Joget Tari Lenggang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Joget Pahang)
Jump to navigation Jump to search

"Joget Tari Lenggang", juga dikenali sebagai "Joget Pahang", ialah sebuah lagu rakyat tradisional gubahan Tan Sri P. Ramlee, khusus untuk filem Hang Tuah (1956) yang dibintangi oleh P. Ramlee sendiri, yang mana watak beliau iaitu Hang Tuah menyanyikan lagu ini dalam adegan tari-menari dalam istana. Semenjak itu, lagu ini dirakam semula oleh ramai seniman tanahair.

Maklumat am[sunting | sunting sumber]

"Joget Tari Lenggang" ditakrifkan sebagai sebuah lagu berirama tradisional Melayu yang didendangkan dengan rancak, diisi dengan lirik tulisan Dato' Jamil Sulong yang menampakkan ciri-ciri pengulangan dalam setiap rangkap, dan secara harfiahnya menceritakan seorang pedagang yang merantau dari Melaka ke negeri Pahang dengan membawa buah berangan yang dibeli di Johor, mengharapkan sambutan mesra dari para penduduk negeri Pahang, serta memuji kedamaian negeri Pahang yang dikunjunginya.

Lagu ini dinyanyikan secara duet oleh P. Ramlee dan Jasni (pinjamkan suaranya kepada Mustafa Maarof) dalam filem Hang Tuah, P. Ramlee merakam semula lagu ini bersama Saloma untuk keluaran piring hitam dengan tajuk "Joget Pahang". Selain P. Ramlee, lagu ini turut dirakam oleh ramai seniman dalam album masing-masing, termasuk Datuk Ahmad Jais, Siti Nurhaliza (sebagai single) dan kumpulan Amuk (dalam bentuk heavy metal).

Kekeliruan antara Johor dan Johol[sunting | sunting sumber]

Terdapat pertikaian antara Johor dan Johol pada baris kedua rangkap kedua iaitu "Singgah di Johor Beli Berangan" akibat tiada salinan rasmi lirik asal tersebut untuk rujukan awam.

Pertikaian ini muncul atas sebab bahawa Johol lebih masuk akal kerana Johol terletak di Negeri Sembilan dan lebih masuk akal untuk melalui Johol untuk ke Pahang dari Melaka.

Walau bagaimanapun, menurut anak kepada penulis lirik ini iaitu Anwardi Datuk Jamil, dia tahu memang maksud bapanya ialah Johor kerana ia kisah tentang Hang Tuah yang pergi ke Pahang untuk membawa balik Tun Teja. Pada abad ke-16, Johol masih dipanggil Sungei Keroh. Hanya apabila Undang Johol wujud setelah kejatuhan kerajaan Malaka, barulah kawasan tersebut dipanggil Johol secara rasmi. Jadi, Johol tidak wujud pada zaman Hang Tuah.[1]

Beliau turut menyatakan bahawa laluan yang dilalui oleh Hang Tuah bukannya ibarat "Lebuhraya Karak" yang perlu dilalui oleh orang Melaka untuk ke Pahang iaitu Hang Tuah pergi pergi ke Utara terlebih dahulu, kemudian Timur untuk masuk ke Pahang.

Dalam pada masa yang sama, Johor yang dimaksudkan dalah wilayah negeri bukan bandar seperti Johor Lama atau Johor Baru. Ia adalah wilayah yang mempersempadankan kota Melaka. Beliau menjelaskan bahawa pada waktu itu, jika seseorang cukup dungu untuk untuk cuba ke Pahang menggunakan jalan darat, seseorang itu akan perlu masuk Johor dahulu ke arah pantai Pekan dan kemudian ke arah Timur ke Kuantan atau Inderapura. Melalui 'jalan Johol' ke laluan Kuantan ibarat suatu kerja yang gila kerana seseorang perlu memanjat kawasan bergunung sebelum sampai ke Pahang. Walaupun menggunakan Jalan Penarikan, sesebuah kenderaan itu tetap perlu singgah ke Johor untuk memasuki muara Sungai Muar untuk memudiknya.[1]

Akhir sekali, beliau menambah bahawa jika diselusuri Hikayat Hang Tuah, dinyatakan bahawa Hang Tuah ke Pahang menggunakan jalan laut, melalui Selat Johor dan kemudian ke Laut China Selatan untuk ke Pahang. Jadi pergi ke Johol menggunakan kapal pasti sukar.

Lirik Joget Tari Lenggang[sunting | sunting sumber]

Joget Tari Lenggang

Melenggang
Hai Melenggang Dengan Tari Lenggang,
Kalau Baik Hati Nanti Orang Pun Sayang
(Ulang 2X Chorus),

Dari Melaka ke Negeri Pahang (2X)
Singgah di Johor Beli Berangan (2X),
Kami Ucapkan Selamatlah Datang (2X)
Apa Yang Kurang Dicaci Jangan (2X),

(Ulang 2X Chorus),

Pukullah Gendang Hai Kulit Kerbau (2X)
Dalam Majlis Tari Menari, (2X)
Sayalah Ini Bang Hoi Dagang Merantau (2X)
Mengharap Belas Orang Disini (2X)

(Ulang 2X Chorus),

Negeri Pahang Aman Sentosa (2X)
Kaya Dengan Tumbuh-Tumbuhan, (2X)
Niat di Hati Nak Buatlah Jasa (2X)
Mudah-Mudahan Tuhan Kabulkan (2X)

(Ulang 2X Chorus),

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b "Jawapan Daripada Anak Penulis Lirik". Dicapai 5 Disember 2018. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]