Ross Ariffin

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Ross Ariffin
Nama lahirRoslan Ariffin bin Jamil
Kelahiran (1962-05-28) 28 Mei 1962 (umur 61)
Klebang, Melaka, Persekutuan Tanah Melayu (kini Malaysia)
GenrePop
PekerjaanKomposer, penerbit rakaman
InstrumenKeyboard
Tahun aktif1982–kini

Roslan Ariffin Jamil (lahir 28 Mei 1962) ialah seorang komposer dan penerbit rakaman Malaysia.[1] Lagu-lagu ciptaan beliau telah dipersembahkan oleh ramai penyanyi terkenal Malaysia seperti Siti Nurhaliza, Fauziah Latiff dan Ning Baizura.[2][3] Beliau telah menerima banyak anugerah bagi hasil kerjanya, antaranya termasuk Anugerah Industri Muzik dan Anugerah Juara Lagu.

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Sekembalinya ke Malaysia pada tahun 1982, Ross menyertai barisan pemikir industri muzik tempatan dengan memenangi anugerah muzik pertamanya daripada empat anugerah muzik di Golden Kite World Song Festival anjuran Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik (ABU) menerusi lagu ciptaannya, "Semalam Ku Tolak Ke Tepi" yang dipersembahkan oleh Liza Aziz dan mewakili negara di pertandingan peringkat dunia yang diadakan di Kuala Lumpur.[4][5] Antara lagu ciptaan Ross termasuk "Dia" oleh Fauziah Latiff, "Kemaafan Dendam Yang Terindah" oleh Aishah dan "Kau dan Aku" oleh Ning Baizura yang memenangi Juara Lagu pada 1995 bagi kategori Pop Rock. Beliau juga pernah membuat persembahan bersama Holland America Line dari 2008 sehingga 2015.[6]

Beliau menjadi komposer Malaysia pertama yang menerbitkan album instrumental piano apabila beliau muncul dengan album Ross Ariffin Instrumental pada tahun 1993.[7] Selain itu, beliau turut mencipta skor muzik untuk filem Imigran arahan Nahar Akhbar Khan.

Ross juga telah membuat persembahan untuk Yang di-Pertuan Agong, 5 Sultan dan merupakan satu-satunya komposer Malaysia yang ditugaskan untuk menggubah lagu hari keputeraan untuk Raja Isteri Brunei Darrusalam Sultan Hassanal Bolkiah.[6] Pada 28 Julai 2023, beliau ditawarkan jawatan sebagai pensyarah sambilan dalam bidang muzik di Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UMCCed).[8][9]

Kehidupan peribadi[sunting | sunting sumber]

Ross dilahirkan pada 1962 di Melaka dan dibesarkan oleh ibu bapa angkatnya, yang masing-masing berbangsa Melayu (bapa angkat) dan Inggeris (ibu angkat). Beliau mempunyai dua anak dari perkahwinan bersama bekas isterinya, yang dikahwininya dari 1989 sehingga 2013.[6][10]

Beliau juga tidak fasih berbahasa Melayu dan menjadikan bahasa Inggeris bahasa ibundanya. Ross dinyatakan berkata: "Bahasa Inggeris ialah bahasa ibunda saya. Saya tidak (begitu) fasih berbahasa Melayu, tapi saya faham lirik lagu".[2]

Ross kini hidup sebagai gelandangan dan hidup berpindah-randah sejak 2019 di sekitar Pasar Seni dan juga Melaka. Beliau turut menghidap gangguan bipolar dan angin ahmar yang menyebabkannya sukar bercakap dan bergerak.[11][12]

Pada Februari 2024, beliau menerima kediaman projek perumahan rakyat (PPR) Muhibbah di ibu kota daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).[13]

Diskografi penerbitan[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Shuhada Abdul Kadir (23 Oktober 2023). "Perit bergelandangan, komposer Ross Ariffin rindu lagu diputarkan". Astro Awani. Dicapai pada 31 Oktober 2023.
  2. ^ a b "THIS GUY WRITES POPULAR MALAY POP SONGS. BUT HE DOESN'T SPEAK BM!" (dalam bahasa Inggeris). Cilisos.my. 9 April 2016. Dicapai pada 22 Oktober 2016.
  3. ^ Aneesa Alphonsus (11 Disember 1993). "Dream come true for talented Ross" (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 31 Oktober 2018.
  4. ^ G. Shanti (4 September 1993). "Ross on the roll". The Malay Mail. Dicapai pada 24 April 2021.
  5. ^ Amran Mulup (19 Julai 2023). "Komposer terkenal cuba bangkit daripada merempat". Utusan Malaysia. Dicapai pada 31 Oktober 2023.
  6. ^ a b c "Ross Ariffin" (dalam bahasa Inggeris). Music for KL. Dicapai pada 29 Oktober 2018.
  7. ^ Seri Intan Othman (13 Disember 1993). "Ross Ariffin hasilkan instrumental piano". Berita Harian. Dicapai pada 24 April 2021.
  8. ^ Amran Mulup (25 Julai 2023). "Ross Ariffin ditawar pensyarah di Universiti Malaya". Utusan Malaysia. Dicapai pada 31 Oktober 2023.
  9. ^ ""BAKAT SAYA ANUGERAH TUHAN" - ROSS ARIFFIN". Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya. 31 Julai 2023. Dicapai pada 31 Oktober 2023.
  10. ^ May Vin Ang (9 Julai 2021). "Famed M'sian Composer Relies On Soup Kitchen & Govt Aid To Survive The Pandemic" (dalam bahasa Inggeris). SAYS. Dicapai pada 31 Oktober 2021.
  11. ^ "'Saya Menjadi Penganggur & Kehilangan Pendapatan'- Ross Ariffin Jadi Gelandangan Selama Tiga Tahun". Oh Bulan!. 19 Oktober 2023. Dicapai pada 31 Oktober 2023.
  12. ^ Minda Ranggong (18 Oktober 2023). "Komposer Ross Ariffin tiga tahun jadi gelandangan". Berita Harian. Dicapai pada 31 Oktober 2023.
  13. ^ Norhayati Nordin (20 Februari 2024). "Komposer Ross Ariffin akhirnya dapat rumah". Harian Metro. Dicapai pada 8 April 2024.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]