Sviatoslav I

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sviatoslav I
Sviatoslav I oleh Eugene Lanceray (1886)
Putera Kiev
Pemerintahan945–972
Didahului olehIgor
Diikuti olehYaropolk I
Pemangku rajaOlga (945–962)
Putera Novgorod
Pemerintahan945–970
Diikuti olehVladimir I
Keputeraans. 943
Kiev
Kemangkatan972 (berusia 28–29)
Khortytsia
PasanganPredslava
Anakanda
DinastiRurik
AyahandaIgor dari Kiev
BondaOlga dari Kiev
AgamaPaganisme Slav

Sviatoslav atau Svyatoslav I Igorevich (Slav Timur Kuno: Свѧтославъ Игорєвичь, rumi: Svętoslavŭ Igorevičǐ;[1] Nor Kuno: Sveinald;[a] Jawi: سۏياتوسلۏ; s. 943 – 972) ialah Putera Kiev dari tahun 945 hingga kematian baginda pada tahun 972.[2] Baginda menjalankan pelbagai dan banyak kempen di timur dan selatan, yang menyebabkan kejatuhan dua kuasa besar di Eropah Timur, Khazaria dan Empayar Bulgaria Pertama. Baginda menakluk berbagai-bagai suku Slav Timur, mengalahkan Alan dan menyerang orang Bulgar Volga,[3][4] dan ada kalanya bersekutu dengan orang Pecheneg dan Magyar (Hungary).

Selepas bapa Sviatoslav, Igor, meninggal pada tahun 945, ibu baginda Olga memerintah sebagai pemangku raja di Kiev sehingga 962.[5][6][7][8] Dalam sedekad baginda memerintah Rus' Kiev, wilayah mereka telah membesar ke lembah Sungai Volga, padang rumput Pontik, dan Balkan, menghasilkan negeri yang terbesar di Eropah. Pada tahun 969, baginda memindahkan ibu kota ke Pereyaslavets di Sungai Danube.[9][10] Pada tahun 970, baginda melantik dua putera baginda Yaropolk dan Oleg sebagai penguasa rendahan wilayah Kiev dan Drelinia, sementara baginda melantik Vladimir, anak baginda dengan pembantu rumah/hamba baginda Malusha, sebagai putera Novgorod.[11][12]

Sviatoslav kekal seorang pagan sepanjang hidupnya, tidak seperti ibunya yang memeluk agama Kristian.[8] Disebabkan kematian baginda yang mengejut dalam satu serangan hendap, seluruh jajahan baginda tidak pernah disatukan menjadi empayar, manakala kegagalan baginda untuk melantik seorang pewaris menyebabkan pergaduhan antara tiga puteranya, mengakibatkan kematian Yaropolk dan Oleg, manakala Vladimir pula menjadi satu-satunya putera yang tinggal.[7]

Nama[sunting | sunting sumber]

Olga dari Kiev, pemangku raja semasa baginda kanak-kanak

Babad Utama menyenaraikan Sviatoslav sebagai pemerintah pertama Rus' Kiev dengan nama yang berasal daripada bahasa Slavik, berbeza dengan pendahulu baginda yang nama-nama mereka berasal daripada bahasa Nor Kuno. Sesetengah sarjana percaya nama Sviatoslav, yang terdiri daripada kata akar Slavik untuk "suci" dan "kemuliaan", adalah kata terbitan buatan yang menggabungkan nama pendahulu baginda Oleg dan Rurik,[13] tetapi penyelidik-penyelidik moden memperdebatkan kemungkinan nama baginda diterjemahkan dari satu bahasa ke bahasa yang lain seperti begitu.[14][15] Sveinald atau Sveneld adalah bentuk setara dengan Sviatoslav dalam bahasa Nor Kuno daripada Slavik.[16] Pada abad ke-10, Maharaja Rom Timur Konstantinos VII dalam karya bahasa Yunani De Administrando Imperio ("Mengenai Pemerintahan Empayar") mencatatkan nama baginda sebagai Σφενδοσθλάβος ("Sfendostlabos").

Awal hidup dan diri[sunting | sunting sumber]

Begitu sedikit yang diketahui tentang zaman kanak-kanak dan remaja Sviatoslav, yang dihabiskan memerintah di Novgorod.[17] Bapa Sviatoslav, Igor, dibunuh oleh orang Drevlian sekitar tahun 945, dan ibu baginda, Olga, memangku di Kiev sehingga Sviatoslav cukup umur (sekitar tahun 963).[18] Sviatoslav dibimbing oleh seorang pengawal Varangi bernama Asmud.[19] Tradisi orang Varangi membimbing kanak-kanak putera kekal sehingga abad ke-11. Sviatoslav nampaknya tidak begitu penyabar diasuh olehnya. Hidup baginda dihabiskan menyertai druzhina ("pasukan") baginda yang selalu berperang dengan negeri-negeri jiran.[20]

