DJ Fuzz

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
DJ Fuzz
Nama lahirFarzwa De-Attaher Emir bin Farit
Kelahiran (1977-07-13) 13 Julai 1977 (umur 46)
Hospital Besar Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, Malaysia
GenreHip hop, rap
PekerjaanPemuzik, DJ, komposer, penerbit rakaman
Tahun aktif1999–kini
Syarikat rakaman
Mixology Music, Octave Records
Pengkarya berkait
Teh Tarik Crew, Malique, Aizat Amdan, KING STUNNA

Farzwa De-Attaher Emir Farit (lahir 13 Julai 1977) atau lebih dikenali sebagai DJ Fuzz merupakan seorang pemuzik, DJ dan komposer Malaysia.[1] Beliau merupakan bekas ahli Teh Tarik Crew dan pengasas syarikat rakaman Mixology Music.[2]

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

DJ Fuzz dilahirkan pada 13 Julai 1977 di Hospital Besar Kuala Lumpur dan merupakan anak sulung daripada empat beradik.[3] Ibu bapanya, Allahyarham Farit Ismeth Emir merupakan ahli perniagaan dan juga penyampai berita di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Noor Ashikin Othman, seorang pensyarah universiti dan pakar pemakanan. Beliau mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Rendah Kebangsaan Jalan Gurney 2, Kuala Lumpur dan kemudiannya mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria.[3] Ketika di sekolah rendah, beliau kerap mendapat nombor satu dalam peperiksaan. Selain itu, beliau juga aktif dalam menyertai sukan taekwondo dan pernah mewakili sekolah hingga ke luar negara.[3]

DJ Fuzz juga pernah menganggotai kugiran pancaragam sekolah, dan bermain bagpipe dan tidak pernah gagal hadir dalam sesi latihan apatah lagi pasukan pancaragam sekolahnya kerap dijemput untuk acara perbarisan seperti di Dataran Merdeka.[3] Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1994, beliau bekerja sebagai penyambut tetamu hotel dan pelayan restoran. DJ Fuzz kemudiannya melanjutkan pelajarannya dalam bidang perakaunan di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).[3]

Kerjaya muzik[sunting | sunting sumber]

DJ Fuzz (berbaju biru) ketika bersama Teh Tarik Crew pada awal kemunculannya.

DJ Fuzz memulakan kerjaya muzik pada 1999 dengan menjadi DJ apabila beliau memohon ke Playaz Universe, sekolah DJ pertama Malaysia. Beliau seterusnya menganggotai kumpulan Teh Tarik Crew yang ditubuhkan pada 1999. Ia turut disertai oleh Mizz Nina, Altimet dan Fiquetional. Sepanjang bersama kumpulan ini, DJ Fuzz menerbitkan tiga album bersama TTC, Are We Rap Stars Now (1999), How's The Level? (2001) dan What's Next? (2004). Selepas kumpulan itu berpecah pada 2007, beliau memulakan kerjaya muzik secara solo.

Pada tahun 2005, DJ Fuzz menerbitkan album solo pertamanya, Mixology dan atas sambutan yang memberangsangkan, beliau menubuhkan Mixology Deejay Academy bagi yang berminat belajar menjadi deejay. Lagu-lagu ciptaan beliau juga telah memperkenalkan penyanyi terkenal dalam persada muzik tempatan dan telah dinyanyikan oleh penyanyi ternama yang mendapat sentuhan karya beliau termasuk Waris, Malique, Mark Adam, Juzzthin dan Wani Kayrie.[4][5]

Beliau merupakan pemenang dua kategori iaitu Album Terbaik Hip Hop dan Lagu Terbaik Hip Hop di Anugerah Industri Muzik 2009 menerusi lagu "Cerita Kedai Kopi" dengan kolaborasi bersama Malique.

Kehidupan peribadi[sunting | sunting sumber]

Beliau berkahwin dengan Nawal Rafeza Zulkifli dan dikurniakan seorang anak lelaki bernama Mahmoud Jordan Emir. DJ Fuzz mempunyai hobi membaca, melancong dan telah dididik membaca sejak kecil.[3] Beliau gemar memperkembangkan ilmu dan belajar dalam bidang muzik, bidang perniagaan dan apa sahaja yang menarik minatnya.

Diskografi[sunting | sunting sumber]

  • Mixology (2004)
  • KO The Mixtape (bersama Malique; 2009)
  • Mixology 3 (2014)
  • This is The Mixology Music Vol. 1 (2014)

Anugerah dan penghargaan[sunting | sunting sumber]

  • Playaz/Ecler DJ Championship 2002 (Scratch Champion)
  • Malaysian Vestax Extravaganza DJ Championship 2002 (Finalist)
  • Malaysian Vestax Extravaganza DJ Championship 2003 & 2004 (Champion)
  • Pioneer Digital DJ Battle 2003, 2004 & 2005 (Champion)
  • Asian Pioneer Digital Battle 2006 (First Runner-up)
  • Official Member of the Bum Squad DJz Worldwide (2005-2011)
  • VIMA 2008 Best Club DJ Award
  • AIM 2009 Best Hip Hop Album (Malique – OK)
  • AIM 2010 Best Hip Hop Album (KO The Mixtape)
  • AIM 2010 Best Hip Hop Song (Cerita Kedai Kopi)
  • AIM 2013 Best Hip Hop Song (Aku Pelat)
  • 2015 Anugerah Persembahan Lagu Melayu terbanyak MACP (Gadis Jolobu)

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Kevin Yeoh (28 Disember 2009). "5 Minutes with DJ Fuzz". Juice Online. Dicapai pada 22 Oktober 2016.
  2. ^ Feride Hikmet Atak (10 Jun 2014). "DJ Fuzz tidak gentar". mSTAR Online. Dicapai pada 22 Oktober 2014.
  3. ^ a b c d e f Amirah Amaly Syafaat (19 Jun 2016). "Tabiat membaca sebati dalam diri". Utusan Malaysia. Dicapai pada 22 Oktober 2016 – melalui Utusan Online.
  4. ^ 10 Jun 2014. "DJ Fuzz reveals new Mixology Music label". Nocturnal Asia. Dicapai pada 20 April 2018.
  5. ^ Feride Hikmet Atak (10 Jun 2014). "DJ Fuzz Tanggung Risiko Ambil Empat Artis Baharu". mStar Online. Dicapai pada 20 April 2015.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]