Momochi Zabuza

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Momochi Zabuza oleh Masashi Kishimoto

Momochi Zabuza (桃地再不斬, Zabuza Momochi) ialah watak fiksyen dalam siri anime dan manga Naruto.

Zabuza, apabila diterjemah daripada perkataan kanji bermaksud "tidak pernah memotong sebanyak dua kali", bersesuaian dengan kemahirannya membunuh musuhnya dengan hanya satu serangan.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Zabuza dilahirkan di Kirigakure (Kampung Kabus) dan dikenali sejak kecil lagi sebagai '霧隠れの鬼人, Kirigakure no Kijin' (Syaitan dari Kabus Tersembunyi). Zabuza digelar sedemikian kerana telah membunuh semua pelajar Akademi yang lulus seorang diri. Kejadian ini menyebabkan Kampung Kabus menhentikan tradisi memaksa para pelajar saling membunuh untuk lulus dalam Ujian Genin. Zabuza kemudiannya menjadi salah seorang daripada '霧の忍刀七人衆, Kiri no Shinobigatana Nananin Shu' (Tujuh Pemain Pedang Shinobi dari Kabus). Zabuza juga menjadi anggota ANBU Kirigakure dan mengasah kemahirannya sebagai ninja sepanjang kerjayanya sebagai ninja elit.

Beberapa ketika selepas itu, Zabuza menemui seorang budak lelaki bernama Haku yang sedang merayau-rayau di pinggir kampung dan bercadang untuk mengambilnya sebagai 'alatan'nya. Haku menerima tawaran Zabuza dan menjadi pengikutnya yang setia. Mulai hari itu, Haku belajar taktik pertempuran ninja daripada Zabuza dan berusaha untuk melindunginya pada bila-bila masa. Zabuza cuba menyerang dan menguasai Tanah Air dengan menyerang Mizukage (Kage bagi Kampung Kabus) tetapi rancangannya gagal. Maka, Zabuza dan pasukannya terpaksa melarikan diri. Kirigakure menghantar pasukan ANBU untuk membunuh Zabuza tetapi dia sentiasa berjaya mengelakkan diri daripada dijejaki oleh mereka. Untuk memperoleh wang yang cukup bagi menampung kos peperangan kedua yang dirancangnya, Zabuza menjadi pembunuh upahan.

Sebagai ninja dari Kampung Kabus, Zabuza mahir mengendalikan jurus berelemen air. Dengan menggunakan 'Kirigakure no Jutsu, 霧隠れの術' (Jurus Penyelindungan Kabus), Zabuza dapat mengaburkan penglihatan pihak lawan dan menyerangnya berdasarkan bunyi yang dibuat oleh lawan.

Zabuza tidak mempunyai bulu kening. Tetapi, Zabuza telah dilukis dengan kening beberapa kali dalam siri anime.

Babak Negara Ombak[sunting | sunting sumber]

Zabuza diupah oleh Gato untuk membunuh seorang pembina jambatan, Tazuna. Maka, dia menghantar dua orang pengikutnya untuk menyelesaikan tugas tersebut. Tetapi, apabila mereka berdua berjaya ditewaskan oleh pengawal Tazuna, Zabuza berkeputusan untuk melaksanakan misi ini sendiri. Setelah mengetahui bahawa Hatake Kakashi dan pelajar-pelajarnya sedang melindungi Tazuna, Zabuza mencabar Kakashi untuk bertarung dengannya.

Apabila pertarungan bermula, Zabuza berjaya memerangkap Kakashi dengan 'Suirō no Jutsu, 水牢の術' (Jurus Penjara Air). Oleh sebab Zabuza perlu berada berhampiran dengan Kakashi untuk membolehkan jurus ini berfungsi, Zabuza menghasilkan klon air untuk membunuh Tazuna dan pelajar-pelajar Kakashi. Tetapi, Uzumaki Naruto dapat menyerang hendap Zabuza dengan menyamar sebagai shuriken lalu membebaskan Kakashi daripada jurus Zabuza. Kakashi menyambung semula pertarungannya dengan Zabuza. Dengan menggunakan Sharingan, Kakashi meniru 'Suiton: Daibakufu no Jutsu, 水遁・大瀑布の術' (Elemen Air: Jurus Air Terjun Mega) yang akan digunakan oleh Zabuza.