Menurut Babad Utama, baginda tidak membawa kereta gerabak atau cerek dalam kempen-kempen, dan baginda tidak merebus daging, hanya menghiris daging kuda, binatang buruan, atau daging lembu untuk dimakan selepas memanggangnya di atas arang. Baginda juga tidak mempunyai khemah, hanya membentangkan kulit selimut kulit kuda dan menggunakan pelana sebagai bantal, sama seperti semua pengiring baginda.[21]

Ibu Sviatoslav, Olga, dengan para pengiring di Konstantinopal, lukisan miniatur daripada babad abad ke-11 oleh John Skylitzes.
Ilustrasi Sviatoslav memakai vyshyvanka, oleh Fedor Solntsev

Rupa Sviatoslav diperincikan oleh Leo Diaken, yang sendiri menghadiri mesyuarat Sviatoslav dengan John I Tzimiskes. Menurut ingatan Diaken, Sviatoslav lelaki yang bermata cerah dengan ketinggian sederhana tetapi berbadan tegap, jauh lebih tegap daripada Tzimiskes. Baginda mempunyai kepala yang botak dan janggut yang lentik dengan misai yang lebat serta kuncit sebagai tanda kebangsawanan baginda.[22] Baginda suka berpakaian putih, dan pakaian baginda jauh lebih bersih daripada pasukannya, walaupun baginda mempunyai banyak persamaan dengan mereka. Baginda memakai satu subang emas besar bertatahkan permata mirah dan dua mutiara.[23]

Agama[sunting | sunting sumber]

Ibu Sviatoslav, Olga, memeluk agama Kristian Ortodoks di istana Maharaja Byzantium Konstantinos Porfirogenitus pada tahun 957,[24] lebih kurang pada usia 67 tahun.[perlu rujukan] Sviatoslav kekal seorang penganut pagan sepanjang hidup. Dalam perjanjian tahun 971 antara Sviatoslav dan maharaja Byzantium John I Tzimiskes, orang Rus' bersumpah dengan nama dewa Perun dan Veles.[25] Menurut Babad Utama, baginda percaya bahawa pasukan baginda (druzhina) tidak akan hormat dan mengejek baginda jika baginda memeluk Kristian.[26] Kesetiaan pasukan baginda amat penting untuk menakluk sebuah empayar yang menjangkau dari Volga ke Danube.

Keluarga[sunting | sunting sumber]

Amat sedikit sahaja yang diketahui tentang hidup keluarga Sviatoslav. Ada kemungkinan baginda bukan anak tunggal (atau sulung). Perjanjian Rus'-Byzantium 945 memanggil seseorang bernama Predslava, isteri Volodislav, bangsawati Rusia yang paling mulia selepas Olga. Pendapat bahawa Predslava ialah ibu Oleg diusulkan oleh Vasily Tatishchev. Beliau juga membuat spekulasi bahawa Predslava berasal daripada golongan bangsawan Hungary. George Vernadsky salah seorang antara ramai sejarawan yang berspekulasi bahawa Volodislav ialah anak sulung dan pewaris Igor yang mangkat semasa Olga memerintah. Babad lain menceritakan bahawa Oleg (? – 977?) ialah anak sulung Igor. Semasa Igor mangkat, Sviatoslav masih kanak-kanak dan dibesarkan oleh ibunya. Akan tetapi, kepatuhan agama ibu baginda tidak melekat.

Sviatoslav I dalam <i>Tsarsky titulyarnik</i>, 1672

Sviatoslav mempunyai beberapa orang anak tetapi asal usul isterinya tidak dinyatakan dalam babad. Daripada isteri-isterinya, baginda mendapat Yaropolk dan Oleg.[27] Daripada Malusha, seorang wanita yang tidak pasti asal usulnya,[28] Sviatoslav mendapat Vladimir, yang nanti akan berpisah daripada agama paganisme bapanya dan menukarkan agama orang Rus' kepada Kristian. John Skylitzes menceritakan bahawa Vladimir mempunyai seorang saudara bernama Sfengus; tidak jelas jika Sfengus ini anak kepada Sviatoslav, anak kepada Malusha daripada suami sebelumnya atau selepasnya, atau seorang bangsawan Rus' yang tiada pertalian saudara dengannya.[29]

Anak-anak

Predslava

  • Oleg dari Drelinia (meninggal dunia 977?)
  • Yaropolk I dari Kiev (952–978)

Malusha

Kempen-kempen timur[sunting | sunting sumber]

Tidak lama selepas naik takhta, Sviatoslav mula berkempen untuk meluaskan jajahan Rus' di lembah Volga dan kawasan steppe Pontik. Pencapaian terbesar baginda ialah menakluk Khazaria, sebuah negeri yang kuat di Eropah Timur. Punca konflik antara Khazaria dan Rus', maka beberapa kemungkinan yang telah dicadangkan. Orang Rus' ingin mengawal laluan perdagangan di sepanjang Sungai Volga, yang dikenakan cukai oleh orang Khazar. Sesetengah ahli sejarah percaya bahawa Empayar Byzantium mungkin telah menghasut orang Rus' untuk memerangi Khazaria kerana orang Khazar tidak berpuas hati Byzantium menganiaya orang Yahudi semasa pemerintahan Romanos I Lekapenos.[30]

