Penaklukan Empayar Aztek oleh Sepanyol

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Penaklukan Mexico oleh Sepanyol merupakan salah satu kempen terpenting dalam penjajahan Sepanyol di Amerika. Konkuistador terpenting dalam penaklukan ini ialah Hernan Cortez.

Tahun-tahun awal[sunting | sunting sumber]

Bermula dengan "penemuan" Hemisfera Barat oleh Christopher Columbus (1492), penjelajah Sepanyol dan Portugis meneruskan ekspedisi untuk mencari kekayaan di "Dunia Baru". Antaranya termasuklah Francisco Hernández de Córdoba dan Juan de Grijalba yang telah pulang pada tahun 1517 dan 1518 dengan membawa berapa gumpalan emas, dan cerita-cerita menarik tentang tempat-tempat yang kaya dengan emas. Cortés, seorang pelayar dari Sepanyol amat tertarik dengan penemuan tersebut lalu menjual segala harta bendanya untuk membeli beberapa kapal serta bekalan untuk berlepas ke Mexico. Beliau meminta Gabenor Cuba ketika itu, Diego Velázquez de Cuéllar, seorang saudara dan juga ayah mertuanya, untuk mengetuai penjelajahan ke negara baru ini. Pada mulanya Diego bersetuju dengan syarat Cortez tidak menakluki negara tersebut. Tetapi pada saat-saat terakhir, Diego enggan menyertai ekspedisi ke Mexico kerana bimbang dengan kos perbelanjaannya yang tinggi. Oleh itu, beliau mengarahkan Cortez (yang berusia 34 tahun ketika itu) untuk mengetuai ekspedisi baru ke Mexico.

Kapalnya mula mendarat di pulau Cozumel di luar semenanjung Yucatan. Di sana Cortés bertemu dengan seorang Sepanyol bernama Gerónimo de Aguilar seorang paderi yang terpaksa hidup dengan masyarakat Maya selepas kapalnya karam pada 1511. Aguilar telah menjadi aset yang tidak ternilai bagi Cortés, dan diberi tugas sebagai penterjemah dwi-bahasa iaitu bahasa Sepanyol dan Maya.

Masalah komunikasi mula timbul, apabila pihak Sepanyol berlayar ke arah utara di mana orang tempatannya menggunakan bahasa yang berlainan. Walaupun begitu, Cortez bernasib baik kerana setelah menewaskan tentera puak Tabasco, penghulunya menganugerahkan 20 hamba abdi wanita termasuk seorang gadis yang fasih dalam kedua bahasa Náhuatl (bahasa kaum Aztek) dan Maya. Gadis yang cerdik ini yang bernama La Malinche telah dibaptiskan dan diberi nama Sepanyol, Doña Marina. Ini telah menambahkan kuasa Cortez kerana kini dia mempunyai dua penterjemah dan boleh berinteraksi dengan puak Maya dan Aztek.

Tenochtitlan[sunting | sunting sumber]

Sementara itu di Tenochitlán, Moctezuma berada dalam keadaan serba salah dan cuba untuk mencari jalan terbaik untuk menyambut orang asing ini. Legenda kuno telah meramalkan kepulangan Quetzalcoatl, suatu dewa-raja Toltec berkulit putih dan berjanggut, yang akan datang dari timur pada tahun Ce Acatl untuk mengambil balik kerajaannya. Beberapa petanda buruk seperti air di tasik Texcoco tiba-tiba mendidih dan suara wanita meraung pada waktu malam hanya meningkatkan ketakutannya. Beliau tidak mahu menaikkan kemarahan Cortez yang dianggap sebagai dewa. Namun beliau berasa tergugat dengan kehadiran orang berkulit putih ini.

Lalu, beliaupun menghantar satu perwakilan bersama-sama dengan beberapa hadiah yang bernilai dengan harapan emas tersebut boleh memuaskan Cortez. Namun, ia hanya meningkatkan nafsunya untuk menakluk Mexico. Moctezuma juga menghantar satu amaran supaya tidak meneruskan perjalanannya ke ibu negara Aztek kerana dia terpaksa melalui beberapa gurun, gunung-ganang serta kawasan-kawasan yang merbahaya dan penuh dengan musuh.

Emas dan hiasan Aztek lain hanya membangkitkan nafsu orang-orang Sepanyol bagi merampas kekayaan dunia baru. Kini Cortes semakin berminat untuk meneruskan perjalanannya, lalu beliaupun mengambil langkah berani iaitu dengan membakar kesemua kapalnya kecuali satu. Ini dilakukan setelah mengirim beberapa pucuk surat dan hadiah Aztek kepada rajanya yang disanjungi, Raja Carlos V. Langkah yang drastik ini bolehlah dianggap sebagai menentang orang atasannya iaitu , Gabenor Velázquez, namun ia perlu untuk memastikan kesetiaan pengikutnya supaya mereka tidak melakukan peninggalan tanpa izin.

