Dewan Perwakilan Daerah Republik Indonesia
Negara Anggota ASEAN |
Portal Indonesia |
Dewan Perwakilan Daerah (DPD) ialah dewan negara dalam sistem ketatanegaraan Republik Indonesia yang merupakan wakil-wakil daerah provinsi dan dipilih melalui Pilihan Raya Umum. DPD harus tidak dikelirukan dengan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD).
DPD mempunyai peranan seperti yang berikut:
- Mengajukan cadangan, diikuti dengan pembahasan dan pemberian pertimbangan yang berkaitan dengan bidang perundangan tertentu
- Mengawasi pelaksanaan undang-undang tertentu.
Bilangan anggota DPD dari setiap provinsi ialah 4 orang dan dengan demikian, jumlah anggota DPD pada saat ini ialah 128 orang. Anggota DPD berkhidmat selama lima tahun, dengan akhir tempoh mereka berbetulan dengan waktu anggota-anggota DPD yang baru mengangkat sumpah.
Pimpinan DPD
[sunting | sunting sumber]Pimpinan DPD terdiri daripada seorang ketua dan 2 orang timbalan ketua. Selain daripada bertugas sebagai pimpinan sidang, pimpinan DPD juga berperanan sebagai jurucakap DPD. Ketua DPD pada saat ini ialah La Nyalla Mattalitti.
Tugas, bidang kuasa, dan hak
[sunting | sunting sumber]Tugas dan bidang kuasa DPD, antara lain, adalah seperti yang berikut:
- Mengajukan kepada Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) rang undang-undang yang berkaitan dengan autonomi daerah; hubungan antara pusat dan daerah; pembentukan, pemekaran, dan penggabungan daerah; pengelolaan sumber alam, dan sumber ekonomi yang lain; serta rang undang-undang yang berkaitan dengan pertimbangan kewangan pusat dan daerah. DPR kemudian mengundang DPD untuk membahaskan rang undang-undang tersebut.
- Memberikan pertimbangan kepada DPR tentang pemilihan anggota Badan Pemeriksa Kewangan (BPK).
- Menerima hasil pemeriksaan kewangan negara daripada Badan Pemeriksa Kewangan untuk dijadikan bahan untuk membuat pertimbangan kepada DPR tentang rang undang-undang yang berkaitan dengan APBN.
- Memberikan pertimbangan kepada DPR tentang rang undang-undang yang berkaitan dengan cukai, pendidikan, dan agama.
- Mengawasi pelaksanaan undang-undang tentang autonomi daerah; pembentukan, pemekaran, dan penggabungan daerah; hubungan antara pusat dan daerah; pengelolaan sumber alam, dan sumber ekonomi yang lain; pelaksanaan belanjawan daerah (APBD), cukai, pendidikan, dan agama.
Anggota-anggota DPD juga memiliki hak tafsiran, mengundi, mengutarakan pendapat, cadangan dan pertanyaan, selain daripada memiliki hak membela diri, hak kekebalan, dan hak protokol.
Alat-alat DPD
[sunting | sunting sumber]Alat-alat DPD terdiri daripada Pimpinan, Jawatankuasa Ad Hoc, Badan Kehormatan, dan jawatankuasa-jawatankuasa lain yang diperlukan.
Sekretariat DPD
[sunting | sunting sumber]Sekretariat DPD dibentuk melalui Keputusan Presiden untuk mendukung kelancaran pelaksanaan tugas DPD, dengan kakitangannya terdiri daripada pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam. Sekretariat ini dipimpin oleh seorang Setiausaha Agung yang dilantik dan diberhentikan menurut Keputusan Presiden atas cadangan Pimpinan DPD.
Kekebalan
[sunting | sunting sumber]Anggota-anggota DPD tidak boleh didakwa di mahkamah atas pernyataan, pertanyaan, atau pendapat mereka yang dikemukakan dalam sidang-sidang DPD, baik secara lisan mahupun secara bertulis, asalkan ia tidak bertentangan dengan Peraturan Tata Tertib dan kod etika lembaga masing-masing. Kekebalan tersebut tidak merangkumi keadaan-keadaan yang mana seseorang anggota mengumumkan maklumat-maklumat yang telah diberikan dalam sidang tertutup yang harus dirahsiakan atau hal-hal yang lain yang mendedahkan rahsia negara.