Rus' Kiev pada awal pemerintahan Sviatoslav (berwarna merah), menunjukkan kawasan pengaruhnya hingga 972 (berwarna jingga)

Sviatoslav bermula dengan menyatukan beberapa suku Slav Timur yang di bawah lindungan Khazar. Yang tidak mahu menyertai baginda, seperti suku Vyatich, diserang dan dipaksa untuk membayar ufti kepada Rus' Kiev dan bukannya Khazar lagi.[31] Menurut legenda dalam Babad Utama, Sviatoslav menghantar pesanan kepada penguasa Vyatich, "Saya mahu datang kepada anda!" (Slavik Timur Lama: khochiu na vy iti).[32] Frasa ini digunakan dalam bahasa Rusia dan Ukraine moden (biasanya disalah petik menjadi idu na vy) untuk menandakan pernyataan niat yang jelas dan terbuka. Dengan menerusi sungai Oka dan Volga, baginda menyerang orang Bulgar Volga. Baginda juga menggunakan tentera upahan Oghuz dan Pecheneg dalam kempen ini, mungkin untuk melawan pasukan berkuda kuat orang Khazar dan Bulgar.[33]

Sviatoslav memusnahkan bandar Khazar bernama Sarkel sekitar tahun 965, mungkin juga menyerang (tetapi tidak menduduki) bandar orang Khazar Kerch di Krimea.[34] Di Sarkel, baginda mengasaskan sebuat penempatan Rus' bernama Belaya Vyezha ("menara putih" atau "kubu putih", terjemahan Slav Timur untuk "Sarkel").[35] Baginda kemudiannya memusnahkan ibu kota Khazar, Atil.[36] Seorang pelawat di Atil menulis tidak lama selepas kempen Sviatoslav: "Orang Rus' menyerang, dan tiada anggur atau kismis yang tinggal, tiada sehelai daun di dahan."[37] Garis masa kempen Sviatoslav melawan Khazar tidak jelas dan terdapat pendapat yang berbeza mengenai apa yang berlaku; contohnya, Mikhail Artamonov dan David Christian percaya bahawa serangan Sarkel berlaku selepas Atil dimusnahkan.[38]

Majlis Perang Sviatoslav oleh Boris Chorikov

Walaupun Ibnu Hauqal mencatat bahawa Sviatoslav menyerang Samandar, Sviatoslav tidak tinggal di tanah Khazar di utara Pergunungan Kaukasus secara kekal. Sebaliknya, baginda kembali ke Kiev dan menyerang Ossetia.[39] Ini membolehkan negeri-negeri pengganti Khazar kekal wujud di rantau ini.[40] Dengan kuasa Khazar musnah, Rus' Kiev menguasai laluan perdagangan utara-selatan di seluruh steppe dan merentasi Laut Hitam, laluan-laluan yang dahulunya menjadi sumber kekayaan Khazar. Kempen-kempen Sviatoslav juga menyebabkan lebih ramai orang Slav menetap di rantau ini, yang mengubah demografi dan budaya di antara hutan dan steppe.[41]

Kempen di Balkan[sunting | sunting sumber]

Sviatoslav menyerang Bulgaria, Babad Manasses

Penghapusan Khazaria berlaku semasa Rus' dan Byzantium bekerjasama. Perikatan ini dibuat selepas Igor, pemimpin Rusia, menyerang Byzantium pada tahun 944.[42] Hubungan ketenteraan yang erat antara Rus' dan Byzantium dapat dilihat dalam peristiwa yang dilaporkan oleh John Skylitzes, apabila satu pasukan Rus' menyertai Maharaja Byzantium Nikeforos Fokas dalam perang lautnya yang berjaya di Crete.

Pada tahun 967 atau 968,[43] Nikeforos menghantar seorang ejen, Kalokiros, untuk memujuk Sviatoslav membantu Byzantium memerangi Bulgaria.[44] Sviatoslav dibayar 15,000 paun emas dan belayar bersama-sama sebuah tentera dengan 60,000 orang, antaranya beribu-ribu askar upahan Pecheneg.[45][46]

Sviatoslav mengalahkan pemerintah Bulgar Boris II[47] dan terus menduduki seluruh utara Bulgaria. Sementara itu, Byzantium menyogok Pecheneg untuk menyerang dan mengepung Kiev, di mana Olga tinggal bersama anak Sviatoslav, Vladimir. Kepungan tersebut dipatahkan oleh druzhina dari Pretich, dan sejurus Pecheneg berundur, Olga menghantar surat teguran kepada Sviatoslav. Baginda segera kembali dan mengalahkan Pecheneg, yang tetap mengancam Kiev.

