Budaya di Sabah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Penduduk Sabah terdiri dari berbagai-bagai kaum dengan latar belakang kebudayaan masing-masing. Penduduk aslinya terdiri daripada sekurang-kurangnya 30 kumpulan[1] dengan menggunakan lebih dari 50 bahasa dan tidak kurang dari 90 dialek. Di antaranya adalah Kadazandusun, Bajau, Murut, Kedayan, Bisaya, Irranun, Rungus, Kimarang, Kwijau, Lundayeh, Ubian, Binadan, Orang Sungai, Tatana, Tagaas, Brunei, Suluk dan lain-lain.

Pakaian[sunting | sunting sumber]

Kebanyakan suku kaum di Sabah memilih hitam sebagai warna pakaian traditional mereka. Penggunaan warna hitam asalnya daripada kepercayaan bahawa warna hitam adalah lambang kekuasaan atau warna ketuhanan yang mana dapat melindungi si pemakai daripada makhluk-makhluk halus yang jahat. Ada setengah-tengah pihak mengatakan bahawa penggunaan warna hitam adalah disesuaikan dengan cara hidup dan keadaan semulajadi di waktu itu.

Aksesori[sunting | sunting sumber]

Pada masa lalu, batu akik merah, manik-manik kaca berwarna, kulit kowri,mutiara,butang putih atau cakera yang dibuat daripada cengkerang dan tembaga digunakan untuk menghiasi pakaian lelaki dan perempuan. Pada hari ini, kebanyakan hiasan-hiasan ini diganti dengan manik-manik plastik dan bahan moden yang lain seperti benang emas dan perak, labuci dan benang berwarna. Seperti dahulu, hiasan-hiasan ini masih lagi disertai dengan tali pinggang yang dibuat daripada berbagai-bagai bahan seperti manik cengkerang dan kaca duit syiling perak, tembaga dan logam-logam lain, lapik pinggang yang dibuat daripada rotan berwarna untuk mengetatkan gaun, seluar atau anak baju. Kalung dibuat daripada berbagai-bagai bahan dijadikan hiasan leher dan dada. Gelang juga dipakai untuk menghiasi lengan, pergelangan tangan serta kaki.

Hiasan Kepala[sunting | sunting sumber]

Tutup kepala seperti terendak atau tudung dipakai oleh kaum lelaki dan wanita sebagai pakaian biasa sebagai pelindung dan penahan peluh. Pada majlis-majlis upacara, terendak-terendak yang dipakai adalah lebih indah dan berwarna-warni. Spesialis ritual memakai tutup kepala dan pakaian dengan hiasan yang banyak yang membezakan mereka dari orang biasa apabila mereka menjalankan sesuatu upacara tradisional. Kaum lelaki masih memakai sigah sejak dari dahulu lagi. Sigah atau tanjak ini adalah sekeping kain segiempat yang dipakai dalam berbagai-bagai bentuk mengikut daerah atau asal si pemakai. Kaum wanita pula memakai manik, sisir, tudung dan terendak bergantung pada waktu dan kegiatan yang dilakukan.

Kraftangan[sunting | sunting sumber]

Kraftangan di kalangan masyarakat asli Sabah bermula dalam usaha mereka untuk berteduh/berlindung, menutup tubuh dan mencari makanan dengan cara yang terbaik sekali. Mereka menghasilkan berbagai-bagai barang yang banyak dengan menumpukan kepada fungsi bahan yang dihasilkan dan kurang perhatian pada hiasan. Benda-benda yang dihasilkan meliputi kelengkapan rumah, pertanian dan pemburuan di samping benda untuk kegunaan ritual dan upacara keagamaan. Penghasilan kraftangan mereka bergantung pada sumber alam sekitar dan keperluan dari segi budaya.

Kaum lelaki dan wanita secara tradisi membuat berbagai-bagai jenis kraftangan. Di pedalaman Sabah, sebilangan besar kaum wanita membuat terendak, anyaman tikar, tenunan kain, sulaman, bakul-bakul kecil, nyiru dan benda-benda kecil untuk kegunaan seharian. Kaum lelaki pula membuat bakul yang lebih besar, parang, alat-alat membajak dan memburu, jala dan alat menangkap ikan yang lain dan senjata. Dikalangan masyarakat nelayan tepi pantai, kaum lelaki membuat perahu, ukiran kayu, alat penangkap ikan dan wanitanya menenun dan menyulam kain, mengayam tikar dan lain-lain.

Variasi[sunting | sunting sumber]

Kraf yang dihasilkan oleh penduduk dari berbagai-bagai budaya dalam berbilang daerah mempunyai variasi yang luas. Sebagai contoh, penduduk pesisiran pantai yang penghidupannya bergantung pada laut telah menghasilkan alat yang berbeza dari penduduk pedalaman yang masih mengamalkan penanaman padi huma atau padi sawah dan memburu serta menangkap ikan sungai. Perbezaan juga wujud di antara kebudayaan kebendaan penduduk yang mengusahakan padi sawah dan padi huma. Perbezaan bukan sahaja terdapat pada alat-alat ‘utilitarian’ tetapi juga benda-benda ritual, alat-alat muzik dan ciri-ciri kebudayaan kebendaan yang lain.

