Kolonel Jeneral

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kolonel Jeneral ialah pangkat tiga bintang atau empat bintang dalam sesetengah tentera darat, biasanya setaraf dengan jeneral penuh dalam tentera darat lain. Korea Utara dan Rusia telah menggunakan pangkat tersebut di sepanjang sejarah mereka. Pangkat ini juga berkait rapat dengan Jerman, dimana Generaloberst dahulunya adalah pangkat lebih tinggi dari Jeneral penuh tetapi dibawah Generalfeldmarschall.

Austria[sunting | sunting sumber]

Pelapik gorjet

Kolonel jeneral (Generaloberst) merupakan pangkat kedua tertinggi dalam Tentera Darat Austria-Hungary, yang mengikut model Jerman pada tahun 1915. Pangkat ini tidak lagi digunakan selepas Perang Dunia Pertama.

Republik Rakyat China[sunting | sunting sumber]

Tentera Pembebasan Rakyat mempunyai pangkat Da Jiang (Cina ringkas: 大将; secara harfiahnya "jeneral besar") dari tahun 1955 hingga 1965. Da Jiang setanding dengan pangkat kolonel jeneral Soviet. Sistem pangkat Tentera Pembebasan Rakyat telah dimansuhkan pada 1965 dan dikembalikan semula pada tahun 1988. Sistem tahun 1988 memperkenalkan pangkat Yi Ji Shang Jiang (Cina ringkas: 一级上将; secara harfiahnya "jeneral kanan kelas pertama"). Tiada siapa yang memegang pangkat itu dan ia dimansuhkan pada tahun 1994.

Czechoslovakia[sunting | sunting sumber]

Pangkat kolonel jeneral (generálplukovník) telah dizahirkan dalam tentera darat Czechoslovakia pada tahun 1950; ia telah dihentikan selepas pembubaran negara itu pada 1993.

Mesir[sunting | sunting sumber]

Tentera Darat Mesir menggunakan pangkat yang diterjemahkan sebagai "kolonel jeneral". Ia setaraf dengan pangkat 4-bintang atau jeneral "penuh". Kolonel Jeneral adalah, namun, junior kepada pangkat fil marsyal dan satu gelaran kehormat yang biasanya dipegang oleh menteri pertahanan sahaja.

Perancis[sunting | sunting sumber]

Di dalam Tentera Darat Perancis, dibawah pemerintahan Ancien régime, pegawai yang memerintah semua rejimen pasukan perkhidmatan tertentu (iaitu infantri, kavalri, dragoon, askar Swiss , dll.) dikenali sebagai kolonel jeneral. Ia bukanlah satu pangkat, tetapi seorang pegawai Diraja.

Georgia[sunting | sunting sumber]

Republik Georgia mengguna pakai nama pangkat Soviet selepas kemerdekaannya pada tahun 1991 iaitu kolonel jeneral (გენერალ-პოლკოვნიკი general-polkovniki), namun ia hanya digunakan sebagai pangkat tertinggi dalam Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Jerman[sunting | sunting sumber]

Wehrmacht

Seorang jeneral tertinggi atau jeneral kanan (Generaloberst, kadang kala "kolonel-jeneral" disalah tafsir oleh analogi kepada Oberst, "kolonel") merupakan pangkat kedua tertinggi di bawah Generalfeldmarschall (Fil Marsyal) di dalam tentera darat Prussia, dan kemudiannya di dalam tentera darat Empayar Jerman (1871-1919), Reichsheer (1921-1933) (Tentera Darat Republik Weimar), Heer (Tentera Darat Jerman) (1933–1945) dan Luftwaffe (Tentera Udara Jerman) (1935-1945).

Pangkat asalnya direka bagi Maharaja William I, Putera Prussia—oleh sebab secara tradisinya ahli keluarga diraja tidak dinaikkan pangkat ke fil marsyal.

Oleh sebab pangkat Generalfeldmarschall dikhususkan kepada kenaikan pangkat sewaktu perang, pangkat tambahan "jeneral tertinggi dalam kapasiti fil marsyal" - Generaloberst im Range eines Generalfeldmarschalls — direka bagi kenaikan pangkat semasa waktu aman. Jeneral ini berhak memakai empat pip diatas epaulet mereka, berbanding dengan kebiasaan tiga pip.

Pangkat setaraf kolonel jeneral dalam perkhidmatan lain:

Hungary[sunting | sunting sumber]

Vezér­ezredes atau Kolonel Jeneral.
Vezér­ezredes atau Kolonel Jeneral.

Di Hungary, pangkat kolonel jeneral (vezérezredes) telah diperkenalkan kepada Tentera Darat Imperial dan Diraja (iaitu pasukan darat biasa Dwi Monarki) pada tahun 1915. Pangkat ini menggantikan pangkat gyalogsági tábornok (jeneral infantri), lovassági tábornok (jeneral kavalri), dan táborszernagy (jeneral artileri) pada awal tahun 1940an.

Nama pangkat vezérezredes masih digunakan untuk pegawai jeneral berpangkat tertinggi (empat bintang) dalam Angkatan Tentera Hungary (Hungary: Magyar Honvédség) dan nama pangkat pegawai jeneral empat bintang asing biasanya diterjemah sebagai vezérezredes dalam bahasa Hungary, termasuklah nama Ketua Marsyal Udara bagi tentera udara Komanwel.

Iraq[sunting | sunting sumber]

Pangkat setaraf dengan kolonel jeneral di Iraq dipanggil "Ferik Awwal", dalam bahasa Arab "فريق أول", yang dianggap sebagai pangkat tertinggi dalam Tentera Darat Iraq pada masa kini.