Tentera Byzantium mengejar pahlawan-pahlawan Sviatoslav, miniatur daripada babad abad ke-11 oleh John Skylitzes.

Sviatoslav tidak mahu memberikan kemenangannya di Balkan kepada Byzantium, menyebabkan kedua-dua pihak bergaduh. Walaupun menyusahkan para ningrat dan ibunya (yang meninggal dunia tiga hari selepas mendapat tahu keputusannya), Sviatoslav memilih untuk memindahkan ibu kotanya ke Pereyaslavets berhampiran muara Sungai Danube kerana baginda percaya ia mempunyai banyak potensi untuk menjadi pusat perdagangan. Dalam catatan Babad Utama tahun 969, Sviatoslav menjelaskan bahawa Pereyaslavets, pusat negerinya, adalah tempat, "semua kekayaan datang: emas, sutera, wain, dan pelbagai buah-buahan dari Yunani, perak dan kuda dari Hungary dan Bohemia, dan dari Rus' bulu, lilin, madu dan hamba".

Madrid Skylitzes, pertemuan John Tzimiskes dengan Sviatoslav.

Pada musim panas tahun 969, Sviatoslav meninggalkan Rus' lagi dan membahagikan kerajaannya kepada tiga, setiap satu diperintah oleh salah seorang puteranya. Baginda mengetuai sebuah tentera, yang ada tentera bantuan daripada Pecheneg dan Magyar, dan menyerang Bulgaria sekali lagi, menghancurkan Thrake, menawan kota Filipopolis, dan bunuh semua penduduknya. Nikeforos dapat tahu dan mengukuhkan pertahanan Konstantinopal, serta merekrut skuadron baru dengan tentera berkuda berperisai. Semasa membuat persediaan, Nikeforos diguling dan dibunuh oleh John Tzimiskes, yang menjadi maharaja baru Byzantium.[48]

John Tzimiskes gagal memujuk Sviatoslav meninggalkan Bulgaria. Mencabar kuasa Byzantium, Sviatoslav menyeberangi Danube dan mengepung Adrianopal, menyebabkan ketakutan di Konstantinopal pada musim panas 970.[49] Dalam tahun yang sama, Byzantium menyerang balas. Sibuk dengan pemberontakan yang dicetuskan oleh Bardas Fokas di Asia Kecil, John Tzimiskes menghantar panglima besar baginda, Bardas Skleros, dan mengalahkan gabungan Rus', Pecheneg, Magyar dan Bulgaria dalam Pertempuran Arkadiopolis.[50] Sementara itu, John, setelah menghancurkan pemberontakan Bardas Fokas, datang ke Balkan dengan tentera yang besar dan memanggil dirinya sebagai pembebas Bulgaria daripada Sviatoslav. Baginda melalui genting-genting gunung yang sukar dilepasi dan menawan Markianopolis, dan Rus' mengambil beberapa putera Bulgar sebagai tebusan.

Pengepungan Durostorum dalam Babad Manasses

Sviatoslav berundur ke Dorostolon, yang dikepung oleh tentera Byzantium selama 65 hari. Tanpa pilihan lain, Sviatoslav bersetuju dengan John dan meninggalkan Balkan, melepaskan cubaan untuk mengambil alih selatan Krimea, dan balik ke barat Sungai Dnieper. Sebagai balasan, maharaja Byzantium membekalkan makanan dan menjamin keselamatan orang Rus' untuk pulang. Sviatoslav dan orang-orang baginda belayar dan mendarat di Pulau Berezan di muara Dnieper, di mana mereka membuat kem untuk musim sejuk. Beberapa bulan kemudian, menurut Babad Utama, kem mereka kebuluran, malah kepala kuda tidak dapat dibeli dengan harga kurang daripada setengah grivna.[51] Walaupun kempen Sviatoslav tidak membawa apa-apa hasil untuk Rus', ia telah melemahkan negeri Bulgaria dan menjadikannya sasaran mudah untuk diserang oleh Basil II empat puluh tahun kemudian.

Kematian dan akibatnya[sunting | sunting sumber]

Kerana takut perdamaian dengan Sviatoslav tidak akan kekal, maharaja Byzantium meyakinkan khan Pecheneg, Kurya, untuk membunuh Sviatoslav sebelum baginda sampai ke Kiev. Ini sebahagian daripada rancangan untuk mencetuskan konflik antara Rus' dan Pecheneg, seperti yang digariskan oleh Konstantinos VII Porfirogenitus dalam dasar De Administrando Imperio.[52] Menurut babad Slav, Sveneld cuba memberi amaran kepada Sviatoslav supaya jangan memasuki jeram Dnieper tetapi baginda tidak mendengar nasihatnya dan diserang hendap lalu dibunuh oleh Pecheneg semasa baginda cuba menyeberangi riam-riam berhampiran Khortytsia pada awal tahun 972. Babad Utama melaporkan bahawa tengkorak baginda dijadikan piala oleh khan Pecheneg.[53]

