Daode Jing

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Aksara Cina Tao atau Dao ("Laluan").

"Daode Jing"

Tulisan Cina Tradisional 道德經
Tulisan Cina Mudah 道德经
Pinyin Dào Dé Jīng
Wade-Giles Tao Te Ching
Terjemahan tajuk Wade-Giles menjadi paling berpengaruh pada akhir abad ke-19, dan masih amat biasa digunakan di Taiwan serta dalam bidang akademik antarabangsa, tetapi Republik Rakyat China telah menyebarluaskan skim transliterasi pinyin yang menyebabkan perumian tajuk sebagai Daode Jing. Oleh sebab edisi-edisi bahasa Inggeris untuk buku itu menjadi terkenal sebelum perkembangan pinyin, transliterasi tajuk Wade-Giles telah menjadi kekal, dan hampir kesemua edisi-edisi buku bahasa Inggeris terkini menggunakan tajuk Tao Te Ching.
"Tao Te Ching", seni khat oleh Gia-Fu Feng

Daode Jing (bahasa Cina: 道德經 [Mengenai bunyi ini Listen ] ) ialah sebuah buku teks klasik Cina yang, menurut tradisi, ditulis di sekitar 600 SM oleh Laozi, seorang penyimpan rekod di dalam Istana Maharaja Dinasti Zhou. Buku ini merupakan sebuah susunan pepatah yang mempunyai tema yang serupa. Ramai orang telah menganggap bahawa Daode Jing mengandungi beberapa kebenaran sejagat yang telah disedari secara berasingan oleh falsafah-falsafah yang lain, baik agama mahupun duniawi. Ketulenan tarikh penulisan ataupun penyusunan serta pengarangnya masih diperdebatkan.

Versi bahasa Cina yang asal ditulis dengan tulisan Zhuan Shu dalam format skrol (kertas ataupun buluh), sedangkan versi-versi kemudian ditulis dengan tulisan Li Shu atau Kai Shu. Dalam bentuk terkini, Daode Jing mengandungi dua bahagian (Dao, yang terdiri daripada bab 1–37; dan Te, bab 38–81), dan menggunakan kira-kira 5,000 aksara Cina. Setiap bab agak pendek, dan menggunakan tidak banyak aksara untuk menggambarkan gagasan-gagasan yang seringnya amat rumit dalam gaya puisi.

Maksud tajuk buku[sunting | sunting sumber]

Makna tajuk buku ini yang sebenarnya tidak begitu jelas. Oleh itu, terdapatnya banyak terjemahan yang mungkin, kerana makna aksara-aksaranya agak luas:

  • 道 (dào): Biasanya diterjemahkan dalam bahasa Inggeris sebagai "the way ahead" ("laluan ke depan"), atau dengan mudah sahaja, "Way" ("Laluan"). Istilah ini yang digunakan oleh semua ahli falsafah Cina (termasuk Confucius, Mencius, Mo Zi, ahli-ahli ultrakeundangan, dll), mempunyai makna yang khas dalam konteks Taoisme yang melibatkan proses alam semesta yang asas dan yang tidak dapat dinamakan.
  • 德 (): Biasa diterjemahkan dalam bahasa Inggeris sebagai "virtue" ("kebaikan") ataupun "righteousness" ("kewajaran").
  • 經 (jīng): Bermakna "mahakarya", "kitab", ataupun "doktrin".

Oleh itu, 道德經 boleh diterjemahkan sebagai "Mahakarya/Kitab/Doktrin mengenai Laluan dan Kebaikan/Kewajaran". Walaupun buku ini biasanya dirujuk sebagai 道德經 (Daode Jing), tajuknya mungkin merupakan gabungan dua buah buka, iaitu 道經 (Dao Jing) dan 德經 (De Jing). Sebenarnya, De Jing telah ditemui bersama-sama dengan beberapa penemuan yang terkini. Adalah mungkin bahawa nama gabungan untuk kedua-dua buku itu tidak mempunyai apa-apa maksud, walaupun ini tidak dapat dipastikan kerana Daode Jing telah berkali-kali disemak.

Ketulenan sejarah[sunting | sunting sumber]

Kewujudan Laozi pernah disebutkan dalam skrol-skrol yang telah wujud sejak 400 SM, tetapi perincian itu bukannya rekod sezaman. Sima Qian, ahli sejarah Cina yang termasyhur, menulis sebuah biografi mengenainya di sekitar 100 SM yang mengatakan bahawa nama asal Laozi ialah "Li Er". Kajian-kajian terhadap bahasa dan skema rima karya Daode Jing menunjukkan bahawa tarikh penulisannya adalah selepas Shi Jing ("Buku Lagu-lagu") dan sebelum Zhuang Zi, iaitu antara akhir abad ke-4 dan awal abad ke-3.

Cendekiawan-cendekiawan memperdebatkan tentang siapakah pengarangnya yang sebenar untuk versi Daode Jing yang terkini. Bahagian-bahagian untuk versi terkini telah ditemui terukir dalam batu bersurat yang wujud sejak 300 SM. Penemuan "skrol-skrol" Cina (sebenarnya gulung sutera) yang lebih kurang lengkap oleh ahli-ahli arkeologi pada tahun 1973 telah digelarkan Teks-teks Ma-wang-tui, menurut nama kampung di mana skrol-skrol itu ditemui. Teks A yang mempunyai lebih banyak lompang telah dianggap ditulis sebelum Teks B yang telah dipastikan mewujud sejak 200 SM. Teks A itu mendedahkan bahawa kebanyakan versi terkini yang paling umum adalah lebih kurang sama sahaja dengan teks kepurbaan. Oleh itu, ia membataskan tempoh untuk perubahan teks secara besar-besaran.

