Markas Pemerintahan Medan Barat

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pemerintahan Medan Barat
Aktif5 Mei 1981–kini
Negara Malaysia
Cawangan Tentera Darat Malaysia
JenisPemerintahan markas
LokasiKem Sungai Besi, Kuala Lumpur
Komander
Komander
terkini
Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan
(Panglima Medan Barat)

Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat atau dikenali sebagai Pemerintahan Medan Barat (PMB) adalah salah sebuah organisasi pemerintahan utama Tentera Darat Malaysia yang berpangkalan di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur. Sebelum tahun 2015, formasi ini lebih terkenal dengan nama Markas Pemerintahan Medan Tentera Darat namun telah ditukar selepas tertubuhnya Markas Pemerintahan Medan Timur hasil daripada penstrukturan semula Tentera Darat sempena Hari Ulang Tahun Tentera Darat (HUT TD) ke-81 pada 1 Mac 2014.

Markas ini menaungi tiga ketumbukan utama iaitu Divisyen Ke-2 Infantri (2 Div) di Kem Tun Razak Pulau Pinang (mengawal wilayah utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia), Divisyen Ke-3 Infantri (3 Div) di Kem Sungai Udang Melaka (mengawal wilayah selatan Semenanjung) dan Divisyen Ke-4 Infantri (4 Div) di Kem Wardieburn Kuala Lumpur (mengawal wilayah tengah Semenanjung). Pemerintah markas ini dikenali sebagai Panglima Medan Barat (berpangkat jeneral tiga bintang).

Sejarah Markas Medan Tentera Darat[sunting | sunting sumber]

Sebagai sebuah organisasi yang dinamik, Markas Medan Tentera Darat telah berkembang pesat dalam menyelaras dan melaksanakan aktiviti operasi serta latihan trup di bawah pemerintahannya.

Sejarah penubuhan Markas Medan TD bermula pada 5 Mei 1981 apabila Markas Kor Tentera Darat diwujudkan sebagai langkah susulan kepada pembangunan dan penstrukturan TD untuk memikul tanggungjawab memerintah, mengawal serta mengurus semua Formasi Medan di Semenanjung Malaysia.

Bagi formasi medan di Sabah dan Sarawak status operasi ketika itu masih diletakkan di bawah pemerintahan Markas Divisyen Pertama Infantri yang bertanggungjawab terus kepada Panglima TD.

Setelah ditubuhkan Markas Kor TD telah berkongsi tempat kediaman, bangunan pejabat dan kemudahan-kemudahan tertentu kepunyaan Markas Dua Divisyen di Kompleks Markas Dua Divisyen, Pangkalan Sungai Besi.

Perkongsian ini berterusan hinggalah Markas Dua Divisyen berpindah ke Pulau Pinang.

Bagi melancarkan pelaksanaan penubuhan Markas Kor TD, proses penubuhannya dilaksanakan dalam tiga tahap. Tahap-tahap tersebut adalah seperti berikut:

1. Tahap pertama - penubuhan Markas ini pada 5 Mei 1981 dan anggota-anggota kumpulan pertamanya dipenuhkan pada tarikh tersebut.

2. Tahap kedua - meneruskan proses penubuhan di tempat yang sama dengan mengadakan anggota-anggota kumpulan kedua bagi jangka masa 10 Oktober 1981 hingga 31 Januari 1982.

3. Tahap ketiga - meneruskan proses penubuhan di tempat yang sama dengan mengadakan kumpulan ketiga dalam jangka masa 1 Februari 1982 hingga 30 Jun 1982.

Dengan tertubuhnya Markas Kor TD, maka keselamatan pertahanan Wilayah Satu adalah di bawah tanggungjawab markas ini.

Dengan itu, Panglima Kor TD bertanggungjawab untuk merumus dan melaksanakan strategi, operasi dan rancangan kontigensi terhadap pertahanan Wilayah Satu yang mana meliputi seluruh kawasan tanah daratan di Wilayah Semenanjung Malaysia.

Pada tahap pertama penubuhan Markas Kor TD, pelbagai tekanan telah dihadapi dan paling ketara adalah kekurangan keanggotaan.