Kematian Sviatoslav oleh Boris Chorikov

Selepas Sviatoslav mangkat, hubungan anak-anaknya menjadi semakin tegang. Anak-anak lelaki baginda yang sah taraf, Oleg dan Yaropolk, berperang pada tahun 976 dan Oleg terbunuh. Pada tahun 977, Vladimir melarikan diri ke luar negeri, lalu mengumpulkan tentera Varangi dan kembali pada tahun 978. Yaropolk dibunuh, dan Vladimir menjadi pemerintah tunggal Rus' Kiev.[7][54]

Seni dan sastera[sunting | sunting sumber]

Sviatoslav sudah lama menjadi wira rakyat Belarus, Rusia dan Ukraine kerana kejayaan ketenteraannya. Seniman dan penyair Rusia mula-mula mengagumi baginda semasa Perang Rusia-Turki (1768–1774), kerana kempen-kempen mereka menyamai kempen Sviatoslav untuk menawan Konstantinopal. Perkembangan Rusia ke selatan dan penglibatan Catherine II di Balkan diperbenarkan dengan kempen-kempen Sviatoslav dari lapan abad yang lalu.

Ivan Akimov. Kepulangan Sviatoslav dari Danube kepada Keluarganya di Kiev (1773)

Antara karya yang dicipta semasa perang tersebut ialah karya tragedi Yakov Knyazhnin, Olga (1772). Penulis drama Rusia itu menampilkan Sviatoslav sebagai protagonis, namun penglibatan aktif baginda dalam kejadian-kejadian selepas Igor meninggal dunia berbeza dengan garis masa yang diterima umum. Saingan Knyazhnin, Nikolai Nikolev (1758–1815), juga menulis drama mengenai hidup Sviatoslav. Lukisan Ivan Akimov Kepulangan Sviatoslav dari Danube kepada Keluarganya di Kiev (1773) meneroka konflik antara maruah askar dan ikatan keluarga. Ia menyerupai gaya seniman Poussin untuk menggambarkan zaman pertengahan awal.

Sebuah monumen Sviatoslav I di Kiev, Ukraine. Perekanya ialah Borys Krylov dan Oles Sydoruk.

Minat dalam kempen ketenteraan Sviatoslav meningkat pada abad ke-19. Klavdiy Lebedev dalam lukisan beliau yang terkenal menggambarkan Sviatoslav bertemu dengan Maharaja John, manakala Eugene Lanceray mengukir patung Sviatoslav menunggang kuda pada awal abad ke-20.[55] Sviatoslav juga disebut dalam puisi oleh Velimir Khlebnikov dari tahun 1913, Ditulis sebelum perang (#70. Написанное до войны),[56] yang mana Sviatoslav mewakili semangat perjuangan orang Slav:[57]

Знаменитый сок Дуная,
Наливая в глубь главы,
Стану пить я, вспоминая
Светлых клич: "Иду на вы!".

Menuangkan jus Danube yang terkenal
Ke dalam kepalaku,
Aku akan minum dan ingat
Laungan kaum yang terang: "Aku datang kepadamu!"

Sviatoslav ialah watak penjahat dalam novel The Lost Kingdom, or The Passing of the Khazars, oleh Samuel Gordon,[58] sebuah cerita rekaan tentang kemusnahan Khazaria oleh Rus'. Tokoh pahlawan Slav ini juga digambarkan dalam konteks yang lebih positif dalam cerita "Chernye Strely Vyaticha" oleh Vadim Viktorovich Kargalov; cerita ini dimuatkan dalam buku beliau Istoricheskie povesti.[59]

Pada tahun 2005, terdapat laporan bahawa sebuah kampung di wilayah Belgorod telah mendirikan monumen untuk meraikan kemenangan Sviatoslav melawan orang Khazar, direka oleh seorang pengukir Rusia, Vyacheslav Klykov. Laporan tersebut menyatakan patung setinggi 13 meter itu menggambarkan seorang askar berkuda Rus' memijak orang Khazar terlentang yang membawa Bintang Daud dan Kolovrat. Ia dibantah kuat oleh komuniti Yahudi Rusia. Kontroversi ini diburukkan lagi oleh hubungan Klykov dengan organisasi ultranasionalis Pamyat dan organisasi anti-Yahudi lain, serta penglibatan beliau dalam "surat 500", surat rayuan yang berkontroversi kepada Ketua Pendakwa untuk memantau semua organisasi Yahudi di Rusia untuk ekstremisme.[60] Pusat Akhbar Pentadbiran Wilayah Belgorod menjelaskan bahawa monumen yang dirancang belum lagi dibina tetapi akan menghormati semua bangsa dan agama.[61][62][63][64][65] Apabila patung itu dibuka tirai, ia mempunyai bintang berbucu dua belas pada perisainya.

