Amina Wadud

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pergi ke navigasi Pergi ke carian
Amina Wadud
Kelahiran (1952-09-25) 25 September 1952 (umur 69)
Bethesda, Maryland, Amerika
Pusat pendidikanUniversiti Pennsylvania
Universiti Michigan
Universiti Amerika Kaherah
Universiti Kaherah
Universiti al-Azhar
EraFalsafah abad ke-21
Kepentingan utama
Pengajian Islam, feminisme Islam, teologi, falsafah
Idea cemerlang
Wanita sebagai imam

Amina Wadud ialah seorang sarjana wanita Islam liberal dan feminis yang menumpu pada tafsiran progresif kitab suci al-Quran. Amina Wadud dilahirkan pada 25 September 1952 di Bethesda, Maryland. Wanita ini mencetuskan perhatian serta kontroversi apabila menjadi imam solat Jumaat di Virginia Commonwealth University, New York, pada 18 Mac 2005. Amina kemudian menjadi imam di Oxford, England pula pada 2008.

Latar belakang

Amina Wadud dilahirkan sebagai Mary Teasly. Bapanya merupakan seorang paderi Methodist dan ibunya pula berketurunan hamba dari Arab, Berber dan Afrika pada kurun kelapan Masehi. Beliau mengucap syahadah pada tahun 1972 sebelum mengetahui asal-usul keluarga sebelah ibu beliau.

Beliau memperoleh Sarjana Muda Sains dari Universiti Pennsylvania di antara tahun 1970 hingga 1975. Pada tahun 1988, beliau memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam Bahasa Arab dan Pengajian Islam dari Universiti Michigan. Semasa pengajian ijazah beliau mempelajari Bahasa Arab peringkat lanjutan di Universiti Amerika, dan Pengajian Qur'an dan Tafsir di Universiti Kaherah, dan juga kursus dalam Falsafah di Universiti Al-Azhar (semua universiti tersebut terletak di Kaherah, Mesir).

Kerjaya

Kepakaran Amina termasuk kajian jantina dan Quran.

Dari 1989 hingga 1992, beliau bekerja sebagai pembantu profesor dalam Kajian Quran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Semasa di sana, beliau menerbitkan disertasinya bertajuk Qur'an and Woman: Rereading the Sacred Text from a Woman's Perspective (Qur'an dan Wanita: Pentafsiran Kembali Ayat-Ayat Suci dari Kaca Mata Wanita). Beliau juga menjadi pengasas bersama pertubuhan bukan untung Sisters in Islam.[1] Buku ini masih digunakan oleh SIS sebagai teks asas untuk aktivis dan ahli akademik dalam kajian jantina dan Islam,[2] tetapi diharamkan di Emiriah Arab Bersatu.

Pada 1992, beliau menerima jawatan menjadi Profesor Madya Pengajian Islam di Universiti Commonwealth Virginia (Virginia Commonwealth University) di Richmond, Virginia, Amerika Syarikat. Beliau bersara pada 2008 dan menjadi profesor pelawat di Pusat Kajian Agama dan Rentas Budaya di Universiti Gadjah Mada di Yogyakarta, Indonesia.

Beliau nuga membuat sering membuat syarahan di universiti dan perhimpunan di Amerika Syarikat, Jordan, Afrika Selatan, Nigeria, Kenya, Pakistan, Indonesia, Kanada, Norway, Belanda, Bosnia-Herzegovina, Sepanyol, dan Malaysia.

Buku terbaru beliau, Inside the Gender Jihad: Women's Reform in Islam, diterbitkan pada tahun 2006. Di dalamnya beliau bukan sahaja menganalisa al-Qur'an tetapi juga menceritakan pengalaman beliau sebagai seorang Islam, isteri, emak, kakak, cendekiawan dan aktivis.

Amina Wadud secara terbuka mengatakan beliau tidak bersetuju dengan beberapa ayat Al-Quran, terutamanya yang berkenaan memotong tangan pencuri kerana percaya memotong tangan merupakan perbuatan kasar (brutal behavior). Beliau juga menolak beberapa hukuman lain yang terdapat dalam Al-Quran.[3] Amina Wadud menganjurkan empat kaedah baru menafsir Al-Quran, iaitu 1) Pembacaan harafiah teks Al-Quran, 2) Hujah (legalistic) yang mengekang bagaimana ayat itu diguna pakai, 3) Tafsiran semula dari sudut pandangan sebaliknya (baru) , dan 4) Menolak Al-Qur'an apabila seseorang tidak bersetuju dengannya.[4] [5]

Imam wanita untuk Solat Jumaat

Amina Wadud menjadi subjek hangat di dalam perbincangan undang-undang Islam apabila beliau menjadi imam untuk Solat Jumaat kepada 100 orang lelaki dan perempuan di Gereja Besar Keuskupan St. John the Divine di New York pada 18 Mac 2005. Tindakan beliau ini memecah tradisi Islam bahawa hanya lelaki boleh menjadi imam dalam solat lebih-lebih lagi bagi Solat Jumaat (wanita dibenarkan menjadi imam untuk makmum yang terdiri dari kalangan wanita).

Sebelum itu, tiga buah masjid menolak untuk dijadikan tempat bagi acara tersebut dan sebuah muzium yang pada mulanya bersetuju menarik diri akibat dari ancaman bom.

Amina Wadud bukan pertama kali mencetuskan kontroversi. Pada Ogos 1994, beliau pernah menyampaikan Khutbah Jumaat bertajuk Islam as Engaged Surrender [6] di Masjid Claremont Main Road di Cape Town, Afrika Selatan. Akibat dari perbuatan beliau tersebut, terdapat usaha-usaha untuk menyingkirkan beliau dari Universiti Commonwealth Virginia.

Di sebalik bantahan dan kritikan majoriti masyarakat Islam terhadap tindakan Amina Wadud, beliau masih menerima jemputan untuk bercakap dan menjadi imam untuk Solat Jumaat. Pada 28 Oktober 2005, beliau menjadi imam kepada lebih kurang 30 orang setelah menyampaikan syarahan di International Congress on Islamic Feminism (Kongress Antarabangsa Feminisme Islam) di Barcelona, Sepanyol.

Majoriti masyarakat Islam menolak sama sekali wanita sebagai imam untuk solat Jumaat dan solat lain yang makmumnya terdiri daripada laki-laki.

Hasil kerja

Buku

  • Qur'an and Woman: Rereading the Sacred Text from a Woman's Perspective, 1999, ISBN 0195128362
  • Inside the Gender Jihad: Women's Reform in Islam, 2006, ISBN 1851684638

Lihat juga

Nota kaki

  1. ^ New Straits Times - The day I met Amina Wadud Diarkibkan 2018-08-16 di Wayback Machine oleh Siti Nurbaiyah Nadzmi
  2. ^ "Arabian Woman - A wake-up call". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-10-11. Dicapai pada 2015-12-24.
  3. ^ http://www.mail-archive.com/islamcity@yahoogroups.com/msg01777.html
  4. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-04-24. Dicapai pada 2008-02-28.
  5. ^ http://www.pbs.org/wgbh/pages/frontline/shows/muslims/interviews/wadud.html
  6. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2004-09-28. Dicapai pada 2004-09-28.

Pautan luar