Onn Jaafar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Yang Amat Berbahagia Dato'
 Onn Jaafar
Onn Jaafar

Tempoh berjawat
11 Mei 1946 – 26 Ogos 1951
Didahului oleh Baru diwujudkan
Digantikan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj

Tempoh berjawat
1 Jun 1947 – 18 Mei 1950
Didahului oleh Ungku Abdul Aziz bin Abdul Majid
Digantikan oleh Dato' Syed Abdul Kadir bin Mohamed

Tarikh lahir 12 Februari 1895(1895-02-12)
Tempat lahir Bukit Gambir, Johor Bahru, Johor
Meninggal 19 Januari 1962 (umur 66)
Johor Bahru, Johor
Parti politik UMNO
Pasangan Rafeah Abdullah
Che Jamilah
Che Kah
Halimah Hussein
Pekerjaan Menteri Besar
Agama Islam

Dato' Onn Jaafar (12 Februari 1895 - 19 Januari 1962) merupakan pengasas dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Beliau pernah dilantik sebagai Menteri Besar Johor pada 1 Jun 1947 tetapi beliau telah meletakkan jawatan tiga tahun kemudian iaitu pada 18 Mei 1950 untuk menumpukan perhatiannya kepada UMNO.

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Dato' Onn Jaafar

Beliau dilahirkan di Batu Pahat, Johor Darul Takzim serta merupakan anak kepada Datuk Jaafar bin Haji Muhammad, Menteri Besar Johor yang pertama. Seorang kerabat diraja Johor, beliau dipelihara oleh Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar sejak kecil, dan mendapat pendidikan Melayu sebelum melanjutkan pelajarannya di England.

Beliau bekerja sebagai wartawan pada tahun 1930 ketika berumur 35 tahun, dan pada tahun 1934, menjadi pengarang Lembaga Malaya dan Harian Lembaga. Di samping itu, beliau juga pernah menjadi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor. Semasa zaman Pendudukan Jepun, beliau menjadi Ketua Pejabat Kawalan Makanan Negeri Johor.

Kerjaya politik[sunting | sunting sumber]

Beliau pernah bertugas sebagai Pegawai Daerah dalam pentadbiran penjajah British, tetapi kemudian berhenti kerana membantah dasar-dasar jajahan.

Pada 1 - 4 Mac 1946, 41 buah persatuan Melayu telah berhimpun di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur untuk menghadiri Kongres Melayu pertama yang diadakan untuk menentang Malayan Union yang diperlihatkan sebagai ancaman terhadap hak istimewa orang Melayu dan kedudukan sultan-sultan Melayu. Hasil daripada mesyuarat ini, sebuah badan yang mewakili orang Melayu telah ditubuhkan ketika Kongres ketiga diadakan di Johor Bahru pada 1 Mei 1946. Disebabkan beliau amat aktif dalam gerakan nasionalisme Melayu, kongres itu melantik beliau sebagai presiden pertama.

Pada 1 Jun 1947, beliau dilantik menjadi Menteri Besar Johor. Tiga tahun kemudian, beliau meletakkan jawatan untuk menumpukan masanya kepada UMNO. Di bawah kepimpinannya, UMNO berjaya memaksa kerajaan British untuk membubarkan Malayan Union dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu. Persekutuan Tanah Melayu 1948 mengekalkan kedudukan Raja-raja Melayu dan memperketatkan syarat-syarat kerakyatan, serta memberi hak istimewa Melayu.

Beliau kemudian berasa kecewa dengan apa yang beliau anggap sebagai dasar-dasar perkauman UMNO serta mencadangkan bahawa keahlian parti dibuka kepada semua penduduk Tanah Melayu tanpa mengira kaum dan nama UMNO ditukarkan menjadi "Pertubuhan Kebangsaan Penduduk Tanah Melayu Bersatu". Oleh sebab cadangan itu ditentang, beliau meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO apabila persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam diadakan pada 25 hingga 26 Ogos 1951.

Beliau kemudiannya menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada 26 Ogos, 1951. Malangnya, parti tersebut tidak mendapat sokongan daripada orang Melayu. Pada tahun 1954, beliau meninggalkan parti itu untuk menubuhkan Parti Negara bagi tujuan bertanding dalam pilihan raya umum yang pertama di Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955. Parti Negara menyekatkan keahlian bukan orang Melayu dalam satu percubaan untuk memperoleh sokongan daripada orang-orang Melayu. Walaupun demikian, partinya masih gagal mendapat sokongan dan tidak memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya itu. Bagaimanapun, Dato Onn masih berusaha untuk mendapatkan tempat dalam politik. Akhirnya, beliau berjaya mendapat satu kerusi di kawasan parlimen Kuala Terengganu Selatan dalam Pilihan Raya Umum 1959 dengan bantuan parti PAS.

Beliau mendirikan rumah tangga bersama Datin Halimah Hussein, dan salah seorang daripada anak mereka ialah Allahyarham Tun Hussein Onn. Beliau meninggal dunia pada tahun 19 Januari 1962 dan dikebumikan di Makam Mahmoodiah, Johor Bahru, Johor.