Sviatoslav ialah watak utama buku Knyaz (Kniaz) dan Wira (Geroi), yang ditulis oleh penulis Rusia Alexander Mazin. Sviatoslav memainkan peranan utama dalam filem antologi sejarah Soviet The Legend of Princess Olga, yang mengisahkan ibu baginda, Olga. Sviatoslav hadir dalam pelbagai segmen, sebagai kanak-kanak dan juga dewasa. Sviatoslav semasa dewasa dilakonkan oleh Les Serdyuk.

Pada November 2011, seorang nelayan Ukraine terjumpa sebilah pedang sepanjang satu meter di perairan Dnieper di Khortytsia, berhampiran tempat Sviatoslav dipercayai dibunuh pada tahun 972. Hulunya dibuat daripada empat logam seperti emas dan perak, dan ia mungkin milik Sviatoslav tetapi ini hanyalah spekulasi—pedang tersebut mungkin milik mana-mana bangsawan dari zaman itu.[66]

Monumen Svyatoslav yang Berani di kampung Stari Petrivtsi, wilayah Kyiv.

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Rusia: Святослав Игоревич; Bahasa Ukraine: Святослав Ігорович; Belarus: Святаслаў Ігаравіч

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "E.g. in the Primary Chronicle under year 970". Litopys.org.ua. Dicapai pada 6 Julai 2013.
  2. ^ Borrero 2009.
  3. ^ Moss, W. G. (2004). A History of Russia Violume 2: Since 1855. Anthem Press. m/s 29.
  4. ^ Khazarian state and its role in the history of Eastern Europe and the Caucasus A.P. Novoseltsev, Moscow, Nauka, 1990. (dalam bahasa Rusia)
  5. ^ Gleason 2014.
  6. ^ Gasparov & Raevsky-Hughes 2018.
  7. ^ a b c Martin 2007.
  8. ^ a b Bushkovitch 2011.
  9. ^ Stephenson 2000.
  10. ^ Curta 2019.
  11. ^ Feldbrugge 2017.
  12. ^ Franklin & Shepard 2014.
  13. ^ Lihat А.М. Членов. К вопросу об имени Святослава, in Личные имена в прошлом, настоящем и будущем: проблемы антропонимики (Moscow, 1970).
  14. ^ Litvina, A. F., Uspenskij, F. B. (2006). Выбор имени у русских князей в Х-ХVI вв: династическая история сквозь призму антропонимики (). Russia: Индрик. ISBN 5-85759-339-5.  m/s 41.
  15. ^ Rydzevskaya, E. A. (1978). Ancient Russia and Scandinavia in the 9th–14th centuries (Rusia Purba dan Scandinavia pada abad ke-9–14). m/s 203.
  16. ^ Magocsi, P. R. (2010). A history of Ukraine: The land and its peoples. University of Toronto Press. m/s 68. ISBN 1442610212.
  17. ^ Basilevsky 2016.
  18. ^ Jika benar Olga dilahirkan pada tahun 879, seperti yang dimaksudkan oleh Babad Utama, Olga berumur lebih kurang 65 tahun semasa Sviatoslav lahir. Jelas sekali terdapat masalah dengan garis masa ini.
  19. ^ Entri Babad Utama untuk tahun 968
  20. ^ Cross dan Sherbowitz-Wetzor, Babad Utama, m/s 84.
  21. ^ Cross dan Sherbowitz-Wetzor, Babad Utama, m/s 84.
  22. ^ Untuk terjemahan alternatif petikan yang sama daripada bahasa Yunani asal yang mengatakan bahawa Sviatoslav tidak bercukur tetapi mempunyai janggut yang lebat, dan bukan satu tetapi dua kuncit di kedua-dua belah kepalanya, lihat cthnya Ian Heath "The Vikings (Elite 3)", Osprey Publishing 1985; ISBN 978-0-85045-565-6, hlm. 60 atau David Nicolle "Armies of Medieval Russia 750–1250 (Men-at-Arms 333)" Osprey Publishing 1999; ISBN 978-1-85532-848-8, hlm. 44
  23. ^ Vernadsky 276–277. Kuncit yang dipakai ke tepi serupa dengan gaya rambut orang Turki, yang kemudiannya ditiru oleh Kosak.
  24. ^ Berdasarkan analisis De Ceremoniis beliau, Alexander Nazarenko membuat hipotesis bahawa Olga ingin mengaturkan perkahwinan antara Sviatoslav dan seorang puteri Byzantium. Sekiranya cadangannya terus ditolak, tidak hairanlah Sviatoslav akan sangsi dengan Empayar Byzantium dan budaya Kristian. Nazarenko 302.
  25. ^ Froianov, I. Ia.; A. Iu. Dvornichenko; Iu. V. Krivosheev (1992). "The Introduction of Christianity in Russia and the Pagan Traditions". Dalam Marjorie Mandelstam Balzer (penyunting). Russian Traditional Culture: Religion, Gender, and Customary Law. M.E. Sharpe. m/s. 4. ISBN 978-1-56324-039-3. Dicapai pada 19 Februari 2017.
