Irshad Manji

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Irshad Manji

Irshad Manji, 2007. Foto oleh Raquel Evita Saraswati.
Warganegara Flag of Canada Kanada
Pencapaian ketara The Trouble with Islam Today, Faith Without Fear
Anugerah Honorary Doctorate, University of Puget Sound, 2008 , World Economic Forum "Young Global Leader"

irshadmanji.com

Irshad Manji (lahir 1968) ialah seorang wanita, feminis, penulis, wartawan, dan aktivis Muslim warganegara Kanada. Beliau amat dikenali sebagai pengkritik terhadap Islam radikal dan terjemahan ortodoks Qur'an. Melabelkan dirinya sebagai "Muslim Refusenik", akhbar The New York Times juga menamakan beliau sebagai "mimpi ngeri Osama bin Laden". Irshad mengabdikan dirinya terhadap pembangkitan pemikiran kritis atau diterangkan sebagai "ijtihad" dalam tradisi Islam. Antara usaha yang dijalankan ialah dengan pelancaran Projek Ijtihad, sebuah program untuk merangsang Muslim dan bukan Muslim terutamanya generasi muda untuk menyoal kembali terjemahan-terjemahan tradisional dan ortodoks Islam untuk membentuk rangkaian Muslim yang bertunjangkan anjakan Islam yang lebih terbuka.

Buku beliau, The Trouble with Islam Today yang bertajuk Harapan Untuk Islam Hari Ini dalam edisi Bahasa Melayu telah pun diterbitkan dalam 25 bahasa termasuk Bahasa Hindi, Bahasa Arab, Bahasa Urdu, Bahasa Parsi, Bahasa Perancis, Bahasa Portugis, Bahasa Sepanyol, Bahasa Itali, Bahasa Belanda, dan Bahasa Jerman. Artikel-artikel beliau berkaitan subjek ini juga telah banyak diterbitkan, selain membuat penampilan untuk khalayak-khalayak di Amnesty International, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Muslim Demokratik di Denmark, dan Royal Canadian Mounted Police. Beliau juga ke udara di rangkaian-rangkaian televisyen seluruh dunia, termasuklah Al Jazeera, CBC, BBC, MSNBC, C-SPAN, CNN, PBS, The Fox News Channel, dan The CBS Evening News.

Biografi[sunting | sunting sumber]

Irshad dilahirkan di Uganda pada 1968 oleh pasangan Muslim yang berketurunan Arab-Mesir dan India. Keluarganya berpindah ke Kanada sewaktu beliau berumur empat tahun, hasil kekangan Idi Amin terhadap keturunan Asia Selatan di Afrika. Keluarganya berhijrah ke Vancouver pada 1972 dan beliau mengikuti sekolah harian biasa sekular serta sekolah agama yang dipanggil madrassah. Irshad cemerlang dalam persekitaran sekular tersebut tetapi mendakwa disingkirkan dari sekolah agamanya kerana bertanyakan terlalu banyak pertanyaan. Untuk 20 tahun seterusnya beliau mendalami sendiri Islam di perpustakaan-perpustakaan dan melalui tutor Bahasa Arab.

Irshad memperolehi Ijazah Sejarah Idea (History of Ideas) dari Universiti British Columbia. Pada 1990, beliau dianugerahkan Pingat Perak Governor General (Governor General's Silver Medal) untuk pencapaian mahasiswa ikhtisas. Beliau berkhidmat sebagai pegawai penolong perundangan di parlimen Kanada, setiausaha pemberita kerajaan negeri Ontario dan penulis ucapan untuk pemimpin Parti New Democratic. Pada usia 24 tahun, beliau bertugas sebagai penerbit hal-ehwal dalam negeri Ottawa Citizen dan seterusnya menjadi ahli editorial termuda untuk akhbar harian Kanada. Beliau telah mengacara dan menerbitkan beberapa program berbentuk hal-ehwal masyarakat di televisyen dan memenangi Gemini, satu pengiktirafan penyiaran tertinggi di Kanada. Pada tahun 2002, beliau menjadi penulis redaksi Hart House di Universiti Toronto, di mana titik awal penulisan buku The Trouble of Islam Today dimulai. Dari tahun 2005 ke 2006 pula, Irshad merupakan felo pelawat untuk pengatur cara Pengajian Keselamatan Antarabangsa (International Security Studies) di Universiti Yale dan terkini, felo senior di European Foundation for Democracy di Brussel.

Irshad yang secara terbuka seorang homoseksual telah menjayakan segmen untuk rancangan Studio 2 di TVOntario pada pertengahan 90-an, mengetengahkan pandangan-pandangan progresif dalam debat bersama pemberita konservatif Micheal Coren. Beliau seterusnya menerbit dan mengacarakan QT: QueerTelevision untuk Citytv, lewat 90-an yang berpusat di Toronto. Antara lain program tersebut mengupas isu-isu komuniti LGBT setempat, selain penerbitan paparan kisah dan kehidupan homoseksual Muslim dalam dunia Islam.

