Kami (filem)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Rencana ini ialah mengenai filem Kami yang dikeluarkan pada tahun 1982. Untuk filem 2008, sila lihat KAMI The Movie.
Kami
Kami poster.jpg
Poster DVD Kami
Pengarah Patrick Yeoh
Penerbit Zain dan Zaharan
Aziz Sattar (eksekutif)
Penulis Patrick Yeoh
Dibintangi oleh Sudirman Haji Arshad
Zul Zamrin Zamanhuri
Osman Zailani
Ho Kwee Leng
Muzik oleh Kassim Masdor
Sinematografi Aziz Yusof
Disunting oleh Salehan Shamsuddin
Pengedar Indra Filem Productions & Distributions Sdn. Bhd.
Mula ditayangkan
17 Mei 1982
Tempoh tayangan
100 Minit
Negara  Malaysia
Bahasa Bahasa Melayu

Kami (digayakan dalam filem sebagai KAMi) merupakan sebuah filem cereka drama Malaysia 1982 terbitan Indra Filem Productions & Distributions Sdn. Bhd. Filem ini ditayangkan pada 17 Mei 1982 dan diklasifikasikan sebagai tayangan umum.[1]

Filem ini telah diarahkan oleh Patrick Yeoh dan diterbitkan oleh dua orang pemilik syarikat penerbitan filem tersebut iaitu Zain & Zaharan. Patrick Yeoh adalah salah satu pengarah bukan Melayu yang pertama mengarah filem Melayu, dan juga filem ini adalah filem pertama arahannya, sejak beberapa dekad lalu. Filem ini menampilkan unsur-unsur kemanusiaan dan kehidupan sebenar mereka yang miskin dan melarat di ibu kota, Kuala Lumpur.

Filem ini menarik perhatian kerana ia satu-satunya filem lakonan Sudirman Haji Arshad (Allahyarham Dato') sepanjang kariernya sebagai penyanyi dan penghibur terkenal. Walaupun filem ini menampilkan penghibur terkenal, Sudirman pada masa itu masih diawal kariernya dan sambutan filem ini dikatakan agak hambar kerana filem ini mempunyai jalan cerita dan persembahan yang lain daripada yang sedia ada pada masa itu.

Sinopsis[sunting | sunting sumber]

Filem ini mengisahkan dua orang yang masih mentah usianya, Tookoo dan Din, yang melarikan diri daripada rumah penjaga mereka untuk mencari kebebasan dan rezeki di bandar.

Pada mulanya, mereka bukanlah rakan sekampung dan mempunyai negeri masing-masing sehinggalah mereka bertemu dalam satu peristiwa dimana Din meredah hujan seorang diri untuk menuju ke rumah banglo tinggalan yang terlebih dahulu dihuni oleh Tookoo. Din, yang ingin bersama dengan Tookoo, tidak disenangi Tookoo pada mulanya sehinggalah menerima Din sebagai sahabatnya.

Mengikut perjalanan filem ini, Tookoo menyimpan hasrat untuk menjadi seorang bintang penyanyi dan menceritakan impiannya kepada Din. Tookoo dengan hanya belajar setakat darjah enam dan Din yang masih budak, mereka hidup begitu melarat dan sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan termasuk mencuci kereta dan mengutip sampah untuk dijual di kilang kitar semula semata-mata untuk mencari sesuap rezeki. Mereka hanya mampu tinggal dirumah kosong dengan beralaskan kertas kotak sebagai tempat tidur.

Persahabatan mereka begitu akrab dan ianya dibuktikan iaitu pada satu-satu plot, mereka sama-sama diugut dan dipukul oleh penebas-penebas laman rumah, babak Din mengejar Tookoo yang dibawa sehingga ke Balai Polis atas kerana kesilapan penangkapan penjenayah, dan kesungguhan Tookoo dalam membantu Din supaya pulih akibat dilanggar kereta. Babak-babak inilah yang dikatakan menyentuh perasaan para penonton filem ini.

Pelakon[sunting | sunting sumber]

Tookoo mengajar Din untuk menulis
Tookoo dan Din di sebuah warung
  • Sudirman Haji Arshad (Allahyarham Dato') sebagai Tookoo — Tookoo, atau nama sebenarnya Salleh, adalah anak kepada seorang pemandu lori dan mempunyai seorang ibu tiri yang dikatakan membenci Tookoo dan selalu memarahi Tookoo. Tookoo pula tidak menyenangi dengan sikap ibu tirinya itu yang suka mengherdiknya. Dia yang memasang impian untuk menjadi penyanyi, nekad untuk lari dari rumah kerana menginginkan kebebasan dan tidak tahan dengan karenah ibu tirinya, dan cuba untuk mencari rezeki di bandar dengan hasil usahanya sendiri. Tookoo yang kadang kalanya dilihat sebagai kasar dan suka memberontak, turut mempunyai jiwa seorang sahabat yang setia dan penyayang, terutama pada Din yang satu-satunya rakan baik Tookoo.
  • Zul Zamrin Zamanhuri[2] sebagai Din — Din, berusia 12 tahun, adalah seorang anak yang ditinggalkan oleh ibubapanya dan tinggal bersama dengan makciknya yang garang. Dia juga turut melarikan diri kerana tidak tahan akan seksa penderaan makciknya. Din yang merayau ke kota, semata-mata untuk mencari ibu kandungnya, hanya memandang kemewahan dan kegembiraan para penghuni kota itu tanpa mendapat belas ihsan. Sehingga dia bertemu Tookoo, dia hanya mengharapkan Tookoo untuk menemani dan menjadi sahabatnya. Pada satu masa, dia menganggap Tookoo sebagai abangnya dan sentiasa mengikuti Tookoo dalam mencari sesuap rezeki demi kelangsungan hidup mereka di kota.
  • Osman Zailani sebagai Ayah Tookoo — Seorang pemandu lori yang menyayangi Tookoo, tetapi dikatakan kurang tegas dalam mendidik isteri dan anaknya. Dia yang kehilangan isteri lamanya dan juga ibu kandung Tookoo, dilihat berat hati untuk membenarkan Tookoo untuk ke ibu kota menasihati Tookoo agar tinggal bersamanya dan patuh dengan cakap isteri barunya, tetapi Tookoo enggan. Melihat sikapnya yang menyebelahi isterinya menyebabkan Tookoo sering diherdik dan dihukum oleh isterinya tanpa melarang.
  • Ho Kwee Leng sebagai Beena, tbu tiri Tookoo — Seorang ibu baru, yang menggantikan isteri pertama Ayah Tookoo yang meninggal dunia, yang dikatakan membenci Tookoo. Dia sentiasa memarahi dan mengherdik Tookoo, dan sentiasa menghalau Tookoo bermalam diluar rumah apabila Tookoo melawannya.
  • Ibrahim Din sebagai Mamak
  • Shariff Babu sebagai Pak Du
  • Azmi Mohamad sebagai Abang Husin
  • Azizah Muslim
  • Norhayati Yaacob
  • Param Andhi
  • Balakrishnan Andhi
  • Ganesh Munusamy