  26. ^ Tawarikh Utama.
  27. ^ Ahli sejarah tidak pasti sama ada Yaropolk dan Oleg mempunyai ibu yang sama.
  28. ^ Dia biasanya dianggap sebagai saudara perempuan Dobrynya dalam historiografi Rusia; untuk teori-teori lain identitinya, lihat di sini.
  29. ^ Franklin dan Shepard mengemukakan hipotesis bahawa Sfengus adalah orang yang sama dengan Mstislav dari Tmutarakan. Franklin dan Shepard, m/s 200–201.
  30. ^ "Rus", Encyclopaedia of Islam
  31. ^ Christian, m/s 345. Sama ada Sviatoslav menyerang negeri Vyatich pada tahun itu dipertikaikan. Satu-satunya kempen melawan Vyatich yang disebut dengan jelas dalam Babad Utama bertarikh tahun 966.
  32. ^ Babad Utama Bahasa Rusia (ПСРЛ. — Т. 2. Ипатьевская летопись. — СПб., 1908) untuk tahun 6472. Penulis babad ini mungkin ingin menekankan perbezaan antara perisytiharan perang yang terbuka Sviatoslav dengan taktik-taktik hendap yang digunakan oleh ramai penakluk lain dari zaman pertengahan.
  33. ^ Untuk kebergantungan Sviatoslav dengan pasukan berkuda orang-orang nomad, lihat, contohnya, Franklin dan Shepard, m/s 149; Kristian, m/s 298; Pletneva, m/s 18.
  34. ^ Christian, m/s 298. Babad Utama menyebut tentang seluruh kempen melawan orang Khazar dengan amat pendek, hanya menyatakan bahawa Sviatoslav "mengambil bandar mereka dan Belaya Vezha".
  35. ^ Bandar ini sebuah pusat perdagangan yang penting, bertempat berhampuran dengan tempat serunda di antara sungai Volga dan sungai Don. Awal abad ke-12, malangnya ia telah dimusnahkan oleh orang Kipchak.
  36. ^ Lihat, umumnya Christian 297–298; Dunlop passim.
  37. ^ Logan (1992), m/s 202
  38. ^ Artamonov, m/s 428; Christian, m/s 298.
  39. ^ Kempen menyerang Ossetia dicatatkan dalam Babad Utama. Babad Pertama Novgorod menyatakan bahawa Sviatoslav memindahkan orang Ossetia berhampiran dengan Kiev, tetapi Sakharov berpendapat hal ini menyangsikan.
  40. ^ Dokumen Mandgelis bercakap tentang seorang pemimpin orang Khazar yang berkuasa di Semenanjung Taman sekitar tahun 985, lama selepas Sviatoslav meninggal dunia. Kedrenos melaporkan bahawa Byzantium dan Rus' bekerjasama dalam penaklukan kerajaan Khazar di Krimea pada tahun 1016. Kemudian, Ali bin al-Athir melaporkan serangan yang tidak berjaya oleh al-Fadl bin Muhammad terhadap orang Khazar di Kaukasus pada tahun 1030. Untuk maklumat lanjut tentang peristiwa ini dan lain-lain, lihat Khazar#Sebutan orang Khazar pada akhir zaman kuno.
  41. ^ Christian, m/s 298.
  42. ^ Kebanyakan ahli sejarah percaya Yunani berminat dengan kemusnahan Khazaria. Satu lagi pendapat menekankan laporan Yahya dari Antokiah bahawa, sebelum kempen Danube, Byzantium dan Rus' sedang berperang. Lihat Sakharov, bab I.
  43. ^ Bila kempen Sviatoslav menyerang Bulgar, yang kemungkinannya tidak bermula sehinggalah kempen melawan Khazar baginda tamat, tidak diketahui.
  44. ^ Sesetengah ahli sejarah, seperti Mikhail Tikhomirov dan Vladimir Pashuto, percaya bahawa Maharaja ingin mengalihkan perhatian Sviatoslav dari Khersonesos, sebuah bandar di Krimea yang dimiliki oleh Empayar Byzantium. Leo Diaken tiga kali menyebut bahawa Sviatoslav dan bapanya Igor mengawal Bosporus Kimmeria. Kalau betul, konflik kepentingan di Krimea sudah tentu akan berlaku. Babad Suzdal, walaupun sumber yang agak baharu, juga menyebutkan perang Sviatoslav di Khersonesos. Dalam perjanjian damai tahun 971, Sviatoslave berjanji tidak akan berperang dengan Konstantinopal ataupun Khersonesos. Sumber-sumber Byzantium juga melaporkan bahawa Kalokiros cuba memujuk Sviatoslav untuk merampas kuasa maharaja Byzantium. Sebagai ganjaran, Sviatoslav akan dapat mengawal Bulgaria. Akan tetapi, sejarawan moden tidak berasa peristiwa ini penting mana. Kendrick, m/s 157.
