Anjing Rottweil

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Anjing Rottweil
Nama lainRottweiler
Nama ringkas
  • Rott
  • Rottie
Negara asalJerman
Trait
Berat Jantan 50–60 kg (110–132 lb)
Betina 35–48 kg (77–106 lb)
Tinggi Jantan 61–69 cm (24–27 in)
Betina 56–63 cm (22–25 in)
Bulu Lapis bulu ganda, pendek, keras, dan tebal
Warna Hitam dan sawo matang atau hitam dan mahogani
Jangka hayat 8 tahun
Anjing (Canis lupus familiaris)

Anjing Rottweil atau rottweiler[a] ialah satu baka anjing bela jinak yang dianggap sebagai baka sederhana hingga besar[1][2][3] atau besar.[4][5] Anjing ini dahulunya dikenali dalam bahasa Jerman sebagai Rottweiler Metzgerhund ("anjing penjual daging Rottweil"),[6][7] oleh sebab kegunaan utamanya untuk menggembala haiwan ternakan[1][2] dan menarik kereta roda yang sarat dengan daging sembelihan ke pasar.[6] Hal ini berterusan sehingga pertengahan abad ke-19 apabila kereta api menggantikan penggiringan. Walaupun masih digunakan untuk menggembala haiwan ternakan di banyak tempat di dunia, anjing Rottweil kini juga digunakan sebagai anjing pencarian dan penyelamatan, anjing pengawal, dan anjing polis.[8]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Tugu anjing Rottweil di Rottweil

Menurut piawaian FCI, anjing Rottweil dianggap sebagai salah satu baka anjing tertua yang masih hidup. Asal usulnya dijejak kembali ke zaman Rom. Anjing-anjing ini dibela sebagai anjing gembala atau anjing penggiring. Anjing-anjing ini berarak merentasi Pergunungan Alp dengan legion Rom, melindungi manusia dan menggiring lembu mereka. Di rantau Rottweil, anjing-anjing ini bertemu dan bercampur dengan anjing-anjing asli dalam persilangan semula jadi. Tugas utama anjing Rottweil kini merupakan penggiringan dan penjagaan kawanan lembu dan pertahanan tuan dan harta benda mereka. Baka ini memperoleh namanya daripada bandar raya bebas lama Rottweil dan dikenali sebagai "anjing penjual daging Rottweil". Para penjual daging membiakbakakan anjing jenis ini semata-mata untuk prestasi dan kegunaan. Pada waktunya, anjing penjaga dan anjing penggiring cemerlang berevolusi yang juga boleh digunakan sebagai anjing tarikan.[1][2][9]

Perkembangan ke arah Perang Dunia Pertama menyaksikan permintaan besar untuk anjing polis, yang membawa kepada kebangkitan semula minat terhadap anjing Rottweil. Semasa Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua, anjing Rottweil menyaksikan perkhidmatan dalam pelbagai peranan, termasuk sebagai utusan, ambulans, penarik, dan anjing pengawal.[perlu rujukan]

Deutscher Rottweiler-Klub (DRK, "Kelab Anjing Rottweil Jerman"), iaitu kelab anjing Rottweil pertama di Jerman, diasaskan pada 13 Januari 1914, dan diikuti dengan pendirian Süddeutscher Rottweiler-Klub (SDRK, "Kelab Anjing Rottweil Jerman Selatan") pada 27 April 1915 dan akhirnya menjadi IRK (International Rottweiler Club, "Kelab Anjing Rottweil Antarabangsa"). DRK menghitung sekitar 500 ekor anjing Rottweil dan SDRK pula 3,000 ekor anjing Rottweil. Matlamat kedua-dua kelab adalah berbeza. DRK bertujuan untuk menghasilkan anjing pekerja dan tidak menekankan morfologi anjing Rottweil.[perlu rujukan]

Pelbagai kelab anjing Rottweil Jerman bergabung untuk membentuk Allgemeiner Deutscher Rottweiler Klub (ADRK, "Kelab Anjing Rottweil Jerman Umum") pada tahun 1921. Ini secara rasmi dicatat dalam daftar kelab dan persatuan di mahkamah daerah Stuttgart pada 27 Januari 1924.[8] ADRK diiktiraf di seluruh dunia sebagai kelab asal anjing Rottweil.[perlu rujukan]

