Abdul Wahab Majid

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Abdul Wahab Majid merupakan bekas wartawan akhbar Nanyang Siang Pau sebelum menubuhkan Bernama pada 15 Mac 1968. Beliau antara pengasas Agensi Berita Nasional Bernama dan antara individu paling awal dilantik sebagai Setiausaha Akhbar Menteri (SUA) ketika jawatan tersebut mula diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun 1969.

Pendidikan dan kerjaya[sunting | sunting sumber]

Beliau berasal dari Kampung Dong, Raub, Pahang. Datuk,bapa, abang dan adik-adiknya memilih kerjaya sebagai guru tetapi beliau memilih kerjaya wartawan.Datuknya Mohd Jabar Mohd Kadir adalah guru pertama di Kampung Dong.Datuknya berasal dari keturunan Rao, Sumatera dab bermastautin di Kampung Dong. Ketika itu cuma ada tiga sekolah di Pahang iaitu di Dong, Pekan dan Kuala Lipis.Beliau kini menetap di Petaling Jaya.

Abdul Wahab belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Dong dan Sekolah Menengah Inggeris di Mahmud School, Raub. Setelah tamat sekolah rendah (darjah lima), bapanya berura-ura menghantarnya ke sebuah sekolah agama di Pekan, namun Abdul Wahab memilih untuk masuk ke Mahmud School di Raub pada 1946.


Persekolahan menengahnya terganggu apabila meletus Perang Dunia II di akhir 1941 dan Jepun menakluki Tanah Melayu. Beliau kemudiannya belajar di sekolah Jepun di Gali, Pahang. Apabila sekolah Jepun dibuka di Dong, barulah senang sedikit dapat bertukar sekolah.

Abdul Wahab berhenti sekolah semasa Jepun dan bekerja dengan Jabatan Pos di Kuala Lipis sebagai pembantu peribadi kepada ketua jabatan yang berbangsa Jepun. Ketika ini, beliau mendapat peluang berkursus dua kali di Kuala Lumpur. Ketika berada di Kuala Lumpur, kapal terbang pengebom British, B-29 mengebom Stesen Kereta Api Kuala Lumpur dan muzium.Apabila Jepun berakhir pada 1945, Abdul Wahab pulang ke kampung dan menyambung persekolahannya di Mahmud School, Raub. Antara rakannya ialah Tan Sri Salehuddin Mohamad bekas Ketua Setiausaha Negara.Kemudian beliau berpindah ke Clifford School di Lipis sehingga peperiksaan Senior Cambridge. Guru Besar di Clifford School ketika itu ialah Dr G E D Lewis dan memperkenalkan sukan ragbi. Beliau turut terpilih menyertai pasukan ragbi sekolah, mengambil posisi 'anchor'. Setelah lulus peperiksaan Senior Cambridge, Abdul Wahab mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Beliau tidak layak meneruskan pengajian di MCKK kerana keputusan peperiksaan Bahasa Inggeris yang tidak memuaskan. Beliau balik ke Clifford pada 1950 dan sambung sekolah hingga peperiksaan School of Certificate dan memperoleh gred dua.

Abangnya Abdullah Majid masuk ke hutan menyertai Pasukan force 136- satu unit gerila menentang tentera Jepun semasa Perang Dunia kedua. Abdullah Majid berjuang bersama Kapten (sekarang Tun) Mohd Ghazali Shafie. Selepas kekalahan Jepun, Abdullah Majid menyambung pelajaran di Singapura dan kemudian ditahan pihak berkuasa Inggeris pada 1951 atas tuduhan terlibat dalam kegiatan subversif. Abdul Wahab Majid dan bapanya melawat Abdullah di penjara. Ketika itu gerakan nasionalis begitu aktif di Singapura.


Selepas lawatan itu, Abdul Wahab membuat keputusan untuk bekerja sebagai pemberita/wartawan dengan Utusan Melayu yang ketika itu beroperasi di Cecil Street, Singapura. Beliau menumpang rumah Kris Mas (Kamaludin Muhammad) dan kemudian menyewa rumah dengan Ashraf Abdul Wahab . Gaji pemberita ketika itu hanya RM125 termasuk elaun.Beliau ditukarkan ke pejabat Kuala Lumpur.

Abdul Wahab bekerja dengan Utusan Melayu (1951-1954) dan pindah ke pejabat Rida/Mara (Lembaga Kemajuan dan Perusahaan) di Petaling Jaya dan bekerja selama beberapa tahun.