Cortés memulakan perjalanannya dengan hentian pertama di Tlaxcala, sebuah negeri bebas di Mexico. Pada mulanya, rakyatnya menyerang tentera Cortez tetapi terpaksa akur dengan kecanggihan senjata Sepanyol seperi pedang, kapak, kuda dan senjata api. Cortés kemudian membuat perjanjian dengan mereka bahawa sekiranya mereka memeluk agama Kristian, mereka akan diampun dan beliau akan berusaha untuk menjatuhkan Maharaja Moctezuma, musuh ketat mereka. Tetapi jika mereka enggan bekerjasama, mereka semua akan dibunuh. Akhirnya puak Tlaxcaltecas bersetuju, dan Cortés menyambungkan perjalanannya dengan hampir 2,000 perwira Tlaxcalteca ke arah ibu kota Mexico.

Selepas Cortés tiba di Cholula, bandar kedua terbesar di Empayar ini, La Malinche memberitahu beliau terdapat khabar angin bahawa puak tempatan merancang untuk membunuh askarnya sewaktu mereka sedang tidur. Tanpa banyak soal, beliau mengarahkan tenteranya untuk membunuh kesemua rakyat di Cholula. Tenteranya yang ganas itu kemudiannya membakar bandar tersebut dan membunuh hampir 30,000 penduduk di sana. Selepas itu, Cortés menghantar utusan kepada Moctezuma menceritakan bahawa ketua Cholula menghinakannya dan telah dihukum, tetapi sekiranya Moctezuma menghormati beliau dan terus menghadiahkan emas, Maharaja itu tidak perlu takut dengan kemarahannya.

Apabila penakluk-penakluk dari Sepanyol sampai di bandar Tenochtitlán buat pertama kalinya, mereka takjub dengan kehebatan bandar tersebut. Bagaimanakah orang-orang yang jahil ini boleh hidup dalam kemewahan sebegini? Mereka tiba di pusat Mexica-Aztek pada 8 November 1519. Moctezuma kemudiannya menjemput Cortés ke Tenochtitlán yang terletak di Jalan Tambak Agung menujui "Venice di Barat" yang mungkin merupakan ibu kota terbesar di dalam dunia ketika itu. Pihak Sepanyol ini telah diterima oleh Moctezuma dan para pembesarnya dengan tangan terbuka dan dijemput ke tempat penginapan mereka ke mahligai Atzayacatl, kepunyaan ayahanda baginda. Moctezuma telah berusaha untuk mengambil hati pelawatnya ini dengan meraikannya dengan pelbagai pesta dan jamuan besar-besaran.

Namun Cortes dengan situasinya yang berbahaya itu dikelilingi oleh musuh yang jauh lebih besar berbanding tenteranya yang sedia ada. Cortés kemudiannya meminta lebih hadiah berbentuk emas untuk dihadiahkan kepada Raja Charles V. Beliau juga mengarahkan maharaja itu untuk membuang dua patung gergasi dari kuil piramid utama di dalam ibu kota itu serta mencucikan darah manusia yang telah menjadi korban. Tindak-tanduk ini telah membangkitkan kemarahan rakyat Aztek disana. Akhir sekali dalam satu perjumpaan sulit, Cortés dan La Malinche sebagai penterjemahnya telah meminta Moctezuma untuk menaikkan salib serta dua tempat pemujaan untuk Maryam dan St. Christopher menggantikan tempat patung-patung pujaan mereka. Walaupun maharaja itu mengikuti arahan beliau, Cortés telah mengambilnya sebagai tebusan dan ditahan dalam mahligainya sendiri sebagai insuran dari pemberontakan kaum Aztek.

Untuk menambahkan masalah, Cortés menerima berita buruk bahawa satu pasukan Sepanyol telah dihantar oleh Velázquez untuk menangkapnya kerana mengingkari perintahnya iaitu tidak menakluki negara Mexico. Beliau mengamanahkan pentadbiran ibu kota itu kepada leftenannya yang dipercayai iaitu leftenan Pedro de Alvarado. Lalu, dia dan askarnya bergerak ke arah expedisi Cuba dan menewaskan mereka yang dipimpin oleh Pánfilo de Narváez. Cortés kemudiannya mengkhabarkan kepada pihak yang kalah tentang ibu kota emas di Tenochtitlán, dan mereka bersetuju untuk menyertai tentera Cortés.