Pada tahun 1931, anjing Rottweil diiktiraf secara rasmi oleh American Kennel Club.[10] Pada tahun 1936, anjing Rottweil dipamerkan di Britain dalam Crufts. Pada tahun 1966, daftar berasingan dibuka untuk baka ini. Malah, pada pertengahan tahun 1990-an, kepopularan anjing Rottweil mencapai paras tertinggi sepanjang masa, kerana ia merupakan anjing paling berdaftar dengan American Kennel Club.[11]Templat:Bettersourceneeded Pada tahun 2017, American Kennel Club meletakkan Rottweiler sebagai anjing baka tulen kelapan paling popular di Amerika Syarikat.[12]

Perihal[sunting | sunting sumber]

Persekutuan Kinologi Antarabangsa memberikan perihal berikut tentang piawaian anjing Rottweil: "Para pembiak baka anjing Rottweil menyasarkan anjing yang mempunyai kekuatan tinggi, berlapis bulu hitam dengan tanda-tanda sawo matang pekat yang jelas terlihat, yang penampilan berkuasanya tidak kekurangan kemuliaan, dan yang luar biasa sangat sesuai untuk menjadi anjing pendamping, anjing khidmat, anjing penyelamatan, dan anjing pekerja".[1][2]

Anatomi anjing Rottweil (Lihat kiri untuk perihal)
  1. Kepala (mata)
  2. Muncung (gigi, lidah)
  3. Gelambir (tekak, kulit leher)
  4. Bahu
  5. Siku
  6. Kaki hadapan
  7. Titik tertinggi punggung
  8. Tungkai (paha dan pinggul)
  9. Keting
  10. Kaki belakang
  11. Kelasa
  12. Stifel
  13. Kaki
  14. Ekor

Kepala[sunting | sunting sumber]

Tengkorak adalah sederhana panjang, agak lebar di antara telinga. Garisan dahi sederhana melengkung seperti yang terlihat dari sisi, dengan tulang oksipital yang cukup terbentuk tanpa kelihatan jelas. Stopnya agak kuat. Alur hadapan tidak terlalu dalam.[1][2]

Hidung anjing Rottweil cukup terbentuk, lebih lebar daripada bulat, dengan lubang hidung agak besar dan sentiasa hitam. Muncung patut tidak kelihatan memanjang atau memendek berhubung dengan kawasan tengkorak. Nisbah antara panjang muncung dan panjang tengkorak ialah sekitar 1 hingga 1.5. Batang hidungnya lurus, lebar di pangkal dan sederhana menirus.[1][2]

Bibirnya hitam dan rapat dengan sudut mulut yang tidak terlihat. Gusi patut hitam atau segelap yang mungkin. Kedua-dua rahang atas dan rahang bawah adalah kuat dan lebar. Menurut piawaian FCI, anjing Rottweil patut mempunyai kegigian kuat dan lengkap (42 batang gigi) dengan gigitan gunting, gigi kacip atas bertindih rapat-rapat dengan gigi kacip bawah. Lengkung zigoma patut jelas (tetapi tidak melebih-lebih).[1][2]

Rahang atas dan rahang bawah adalah kuat dan lebar. Kegigian kuat dan lengkap (42 batang gigi) dengan gigitan gunting, gigi kacip atas bertindih dengan gigi kacip bawah.[1][2] Mata patut bersaiz sederhana, berbentuk badam, dan berwarna perang gelap. Kelopak matanya rapat dan tidak patut kuyu. Telinganya bersaiz sederhana, berbentuk loket, segi tiga, terpisah dengan lebar, dan terletak tinggi-tinggi di atas kepala. Dengan telinga yang terletak ke hadapan dekat dengan kepala, tengkoraknya kelihatan melebar. Secara keseluruhan, kulit di kepala adalah ketat. Apabila anjing berwaspada, dahi mungkin sedikit berkerut.[1][2]

Kecacatan: Kepala jenis hound. Kepala sempit, ringan, terlalu pendek, panjang, kasar, atau terlalu mirip molossoid; tengkorak terlalu lebar, (kekurangan stop, stop terlalu sedikit, atau stop terlalu jelas). Alur hadapan sangat dalam. Muka hadapan panjang, muncing runcing atau terlalu pendek (mana-mana muncung lebih pendek daripada 40 peratus panjang kepala adalah terlalu pendek). Hidung terbelah; hidung Rom (batang hidung cembung) atau bermuka bulat (batang hidung cekung); hidung bengkok, hidung pucat atau bertompok (hidung kupu-kupu). Gigitan penyepit. Geraham bawah rahang tidak berdiri dalam satu baris.[1][2]