Dari Rida beliau bekerja pula sebagai wartawan di akhbar berbahasa Mandarin,Nanyang Siang Pau (1954-1964) selama 10 tahun. Tidak ramai orang Melayu bekerja di situ. Beliau menulis berita dalam bahasa Inggeris dan kemudian diterjemahkan ke bahasa Mandarin.

Antara tugasan ketika itu ialah Konfrontasi Malaysia-Indonesia. Beliau membuat liputan tentang tentera Indonesia mendarat di Labis. Beliau turut membuat liputan rundingan damai Malaysia-Indonesia di London, Jakarta, Tokyo, Manila dan Bangkok. Beliau mengikuti rombongan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tun Abdul Razak ke negara-negara Afrika Timur dan Afrika Utara untuk menjelaskan pendirian Malaysia mengenai konfrontasi dengan Indonesia. Namun Indonesia lebih berjaya kerana mempunyai kedutaan di kebanyakan negara di Afrika. Malaysia ketika itu cuma ada kedutaan di Kaherah sahaja.

Beliau antara dua wartawan yang dipilih menganggotai perwakilan Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), New York pada 1967 selama tiga bulan. Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tunku Abdul Rahman menghargai jasa dan sumbangan wartawan. Di PBB, beliau ditugaskan dengan Fourth Committee mengenai hak asasi manusia. Sekembalinya dari New York, beliau dilantik sebagai Editor Penasihat.

Pengasas Bernama[sunting | sunting sumber]

Pengalaman luasnya dalam bidang kewartawanan membuatkan Abdul Wahab kemudian mendapat tawaran kerja mengasaskan Bernama pada 1968. Meskipun beliau sudah ada jawatan yang baik dengan Nanyang tetapi beliau menerima tawaran kerja dengan Bernama. Beliau memulakan agensi berita adalah satu tugas perintis yang besar. Semasa menyertai rombongan Tun Razak ke Australia pada 1969, Tun Razak ada menekankan betapa pentingnya untuk Malaysia mempunyai sebuah agensi berita.

Beliau menyertai Bernama sebagai Ketua Eksekutif Berita, Bahasa Melayu. Cheng Yen Fui dari The Malay Mail diambil berkhidmat sebagai Ketua Eksekutif Berita Bahasa Inggeris dan memulakan tugas pada 1 Mac 1968. Mereka berdua kemudian diberi tanggung jawab untuk menubuhkan Jabatan Pengarang Bernama. Mereka mengambil dan memilih pemberita kadet yang layak.Ada beratus-ratus permohonan diterima.

Setiausaha Akhbar[sunting | sunting sumber]

Peristiwa 13 Mei mengubah segalanya. Beliau tiba-tiba ditawarkan jawatan SUA kepada Menteri Dalam Negeri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman - Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Abangnya Abdullah Majid juga memegang jawatan Setiausaha Akhbar yang berkhidmat untuk Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu Tun Abdul Razak.Jawatan Setiausaha Akhbar (SUA) ini diwujudkan dengan mencontohi model kerajaan Australia.

Apabila Tun Razak mengambil alih daripada Tunku Abdul Rahman pada September 1970, beliau secara automaik menjadi SUA kepada Tun Ismail yang dilantik Timbalan Perdana Menteri.

Baginya, Tun Razak seorang yang sangat serius. Susah nak tengok dia senyum. Dulu sifat toleransi antara Melayu dengan bukan Melayu, kuat. Tetapi sekarang keadaan nampaknya sudah berubah sedikit. Orang Cina lebih 'demanding'dan nampak kurang ikhlas terhadap perjuangan PM Datuk Sri Najib Tun Razak. Barangkali orang Melayu sudah insaf akan kedudukan sekarang.[1][2]

Selepas bersara[sunting | sunting sumber]

Abdul Wahab Majid menjadi Timbalan Yang Dipertua 2 Persatuan Jalinan Rao Malaysia (JARO), sebuah badan NGO yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Melayu Rao .[3]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Perisik dalam Utusan Melayu?". Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-07-23. Dicapai pada 2011-09-19.
  2. ^ "Cerita orang lama…Datuk Wahab Majid, pengasas Bernama, bekas SUA Tun Ismail, Tun Hussein Onn". Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-08-17. Dicapai pada 2012-08-02.
  3. ^ DATUK ABDUL WAHAB MAJID: liku hidup pengasas BERNAMA