Bantuan:Pengenalan dasar dan garis panduan/Semua

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Wikipedia memiliki beberapa peraturan tegas, tetapi secara amnya berdasarkan lima prinsip asas. Dasar dan garis panduan Wikipedia dibangunkan oleh komuniti wiki untuk memperincikan prinsip-prinsip ini, dan menghuraikan cara terbaik untuk mengamalkannya, menyelesaikan konflik, dan membangunkan lagi matlamat kita untuk membina satu ensiklopedia yang bebas dan boleh dipercayai.

Dasar menghuraikan prinsip asas Wikipedia secara terpeinci, manakala garis panduan menghuraikan carauntuk mengamalkan dasar-dasar ini, dan cara untuk membentuk satu penyelarasan am merentasi rencana. Dasar dan garis panduan formal memiliki notis di atas laman, dan awalan "Wikipedia:" atau "WP:" sebelum nama laman.

Meskipun ada dasar dan garis panduan bagi hampir semua isu yang dapat difikirkan, yang pasti ialah tiada siapa yang tahu kesemuanya, tetapi jangan risau! Ada beberapa dasar yang menjadi asas terhadap dasar-dasar lain. Seksyen berikutnya akan menghuraikan dasar-dasar terpenting yang mewakili perihal am peraturan Wikipedia. Pengetahuan asas-asas ini akan memudahkan dan melancarkan perbincangan dan suntingan kelak.

Kandungan[sunting | sunting sumber]

Wikipedia ialah sebuah ensiklopedia, dan pihak komuniti sentiasa ingin mencapai ketepatan. Dengan itu, rencana Wikipedia sepatutnya berkecuali dan hanya mempunyai maklumat dan/atau pendapat disahkan yang sudah ada dalam sumber dipercayai.

Pandangan berkecuali bermakna bahawa satu-satu kandungan mesti ditulis secara objektif dan tanpa berat sebelah, yakni mengutamakan atau hanya membentangkan fakta atau pendapat satu-satu pihak. Satu ensiklopedia awam tidak sepatutnya memiliki rencana yang meihak kepada pandangan tertentu. Pengusahaan ke arah pandangan berkecuali mengelakkan rencana daripada menjadi bahan iklan mahupun propaganda.

Cuba kuiz tentang pandangan berkecuali!

Pengesahan bermakna bahawa satu-satu rencana sepatutnya hanya memiliki bahan yang telah diterbitkan oleh sumber dipercayai seperti akhbar utama atau bahan ilmiah. Semua kandungan sebaik-baiknya perlu disokong oleh petikan rujukan, tetapi sudah tentu menjadi satu kemestian bagi perkara bersifat kontroversi atau mudah dicabar! Kandungan tak bersumber boleh dipadam bila-bila masa, dan ia menjadi tanggungjawab para penyunting untuk memberikan rujukan ketika menambah kandungan.

Tiada penyelidikan asli bermakna bahawa satu-satu rencana tidak sepatutnya mempunyai hujah, konsep, data, pendapat atau teori yang belum diterbitkan. Larangan ini bermakna bahawa analisis, rumusan atau pendapat terbitan diri penyunting tidak sepatutnya ada di dalam rencana. Secara asas, Wikipedia ialah rekod keilmuan, pandangan dan rumusan ilmiah manusia yang telah ada serta dirakam di tempat lain.

Tingkah laku[sunting | sunting sumber]

Selonggok halaman dalam bentuk hati
Tunjukkan kasih sayang sesama penyunting!

Penyuntingan Wikipedia memerlukan kerjasama yang kuat. Ada dua dasar utama untuk mula menyesuaikan diri dengan para penyunting lain: beranikan diri dan bersopan.

Ketika menyunting, beranikan diri! Kebanyakan suntingan akan menambah baik Wikipedia, dan kesalahan boleh sahaja diterbalikkan atau dibetilkan. Kalau anda melihat sesuatu yang boleh ditambah baik, suntingkan saja, dan jangan terlalu risau tentang merosakkan apa-apa pun. Sekiranya suntingan anda dilakukan demi penambahbaikan serta masuk akal bagi orang lain, kemungkinan besar bahawa segalanya akan baik-baik saja, dan perubahan anda akan berkekalan. Jika tidak pun, senang saja untuk orang lain untuk betulkan semula.

Amalan bersopan bermakna penyunting perlu beradab dan bersangka baik ketika berhubung dengan penyunting lain, dan tumpukan perhatian terhadap kandungan suntingan berbanding isu peribadi. Ia memerlukan penyertaan dengan rasa hormat dan beradab tanpa mengabaikan kedudukan dan rumusan penyunting lain. Amalan bersangka baik bermakna kita secara asalnya perlu meyakini bahawa niat satu-satu penyunting adalah untuk menambah baik Wikipedia. Jika suatu kritikan atau penyeliaan diperlukan, kita bincangkan tentang tindakan penyunting, tetapi tidak menuduhkan dakwaan melampau tanpa bukti yang kukuh.

Para penyunting lazimnya mencapai suatu persetujuan sebagai satu hasil lazim suntingan; lazimnya, seseorang mengubah atau menambah sesuatu terhadap satu-satu rencana, dan orang lain berpeluang untuk biarkannya saja atau mengubahnya. Penerbalikan suntingan mungkin berasa berat, tetapi jangan kecewa kerana ia merupakan satu kaedah biasa untuk mencapai persetujuan ("beranikan diri, terbalikkan, bincangkan"). Sekiranya anda ada penentangan atau cadangan, usulkan di laman perbincangan rencana, dan bincang tentangnya secara sopan sehingga satu persetujuan dapat dicapai. Jangan terbalikkan suntingan penyunting lain secara berulang; ini dipanggil sebagai perang sunting, dan ditegah kuat. Sebagai langkah terdesak, anda boleh memohon bantuan untuk menyelesaikan satu konflik seperti oleh Penyelia.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]