Korea Utara[sunting | sunting sumber]

Lencana pangkat Kolonel Jeneral NKPA.

Pangkat Korea Utara sangjang diterjemah sebagai "kolonel jeneral". Sangjang lebih kanan dari jungjang (biasanya diterjemah sebagai "leftenan jeneral") dan lebih rendah dari daejang (biasanya diterjemah sebagai "jeneral").

Pangkat ini lazimnya dipegang oleh pegawai memerintah unit-unit di sepanjang Zon Bebas Tentera Korea dan zon keselamatan Korea Utara di Panmunjom. Ia juga pangkat yang dipegang oleh panglima Markas Pertahanan Pyongyang KPA.

Rusia[sunting | sunting sumber]

Insignia pangkat
kolonel jeneral
Tentera Darat
Tentera Udara
setanding dengan NATO OF-8

Pangkat kolonel jeneral (Rusia: генерал-полковник, rumi: general-polkovnik) tidak wujud dalam Empayar Rusia[perlu rujukan] dan ia pertama kali diwujudkan dalam Tentera Merah pada 7 Mei 1940, sebagai pengganti gelaran yang wujud sebelum ini командарм второго ранга (kommandarm vtorovo ranga, "panglima ketumbukan pangkat kedua").[1] Semasa Perang Dunia II, kira-kira 199 orang pegawai telah dinaikkan pangkat ke kolonel jeneral. Sebelum tahun 1943, kolonel jeneral Soviet memakai 4 bintang pada pelapik kolar mereka (petlitsy). Sejak tahun 1943, mereka memakai 3 bintang pada papan bahu mereka, jadi Charles Pettibone membandingkan pangkat ini dengan Leftenan Jeneral AS.[1]

Pangkat ini masih wujud dalam Tentera Darat Rusia dan Tentera Udara Rusia.[perlu rujukan] Tidak seperti Generaloberst Jerman (asal ayat pinjam terjemah), pangkat kolonel jeneral Soviet dan Rusia bukanlah sesuatu yang luar biasa atau jarang, kerana ia merupakan langkah normal sebagai "tangga" antara Leftenan Jeneral 2 bintang dan Jeneral Ketumbukan 4 bintang.

Selain itu, sistem pangkat Soviet dan Rusia kadangkala menyebabkan kekeliruan berhubung kesetaraan pangkat, kerana nama normal Barat bagi brigedier atau Brigedier Jeneral tidak lagi wujud untuk Tentera Darat Rusia pada tahun 1798. Pangkat combrig yang setara dengan jeneral 1 bintang hanya wujud dalam Soviet Union semasa tahun 1935–1940. Kedudukan yang biasanya dikhaskan untuk pangkat ini, seperti panglima briged, sentiasa disandang oleh kolonel (polkovnik) atau, jarang-jarang, oleh Mejar Jeneral (lihat Sejarah pangkat tentera Rusia).

Pangkat ini biasanya diberikan kepada para panglima wilayah, barisan dan tentera darat medan, dan juga kepada timbalan menteri pertahanan, timbalan ketua staf am dan seterusnya.

Dalam sesetengah tentera Komanwel Negara-Negara Merdeka pasca-Soviet (sebagai contoh di Belarus), tidak ada jeneral ketumbukan atau marsyal, dan dengan itu kolonel jeneral adalah pangkat tertinggi, biasanya dipegang oleh menteri pertahanan.

Pangkat tentera laut yang setara ialah laksamana, yang juga dilambangkan dengan 3 bintang.

Sweden[sunting | sunting sumber]

Kolonel jeneral (generalöverste) juga menjadi pangkat tentera kanan di Sweden, digunakan terutamanya sebelum abad ke-19.

Syria[sunting | sunting sumber]

Tentera Darat Syria menggunakan pangkat kolonel jeneral ( "Imad-awwalعماد أول) hanya untuk pangkat paling kanan tentera di bawah fil marsyal. Lazimnya, hanya menteri pertahanan yang memegang pangkat ini – hanya enam pegawai yang pernah memegang pangkat ini sehingga sekarang – Hafez al-Assad, Mustafa Tlass, Hikmat al-Shihabi, Ali Habib Mahmud, Dawoud Rajiha dan Fahd Jassem al-Freij.

United Kingdom[sunting | sunting sumber]

Gelaran kolonel jeneral telah digunakan sebelum dan semasa Perang Saudara England dalam tentera Pendukung Raja dan Ahli Parlimen. Dalam kes ini, ia sering kali dilihat sebagai seorang kolonel kanan yang bertentangan dengan jeneral kanan.

Amerika Syarikat[sunting | sunting sumber]

Di Amerika, selaku Panglima sesebuah tentera darat, pangkat setaraf ialah Jeneral (jeneral empat bintang, gred O-10).

Vietnam[sunting | sunting sumber]

Di Vietnam, pangkat kolonel jeneral dikenali sebagai thượng tướng (secara harfiah "jeneral atas"), setaraf dengan jeneral dan laksamana tiga bintang. Thượng tướng berada diatas trung tướng (biasanya diterjemah sebagai "leftenan jeneral") dan berada dibawah đại tướng (lazimnya diterjemah sebagai "jeneral"). Ia digunakan dalam tentera darat dan tentera udara. Ia setaraf dengan đô đốc (laksamana) dalam Tentera Laut.

Nota[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b Charles D. Pettibone (2009). Organization and Order of Battle of Militaries in World War II : Union of Soviet Socialist Republics. Trafford On Demand Pub. m/s. 905. ISBN 1-4269-2251-5.
  • Data about Germany and Austria are based, in part, on the German-language Wikipedia article: "generaloberst"

Pautan luar[sunting | sunting sumber]