Kecacatan parah: Jenis terlalu molossoid dan penampilan umum berat.[1][2]

Leher[sunting | sunting sumber]

Lehernya kuat, panjang sekata, cukup berotot, sedikit melengkung, bersih, bebas daripada gelambir berlebihan, tanpa gelambir berlebihan.[1][2]

Tubuh[sunting | sunting sumber]

Belakangnya lurus, kuat, dan kukuh. Loinya pendek, kuat, dan dalam. Krupnya lebar, sederhana panjang, dan sedikit membulat, tidak rata mahupun labuh. Dadanya lapang, lebar, dan dalam (hampir-hampir 50% daripada ketinggian bahu) dengan dada hadapan cukup terbentuk dan rusuk cukup melengkung. Lambung tidak terlipat.[1][2]

Ekor[sunting | sunting sumber]

Piawaian FCI tahun 2018 menyatakan:

Dalam keadaan semula jadi, kuat, separas dengan lanjutan garis atas; semasa menumpukan perhatian, apabila teruja, atau semasa bergerak, ekornya dapat terangkat ke arah atas dalam lengkungan ringan; apabila senang diri, ekor mungkin tergantung. Semasa dalam kedudukan di sepanjang tungkai, ekornya hampir-hampir mencapai keting atau lebih panjang sedikit.[1][2]

Dalam sejarah, ekornya secara tradisional dipotong pada sendi pertama atau kedua. Walau bagaimanapun, pemotongan ekor kini diharamkan di kebanyakan negara dan ini dicerminkan dalam piawaian baka di tanah airnya oleh FCI.[1][2]

Walaupun pernah "diutamakan" dalam piawaian-piawaian awal, pada tahun 2018, piawaian FCI dipinda untuk mengelaskan ekor konton semula jadi sebagai "kecacatan penyingkir" bersama-sama dengan "ekor pintal, ekor gelang, dengan sisihan sisi kuat".[1][2]

Anggota[sunting | sunting sumber]

Apabila dilihat dari hadapan, tungkai hadapannya lurus dan tidak terletak rapat-rapat antara satu sama lain. Lengan bawanyah, dilihat dari sisi, berdiri tegak dan mencancang. Kecerunan tulang belikat ialah kira-kira 45 darjah. Bahu cukup tersandar ke belakang. Lengan atasnya rapat dengan tubuh. Lengan bawahnya terbentuk dengan kuat dan berotot. Pasternanya sedikit kenyal, kuat, tetapi tidak curam. Kaki hadapan bulat, ketat, dan cukup melengkung, tapaknya keras, kukunya pendek, hitam, dan kuat.[1][2]

Apabila dilihat dari belakang, tungkai belakangnya lurus dan tidak terlalu rapat antara satu sama lain. Apabila berdiri dengan bebas, sudut cakahnya terbentuk di antara paha atas dengan tulang pinggul, paha atas dengan paha bawah, dan paha bawah dengan metatarsus. Paha atasnya sederhana panjang, lebar, dan berotot kuat. Paha bawahnya panjang, berotot kuat dan lebar. Ketingnya tegap, bersudut baik, tidak curam. Kaki belakangnya lebih panjang sedikit daripada kaki hadapan. Jari kakinya kuat, melengkung, seketat kaki hadapan.[1][2]

Gaya jalan[sunting | sunting sumber]

Mengikut piawaian FCI:

Anjing Rottweil ialah anjing pelari ligas. Dalam pergerakan, belakangnya kekal kukuh dan agak stabil. Pergerakan berharmoni, mantap penuh dengan tenaga dan tidak terkekang, dengan langkah baik.
Walau bagaimanapun, "tindakan perlahan semasa berlari" dianggap sebagai "kecacatan parah".[1][2]

Menurut American Kennel Council, gaya jalan tradisional anjing Rottweil ialah ligas. Oleh itu, anjing Rottweil ialah peligas. Ligas pada baka ini sama sekali bukan kecacatan dan disyaratkan. Pergerakan ini datang secara semula jadi kepada anjing Rottweil dan patut terlihat sedemikian; sebarang penyimpangan dapat membawa kepada penyingkiran dalam gelanggang pertunjukan. Semasa berjalan, tungkai anjing Rottweil, hadapan dan belakang, patut bergerak lurus ke hadapan dan ke belakang. Seperti pergerakan lurus bagi tungkai, laluan yang ditelusuri oleh anjing Rottweil juga patut lurus. Keseluruhan gaya jalan anjing Rottweil adalah tentang keseimbangan dan keberkesanan kerana baka ini masih digunakan sebagai gembala kini.[13]

