SBDJ Sebuah Karya Sastera” (Kamarul ,IPG Hulu Kinta,Perak)
  6. “Alam Bunian dan Jin Dalam SBDJ” (Prof.Madya Datuk Paduka Dr.Mohd.Rosli Saludin,UPSI)
  7. “Perubatan Tradisional Dan Persilatan Melayu Dalam SBDJ”(Ustaz Ahmad Tajudin Arshad)
  8. “Unsur- Unsur Sejarah Tempatan Dalam SBDJ”(Mohd Zamberi Malik)
  9. “Penilaian Kritis Tentang Jampi,Petua dan Mantera Dalam SBDJ”(Mohamad Paris Arshad, IPG Hulu Kinta,Perak)
  10. “Kisah-kisah Benar Dalam SBDJ”(Zainal Ariff bin Mat,IPG Kampus Perlis).

Dokumentari The Making of SBDJ sedang diusahakan bagi merakamkan lokasi-lokasi khususnya di Perak, Malaysia dan Sumatera berkaitan dengan 'siri Bercakap Dengan Jin' ini.[6]

Meninggal dunia[sunting | sunting sumber]

Beliau telah kembali ke rahmatullah pada 26 Ogos 2018 di kediaman beliau pada jam 9.30 pagi.[7]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]