Pergi ke kandungan

Abdullah bin Huzafah al-Sahmi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Abdullah bin Huzafah
عبد الله بن حذفة
Meninggal dunias. 653
Terkenal keranaSahabat Nabi Muhammad
IbuDaidah binti Hizyam
BapaHuzafah bin Qais
Saudara
KeluargaBani Saham (bangsa Quraisy)

Abdullah bin Huzafah al-Sahmi (Arab: عبد الله بن حذافة السهمي) merupakan seorang Arab Badawi dan sahabat Nabi Muhammad. Beliau menjadi terkenal pada akhir hayat Nabi Muhammad. Beliau juga sempat berjumpa dengan dua orang yang paling berkuasa dalam sejarah hidupnya iaitu Kisra Parsi Khusrau II dan Maharaja Rom Heraklius.

Abdullah dilantik menjadi utusan Nabi Muhammad untuk menghantar surat kepada kerajaan Parsi Sassan di bawah pemerintahan Khusrau II, juga dipanggil Perves. Ketika itu, beliau bernasib baik kerana ketika Kisra Parsi itu mengamuk dan mengoyakkan surat baginda dan sempat melarikan diri sebelum diapa-apakan. Ketika zaman pemerintahan Umar al-Khattab, beliau berjuang dalam Peperangan Islam-Rom Byzantine sehingga beliau berjaya ditawan oleh tentera Rom. Setelah diuji dan diduga oleh Maharaja Rom Heraklius, Abdullah berjaya mempertahankan aqidahnya dan sebagai syarat pembebasan semua tentera Islam, beliau mencium kepala Maharaja Rom tersebut.

Keturunan

[sunting | sunting sumber]

Salaisah penuh beliau ialah Abdullah bin Huzafah bin Qais bin Adi bin Saad bin Sahm bin Amru bin Husais bin Kaab bin Luai bin Ghalib bin Fahar bin Malik bin Nadar bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudar bin Nizar bin Maad bin Adnan al-Sahmi al-Quraisyi al-Kinani, dan nama ibu beliau ialah Tamima binti Harithan, daripada suku Harith bin Abdul Manat.[1]

Zaman Nabi Muhammad

[sunting | sunting sumber]

Surat kepada Khusrau II

[sunting | sunting sumber]

Pada tahun keenam Hijrah, selepas Perjanjian Hudaibiyah dengan orang Quraisy, Nabi Muhammad memutuskan untuk menghantar surat kepada pemerintah-pemerintah dunia pada masa itu. Abdullah bin Huzafah al-Sahmi membawa surat daripada Nabi Muhammad kepada Khusrau II, maharaja Empayar Sasan (Parsi). Beliau dipilih kerana tahu jalan untuk ke negeri Parsi dan faham bahasa mereka.

Semasa Abdullah tiba sebulan kemudian, Khusrau menghantar pesuruh baginda untuk mengambil surat itu daripadanya tetapi Abdullah enggan, mengatakan bahawa Nabi Muhammad telah menyuruhnya untuk menyampaikan surat tersebut kepada baginda raja sahaja dan tidak akan melanggar perintah Nabi. Jurubahasa yang fasih bahasa Arab kemudian membacakan surat Nabi Muhammad yang berbunyi seperti berikut:

بسم الله الرحمن الرحيم من محمد رسول الله إلى كسرى عظيم فارس سلام على من اتبع الهدى وأمن بالله ورسوله وشهد أن لا اله إلا الله وحده لا شريك له وان محمدا عبده ورسوله وأدعوك بدعاء الله فإني أنا رسول الله إلى الناس كافة لأنذر من كان حيا ويحق القول على الكافرين فاسلم تسلم فان ابيت فان إثم المجوس عليك[2]


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, daripada Muhammad, Utusan Allah, kepada Khusrau yang Agung, Raja Parsi. Sejahtera ke atas orang-orang yang mengikut petunjuk, beriman kepada Allah dan Utusan-Nya, dan bersaksi bahawa ada tiada Tuhan melainkan Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, serta bahawa Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya. Sahaya mengajak kamu dengan doa kepada Allah, kerana sahaya Utusan Allah kepada sekalian manusia, untuk memberi peringatan kepada sesiapa yang masih hidup dan untuk menunaikan kalimah ke atas orang-orang kafir. Maka terimalah dan tuanku akan selamat, tetapi jika tuanku enggan, maka dosa orang-orang Majusi akan jatuh ke atas tuanku.