Irshad telah dianugerahkan Anugerah Chutzpah untuk "keberanian, kelantangan dan keteguhan" beliau pada tahun pertama kuwujudan anugerah tersebut oleh Oprah Winfrey. Ms. Magazine menamakan beliau sebagai "Feminis untuk Abad ke 21" dan Immigration Equality memberi Hadiah Global Vision kepadanya. The World Economic Forum pula memilih beliau sebagai Young Global Leader. The Jakarta Post di Indonesia, sebuah negara majoriti Muslim dunia mengenalpasti Irshad Manji sebagai salah seorang dari tiga wanita Muslim yang memberi perubahan positif dalam Islam hari ini.

Irshad bersahabat dengan Salman Rushdie, seorang penulis penuh kontroversi yang menjadi subjek fatwa untuk novel garapannya yang bertajuk The Satanic Verses. Seperti Salman, Irshad tidak lepas dari pelbagai ugutan bunuh. Di dalam wawancara bersama Glenn Beck pada 13 Februari 2007 yang keudara di CNN, Irshad mengesahkan bahawa tingkap di apartmentnya dilindungi dengan cermin kalis peluru untuk perlindungan keluarganya.

Hasil kerja[sunting | sunting sumber]

Buku[sunting | sunting sumber]

Artikel[sunting | sunting sumber]

  • "What Word Comes to Mind?" di Library and Archives Canada

Buku-audio[sunting | sunting sumber]

  • Irshad Manji and Ayaan Hirsi Ali at the 92nd Street Y on The Trouble with Islam, 2006, ISBN 0312326998

Filem[sunting | sunting sumber]

  • Faith Without Fear (2007) sebuah siri dokumentari PBS terbitan Irshad Manji yang mengutarakan fahaman Islam yang ditemui dalam perjalanan beliau merentasi masyarakat Islam di Yaman, Eropah dan Amerika Utara. Juga dipaparkan, risiko-risiko yang diambil dalam kehidupan seharian beliau dalam usaha mengetengahkan anjakan dan hak asasi manusia dalam dunia Islam.

Pengharaman buku Irshad Manji Malaysia[sunting | sunting sumber]

Pada Mei 2012, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengharamkan buku tulisan Irshad Manji bertajuk 'Allah, Kebebasan dan Cinta'. Buku itu diterbitkan oleh syarikat milik Datuk Zaid Ibrahim , ZI Publication yang dikendalikan oleh anaknya, Ezra Zaid. Buku ini diterjemah dari bukunya yang bertajuk "Allah Liberty & Love - Courage To Reconcille Faith & Freedom". Buku'The Trouble With Islam Today' telah diharamkan pada 2009 [1] kerana mengandungi idealisme seperti penulis novel The Satanic Verses, Salman Rushdie.


Pada 30 Mei 2012, Ezra Zaid ditahan di bawah Seksyen 16(1)(a) atau (b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor, JAIS berhubung "kesalahan penerbitan agama yang bertentangan dengan hukum syarak”. Buku itu menghina Rasulullah SAW , menjurus kepada pluralisme dan LGBT. Buku ini menyeru kepada logik akal semata-mata dalam ijtihad dan penolakan konsep ijmak yang dikhuatiri akan menggalakkan interpretasi hukum-hukum agama yang tidak berpegang kepada nas-nas al-Quran dan hadis.[2]

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melarang Irshad mengadakan sebarang program, forum atau ceramah di Selangor, termasuk program di Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Monash, di Bandar Sunway pada 18 Mei 2012. Malah program di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) turut dibatalkan.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasa Jawi, Wan Jaafar Wan Ahmad memaklumkan bahawa serbuan ke gedung buku ZI dibuat mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan, yang meliputi penerbitan bertentangan hukum syarak. Pada 25 Mei 2012, Kementerian Dalam Negeri mengharamkan penerbitan buku tersebut kerana mengelirukan orang awam dan menyalahi syariah yang ditetapkan dalam al-Quran dan hadis. Timbalan Menteri KDN , Datuk Abu Seman Yusop menjelaskan bahawa perintah larangan itu dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984, kerana kandungannya 'boleh menggemparkan fikiran orang ramai dan memudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam.'[3]


Zaid selaku peguam mempertikaikan tindakan Jakim. Jakim sangat takut dengan idea liberalisme? Mungkin mereka fikir ia seperti komunisme. Sedangkan faham liberalisme memberi pandangan yang agak lembut mengenai agama. Berbuat baik...memaafkan, tidak hanya mengenai neraka dan hukuman. [4]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]