Sejurus sebelum Kakashi membunuh Zabuza, Haku yang menyamar sebagai ninja pemburu menikam leher Zabuza dengan dua patah jarum. Haku kemudiannya melarikan badan Zabuza dan merawat kecederaannya selepas Zabuza menyedarkan diri. Tetapi, Zabuza perlu berehat selama seminggu dan selepas itu, dia merancang untuk membunuh Kakashi dan Tazuna.

Seminggu kemudian, Zabuza dan Haku muncul semula di hadapan Pasukan 7. Zabuza bertarung dengan Kakashi manakala Haku berdepan dengan pelajar-pelajarnya. Zabuza telah membuat persiapan awal bagi mengatasi Sharingan. Dia menyelubungkan medan pertarungan dengan kabus yang tebal. Kakashi yang tidak berupaya melihat tindak-tanduk Zabuza berjaya dilukakan oleh pedang Zabuza. Tetapi, Kakashi sebenarnya berniat untuk dicederakan oleh Zabuza. Kakashi menyeru anjing ninjanya dan mengarahkan mereka menjejaki Zabuza berdasarkan bau darah Kakashi pada pedang Zabuza. Anjing-anjing tersebut berjaya membuat demikian dan menyerang Zabuza sekaligus mengunci pergerakannya. Kakashi membuat persediaan untuk membunuh Zabuza dengan Chidori.

Sebelum Chidori sempat mengenai dada Zabuza, Haku masuk campur dan mengorbankan dirinya dengan menerima Chidori untuk menyelamatkan nyawa tuannya. Zabuza tidak mahu pengorbanan Haku disia-siakan. Maka, dia cuba menikam Kakashi menerusi mayat Haku. Kakashi berjaya mengelak dan kemudiannya menikam kedua-dua tangan Zabuza. Pada ketika itu, Gato muncul di tempat kejadian dan merasakan misi ini mengambil masa yang terlalu panjang. Oleh itu, Gato mahu membunuh Zabuza dengan bantuan pengikut-pengikut peribadinya.

Zabuza tidak lagi mempunyai sebab untuk membunuh Tazuna dan menamatkan pertarungannya dengan Kakashi. Naruto menengking Zabuza kerana tidak berasa kesal atas kematian Haku yang sanggup mati demi tuannya. Zabuza, dalam linangan air mata, mengaku bahawa dia telah menganggap Haku lebih daripada 'alatan' semata-mata dan amat menghargai kehadirannya. Untuk menebus segala perbuatan zalimnya, Zabuza menggigit kunai Naruto dan cuba membunuh Gato. Tetapi, dia sendiri telah ditikam beberapa kali oleh para pengikut Gato. Selepas menolak Gato jatuh dari jambatan, Zabuza rebah. Pengikut-pengikut di sana melarikan diri. Zabuza kemudiannya meminta Kakashi untuk meletakkannya di sebelah Haku; Zabuza mahu menemani Haku sebagaimana Haku sentiasa berada di sampingnya. Zabuza meluahkan hasratnya untuk ke tempat yang akan dituju oleh Haku selepas ini sebelum menghembuskan nafas terakhir. Kakashi percaya bahawa mereka berdua akan bersua semula di tempat tersebut.


Sumber[sunting | sunting sumber]

  • Buku Data Rasmi Pertama (秘伝・臨の書キャラクターオフィシャルデータBOOK, Buku Watak Rasmi)
  • Buku Data Rasmi Kedua (秘伝・闘の書キャラクターオフィシャルデータBOOK, Hiden: Tō no Sho Character Buku Watak Rasmi)
  • Buku Data Mini Hero Jump ke-2 (秘伝・翔の書オフィシャルキャラクターデータBOOK mini, Hiden: Shō no Sho Buku data mini rasmi)
  • Buku panduan anime dan manga Naruto (秘伝・翔の書オフィシャルキャラクターデータBOOK mini, Hiden: Shō no Sho Buku data mini rasmi)
  • Diambil secara terus daripada babak manga dan episod anime Naruto.