Terdapat dua naratif tentang apa berlaku seterusnya: Menurut Mubarakpuri, selepas membaca surat Nabi, Khusrau murka dan merobek-robekkannya kerana Nabi memulakan surat dengan nama sendiri dan bukan nama Khusrau.[3] Baginda juga mengarahkan gabenornya di Yaman, Bazan bin Sasan (Arab: باذان بن ساسان), menangkap Nabi untuk menghadap Maharaja Parsi;[4] Menurut Ibnu al-Musaiyib, seorang ahli fiqah dan tabiin, apabila Nabi Muhammad mendengar Khusrau telah merobek surat tersebut, Nabi berdoa agar Allah merobekkan kerajaannya.[5]

Khusrau menghantar dua orang askar untuk menangkap Nabi Muhammad.[4] Setibanya di Madinah, Nabi Muhammad diberitahu oleh Jibrail bahawa Maharaja Parsi telah dibunuh oleh anaknya sendiri, Syirweh atau juga dipanggil Kavad II. Nabi Muhammad mendedahkan perkara itu kepada askar-askar tersebut dan Bazan memeluk Islam.[3][6]

Zaman Saidina Umar

[sunting | sunting sumber]

Menurut Abdul Malik Mujahid, pada tahun 639 (19 H), Saidina Umar yang ketika itu menjadi khalifah menghantar beliau dengan tentera untuk menawan Syam dalam Peperangan Islam-Rom Byzantium. Di sana, tentera Muslim ditangkap. Maharaja Byzantium Heraklius menguji keimanan Abdullah dan cuba membuat beliau memeluk agama Kristian dengan menyogok dan menyeksa beliau tetapi Abdullah enggan.

Heraklius kemudian cuba pula dengan mendandang para sahabat lain di depan beliau, menghantar seorang pelacur ke dalam penjara Abdullah—yang mana beliau berlari-lari mengelaknya sehingga pelacur itu bosan dan mengalah—dan memerintah askar-askar baginda menembak anak panah atau lembing ke arahnya tanpa terkena beliau, tetapi Abdullah tidak berganjak. Apabila Heraklius meletakkan sahabat-sahabat di dalam cecair panas lagi, Abdullah menangis. Baginda sangka beliau telah mula mengalah lalu baginda mengejeknya. Abdullah kemudian berkata beliau menangis bukan kerana takut akan dididih dalam cecair panas itu tetapi sedih hanya dapat mati satu kali sahaja, dan berharap kalaulah dirinya dapat mati seribu kali kerana imannya.

Akhirnya, baginda cuba dengan memberitahu Abdullah, "Sekiranya kamu cium dahi beta, beta akan melepaskan kamu." Abdullah menempelak, "Patik tidak akan biar tuanku cium dahi patik pun." Jawab baginda, "Cium dahi beta dan beta akan melepaskan 60 orang sahabat dan kamu." Abdullah menolak dan ini berlanjutan sehinggalah Heraklius bertitah, "Cium dahi beta dan beta akan melepaskan 300 orang sahabat" dan Abdullah akhirnya bersetuju.[7]

Selepas kembali ke Madinah, berita tentang keberanian Abdullah tersebar. Saidina Umar al-Khattab memerintahkan semua orang Islam untuk mencium dahi beliau, bermula dengan Saidina Umar sendiri.

Beliau meninggal dunia di Mesir pada tahun 653 (33 H) pada zaman khalifah Uthman.

  1. ^ Ibnu Asakar (1995). تاريخ دمشق [Sejarah Damsyik] (dalam bahasa Arab). دار الفكر. m/s. 27.
  2. ^ Al Arabiya English, In Pictures: Prophet Mohammed’s letters that were sent to rulers Cite has empty unknown parameter: |1= (bantuan)
  3. ^ a b Mubarakpuri, Safi ar-Rahman (2002). When the Moon Split (A Biography of Prophet Muhammad). Darussalam Publications. ISBN 978-603-500-060-4.
  4. ^ a b Salahi, A. (2010). "Opening up International Horizons". Muhammad: Man and Prophet. Kube Publishing Ltd.
  5. ^ Islamweb. (2010). رسائل النبي ـ صلى الله عليه وسلم ـ إلى الملوك والأمراء (Surat-surat Nabi s.a.w. kepada raja-raja dan pemerintah). Islamweb إسلام ويب.
  6. ^ "Abdullah ibn Hudhafah as-Sahmi | Companion of the Prophet | Islamic History | Sahaba Story". www.alim.org. Dicapai pada 2022-12-23.
  7. ^ Mujahid, Abdul Malik (2012). Golden Stories of Umar Ibn Al-Khattab. Darussalam. ISBN 9786035000994.