  45. ^ Semua angka dalam rencana ini, termasuk bilangan tentera Sviatoslav, menggunakan sumber-sumber Byzantium, yang mungkin berbeza daripada babad-babad Slav. Sumber Yunani melaporkan terdapat orang Khazar, Pecheneg dan "Turk" dalam tentera Sviatoslav. Seperti yang digunakan dalam penulisan-penulisan Byzantium seperti De Administrando Imperio oleh Konstantinos Porfirogenitus, "Turk" adalah nama untuk orang Magyar. Perikatan Rus'-Magyar kemudian menyebabkan Hungary berkempen untuk menyerang bandar kedua terbesar Byzantium, Tessaloniki, pada tahun 968.
  46. ^ Treadgold, W. (1997). A history of the Byzantine state and society. Stanford University Press. m/s 509.
  47. ^ Boris II ditangkap oleh Byzantium pada tahun 971 dan dibawa ke Konstantinopal sebagai tahanan.
  48. ^ Kendrick, m/s 158.
  49. ^ Pada masa yang sama, Otto I menyerang jajahan Byzantium di selatan Itali. Kebetulan yang luar biasa ini boleh ditafsirkan sebagai bukti pakatan anti-Byzantium Jerman-Rusia. Lihat: Manteuffel, m/s 41.
  50. ^ Grekov, m/s 445–446. Sumber-sumber Byzantium melaporkan korban musuh setinggi 20,000, angka yang sejarawan moden anggap sangat mustahil.
  51. ^ Franklin dan Shepard. m/s 149–150.
  52. ^ Konstantinos VII percaya kerana mereka mengawal riam-riam Sungai Dnieper, orang Pecheneg mudah menyerang dan memusnahkan kapal-kapal Rus' yang belayar di sepanjang sungai itu.
  53. ^ Orang steppe menggunakan tengkorak musuh yang telah tewas sebagai cawan telah dicatatkan oleh ramai pengarang dalam sejarah, seperti orang Skitia. Kurya mungkin melakukan ini sebagai tanda pujian kepada Sviatoslav; catatan mengatakan bahawa Kurya dan isteri beliau minum dengan tengkorak beliau dan berdoa supaya mendapat anak yang seberani beliau. Christian, m/s 344; Pletneva, m/s 19; Cross dan Sherbowitz-Wetzor, m/s 90.
  54. ^ Hanak 2013.
  55. ^ E. A Lanceray. "Sviatoslav on the way to Tsargrad.Diarkibkan 7 Mac 2007 di Wayback Machine ", The Russian History in the Mirror of the Fine Arts Diarkibkan 14 November 2006 di Wayback Machine (dalam bahasa Rusia)
  56. ^ "Велимир Хлебников Творения". Lib.rus.ec. Dicapai pada 17 June 2012.
  57. ^ Cooke, R. (1987). Velimir Khlebnikov: a critical study. Cambridge University Press. m/s 122–123
  58. ^ Soloweitschik, M. (1926). The World of the Bible. London: Shapiro, Vallentine.
  59. ^ Kargalov, V. V. (1989). Исторические повести. Rusia: Szwede.
  60. ^ "Alexander Verkhovsky. Anti-Semitism in Russia: 2005. Key Developments and New Trends". Diarkibkan daripada yang asal pada 9 Ogos 2007. Dicapai pada 12 November 2007.
  61. ^ "The Federation of Jewish Communities protests against the presence of a Star of David in a new sculpture in Belgorod", Interfax, 21 November 2005.
  62. ^ Kozhevnikova, Galina, "Radical nationalism and efforts to oppose it in Russia in 2005" Diarkibkan 10 Januari 2007 di Wayback Machine.
  63. ^ "FJC Russia Appeal Clarifies Situation Over Potentially Anti-Semitic Monument" Diarkibkan 27 September 2007 di Wayback Machine.
  64. ^ Siaran Akhbar Persekutuan Komuniti Yahudi CIS, 23 November 2005.
  65. ^ Dahan, David, "Jews protest trampled Star of David statue", European Jewish Press, 22 November 2005
  66. ^ "On Khortitsa found the sword of Prince Svyatoslav". Rest in Ukraine. 23 September 2011. Dicapai pada 23 November 2017.

Bibliografi[sunting | sunting sumber]

Sviatoslav I
Rurikovich
Tarikh keputeraan: 942 Tarikh kemangkatan: 972
Gelaran pemerintah
Didahului oleh
{{{before}}}
{{{title}}} Diikuti oleh:
{{{after}}}
Gelar sebagai penuntut
Didahului oleh
{{{before}}}
{{{title}}} Diikuti oleh:
{{{after}}}
Didahului oleh
{{{before}}}
{{{title}}} Diikuti oleh:
{{{after}}}