Penerbitan[sunting | sunting sumber]

Sebelum penggambaran filem ini, Patrick Yeoh telah melengkapkan sebuah skrip untuk filem ini dan dicadangkan oleh pihak penerbit supaya ianya dialihbahasakan kepada Bahasa Melayu. Ini kerana pada asalnya, skrip ini adalah dalam Bahasa Inggeris.

Sudirman telah mengambil tanggungjawab untuk menterjemah keseluruhan skrip itu (ditunjukkan dalam kredit filem; Sudirman sebagai penterjemah katabual) tetapi beliau berhasrat untuk menterjemahkannya bersama dengan loghat Pahang. Hasilnya, filem ini mengandungi beberapa unsur loghat tersebut. Kuswadinata dan A. Galak berkhidmat sebagai pengolah cerita dan Aziz Sattar sebagai penerbit eksekutif.

Muzik[sunting | sunting sumber]

Kassim Masdor telah bertindak sebagai Pengarah Muzik bagi filem ini dan terdapat tiga buah lagu yang digunakan di dalam filem ini iaitu:

  • "Budak Baru" (Komposer: Fauzi Marzuki / Lirik: Sudirman)
  • "Pelangi Petang" (Komposer: Kassim Masdor / Lirik: Sudirman)
  • "Kesepian" (Komposer: Kassim Masdor / Lirik: Sudirman)

Kesemua muzik disusun oleh Kassim Masdor dan Ahmad Shariff.

Sambutan dan pencapaian[sunting | sunting sumber]

Sambutan filem ini dikatakan agak hambar disebabkan filem ini bukanlah filem yang biasa ditonton oleh masyarakat Malaysia pada waktu itu yang menerima filem-filem percintaan ala Hindustan. Filem ini menampilkan unsur-unsur kemanusiaan dan gambaran perjalanan hidup mereka yang melarat, dan unsur-unsur ini dikatakan masih baru dalam industri perfileman pada masa itu. Filem ini juga adalah salah satu eksperimen atau percubaan yang cuba ditampilkan oleh syarikat penerbitan ke dalam pasaran filem Malaysia pada zaman 1980-an.

Kepelbagaian watak yang dimainkan dalam kebanyakan babak juga dikatakan kurang, walaupun menampilkan pelakon-pelakon seperti Osman Zailani dan Ibrahim Din yang hanya memegang Pelakon Pembantu yang muncul dalam satu babak sahaja dan hanya Pelakon Utama, Tookoo dan Din sahaja yang menghiasi setiap babak. Sudirman dan Zul Zamrin Zamanhuri pula masih baru dalam bidang perfileman dan filem ini adalah filem yang pertama dan terakhir sepanjang hidup mereka, dan ini juga boleh menjadi faktor sambutan filem ini.

Isu sambutan filem ini juga menghiasi tajuk-tajuk akhbar pada masa itu. Walaubagaimanapun, terdapat juga ulasan-ulasan akhbar daripada para pengkritik yang positif terhadap filem ini dan telah mendapat tiga daripada empat undian sebagai filem terbaik tahun 1983.

Melalui filem ini juga, Zul Zamrin Zamanhuri telah mendapat Anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik di Pesta Filem Malaysia ke-3 pada tahun 1982.[3] Sharif Babu dan Ho Kwee Leng masing-masing dicalonkan untuk kategori Pelakon Pembantu Lelaki & Wanita Terbaik menerusi lakonan berkesan masing-masing.

Filem ini juga telah mencipta sejarah sebagai filem Melayu yang berjaya menembusi tayangan di Pawagam Federal, iaitu pawagam yang hanya menerima filem-filem asing untuk para penonton.

Tayangan media[sunting | sunting sumber]

Radio Televisyen Malaysia (RTM) menayangkan semula filem Kami pada 22 Mei 2009 jam 12.30 tengah hari di Sinema Jumaat @ 2 di TV2.[4] Filem ini juga bersiaran di Astro Citra.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Sinema Malaysia - Filem Kami
  2. ^ 'DIN' MASIH TERINGAT NOSTALGIA FILEM KAMI MyArtis. 22 Februari 2012.
  3. ^ Sinema Malaysia - Pesta Filem Malaysia ke-3
  4. ^ Budiey (18 Mei 2009). Filem Kami Lakonan Allahyarham Sudirman di TV2 Sensasi Selebriti. Dicapai pada 20 Februari 2017.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]