Bulu[sunting | sunting sumber]

Lapis bulunya terdiri daripada lapis bulu luar dan lapis bulu bawah. Lapis bulu luar adalah sederhana panjang, kasar, padat, dan rata. Lapis bulu bawah patut ada pada leher dan paha. Lapis bulu bawah tidak boleh kelihatan melalui lapis bulu luar. Anjing Rottweil yang hidup dalam iklim panas mungkin telah menyesuaikan diri dan mungkin kekurangan lapis bulu bawah. Lapis bulu anjing Rottweil cenderung kurang memerlukan penyelenggaraan, walaupun ia mengalami ganti bulu banyak sebelum musimnya (betina) atau secara bermusim (jantan). Menurut piawaian baka American Kennel Club, lapis bulu anjing Rottweil adalah pendek dan lurus. Lapis bulu panjang atau beralun dianggap sebagai kecacatan kepada AKC.[13]

Warna dan tanda[sunting | sunting sumber]

Warna dan tanda bagi anjing Rottweil sangat distingtif. Menurut piawaian FCI, anjing Rottweil sentiasa "hitam dengan tanda-tanda jelas terbentuk dengan warna sawo matang pekat pada pipi, muncung, tekak, dada, dan tungkai, serta di sebelah atas kedua-dua mata dan di bawah pangkal ekor".[1][2]

American Kennel Club mensyaratkan tanda-tanda mahogani atau berwarna karat yang tidak meliputi lebih daripada sepuluh peratus warna tubuh anjing. Semua anjing Rottweil yang piawai menurut spesifikasi AKC mempunyai satu titik mahogani di sebelah atas setiap mata pada rabung kening dalaman, di pipi, satu jalur di setiap sisi muncung; tanda-tanda pipi tidak melintasi batang hidung, bahagian atas hidung patut kekal hitam. Tanda-tanda pada muka patut bergerak turun ke tekak anjing berkenaan. Pada dada, anjing Rottweil mempunyai dua tanda segi tiga yang menghala ke bawah. Pada setiap tungkai hadapan, tanda memanjang dari lengan bawah ke jari kaki. Pada tungkai belakang, tanda bermula di bahagian dalam dan bergerak ke luar ke arah stifel, kemudian keluar ke arah keting, lalu memanjang ke arah jari kaki juga. Piawaian AKC mengiktiraf bahawa warna dasar hitam tidak sepenuhnya terbatal pada pasterna belakang. Terdapat tompok warna karat atau mahogani di bawah ekor yang menyerupai segi tiga juga. Jalur hitam tipis patut hadir pada setiap jari kaki anjing Rottweil.[13]

Saiz[sunting | sunting sumber]

Anjing Rottweil, yang secara teknikal merupakan baka "sederhana / besar", menurut piawaian FCI, berdiri setinggi 61–69 cm (24–27 in) pada paras kelasa untuk jantan, 56–63 cm (22–25 in) untuk betina, dan beratnya mesti berukuran 50–60 kg (110–130 lb) untuk jantan dan 35–48 kg (77–106 lb) untuk betina. Berat mesti relatif kepada ketinggian.[1][2]

Perangai[sunting | sunting sumber]

Seperinduk tujuh ekor anak anjing Rottweil pada usia 3 minggu

Sebuah kajian yang diterbitkan pada tahun 2008 mendapati bahawa anjing Rottweil jantan mempunyai keyakinan, ketajaman, dan pertahanan serta dorongan bermain lebih tinggi daripada betina.[14]

Sebuah kajian pada tahun 2008 yang meninjau anggota kelab baka mendapati bahawa walaupun anjing Rottweil rata-rata dari segi keagresifan (gigitan atau percubaan gigitan) terhadap pemilik dan anjing lain, kajian itu menunjukkan bahawa ia cenderung untuk menjadi lebih agresif daripada rata-rata terhadap orang asing. Agresi ini kelihatan berkorelasi dengan naluri anjing penjaga dan perlindungan wilayah.[15]