Bahan[sunting | sunting sumber]

Keadaan tentang adanya bahan-bahan tempatan juga mempengaruhi jenis kraftangan yang dihasilkan. Di daerah Tambunan, sebagai contoh penggunaan buluh untuk membuat perkakas rumah, bakul, rumah (termasuk atap) dan pagar sangat luas di kalangan masyarakat Dusun/Kadazan Tambunan. Dalam pada itu, labu pahit yang terdapat di Tambunan telah menjadikan daerah ini sebagai pusat pengeluaran sompoton, sejenis organ mulut yang diperdagangkan di kalangan kumpulan Dusun, walaupun ia juga ada dibuat di tempat-tempat lain. Rotan yang merupakan satu lagi bahan yang tahan digunakan dengan luasnya untuk membuat terendak, bakul, hiasan dinding dan juga pengikat kayu atau buluh. Bahan untuk membuat pakaian tradisional juga diperolehi daripada tumbuhan tempatan, termasuklah kulit kayu, kapas atau gentian tumbuhan daripada nanas, pisang atau kelapa.

Komersial[sunting | sunting sumber]

Benda-benda yang dibuat pada masa lalu adalah hanya untuk kegunaan rumah sahaja dan corak asas benda-benda tersebut mencerminkan fungsi asalnya. Hasil yang lebih kadang kala dijual di tamu untuk komoditi lain. Dengan cara ini, barang-barang dagangan yang diimport seperti tempayan, manik, benda tembaga, gong tembaga dan kraftangan yang dihasilkan oleh penduduk pesisiran pantai dibawa masuk ke kawasan pedalaman pulau Borneo. Dengan perhubungan dengan dunia luar yang semakin meningkat, bahan-bahan yang jarang terjumpa diganti dengan benda-benda yang diimport dan lebih murah dalam usaha menghasilkan kraftangan tradisional. Dengan itu, manik-manik kaca yang jarang ditemui telah diganti dengan manik plastik yang murah dalam penghasilan manik dan hiasan pakaian. Benang kapas import yang murah kini diguna dalam sulaman dan tenunan. Kain kapas dan baldu hitam yang diimport telah digunakan sebagai pengganti kepada kain buatan sendiri secara tradisional dalam penghasilan pakaian.

Salah satu kraftangan yang sangat banyak dibuat di Sabah ialah bakul oleh kerana benda ini dipakai oleh hampir semua kumpulan etnik. Bentuk dan jenis bakul bergantung kepada fungsi dan tradisi penduduk yang membuat benda-benda ini. Artifak berbagai-bagai macam kini telah diubah suai dan dihasilkan untuk memenuhi selera pelancong walaupun sesetengah dari artifak ini masih dibuat dalam bentuk yang asal.

Tarian & muzik[sunting | sunting sumber]

Muzik tempatan sering berkait rapat dengan tarian. Ia juga berfungsi sebagai muzik latar dalam sesuatu majlis upacara. Sesetengah alat lazimnya digunakan oleh orang perseorangan untuk hiburan diri sendiri. Antara tarian-tarian asli yang popular dan dikenali ramai adalah tarian Sumazau, tarian Limbai, tarian Igal Igal, tarian Magunatip,tarian busak baku irau rayeh Lundayeh Sabah[2] , tarian Adai-adai dan tarian Daling-daling.

Upacara[sunting | sunting sumber]

Muzik melambangkan keselarasan tradisional yang wujud di kalangan penduduknya sejak bertahun-tahun. Ia dimain semasa majlis perkahwinan, pertunangan, perayaan menuai, hari ulang tahun pertama kanak-kanak, upacara-upacara keagamaan animisma dan upacara-upacara berkaitan yang penting bagi masyarakat tempatan. Setiap kumpulan etnik mempunyai bentuk muzik yang tersendiri walaupun banyak alat-alat muzik utama merupakan alat yang sama digunakan. Setiap alat dibuat dengan perasan sayang dengan memotong, membentuk dan diuji. Berbagai-bagai gabungan alat-alat muzik mempunyai keistimewaannya sendiri dengan perbezaan dalam segi bentuk, rentak dan nada. Terdapat juga alat-alat muzik tertentu yang hanya digunakan oleh satu kumpulan masyarakat sahaja dan tidak dimain oleh masyarakat yang lain.

Notasi & Alat Muzik[sunting | sunting sumber]

Muzik tradisional Sabah tidak mempunyai sistem not yang tradisional dan seni kata lagu juga tidak bertulis. Semua muzik dan nyanyian diturunkan secara tradisi dari generasi ke generasi. Persembahan muzik boleh dilakukan oleh lelaki dan wanita tetapi sesetengah alat muzik secara tradisi dihasilkan khusus sama ada untuk pemuzik lelaki atau wanita sahaja.

Kebanyakan alat-alat muzik di Sabah dibuat daripada bahan-bahan asli. Sebagai contoh, tongkungon, turali, suling (atau seruling), sompoton, gabang dan togunggak diperbuat daripada buluh. Alat lain seperti gambus, kompang dan gendang diperbuat daripada kulit kambing. Gong dan kulintangan dibuat daripada kayu lembut dan menyerupai gitar panjang bertali tiga yang dibuat daripada giman, sejenis gentian pokok palma.

Kelas Alat Muzik
Kordofon Tongkungon, Gambus, Sundatang/Gagayan
Erofon Suling, Turali/Tuahi, Bungkau, Sompoton
Idofon Togunggak, Gong, Kulintangan
Membranofon Kompang, Gendang/Tontog
Xylophone Gabang, Salun

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]