Wasiat Raja-raja Melayu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Wasiat Raja-raja Melayu merujuk kepada kefahaman dalam politik Malaysia adanya suatu peninggalan berupa "wasiat" yang dikatakan telah diamanahkan oleh Raja-Raja penguasa negeri-negeri Tanah Melayu baik yang Bersekutu dan Tidak Bersekutu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (duluan kepada Malaysia) pada 5 Ogos 1957. Wasiat ini dipercayai diturunkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan, dan kuasa politik Melayu (yang terletak pada raja-raja tersebut) kepada kesinambungan kedaulatan negara kepada Raja-Raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat melalui wakil-wakil sah yang mempunyai locus standi.

Menurut Mohd Nazim Ganti Shaari, seorang pensyarah undang-undang di Universiti Teknologi MARA, kefahaman ini mula disebutkan Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah dalam suatu ucapan ketika pelancaran beberapa terjemahan penulisan Syed Hussein Alatas di Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2009 dan disebarkan meluas dalam media.[1][2][3] Walau bagaimanapun, kajian pensyarah tersebut terhadap dokumen-dokumen semasa disimpan di Arkib Negara Malaysia mahupun jurnal akademik mendapati tiada sebarang wasiat yang ada dicatatkan dalam perbincangan menyentuh penggubalan perlembagaan tersebut.[1]

Isi wasiat[sunting | sunting sumber]

Titah ucapan yang disampaikan Raja Nazrin menerangkan "Wasiat" yang dimaksudkan seperti berikut:[3]

  1. Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia);
  2. Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain;
  3. Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara;
  4. Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini;
  5. Kami isytiharkan Islam adalah Agama Persekutuan;
  6. Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu;
  7. Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Kepentingan Sah Kaum-Kaum Lain. (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Raja Nazrin Shah telah merujuk kepada beberapa perkara yang dimaksudkan dalam perlembagaan Malaysia iaitu:

Fasal-fasal ini menurut baginda memerlukan izin Majlis Raja-Raja untuk sebarang pindaan.[3]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b Mohd Nazim Ganti Shaari (23 April 2021). "Menyelami kemelut naskah asal 7 Wasiat Raja-Raja Melayu". The Malaysian Insight.
  2. ^ "Rakyat diingatkan 7 wasiat Raja-raja Melayu". Utusan Malaysia. 7 Ogos 2009.
  3. ^ a b c "'Tujuh wasiat Raja-Raja Melayu'". Malaysiakini. 6 Ogos 2009. Dicapai pada 13 Julai 2021.