Dalam Rottweiler Handbook ("Buku Panduan Anjing Rottweil"), Joan H. Walker menyatakan bahawa "anjing Rottweil sangat kuat melindungi wilayah", yang bermakna bahawa pemilik perlu kerap berusaha dengan anjing berkenaan untuk mengawal keagresifan kewilayahannya.[16]

Gaya kerja[sunting | sunting sumber]

Seekor anjing Rottweil yang menggembala biri-biri

Menurut American Kennel Club,[17] anjing Rottweil mempunyai gaya pengumpulan semula jadi dengan keinginan kuat untuk mengawal. Ia pada umumnya menunjukkan mata longgar dan mempunyai jumlah daya besar semasa bekerja selain dengan haiwan ternakan. Ia banyak menggunakan keupayaannya untuk menakut-nakutkan.

Anjing Rottweil kerap membawa kepala pada satah rata dengan belakangnya atau membawa kepala ke atas tetapi dengan leher dan bahu yang diturunkan. Sesetengah betina menurunkan sedikit seluruh bahagian hadapan apabila menggunakan matanya. Jantan juga melakukan ini apabila bekerja jauh daripada haiwan ternakan di padang terbuka. Ini jarang terlihat pada jantan apabila bekerja di ruang tertutup seperti halaman haiwan ternakan.[perlu rujukan]

Anjing Rottweil mempunyai keseimbangan semula jadi yang cukup baik, menyalak secara paksa apabila perlu, dan, apabila bekerja dengan lembu, menggunakan serbuan sangat menakutkan. Terdapat perubahan semula jadi dalam kekuatan semasa menggembala biri-biri. Apabila bekerja dengan lembu, ia mungkin menggunakan tubuhnya dan bahunya dan atas sebab ini patut digunakan terhadap haiwan ternakan bertanduk dengan berhati-hati.[perlu rujukan]

Anjing Rottweil, apabila bekerja dengan lembu, mencari haiwan dominan dan mencabar haiwan dominan berkenaan. Setelah membuktikan kawalannya ke atas haiwan itu, ia berundur dan menyambung kerjanya.[perlu rujukan]

Sesetengah penanam mendapati bahawa anjing Rottweil amat sesuai untuk menggerakkan haiwan ternakan degil yang hanya mengabaikan collie sempadan, kelpie, dan lain-lain. Anjing Rottweil menggunakan tubuhnya untuk secara fizikal memaksa haiwan degil itu mematuhi perintahnya jika perlu.[perlu rujukan]

Apabila bekerja dengan biri-biri, anjing Rottweil menunjukkan gaya pengumpulan/pengutipan dan mengatur arah dengan mudah. Ia menggiring biri-biri dengan mudah.[perlu rujukan]

Jika bekerja dengan haiwan ternakan sama untuk sebarang tempoh masa, anjing Rottweil cenderung untuk menjalin ikatan dengan haiwan ternakan itu dan bakal menjadi agak sayang terhadap haiwan ternakan itu selagi haiwan ternakan itu berbuat seperti yang diarahkan.[18]

Anjing Rottweil juga sangat sesuai untuk banyak sukan anjing dan pada umumnya digunakan dalam sukan anjing tersebut termasuk ketangkasan dan schutzhund.[perlu rujukan]

Kesihatan[sunting | sunting sumber]

Anjing Rottweil

Sebuah kajian di England tentang rekod pesakit mendapati bahawa purata jangka hayat anjing Rottweil ialah 8 tahun yang lebih rendah daripada purata 12 tahun.[19] Tinjauan anggota kelab baka mendapati bahawa punca paling lazim bagi kematian pada anjing Rottweil ialah kanser, dengan lebih daripada 45% kematian pada baka ini yang diatributkan kepada kanser.[20]

Anjing Rottweil cenderung terhadap beberapa keadaan kulit yang termasuk: dermatitis jilatan kulit, kalsinosis kutis, onikodistrofi lupoid, sarkoma histiosis malignan, histiositosis sistemik, vaskulopati, dan vitiligo.[21] Lipidosis folikel ialah keadaan kulit yang terdapat pada anjing titik merah seperti anjing Rottweil.[22]