Hanya 62 peratus pegawai yang melapor diri manakala anggota lain-lain pangkat pula seramai 47 peratus.

Namun demikian, bahagian Turus TD terus memberi perhatian sewajarnya mengenai perkembangan dan kemajuan markas ini.

Apabila Markas Kor menghadapi pelbagai kemajuan dari segi organisasi dan keanggotaan, ia terpaksa dirombak semula pada tahun 1982.

Rombakan ini dibuat sebagai menyahut rancangan jimat cermat yang dilancarkan disebabkan oleh keadaan negara menghadapi kemerosotan ekonomi.

Dengan rombakan ini, organisasi Markas Kor TD telah diubahsuai untuk memulakan tanggungjawab khusus meliputi aspek latihan TD sahaja.

Leftenan Jeneral Datuk Jamil Khir Baharom yang menjadi pengasas Markas Kor TD pertama pada ketika itu telah menyerahkan tugas setelah sampai tempoh untuk beliau bersara dari perkhidmatan kepada Leftenan Jeneral Datuk Wan Ismail Wan Salleh sebagai Panglima Kor TD yang kedua pada 1 Januari 1984.

Setelah dilantik, Wan Ismail terus membentuk markas ini hingga mencapai taraf profesionalisme yang tinggi.

Pengalaman dan kecekapan beliau mengendalikan tugas telah membawa kepada pelbagai perubahan yang begitu menggalakkan.

Atas daya usaha Panglima Kor yang kedua ini, Markas Kor TD mencapai taraf operasi pada 17 Julai 1984.

Dengan pencapaian taraf tersebut, semua Markas Divisyen Infantri di Semenanjung Malaysia diletakkan di bawah pemerintah Markas Kor TD dan segala tanggungjawab mereka akan disatukan oleh markas ini mulai tarikh yang sama.

Taraf operasi

Pengisytiharan taraf operasi ini dilakukan oleh Panglima Tentera Darat (PTD) ketika itu iaitu Jeneral Datuk Ghazali Che Mat dalam satu upacara gilang-gemilang di Bilik Gerakan Markas Kor TD pada 17 Julai 1984 di hadapan Panglima Kor.

Panglima Kor TD kemudian menyampaikan perintah ulung beliau kepada semua panglima-panglima dan pegawai-pegawai yang hadir pada hari tersebut.

Walaupun penubuhan Markas Kor TD baru memasuki tahun keempat pada ketika itu, ia telah dikenali Angkatan Tentera negara-negara asing.

Ini terbukti dengan lawatan pemimpin-pemimpin dari negara sahabat ke markas itu sejak ia ditubuhkan.

Pada 1 Januari 1994, berikutan Program Penyusunan Semula Struktur TD menjelang tahun 2000, semua formasi medan di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak diletakkan di bawah pemerintahan dan seliaan Markas Kor TD dengan mengambil 'designasi' Markas Medan TD.

Pertukaran ini merangkumi peranan, penugasan dan kawasan tanggungjawab.

Sejak dari detik itu bermulalah peranan Markas Pemerintahan Medan Tentera Darat di bawah pucuk pimpinan Panglima Medan TD, Leftenan Jeneral Datuk Abdul Ghani Ahmad.

Secara amnya Markas Pemerintahan Medan TD memainkan peranan sebagai markas untuk memerintah, mengawal dan mengurus semua formasi-formasi dan unit-unit medan TD termasuk di Sabah dan Sarawak.

Secara tidak langsung, selaku Markas Pemerintahan Tertinggi TD, ia bertanggungjawab terus kepada Panglima Tentera Darat di dalam bidang-bidang pemerintahan, kawalan dan pentadbiran semua formasi medan TD.

Sejajar dengan itu, beberapa buah pasukan tempur, bantuan tempur, bantuan khidmat dan logistik telah diletakkan di bawah pemerintahan Markas Medan TD untuk menjadikannya sebuah organisasi kredibel, berkeupayaan untuk bertempur di barisan hadapan sesuai dengan ungkapan 'Markas Medan Teras Kekuatan Tentera Darat'.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]