Garis masa[sunting | sunting sumber]

  • 1895: Dilahirkan di Bukit Gambir, Johor Bahru .
  • 1901 Menjadi anak angkat Sultan Ibrahim dan menghabiskan masa di Istana Johor. Belajar bahasa Inggeris dengan wanita Inggeris.
  • 1902 Ibunya Rugayah meninggal dunia
  • 1903 Belajar di Alderburgh Lodge School, Suffolk, England . Dia ke sana sebagai pengiring putera-putera Sultan Johor.
  • 1910 25 Mac kembali ke Johor dengan perawakan Barat.
  • 1910-1911 Belajar di di Maktab Melayu Kuala Kangsar.
  • 1911 Kerani sambilan di Jabatan Setiausaha Kerajaan Johor .
  • 1911 Berkahwin kali pertama Rafeah Abdullah (gadis Cina yang merupakan anak angkat bapanya). Mendapat empat orang anak dan isterinya meninggal dunia beberapa tahun kemudian.
  • 1915 Berkahwin kali kedua dengan Che Jamilah dan mendapat seorang anak iaitu Ismail bin Onn. Isterinya meninggal dunia.
  • Berkahwin kali ketiga dengan Che Kah, seorang pelakon bangsawan.
  • 1917 Menyertai Pasukan Tentera Johor dan ditempatkan di Pulau Belakang Mati, Singapura- markas JMF. Pangkat Leftenan.
  • 1919 Berkahwin kali keempat dengan Halimah Hussein, janda adiknya. Mendapat 3 anak termasuk Hussein Onn.
  • 1920 Bekerja semula di Pejabat Pnasihat Johor tetapi dipecat oleh Sultan Ibrahim pada 31 Jun 1920 kerana membidas baginda tanpa berselindung berkaitan isu harta.
  • 1922 Diterima bekerja semula sebagai penolong pegawai di Pejabat Tanah Johor kerana pujukan Tengku Ismail.
  • 1923 Pegawai di Pejabat Tanah Muar
  • 1924 Penolong Pemungut Hasil Tanah Muar dengan gaji RM1440.00.
  • 1927 Pindah ke Johor Bahru dengan jawatan yang sama. Pegawai British menahan elaun RM200.00 setahun, tidak diberi motokar kerajaan dan tidak disediakan rumah kerajaan sedangkan pegawai British mendapat pelbagai kemudahan.
  • 1927-1936 Dibuang negeri ke Singapura oleh Sultan Ibrahim kerana menyiarkan berita Sultan Ibrahim memperalatkan JMF sebagai buruh paksa dalam akhbar Sunday Mirror. Sultan Ibrahim membina padang lumba kuda dan membuka ladang di Pagoh, Tasek Utara dan Pasir Pelangi menggunakan JMF.
  • 1930-1936 (umur 35): Bertugas sebagai wartawan akhbar-akhbar Melayu di Singapura
  • 1934 (umur 39): Menjadi pengarang Lembaga Malaya dan harian Lembaga.
  • 1936-1941 Menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Johor
  • 19421945: Menjadi Ketua Pejabat Kawalan Makanan Negeri Johor
  • 1945-1946 Menjadi Pegawai Daerah Batu Pahat
  • 1946-1949 Memimpin Pergerakan Melayu Semenanjung, Johor.
  • 1946 Menganjurkan Kongres Melayu 1946
  • 1946-1951 (umur 52): Menubuhkan UMNO dan menjadi presidennya yang pertama. Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Johor pada 1 Jun 1947.
  • 1949 (umur 54): Meletakkan jawatan Menteri Besar Johor dan menumpukan kepada UMNO.
  • 1951 Pengerusi Rural and Industrial Development Authority (RIDA).
  • 1951 (umur 56): Cadangan membuka keahlian UMNO kepada semua kaum telah ditolak. Maka Dato' Onn meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dalam persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam pada 25 dan 26 Ogos 1951.
  • 1951 Menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP).
  • 1954 (umur 59): Menubuhkan Parti Negara mengganti Parti Kemerdekaan Malaya. Tujuan penubuhan parti tersebut adalah untuk bertanding dalam pilihan raya umum yang pertama pada tahun 1955.
  • 1955 Kalah dalam Pilihan raya Persekutuan 1955
  • 1959 Ahli Dewan Rakyat - sebagai anggota pembangkang (dikatakan menyertai PAS).
  • 1959 (umur 64): Mendapat satu kerusi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu Selatan dalam pilihan raya Persekutuan.
  • 1962 (umur 67): Meninggal dunia dan dikebumikan di Makam Mahmoddiah Johor Bahru.

Senarai karya[sunting | sunting sumber]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Ramlah Adam, ' Dato' Onn Ja'afar - Pengasas Kemerdekaan'. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1993, hlm 12


Penyandang Terdahulu Menteri Besar Johor
1 Jun 194718 Mei 1950
Penyandang Kemudian
Ungku Abdul Aziz Abdul Majid Syed Abdul Kadir Mohamed


Penyandang Terdahulu Presiden UMNO
11 Mei 1946Jun 1951
Penyandang Kemudian
Yang Pertama Tunku Abdul Rahman Al-Haj