Sebuah kajian Amerika yang menyemak lebih daripada sejuta kes yang dibentangkan kepada 27 buah hospital pengajar veterinar di Amerika Utara mendapati bahawa anjing Rottweil cenderung terhadap displasia pinggul anjing dengan 10.53% daripada jumlah anjing yang menghidap keadaan ini berbanding dengan 3.52% secara keseluruhan. Kajian sama ini mendapati bahaw anjing Rottweil juga mempunyai prevalens kedua tertinggi bagi kekurangan ligamen krusiat kranium (CCLD) dengan 8.29% daripada jumlah anjing yang menghidap keadaan ini berbanding dengan kadar keseluruhan 2.55%. Untuk anjing yang didiagnosis dengan kedua-dua keadaan, anjing Rottweil sekali lagi mempunyai prevalens kedua tertinggi dengan 1.34% yang menghidap kedua-dua displasia pinggul dan CCLD berbanding dengan 0.3% secara keseluruhan.[23] Sebuah lagi kajian Amerika ke atas lebih daripada sejuta rekod penilaian pinggul dan suku juta rekod penilaian siku pada anjing yang berusia lebih daripada 2 tahun mendapati prevalens sebanyak 20.1% untuk displasia pinggul dan 38.1% untuk displasia siku, angka kedua tertinggi dalam kajian itu.[24]

Sebuah kajian mendapati bahawa anjing Rottweil cenderung terhadap volvulus pendilatan gastrik.[25] Walau bagaimanapun, sebuah lagi kajian tidak mendapati predisposisi.[26]

Penggambaran oleh media[sunting | sunting sumber]

Anjing Rottweil kerap digambarkan oleh media sebagai anjing yang berbahaya dan agresif.[27][28][6][29][30]

Sesetengah filem dan rancangan televisyen, seperti Lethal Weapon 3, filem tahun 1998 Half Baked, dan rancangan popular HBO Entourage, telah menggambarkan anjing Rottweil dengan cara positif.[31] Ia juga dipaparkan dalam siri buku kanak-kanak Good Dog, Carl oleh Alexandra Day.[32]

Dalam sebuah acara yang dilaporkan secara meluas oleh media, seekor anjing Rottweil United Kingdom berusia dua tahun bernama Jake yang dimiliki oleh Liz Maxted-Bluck diiktiraf atas keberaniannya oleh RSPCA. Anjing itu keluar berjalan bersama pemiliknya apabila mereka mendengar jeritan. Jake mengusir seorang lelaki ketika dia mencabul seorang wanita di Hearsall Common, Coventry, pada Julai 2009. Ia menemukan si penyerang dan mangsa di dalam semak tebal, mengusir penyerang itu, membawa pemiliknya ke tempat kejadian, kemudian menjaga mangsa sehingga polis tiba. Si penyerang disabitkan dengan tuduhan serangan seksual serius dan dipenjarakan selama empat tahun. Jake dicalonkan oleh pihak polis untuk anugerah dan pingat keberanian selepas kejadian itu. Detektif Con Clive Leftwich, dari balai polis Coventry, berkata: "Dari sudut pandangan kami, Jake si anjing Rottweil menghentikan serangan seksual serius daripada menjadi lebih buruk lagi."[33]

