Penyakit kaki dan mulut

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Penyakit kaki dan mulut
Pengelasan dan sumber luaran
Lepuh mulut yang pecah dalam lembu.
ICD-10B08.8 (ILDS B08.820)
ICD-9078.4
P. Data Penyakit31707
MeSHD005536
Wikipedia tidak memberikan nasihat perubatan Penafian perubatan

Penyakit kaki dan mulut atau penyakit kuku dan mulut (Aphthae epizooticae) merupakan penyakit virus berjangkit dan kadang-kadang membawa maut yang menjejaskan haiwan bertelapuk berbelah, termasuklah rumpun lembu.[1][2] Virus ini menyebabkan demam panas selama dua ke tiga hari, diikuti dengan lepuh-lepuh di dalam mulut dan pada kaki yang mungkin pecah dan menyebabkan ketempangan.

Penyakit kaki dan mulut mendatangkan padah yang besar bagi penternakan kerana ia amat berjangkit dan tersebar oleh haiwan berjangkit melalui aerosol ataupun persentuhan dengan kelengkapan penternakan, kenderaan, pakaian atau pakan yang tercemar, ataupun oleh pemangsa yang jinak mahupun liar.[3] Pembendungannya menuntut usaha yang menyeluruh dalam pemvaksinan, pengawalseliaan ketat, sekatan perdagangan, dan kuarantine, dan adakalanya membunuh haiwan tersebut.

Antara haiwan yang terdedah adalah lembu, kerbau, biri-biri, kambing, babi,[4][5] antelop, rusa, dan bison. Ia juga diketahui menjangkiti hedgehog dan gajah;[3][6] llama dan alpaka mungkin mendapat simptom-simptom ringan tetapi tahan penyakit ini dan tidak menyebarkannya kepada lain-lain yang sama spesies.[3] Dalam eksperimen makmal, tikus dan ayam berjaya dijangkiti secara artifisial tetapi dipercayai tidak menghidap penyakit ini secara semula jadi.[3] Manusia jarang sekali dijangkiti.

Virus yang menyebabkan penyakit ini merupakan pikornavirus, iaitu ahli prototaip bagi genus Aphthovirus. Jangkitan berlaku apabila zarah virus dibawa ke dalam sel perumah. Kemudian sel itu dipaksa menghasilkan ribuan salinan virus itu hingga ia akhirnya pecah dan melepaskan zarah-zarah baru ke dalam darag. Virus ini sangat banyak ragamnya dari segi genetik,[7] maka terhadnya keberkesanan vaksin.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Punca penyakit kaki dan mulut mula-mula didapati sebagai virus pada tahun 1897 oleh Friedrich Loeffler. Beliau menyalurkan darah seekor haiwan terjangkit melalui turas Chamberland lalu mendapati bahawa cecair yang terkumpul masih boleh menyebabkan penyakit dalam haiwan yanf sihat.

Penyakit kaki dan mulut berlaku di seluruh dunia. Sungguhpun sesetengah negara sudah sekian lama bebas daripada penyakit ini, namun begitu banyak jenis haiwan perumahnya dan betapa cepatnya ia merebak masih merisaukan di peringkat antarabangsa. Setelah Perang Dunia Kedua, penyakit itu tersebar luas ke seluruh dunia. Pada 1996, antara kawasan endemik termasuk Asia, Afrika, dan sesetengah kawasan di Amerika Selatan; setakat Ogos 2007, Chile diisytiharkan bebas daripada penyakit ini,[8] manakala Uruguay dan Argentina tidak pernah mengalami wabaknya semenjak 2001. Pada Mei 2014, FAO memaklumkan bahawa Bolivia, Colombia, Ecuador dan Peru sudah hampir selesai membasmi penyakit ini;[9] Amerika Utara dan Australia sudah banyak tahun bebas daripada penyakit kaki dan mulut. New Zealand tidak pernah melaporkan penyakit kaki dan mulut.[10] Kebanyakan negara Eropah sudah diiktiraf sebagai bebas daripada penyakit ini, maka negara-negara anggota Kesatuan Eropah sudah memberhentikan pemvaksinan untuk penyakit kaki dan mulut.

Tanda-tanda klinikal[sunting | sunting sumber]

Lepuh-lepuh pecah pada kaki babi

Tempoh pengeraman virus penyakit kaki dan mulut adalah antara dua ke 12 hari.[11][12] Penyakit ini dicirikan oleh demam panas yang cepat reda selepas dua ke tiga hari, lepuh-lepuh di dalam mulut yang menyebabkan air liur berlendir atau berbuih yang berlebihan serta meleleh, dan lepuh-lepuh pada kaki yang mungkin pecah dan menyebabkan pesakit menjadi tempang.[4] Haiwan dewasa mungkin banyak susut berat badan yang tidak akan pulih selama berbulan-bulan, dan juga bengkak pada testikel jantan, sementara penghasilan susu oleh betina turut merosot dengan mendadak. Biarpun kebanyakan haiwan ini akhirnya pulih, tetapi penyakit ini boleh menyebabkan miokarditis [13] (keradangan otot jantung) dan kematian, terutamanya pada anak baru lahir. Sesetengah haiwan terjangkit langsung tidak menunjukkan sebarang gejala tetapi tetap membawa dan menyebarkan penyakit kaki dan mulut kepada haiwan lain.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ doi:10.1111/j.1865-1682.2011.01204.x
    Petikan ini akan disiapkan secara automatik dalam beberapa minit. Anda boleh memotong barisan atau mengembangkannya sendiri
  2. ^ doi:10.1111/j.1865-1682.2011.01236.x
    Petikan ini akan disiapkan secara automatik dalam beberapa minit. Anda boleh memotong barisan atau mengembangkannya sendiri
  3. ^ a b c d Canadian Food Inspection Agency - Animal Products - Foot-and-Mouth Disease Hazard Specific Plan[pautan putus]
  4. ^ a b http://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S0034528814000332
  5. ^ http://www.plosone.org/article/info%3Adoi%2F10.1371%2Fjournal.pone.0106859
  6. ^ J. D. McLauchlan, W. M. Henderson 'The Occurrence of Foot-and-Mouth Disease in the Hedgehog under Natural Conditions', The Journal of Hygiene, Vol. 45, No. 4 (Dec., 1947), pp. 474-479
  7. ^ Martinez-Salas E, Saiz M, Sobrino F (2008). "Foot-and-Mouth Disease Virus". Animal Viruses: Molecular Biology. Caister Academic Press. m/s. 1–38. ISBN 978-1-904455-22-6. 
  8. ^ "Foot and Mouth Disease" (PDF). Washington State Department of Health. March 2002. Diarkibkan daripada asal (PDF) pada 2007-07-10. Dicapai 2007-08-05. 
  9. ^ [1]
  10. ^ "official government press release, New Zealand's Freedom From Foot-And-Mouth Disease, Biosecurity New Zealand". Biosecurity.govt.nz. Dicapai 2011-01-15. 
  11. ^ http://vet.sagepub.com/content/47/6/1048.long
  12. ^ "Foot-and-Mouth Symptom Guide". Farmers Weekly. 2007-08-04. Dicapai 2007-08-06. 
  13. ^ http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4105858/pdf/s13028-014-0042-6.pdf