Geng Ipol

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Geng Ipol merupakan kumpulan 5 penjenayah warga Indonesia yang berjaya ditembak mati di kawasan hutan di Kampung Bahagia, Bukit Lagong, Sungai Buloh, Selangor, Malaysia. Pondok usang kepunyaan ladang semaian di atas puncak bukit dijadikan markas mereka. Lokasi ini terletak 1.5 km di belakang Hospital Sungai Buloh.

Ketua kumpulan bergelar 'Ipol' berusia 30-an memiliki pistol jenis revolver .32 dan parang yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah pecah rumah dan samun. Polis percaya mereka terbabit dalam 20 kes pecah rumah di sekitar Gombak, Semenyih, Kajang, Sepang, Kuala Selangor dan beberapa tempat lain sejak enam bulan lalu.


Mereka beroperasi sejak Disember 2008 dan terakhir pada hari Sabtu, 9 Mei 2009 di Semenyih, Selangor. Mereka selalu menanggal baju dan memakai tangkal setiap kali melakukan samun atau pecah rumah kononnya sebagai pelindung . Pada mayat beberapa ahlinya ditemui tangkal yang berupa kertas bertulisan Jawi yang digulung.


Ketika ditembak , mereka sedang berehat dan memasak di sebuah pondok di hutan itu.Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar menyatakan suspek bertindak melepaskan tembakan ke arah sepasukan polis ketika mereka diminta menyerah diri.Wang tunai, barangan kemas, telefon bimbit dan dua beg komputer riba dipercayai hasil samun ditemui.[1]

Modus operandi penjenayah warga Indonesia adalah sama iaitu mereka kebanyakannya menggunakan penempatan sementara untuk bersembunyi semasa melakukan jenayah. Mereka juga akan menawan rumah mangsa terutama rumah mewah, mengikat kaki dan tangan penghuni lalu menyumbat kain ke dalam mulut mangsa sebelum menutup kepala dengan selimut bagi mengelak wajah mereka dicam [2] Mereka bergerak dari satu tempat ke satu tempat menaiki kenderaan awam bagi mengelakkan dikesan dan sasaran mereka selalunya kediaman berhampiran kawasan hutan. Mangsa yang melawan akan dicederakan. Penjenayah ini akan mengambil bekalan makanan dari rumah mangsa sebelum melarikan diri. Barangan rompakan ditanam di kawasan sekitar pondok. [3]


Rompakan di Taman Tasik Semenyih[sunting | sunting sumber]

Pada hari Sabtu, 9 Mei 2009, jam 4 pagi, 4 penjenayah memasuki rumah seorang guru di Taman Tasik Semenyih, Broga, Selangor. Mereka memotong telinga gerigi besi. Semua penghuni dikumpulkan dalam satu bilik dan diikat dengan dawai penyidai. Rantai leher direntap. Wang tunai dan emas yang terselit pada beberapa helai baju turut dilarikan. Namun kereta tidak dilarikan. Jumlah kerugian hampir 20,000. TV3 melalui program 999 menyiarkan kes ini pada hari Khamis, 15 Mei 2009.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ 5 ahli Geng Ipol temui ajal
  2. ^ Rumah Kongsi Antara Tempat Persembunyian Penjenayah Asing
  3. ^ "Lima Geng Ipol mati ditembak". Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-05-11. Dicapai pada 2009-05-15.