Galeri[sunting | sunting sumber]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: انجيڠ روتواءيل; روتواءيلر; Jerman: Rottweiler, bahasa Jerman: [ˈʁɔtvaɪ̯lɐ]  ( dengar); bahasa Inggeris: rottweiler, /ˈrɒtwlər/, United Kingdom juga /-vlər/[34][35]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d e f g h i j k l m n o p q r s t u "FCI - Standard Nr. 147 ROTTWEILER" [Piawaian FCI No. 147 Anjing Rottweil] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Jerman). 24 Julai 2018. Dicapai pada 8 Januari 2024.
  2. ^ a b c d e f g h i j k l m n o p q r s t u "FCI-Standard N° 147 ROTTWEILER" [Piawaian FCI No. 147 Anjing Rottweil] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Chris Seidler. Disemak oleh Peter Friedrich. 24 Julai 2018. Dicapai pada 8 Januari 2024.CS1 maint: others (link)
  3. ^ "Rottweiler" (dalam bahasa Inggeris). Australian National Kennel Council. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Mac 2016. Dicapai pada 8 Januari 2024.
  4. ^ "Rottweiler" (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. Dicapai pada 8 Januari 2024.
  5. ^ "Rottweiler" (dalam bahasa Inggeris). New Zealand Kennel Club. Dicapai pada 8 Januari 2024.
  6. ^ a b c Chun, Rene (14 Ogos 1994). "THING; Have You Hugged Your Rottweiler Today?". The New York Times (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 8 Januari 2024.
  7. ^ "rottweiler". Purina (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 8 Januari 2024.
  8. ^ a b Adolf Pienkoss, The Rottweiler (Inggeris), edisi ke-3, Borken, Jerman: Internationale Föderation der Rottweilerfreunde, 2008.
  9. ^ Manfred Schanzle, Studies in The Breed History of The Rottweiler (Inggeris). DVM thesis, Universiti Munich, 1969.
  10. ^ "Get to Know the Rottweiler" (Inggeris), American Kennel Club, Dicapai pada 13 Januari 2024.
  11. ^ Thomas G. VanSach. "The History of the Rottweiler" (dalam bahasa Inggeris). vansach.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 31 Mac 2012.
  12. ^ "Most Popular Dog Breeds – Full Ranking List" (dalam bahasa Inggeris). The American Kennel Club. Dicapai pada 13 Januari 2024.
  13. ^ a b c "AKC Official Standard of the Rottweiler" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 13 Januari 2024.
  14. ^ Liimatainen, R.; Liinamo, A.-E.; Ojala, M. (Julai 2008). "Genetic and environmental factors affecting behavior test results in Rottweilers". Journal of Veterinary Behavior: Clinical Applications and Research (dalam bahasa Inggeris). 3 (4): 178. doi:10.1016/j.jveb.2007.11.006. ISSN 1558-7878.
  15. ^ Duffy, Deborah L.; Hsu, Yuying; Serpell, James A. (2008). "Breed differences in canine aggression". Applied Animal Behaviour Science (dalam bahasa Inggeris). 114 (3–4): 441–460. doi:10.1016/j.applanim.2008.04.006.
  16. ^ "The Rottweiler". Modern Dog magazine (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 13 Januari 2024.
  17. ^ American Kennel Club, AKC Herding Regulations (Inggeris)
  18. ^ "Breed Feature: Bernese Mountain Dogs, Leonbergers & Rottweilers", National Dog – The Ringleader Way (Inggeris), jil. 12, bil. 1&2 (Jan/Feb 2009), hlm. 12.
  19. ^ O’Neill, D. G.; Church, D. B.; McGreevy, P. D.; Thomson, P. C.; Brodbelt, D. C. (2013). "Longevity and mortality of owned dogs in England" (PDF). The Veterinary Journal (dalam bahasa Inggeris). 198 (3): 638–643. doi:10.1016/j.tvjl.2013.09.020. PMID 24206631.
  20. ^ Adams, V. J.; Evans, K. M.; Sampson, J.; Wood, J. L. N. (2010-10-01). "Methods and mortality results of a health survey of purebred dogs in the UK". Journal of Small Animal Practice (dalam bahasa Inggeris). 51 (10): 512–524. doi:10.1111/j.1748-5827.2010.00974.x.
  21. ^ Hnilica, Keith A.; Patterson, Adam P. (19 September 2016). Small Animal Dermatology (dalam bahasa Inggeris). St. Louis, Missouri, Amerika Syarikat: Saunders. ISBN 978-0-323-37651-8.
  22. ^ Rhodes, Karen Helton; Werner, Alexander H. (25 Januari 2011). Blackwell's Five-Minute Veterinary Consult Clinical Companion (dalam bahasa Inggeris). Ames, Iowa, Amerika Syarikat: Wiley-Blackwell. m/s. 58. ISBN 978-0-8138-1596-1.
  23. ^ Witsberger, Tige H.; Villamil, J. Armando; Schultz, Loren G.; Hahn, Allen W.; Cook, James L. (15 Jun 2008). "Prevalence of and risk factors for hip dysplasia and cranial cruciate ligament deficiency in dogs". Journal of the American Veterinary Medical Association (dalam bahasa Inggeris). American Veterinary Medical Association (AVMA). 232 (12): 1818–1824. doi:10.2460/javma.232.12.1818. ISSN 0003-1488.
  24. ^ Oberbauer, A. M.; Keller, G. G.; Famula, T. R. (24 Februari 2017). "Long-term genetic selection reduced prevalence of hip and elbow dysplasia in 60 dog breeds". PLOS ONE (dalam bahasa Inggeris). Public Library of Science (PLoS). 12 (2): e0172918. doi:10.1371/journal.pone.0172918. ISSN 1932-6203.
  25. ^ Sartor, Angela J.; Bentley, Adrienne M.; Brown, Dorothy C. (15 Mei 2013). "Association between previous splenectomy and gastric dilatation-volvulus in dogs: 453 cases (2004–2009)". Journal of the American Veterinary Medical Association (dalam bahasa Inggeris). American Veterinary Medical Association (AVMA). 242 (10): 1381–1384. doi:10.2460/javma.242.10.1381. ISSN 0003-1488.
  26. ^ Glickman, Lawrence T.; Glickman, Nita W.; Pérez, Cynthia M.; Schellenberg, Diana B.; Lantz, Gary C. (1 Mei 1994). "Analysis of risk factors for gastric dilatation and dilatation-volvulus in dogs". Journal of the American Veterinary Medical Association (dalam bahasa Inggeris). American Veterinary Medical Association (AVMA). 204 (9): 1465–1471. doi:10.2460/javma.1994.204.09.1465. ISSN 0003-1488.
  27. ^ Knight-Ridder/Tribune, Deborah Lawson (20 September 1992). "PET OR LETHAL WEAPON?". chicagotribune.com (dalam bahasa Inggeris).
  28. ^ "Rottweilers can be friends, therapy dogs, too". old.post-gazette.com (dalam bahasa Inggeris).
  29. ^ "ROTTWEILERS". The Washington Post (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 13 Januari 2024.
  30. ^ "Rottweiler sinks its teeth into crime". scotsman.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 13 Januari 2024.
  31. ^ "Rottweiler Dog Facts: 10 fun and fascinating facts about the adorable Rottweiler breed of dog" (dalam bahasa Inggeris). 30 November 2022.
  32. ^ "Alexandra Days' Carl". EW.com (dalam bahasa Inggeris).
  33. ^ "Rottweiler honoured for stopping Coventry sex attacker". BBC News (dalam bahasa Inggeris). 26 September 2010. Dicapai pada 13 Januari 2024.
  34. ^ "Oxford Dictionaries" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Ogos 2016. Dicapai pada 8 Januari 2024.
  35. ^ "Oxford Dictionaries-US" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 2 Oktober 2016. Dicapai pada 8 Januari 2024.

