Haiza Najwa

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Haiza Najwa
Haiza Najwa
Kelahiran Haiza Najwa
(1960-05-02) 2 Mei 1960 (umur 57)
Alor Star, Kedah
Warganegara Malaysia
Pekerjaan Penulis novel

Haiza Najwa adalah seorang penulis Malaysia yang terkenal melalui hasil penulisan novelnya yang bertemakan cinta. Beliau kini menumpukan karya penulisannya eksklusif untuk syarikat penerbitan Alaf 21, salah satu anak syarikat Kumpulan Karangkraf yang juga penerbit novel berbahasa Melayu yang terbesar di Malaysia. Novel-novel beliau dengan Alaf 21 sering memasuki carta novel terlaris kedai buku MPH.

Biografi ringkas[sunting | sunting sumber]

Dilahirkan di Alor Star, Kedah, dengan kedua ibu bapa berasal dari Negri Sembilan, Haiza Najwa mencapai keputusan membanggakan sewaktu di sekolah, khususnya dalam bahasa Inggeris dan kesusasteraan. Menolak untuk belajar di Maktab Perguruan, sebaliknya menyambung pelajaran ke Tingkatan Enam di Johor Bharu. Sewaktu di tingkatan enam, beliau mula memupuk hobinya dan ketika inilah karya-karyanya di terbitkan oleh The New Thrills. Selepas memperolehi sijil Higher School Certificate (HSC), beliau bekerja di pusat peranginan Genting Highlands. Kerana tidak sesuai dengan cuaca sejuk, beliau ke Kuala Lumpur dan menyertai pengajian kesetiausahaan. Kemudian bekerja sebagai steno dan setiausaha kepada beberapa buah firma antarabangsa dan dalam negeri sehinggalah bertemu arwah suaminya. Pada masa ini cerpen beliau sudah tersiar di beberapa majalah tempatan seperti majalah Jelita dan lain-lain.

Selepas berkahwin, Haiza Najwa berniaga dan membuka kedai tetapi terpaksa melupakannya untuk memberi tumpuan pada anak-anak. Namun langit tidak selalu cerah, suaminya yang penyayang akhirnya didiagnosis menghidap kanser tahap akhir. Ketika pakar mengakui suaminya hanya ada enam bulan hayat sahaja lagi, itulah saat-saat paling mendukakan dalam hidupnya. Beliau menangis tanpa henti sehinggalah arwah suami memujuknya menghidupkan semula hobi menulis yang sekian lama dikuburkannya. Sambil menulis di sisi suaminya yang kian tenat, novel pertama beliau Tak Seindah Impian berjaya didakap suaminya dua minggu sebelum menghembuskan nafas terakhirnya. Hingga ke detik ini, beliau masih terharu mengenangkan betapa bangganya arwah suami menunjukkan naskhah pertamanya itu dan menguarkan pada setiap yang menziarahinya bahawa dia penulis hebat.

Dua bulan sesudah kematiannya, terbit sebuah buku lagi Gerhana Cinta Edika. Selama 5 tahun, Haiza menulis dan terus menulis untuk melupakan kesedihan yang tidak tertanggung di hatinya sehinggalah lahir 11 buah buku dan lima buah bukunya adalah terbitan syarikat novel terunggul di Malaysia, iaiatu Alaf 21. Novel-novel beliau dengan Alaf 21 sering memasuki carta novel terlaris MPH. Kini beliau yang sudah pulih dari kesengsaraan itu mahu mereka yang di luar sana tahu bahawa menulis adalah satu kaedah terapi terbaik untuk menyembuhkan penderitaan. Selain menempa nama, ianya prospek karier yang memberi pulangan yang lumayan.

Daftar karya[sunting | sunting sumber]

  1. Tak Seindah Impian (Rhythm)
  2. Gerhana Cinta Edika (Rhythm)
  3. Misteri Dania (ZIS Services)
  4. Bukan Klon Bukan Duplikat (Creative Enterprise)
  5. Kasih Villa Cinta (Kaki Novel)
  6. Sentuhan Cinta (Alaf 21)
  7. Kumohon Kasih (Alaf 21)
  8. Kalimah Jiwa (Alaf 21)
  9. Ilusi Hati (Alaf 21)
  10. Aku Yang Menanti (Alaf 21)
  11. Jangan Ganggu Lenaku (Alaf 21)

Pautan luar[sunting | sunting sumber]