Pada tahun 1993, versi teks yang tertua telah ditemui. Ditulis dengan dakwat di atas jalur-jalur buluh yang wujud sejak 300 SM, ia terdiri daripada 14 puisi yang sewaktu itu, tidak pernah diketahui. Oleh kerana ia ditemui di dalam sebuah makam di bandar Guodian, Hubei, teks itu telah digelarkan Teks Guodian. Banyak terjemahan bahasa Inggeris yang lebih baru merangkumi teks-teks ini, dan puisi-puisi buku-buku tersebut seringnya disusun semula untuk menggabungkan teks-teks baru ini.

Seawal 1930-an, cara-cara untuk mengatasi pertikaian-pertikaian terhadap pengarang Daode Jing tanpa menegaskan siapakah yang betul dan siapakah yang salah (penyelesaian cara Taoisme) telah dicadangkan. Dalam sebuah esei yang disertai dengan terjemahan Wai-tao dan Dwight Goddard, Dr. Kiang Kang-hu mengatakan:

"Tiga orang pendeta yang hidup selang dua atau tiga ratus tahun, menurut sejarah, biasanya dianggap sebagai orang yang sama; disebabkan kebijaksanaannya, beliau telah mencapai umur panjang. Penyelesaian yang lebih mudah dan lebih mungkin untuk kekeliruan ini adalah untuk menerima kesejarahan ketiga-tiga [orang pendeta] tetapi memberikan penghargaan terhadap penulisan asal kepada Laozi dan menganggap yang lain sebagai pengikut-pengikut yang berkebolehan dan kemungkinannya, penyunting-penyunting. Buku itu dalam bentuk terkini mungkin tidak ditulis sehingga abad ke-3 SM kerana ia diukir dalam batu-batu bersurat tidak lama selepas masa itu".

Penghargaan bersyarat untuk beberapa puisi mungkin boleh diberikan kepada pengikut-pengikut Taoisme yang kemudian, "tanpa mengurangkan penghargaan yang lebih besar kepada Laozi".

Ajaran Laozi[sunting | sunting sumber]

Mahakarya Laozi merangkumi banyak bidang falsafah dari kerohanian individu dan dynamik antara perorangan ke teknik-teknik politik. Isi kandungan Daode Jing boleh dibahagi kepada 6 bahagian utama:

Laozi memperkembangkan konsep "Tao" yang seringnya diterjemahkan sebagai "lumrah alam", dan memperlebar maksudnya untuk merangkumi tertib terwujud atau sifat alam semesta.

Salah satu konsep yang paling utama dalam ajaran Laozi ialah wei-wu-wei yang biasa diterjemahkan sebagai "tindak tanpa bertindak". Ini tidak membawa maksud bahawa seseorang harus duduk-duduk sahaja tanpa membuat apa-apa, tetapi bermaksud bahawa seseorang harus mengelakkan niat-niat serta tindakan-tindakan yang menentangi hukum semula jadi. Mengikutnya, seseorang boleh mencapai lebih kecekapan melalui pengikutan kebangkitan dan kejatuhan fenomena-fenomena alam semesta berbanding menentanginya. Tindakan-tindakan yang diambil mengikut Tao adalah lebih mudah dan berhasil berbanding kebalikannya.

Salah satu daripada contoh-contoh yang sering digunakan untuk menggambarkan konsep ini ialah dalam silat Tai Chi. Teknik yang dimaksudkan digelarkan "empat tahil menentangi seribu kati". Dengan teknik ini, seorang ahli silat tidak menentangi tumbukan lawannya, malahan ia akan mengelakkan tumbukan itu dan menambahkan sedikit tolakan pada belakang badan lawannya. Dengan ini, lawannya akan jatuh; lebih kuat tumbukan lawannya, lebih kuat dia sendiri akan jatuh.

Laozi mempercayai bahawa keganasan harus dielakkan, jika boleh, dan kemenangan tentera adalah sebab untuk bersedih kerana keperluan untuk menggunakan kuasa terhadap hidupan yang lain, dan bukannya sebab untuk perayaan.

Serupa dengan kebanyakan ahli fikir Cina kuno, cara Laozi untuk menerangkan gagasan-gagasannya sering menggunakan paradoks, analogi, pepatah kuno, pengulangan, simetri, kata berima, dan ritma. Daode Jing yang dikatakan ditulisnya adalah dalam bentuk puisi yang amat padat. Ia bertindak sebagai titik permulaan untuk tafakur-tafakur kosmologi atau kaji diri. Banyak daripada teori-teori estetik mengenai seni Cina berasas daripada gagasan-gagasannya serta gagasan-gagasan Zhuang Zi, iaitu pengikutnya yang terutama.

Sebilangan orang menganggap bahawa falsafah Barat yang paling selari dengan falsafah Laozi ialah aliran fikiran Tradisionalisme, khususnya karya-karya Ananda Coomaraswamy dan Rene Guenon.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]