Apabila Cortés kembali ke ibu kota itu, beliau mendapati Alvarado dan askarnya telah membunuh secara beramai-ramai kesemua bangsawan Aztek dan mereka yang masih hidup telah menabalkan maharaja yang baru iaitu Cuitláhuac. Alvarado telah membuat demikian kerana menyangka upacara keagamaan mereka itu sebagai satu pemberontakan. Cuitláhuac kemudiannya mengarahkan perwiranya untuk mengepung mahligai yang diduduki oleh pihak Sepanyol dan Moctezuma. Cortés tiada pilihan lain dan terpaksa meminta Moctezuma untuk bercakap dianjung mahligai kepada rakyatnya dan mendesak mereka untuk membiarkan askar Sepanyol keluar secara aman. Namun demikian, rakyatnya yang sudah benci dengannya terutama sekali selepas mencemarkan agama mereka dengan menaikkan salib di kuil mereka dan juga pembunuhan yang diarahkan oleh Alvarado. Lalu merekapun mengejeknya dan membaling batu-batu besar kearahnya dan Moctezuma menerima kecederaan yang teruk dikepalanya. Cortés bersama-sama La Malinche cuba untuk berunding dengan puak yang menentangnya tetapi perundingan itu berakhir apabila maharaja itu mangkat dua minggu selepas itu pada 30 Jun, 1520.

Dibawah pengganti Moctezuma, Cuitláhuac, kaum Aztek melancarkan pengepungan besar-besaran terhadap pihak conquistadores. Dengan kurangnya bekalan makanan dan minuman, tentera Sepanyol dan sekutunya dari puak Tlaxcalan telah cuba keluar dari ibu kota itu dalam kegelapan malam yang dipanggil La Noche Triste, Malam yang Sedih. Namun kaum Aztek telah diberi amaran lalu mereka menyerang musuh mereka dengan sepenuh hati. Beratus tentera telah dibunuh dan ditawan. Manakala yang lainnya yang dibebani dengan emas dan perak yang mereka rampas, telah jatuh kedalam empangan dan mati lemas. Cortés yang kecewa itu kemudiannya rebah dan menangis dibawah pohon ahuehuete yang masih berdiri di Bandar raya Mexico hingga ke hari ini.

Walaupun ramai tentera Cortés yang mati, mereka masih tidak berputus asa. Tentera Sepanyol yang selamat dan sekutunya kembali ke kawasan Tlaxcalan untuk bergabung semula. Dalam beberapa bulan berikutnya, mereka merawat kembali tentera-tentera mereka dan dilatih hampir setiap hari. Merangka strategi baru, Cortes membina sebuah armada untuk serangan seterusnya.

Pada Jan 1521 Conquistadores sekali lagi memasuki lembah Mexico. Mereka mengadakan satu siri serbuan di seluruh desa dan menawan benteng Aztek di Texcoco, dari mana mereka boleh melancarkan serangan dengan menggunakan armada baru. Pada bulan Mei, Cortés memulakan serangan terakhirnya pada Tenochtitlan, serangan berpecah kepada pelbagai arah, dengan bahagian-bahagian yang berasingan dan bergerak melalui jalan air.

Tentera Aztek berjuang dengan berani di bawah kepimpinan maharaja terakhir Aztek, Cuauhtemoc, yang namanya diterjemahkan sebagai "falling eagle" atau seli "setting sun". Dihentam dengan penyakit baru yang diperkenalkan oleh tentera Sepanyol, air bersih dan makanan mereka disekat oleh tentera Sepanyol, mereka telah berjuang habis-habisan dalam tempoh masa 80 hari pengepungan dasyat tentera Sepanyol, dan akhirnya menyerah diri pada 13 Ogos, 1521, itupun setelah pemimpin mereka ditangkap dan Cortés menghulurkan pisau kepadanya dan dia Cuauhtemoc berkata, "Saya telah lakukan apa yang boleh saya buat dengan penduduk saya, sekarang giliran awak pula untuk lakukan apa yang awak nak kepada saya".

Bergembira dengan kemengan mereka, Conquistadores hanya membiarkan empayar Aztek dalam keadaan terbiar, mereka membuang segala nilai dan adat resam penduduk Aztek selagi mereka boleh, dan membakar banda Tenochtitlán, dan meruntuhkan kuil empayar Aztek.

Menurut kepada cerita lain di empayer Aztek, pada tahun 1519 dijanjikan tuhan mereka iaitu Quetzalcóatl akan pulang dari timur. Tentera Sepanyol bertemu dengan sekutu pertama mereka yang dimiliki oleh Aztek. Dengan 6000 askar baru yang semuanya warga tempatan, mereka menghampiri pulau Aztek iaitu Tenochtitlán yang dikatakan lebih besar dari mana-mana bandar di Sepanyol sendiri. Raja Moctezuma II menjemput tentera-tentera itu masuk ke bandar utama mereka dan menjadikan Moctezuma sendiri sebagai tebusan. Pada 13 Ogos 1521, penentangan Aztek kepada tentera Sepanyol telah berakhir. Jumlah penduduk peribumi yang pada ketikanya berjumlah 25 juta orang telah menurun kepada 1 juta orang sahaja menjelang 1605.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]