Bacaan lanjut[sunting | sunting sumber]

  • Blackmore, Joan. A Dog Owner's Guide to the Rottweiler (dalam bahasa Inggeris).
  • Brace, Andrew H. (Ed), The Ultimate Rottweiler (Inggeris), Ringpress Books, Surrey, 2003. ISBN 1-86054-263-8
  • Coren, Stanley. The Intelligence of Dogs (Inggeris), Universiti British Columbia, Vancouver. (1994).
  • Chardets: Know your Rottweiler (Inggeris)
  • Fédération Cynologique Internationale-Standard N° 147/ 19. 06. 2000 / GB The Rottweiler. Diterjemahkan oleh – C. Seidler Negara asal – Jerman.
  • Kaneene, JB, Mostosky UV, Miller R. "Update of a retrospective cohort study of changes in hip joint phenotype of dogs evaluated by the OFA in the United States, 1989–2003" (Inggeris), Vet Surg 2009;38:398–405, Interscience.wiley.com, abstrak
  • '"National Dog – The Ringleader Way (Inggeris), Jilid 12 Bilangan 1 & 2, Jan/Feb 2009 Breed Feature "Bernese Mountain Dogs, Leonbergers & Rottweilers".
  • Pettengell, Jim. The Rottweiler (Inggeris)
  • Pienkoss, Adolf. The Rottweiler (Inggeris), edisi semakan dan kemas kini ke-3, Internationale Foederation der Rottweilerfreunde (IFR) Wilhelmitenstr. 15a, 46354 Borken, Jerman, 2008
  • Price, Les. Rottweilers: an owner's companion (Inggeris). Macmillan Publishing Company, New York 1991. ISBN 0-87605-297-9
  • Schanzle, Manfred, Studies in the Breed History of the Rottweiler. Edisi bahasa Jerman diterbitkan oleh Allgemeiner Deutscher Rottweiller – Klub (ADRK) E.V. 1967 Edisi bahasa Inggeris diterbitkan bersama-sama oleh Colonial Rottweiler Club & Medallion Rottweiler Club – September 1969. Cetakan 1981 (kemas kini) – Diterbitkan oleh Powderhorn Press 3320 Wonderview Plaza, Hollywood, CA90068.
  • Yrjola, J. A. U. & Tikka, Elvi. Our Friend the Rottweiler (Inggeris)

Pautan luar[sunting | sunting sumber]